Home » » EXPLORIA'15 | KEMBARA MENITI SEJARAH

EXPLORIA'15 | KEMBARA MENITI SEJARAH

KAHERAH, 21 FEBRUARI 2015- Ketua Hal Ehwal Wanita Islam KPIPM Sesi 2014/2015, di bawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah (BPSR) HEWI KPIPM Sesi 2014/2015 telah mengadakan Jaulah Explore To Alexandria 2015 (EXPLORIA'15) yang bertemakan  "Unwind Your Mind, Develop Your Knowledge".

       Jaulah yang disertai oleh 36 orang peserta ini membawakan objektif untuk menambahkan ilmu pengetahuan serta meluaskan pengalaman ahli HEWI KPIPM, mengeratkan ukhuwah dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Para peserta program bertolak dari Kaherah seawal jam 3 pagi dengan menaiki sebuah coaster dan sebuah tramco.

       Sekitar jam 7 pagi, para peserta telah selamat sampai dan berkumpul di Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah (DPMI) untuk bersarapan dan beramah mesra bersama pimpinan DPMI. Tujuan kunjungan ini diadakan ialah untuk memberikan pendedahan kepada para peserta tentang bermulanya sejarah kewujudan DPMI dan bersama menyelami permasalahan yang dihadapi serta merapatkan ukhuwah antara ahli Kaherah dengan ahli muhafazah sekaligus menjayakan kempen yang dibawakan oleh Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah sesi ini iaitu Kempen DPM?? Let's Recognize!!.

       Seusai kunjungan tersebut, program jaulah ini diteruskan lagi dengan lawatan ke Montaza. Para peserta diberi penerangan oleh Musyrif Penerangan iaitu Ustaz Muhamad  Amir Bin Ghazali mengenai sejarah Istana Sultan Farouq. Istana itu kini telah dijadikan tempat menyambut para tetamu kehormat yang berkunjung ke Iskandariah. Para peserta turut mengambil kesempatan untuk menikmati keindahan taman rekreasi dan pemandangan Laut Mediterranean sebelum bergerak ke destinasi seterusnya. Kemudian,perjalanan jaulah diteruskan ke Qal'ah Sultan Qaitbay yang terletak tidak jauh dari Montaza. Qal'ah ini telah dibina pada tahun 1480 oleh Sultan Qaitbay dan ia berfungsi mengawal jalan masuk ke Pelabuhan Timur (Earstern Harbour).
Para peserta turut berpeluang melawati sekitar kawasan kubu pertahanan di situ yang indah bersisikan pemandangan Laut Mediterranean.

       Seterusnya, para peserta dibawa melawati Maqam Sidi Abbas Al-Mursi. Abu Abbas dilahirkan pada tahun 1219 di Andalusia, Sepanyol. Ketika beliau menunaikan haji,kapalnya karam berdekatan Tunisia. Di sini beliau bertemu dengan Abu Hasan As-Syazili dan memilih Masjid Anarine di Iskandariah sebagai tempat yang terbaik untuk mengajar penduduk di Mesir. Berdekatan Maqam Sidi Abbas Al-Mursi, terdapat Maqam Imam Al-Bushairi iaitu pengarang Qasidah Burdah. Beliau dilahirkan pada tahun 610H (1213M) dan meninggal dunia pada tahun 695H (1296M). Nama penuh beliau ialah Syafarudin Abu Abdillah Muhammad Bin Zaid Al-Bushairi. Beliau merupakan sasterawan dan penyair ulung di Kaherah.

       Tempat terakhir yang dilawati oleh para peserta Jaulah Exploria'15 ini ialah Bibliotheca Alexandrina (Maktabah Iskandariah). Perpustakaan ini merupakan perpustakaan terbesar di dunia dan mempunyai sistem komputer yang moden untuk  kemudahan para pengunjung mengakses bahan bacaan yang pelbagai. Seperti yang dirancang, rombongan ini memulakan perjalanan pulang ke Kaherah pada jam 4.00 petang dan selamat sampai ke Kaherah pada sekitar jam 8.00 malam.

      Justeru, pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang sudah bertungkus lumus membantu dan memastikan kelangsungan Jaulah Explore To Alexandria 2015 ini. Semoga para peserta jaulah mendapat manfaat yang besar dari penganjuran jaulah ini bertepatan dengan objektif dan tema yang dibawakan, iaitu "Unwind Your Mind, Develop Your Knowledge".

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

Jika Anda menyukai Artikel di blog ini, Silahkan klik disini untuk berlangganan gratis via email, dengan begitu Anda akan mendapat kiriman artikel setiap ada artikel yang terbit di Creating Website

0 comments :

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger