Tuesday, January 31, 2017

MINDA PIMPINAN | PERANAN MAHASISWA ISLAM


PERANAN MAHASISWA ISLAM

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang”

     Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang menciptakan segala kehidupan. Tuhan yang membelai jiwa kami dengan rahmat dan kemuliaan Islam. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga baginda S.A.W, pembawa risalah Islam daripada-Nya. Semoga kita bersama Baginda di Jannah kelak in shaa Allah.

     Realiti hidup masa kini cukup mencabar para azhari dalam pembentukan sahsiah diri. Pelbagai tohmahan dan tuduhan diterima dari segi aspek jati diri, kegiatan harian dan persatuan bahkan aspek kemantapan rohani azhari itu sendiri dipersoalkan. Gelaran azhari cukup memberikan kesan mendalam bagi sesiapa sahaja yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir apabila pulang ke Malaysia kelak.

     Tanggungjawab kita sebagai mahasiswa Islam bagi memperkasakan ilmu bukan sahaja kedapatan di waktu-waktu kuliah bahkan juga diluar waktu kuliah. Sering kita alpa dan leka hanya segelintir sahaja daripada kalangan kita yang terkesan dek kerana situasi hidup rakyat Malaysia yang kini dilanda kebobrokkan akhlak yang kian meruncing sehingga lalai dengan kemodenan dunia luar yang berlumba-lumba untuk kehadapan, lambakan kemudahan komunikasi yang canggih, matawang yang rendah, dan lain-lain.

     Dalam menongkah kehidupan di bumi Mesir ini, mahasiswa perlu menyedari tujuan datang ke bumi Mesir ini bukan sekadar menuntut atau menadah ilmu daripada para alim ulama’, tetapi keberadaan kita sebagai mahasiswa muslim tentunya kerana menyedari hakikat bahawa selaku mahasiswa Al-Azhar di manakah sumbangan kita terhadap ummah. Dalam menuntut ilmu, melunaskan amal fardi , janganlah kita lupa untuk kita laksanakan amal jamaie dan amal ijtimaie kita. Dan apabila kita berbicara mengenai sumbangan, pastinya di sana terdapat pengorbanan yang mesti dilakukan dari setiap sudut.

     Mahasiswa Islam juga perlu berani menghadapi segala cabaran pada zaman yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini. Sebagai mahasiswa sepatutnya kita tidak perlu takut dengan ancaman daripada pihak luar yang ingin melemahkan semangat mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa bukan sahaja layak berbicara mengenai isu globalisasi, tetapi juga berbicara berkenaan isu umat Islam kini. Masalah-masalah kebejatan serta kebobrokkan akhlak dari dulu hingga kini seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya kecuali dengan pendekatan yang kita ambil berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penawarnya.

     Kesediaan mahasiswa Islam kini untuk berperanan setelah pulang nanti, inilah yang ingin diperkatakan. Kerana yang pasti, ada yang akan pulang sebagai seorang ulama’ dan sebahagiannya pula sebagai umara’. Sementara masih di sini, segala bentuk bekalan dan kelengkapan perlu dikutip. Bekalan ini tidak boleh disudutkan skopnya hanya kepada ilmu sahaja. Juga tidak patut disempitkan kepada kemahiran berpersatuan cuma. Bahkan yang paling tepat adalah mengambil keduanya dan dihiasi dengan adab dan akhlak yang mulia.

     Tuntasnya, peranan kita sebagai mahasiswa Islam merangkap golongan pemuda Islam ialah melakukan perubahan dan bukannya menempel atau memperbaiki. Kesemua ilmu dan thaqafah yang dikutip di bumi Barakah ini menjadi penantian oleh masyarakat Malaysia. Kitalah yang akan mengorak langkah bagi menyinari masyarakat ditanah air. Segala ilmu dan bakti yang dicurahkan akan menghasilkan kerberkatan sebagaimana yang kita impikan iaitu baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur akan menjadi kenyataan.

Siiru 'ala barakatillah. 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

Tinta pimpinan oleh :
Mohamad Akmal Aliff bin Saleh
Bendahari Kehormat KPIPM sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM