Wednesday, May 22, 2013

Al-Marbawi: Ulama’ Nusantara Yang Menyinari Islam


Genap 24 tahun pemergian Al-Marhum Syeikh Idris Al-Marbawi, ulama’ Nusantara yang terkemuka suatu tika dahulu. Kegigihan serta ketajaman pemikirannya dalam membahaskan ilmu Islam, menjadikannya beliau salah seorang ulama’ yang sebaris dengan tokoh-tokoh ulama’ Nusantara terkemuka pada era tersebut seperti Tok Kenali, Syeikh Yasin Al-Fadani, Tuan Guru Abdullah Fahim, Sheikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Abdul Qodir Al-Mandaeli dan ramai lagi.

Beliau dilahirkan di Mekah pada 10 Mei 1896, mempunyai kemahiran dan kefahaman yang jitu mengenai ilmu bahasa Arab, ilmu hadis, tafsir dan feqah. Pada usia 10 tahun, beliau mampu untuk menghafal 17 juzuk Al-Quran dan beberapa buah kitab. Beliau mengambil gelaran ‘Al-Marbawi’ bersempena dengan tempat asalnya iaitu Lubuk Merbau, Perak.

Kegigihan Dalam Menuntut Ilmu

Ilmu tidak akan dapat ditimba melaiinkan dengan usaha yang gigih. Kegigihan beliau dalam memartabatkan ilmu Islam perlu menjadi iktibar kepada diri kita. Pada awalnya, beliau mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Kuala Kangsar Perak. Selain itu, beliau juga banyak menimba ilmu agama di beberapa buah pondok antaranya Madrasah Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fathani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Hasilnya, beliau mampu untuk mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam dan terus melanjutkan pelajarannya ke peringkat tertinggi di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau di antara salah seorang anak Melayu yang terawal menuntut ilmu di bumi Mesir.

Kegigihan beliau tidak terhenti setakat itu, malah kesungguhan beliau bertambah dengan menimba ilmu di Mesir yang merupakan kiblat ilmu Islam. Di Mesir, beliau menuntut ilmu secara talaqqi bersama guru beliau iaitu Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Maklumat ini di ambil berdasarkan kata-kata aluan di dalam karangan beliau, kitab Bahrul Mazi.

Sifat Tolong-menolong Dalam Diri Ulama’

Syeikh Idris Al-Marbawi ketika muda
Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di Mesir, Syeikh Idris Al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Dengan sikap beliau yang gemar membantu akhirnya timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama beberapa orang rakannya antaranya Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.

Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.


Perginya seorang Ulama’

Pemergian Syeikh Idris Al-Marbawi dalam dunia Islam amat dirasai. Sumbangan dan jasa yang banyak menjadikan beliau antara tokoh ulama’ yang dikenang hingga ke hari ini. Karangan beliau seperti Bahrul Mazi, Kamus Al-Marbawi, Tafsir Surah Yasin, Tafsir Al-Quran Al-Marbawi dan banyak menjadi rujukan oleh para ilmuwan Islam. Beliau telah pulang ke rahmatullah pada 13 Oktober 1989 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah dan meninggal dunia di Hospital Besar Ipoh pada umur 96 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Kampung Lubuk Merbau, Perak.

Memandangkan jasa dan sumbangan beliau yang banyak dalam ilmu agama, beliau diiktiraf oleh beberapa institusi pendidikan terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dan dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh UKM. Nama beliau diabadikan di salah sebuah kolej di sana yang diberi nama Kolej Idris Al-Marbawi.

Kesimpulan

Perjuangan Syeikh Idris Al-Marbawi dalam memartabatkan ilmu Islam perlu dijadikan iktibar kepada diri kita selaku mahasiswa Al-Azhar yang menuntut ilmu di Mesir. Kegigihan serta kecekalan beliau, menjadikan beliau antara tokoh yang dikenang sehingga ke hari ini. Di samping menuntut ilmu demi menghilangkan kejahilan yang ada pada diri, beliau juga tidak melupakan tanggungjawab beliau untuk membantu dan menyebarkan apa yang dipelajari. Malah beliau terkehadapan dalam memartabatkan ilmu melalui dunia penulisan yang dikatakan ‘evergreen’ yang mampu untuk masuk ke setiap lapisan masyarakat yang dahagakan hidayah Allah.

Justeru, bersempena dengan musim peperiksaan ini, perlu kita menilai dan menghayati kisah perjuangan para-para ulama’, supaya diri kita ‘segera bangun dari lamunan’ dan bingkas mempertingkatkan kualiti diri dari setiap sudut sama ada dari sudut keilmuan, kemahiran dan ketaqwaan demi memimpin masyarakat kelak.

أصلح نفسك وادع غيرك
“Perbaiki Diri, Seru Pada Yang Lain”


BIODATA PENULIS
Nama penulis adalah Ustaz Amar Arif Bin Ahmad Po’aad yang merupakan mahasiswa kuliah Syariah Islamiah tahun 1 Universiti Al-Azhar.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM