Wednesday, May 22, 2013

Persinggahan Di Fasa Pengislahan Diri


Dalam mengorak langkah menuju mardhatillah, seringkali kehidupan kita diintai dengan cabaran dan ujian. Adakalanya kita tersungkur sebelum redha menjengah kamar hati kerana kita adalah manusia yang lemah. Dalam mencapai redha, mujahadah diri amat diperlukan dan langkah pertama bermujahadah adalah BERSEDIA UNTUK MENGISLAHKAN DIRI. 

  “Demi masa, sesungguhnya, manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan orang-orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan orang-orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran” (Al-‘Ashr : 1-3)

   Sebagai seorang Muslim, kita perlu belajar untuk menjadi hamba yang sentiasa sedar dan peka dengan hakikat hidup. Jangan mudah berasa selesa dengan kehidupan hari ini dan semalam kerana perjalanan kita sebagai hamba Allah masih jauh. Ambillah satu waktu untuk bermuhasabah diri. ‘adakah hari ini aku seperti sebelumnya?’ atau ‘adakah hari ini aku lebih teruk dari sebelumnya?’. Jika YA, sungguh! kita adalah manusia yang sangat rugi.

Sabda Rasulullah SAW: ‘Maka celakalah orang yang hari ini seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.’
  
Kehidupan kita yang terdedah dengan anasir-anasir luar yang tidak sihat sedikit demi sedikit telah menghakis fitrah manusia yang dicipta oleh Allah SWT dengan segala sifat kebaikan. Pengislahan diri mengikut sibghatallah perlu sentiasa dilakukan untuk mengelakkan kita terus hanyut dan terbuai dengan fantasi dunia. Ianya perlu dijana dengan kekuatan mental dan rohani. Hubungan dengan Al-Khaliq perlu dipertingkatkan bagi memastikan kita terus teguh dalam fasa pengislahan diri kerana ia merupakan sumber kekuatan bagi orang yang beriman.

Hakikatnya kita tidak akan selama-lamanya muda. Maka jadilah setiap detik kehidupan kita memberi makna dan manfaat agar dapat kita jelaskan di hadapan Allah SWT nanti. JOM kita mengorak langkah kearah pengislahan diri! Kerana esok belum lagi menjanjikan kehidupan untuk kita.

Kehidupan kita seperti SEBUAH BUKU..

Muka hadapan adalah TARIKH LAHIR..

Muka belakang adalah TARIKH KEMATIAN..

Setiap HALAMAN adalah setiap hari dalam KEHIDUPAN yang kita lakukan..

Sekali tertulis, tidak akan boleh diubah semula..

TETAPI..seburuk manapun HALAMAN sebelumnya, masih TERSEDIA halaman 
selanjutnya yang PUTIH dan BERSIH..”

BIODATA PENULIS
Nama penulis adalah Ustazah Fadhlin Sakina Binti Sukri yang merupakan mahasiswi kuliah Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar tahun 2.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM