Thursday, March 26, 2015

AZHARIAH GENERATION JANA MAHASISWI BERTHAQAFAH

KAHERAH,20 MAC- Jabatan Fasilitator Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015  telah mengadakan aktiviti Muzakarah Berkelompok Gabungan di peringkat mahasiswi KPIPM yang berkonsepkan “Azhariah Generation”. Aktiviti ini melibatkan penyertaan dari setiap kumpulan Muzakarah Berkelompok (akhawat) yang mana setiap MB diberi tugasan untuk diselesaikan dalam tempoh satu minggu. Antara tugasan yang ditaklifkan ialah penghasilan kertas kerja “Wanita Sayap Kiri Perjuangan”, Powerpoint berkaitan Khulafa’ ar-Rasyidin, buku skrap berkenaan gerakan-gerakan Islam, video dokumentari tentang tempat-tempat menarik di Mesir, dan infographic berkenaan Perubatan Islam. Setiap kumpulan MB telah memberikan komitmen terbaik dalam menyiapkan tugasan yang diberi.

Aktiviti dan tugasan ini tidak lain adalah demi menjayakan usul Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-48 iaitu  “Mengupayakan mahasiswa/ mahasisiwi  Perak untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik dan thaqafah”. Antara objektif yang ditekankan melalui aktiviti ini ialah:

       1.Merapatkan ukhwah Islamiah dalam kalangan ahli.
       2.Melahirkan ahli yang berthaqafah dan berkemahiran dalam pelbagai aspek.
       3.Memberi kefahaman dan fikrah tentang Islam yang syumul.

 Kemuncak bagi aktiviti berkumpulan ini, Jabatan Fasilitator telah mengadakan Muzakarah Berkelompok Gabungan di peringkat akhawat bagi membentangkan hasil tugasan Azhariah Generation tersebut. Bermula jam 9 pagi, semua ahli berkumpul di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman. Majlis dimulakan dengan tadarus Al-Quran dan diteruskan dengan pembentangan hasil tugasan yang diberikan dan pembentangan berakhir kira-kira pada jam 1 petang.  Pada sebelah malam, Muzakarah Berkelompok Gabungan diteruskan lagi dengan aktiviti BBQ yang diberi nama “Kite Bako Je”, slot Ukhuwah: “Dari Awok Untuk Teman”, penyampaian hadiah bagi program Nisa’ Sport Day dan tayangan video.

Akhir kata, besarlah harapan kami agar seluruh ahli terus memberikan komitmen yang terbaik dalam muzakarah berkelompok kerana ianya merupakan wasilah tarbiyah dan medan menambah thaqafah. Hal ini kerana generasi tarbiyah adalah generasi yang menjadi tonggak harapan dalam merealisasikan agenda pentarbiyahan terhadap  generasi akan datang yang mana terdidik dengan acuan Al-Quran dan As-Sunnah. Semoga penganjuran aktiviti ini menjadi titik tolak dalam melatih mahasiswi KPIPM khususnya agar mendalami ilmu dan thaqafah yang syumul seterusnya dapat membina jati diri yang produktif dan dapat  melahirkan generasi rabbani selaras dengan tema Jabatan Fasilitator sesi kali ini iaitu “Membumikan Tarbiah,Tunjang Generasi Rabbani”.




BERILMU BERAMAL IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM