Thursday, February 12, 2015

WINTER'S DAURAH : "Mahasiswa Berthaqafah, Memacu Hadharah Islamiah"


KAHERAH, 8 Februari – Winter's Daurah anjuran Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015 telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari bermula pada 8 Februari sehingga 10 Februari 2015. Antara objektif program ini diadakan adalah untuk melahirkan mahasiswa yang memahami maqasid Islam yang betul, dalam masa yang sama mampu mewujudkan suasana ilmu di dalam Wisma Perak Darul Ridzuan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli. Tema yang telah disepakati untuk Winter's Daurah ini ialah "Mahasiswa Berthaqafah, Memacu Hadharah Islamiah". Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada anak-anak Perak sendiri dan juga individu-individu luar.



  
     Winter's Daurah membuka tirainya dengan diskusi Kitab Matan Al-Manzhumah Al-Baiquniah (Ulumul Hadis), yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Alimi bin Osman. Antara tajuk yang dibincangkan ialah berkaitan istilah-istilah hadis dan bahagian-bahagiannya. Diskusi tersebut berlangsung pada sesi pagi pada hari pertama hingga hari ketiga. Selain iu, pada hari pertama di sebelah malam telah berlangsung pembentangan kertas kerja Fiqh Khomsah bahagian pertama dan kedua iaitu Fiqh Nusus oleh Al-Fadhil Ustaz Qutaibah bin Mohamed, mantan Badan Pengurus PMRAM 2013 dan pembentangan Fiqh Aulawiyat & Muwazanat oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Shahrir bin Alias, Naib Presiden I merangkap Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan PMRAM 2014.

     Pembentangan Fiqh Khomsah kemudian diteruskan lagi pada hari kedua dengan pembentangan bahagian ketiga iaitu Fiqh Waqie' oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Hakimi bin Hussin selaku Mantan Pengarah UBM PMRAM dan pembentangan bahagian terakhir iaitu Fiqh Taghyir oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Farouq bin Ghazali, Mahasiswa Bahasa Arab tahun 4.

    Sepanjang pembentangan kertas kerja Fiqh Khomsah ini berlangsung, pelbagai isu yang telah dikupas dengan begitu menarik dan bermanfaat oleh pengisi-pengisi yang tidak asing lagi di bumi Kinanah ini. Antara perkara yang diberi penekanan ialah peranan kita sebagai seorang pemuda Muslim yang seharusnya sedar dan cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, memahami hakikat sesuatu perkara dengan jelas mengikut keutamaannya, serta mempunyai keinginan untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan manhaj yang bertepatan dengan kehendak Islam.

    Winter's Daurah melabuhkan tirainya dengan penerangan isu semasa berkaitan masyarakat umum yang telah disampaikan oleh Fadhilatul Syeikh Saad Saad Rizq Jawish Hafizahullah. Menerusi Winter's Daurah ini, banyak sisipan ilmu yang sangat bermanfaat telah disampaikan dan diharapkan seluruh mahasiswa/wi Perak yang berpeluang menyertai daurah ini dapat membuka minda dan memainkan peranan kita selaku agen pengubah masyarakat pada masa akan datang.












"Mahasiswa Berthaqafah, Memacu Hadharah Islamiah"


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM