Sunday, January 15, 2017

KENYATAAN BERSAMA YDP BKAN | HENTIKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP SEKOLAH AGAMA

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI DI MESIR

HENTIKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP SEKOLAH AGAMA

1) Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian dan keamanan manusia sejagat. Islam bukanlah agama yang melampaui batas bahkan ia melengkapi fitrah manusia serta sesuai dianuti untuk kebaikan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Ar-Rum : 30)

2) Di dalam segenap aspek kehidupan manusia, Islam mementingkan aspek ilmu  pendidikan yang menjadi tunjang penting di dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, sejak dahulu lagi, negara kita telah banyak terbina institusi-intitusi pendidikan yang berteraskan agama Islam yang menjadi salah satu institusi pilihan bagi rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam.

3) Institusi pendidikan agama seperti pondok, madrasah, sekolah agama rakyat dan berbagai lagi telahpun melahirkan ramai tokoh-tokoh yang berwibawa yang banyak berjasa kepada negara. Jangan kita lupa kepada jasa pejuang-pejuang kemerdekaan kita yang merupakan pelajar pondok dan madrasah ini. Lihatlah bagaimana ketokohan mereka seperti Tok Janggut, Tok Kenali, Hj. Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanudin Al-Helmy dan ramai lagi pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita hasil daripada institusi pendidikan agama ini.

4) Justeru, institusi pendidikan agama ini tidak boleh sama sekali dipandang enteng akan kewibawaannya dan perlu dibersihkan segala tanggapan buruk yang boleh mewujudkan salah faham terhadap agama Islam.

5) Oleh demikian itu, kami sebagai Yang Dipertua-yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir (BKAN) mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, baru-baru ini supaya mengkaji semula dasar sekolah agama bantuan kerajaan. Sila rujuk kenyataan beliau pada link http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/12/gerakan-kaji-semula-dasar-sekolah-agama-bantuan-kerajaan/

6) Tanggapan yang dibuat terhadap institusi pendidikan agama ini hakikatnya merupakan satu fakta yang tidak benar dan berunsur hasutan yang mana boleh menimbulkan persepsi buruk sesama rakyat sekaligus mampu memecah belahkan perpaduan.

7) Jika kita meneliti dasar pendidikan di sekolah agama di negara kita ini, ia sama sekali tidak pernah menyeleweng daripada dasar kefahaman Islam yang sebenar bahkan selari dengan apa yang disusun oleh pihak kerajaan.

8) Justeru itu, kami juga menggesa agar beliau menarik balik kenyataan tersebut supaya ia tidak menimbulkan persepsi negatif khususnya terhadap institusi pendidikan agama bahkan kepada agama Islam itu sendiri yang mana merupakan agama persekutuan menurut perlembagaan Malaysia, dalam perkara 3 (1).

9) Kami mengharapkan kepada seluruh rakyat dalam setiap lapisan masyarakat tidak kira agama dan bangsa agar menjaga keharmonian dan keamanan negara tanpa menimbulkan persepsi dan tanggapan negatif yang boleh membawa kepada perpecahan. Kami menyarankan agar kita semua dapat mempertingkatkan kefahaman terhadap Islam dan beramal dengannya sekaligus menjadi mukmin yang sejati.

“Muafakat Asas Kejayaan”

Yang Benar,
Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir
14 Januari 2017

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...