Saturday, November 26, 2016

SELAMATKAN SAUDARA KITA DI ROHINGYA




SELAMATKAN SAUDARA KITA DI ROHINGYA

          Dunia sekali lagi dikejutkan dengan isu pembantaian Muslim di Rohingya, ia bukanlah isu baru bahkan polemik ini telah lama bertali arus menerpa ke telinga kita dan entah bila pengakhirannya. Sepertimana yang kita sedia maklum, sejak tahun 1982 undang-undang kewarganegaraan Burma tidak mengakui Muslim di Rohingya sebagai warganegara. Sasaran serangan kali ini lebih tertumpu kepada satu wilayah yang terletak di bahagian Utara Arakan atau Rakhine. Wilayah Arakan ini berdekatan dengan sempadan negara Bangladesh dan dihuni oleh minoriti umat Islam. Mereka dianugerahkan dengan kekayaan pelbagai sumber alam yang mencurah-curah tetapi tersenarai dalam kawasan termiskin dek kerana tangan si bedebah yang rakus dan gila kuasa dalam memerintah.

          Secara umum kita telah mengetahui, Proses Genocide (Pembersihan) Etnik Muslim di Myanmar yang merupakan negara tuan rumah bagi Piala AFF Suzuki Cup 2016 telah bermula sejak sekian lama. Jika disoroti tarikh yang paling hampir, pembantaian ini bermula pada Jun 2016 dan serangan terbaru pada pertengahan Oktober 2016. Mereka diasak habis-habisan dari segenap sudut. Berita melaporkan polis dan tentera dikerah untuk menyerbu dan mengusir agar mereka keluar dari perkampungan yang sedia ada. Malahan, tentera juga turut menyekat segala bentuk bantuan makanan, bukan sekadar rumah-rumah dibakar bahkan yang lebih kejam mereka membakar bayi-bayi dihadapan ibu mereka sendiri. Angka kematian terus meningkat dari semasa ke semasa. Situasi lebih memuncak apabila tentera menyerang menggunakan helikopter dan mortar.

          Begitulah potret duka dan nasib muslim di sana. Mereka seolah-olah terpenjara dalam negara sendiri, bagai digantung tidak bertali. Musibah dan keperitan yang dialami ini memaksa mereka menyeberang ke Sempadan Bangladesh, dikhabarkan 37,000 orang pelarian kini sedang meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk mencari perlindungan namun ianya tidak juga terbela, bahkan apa yang lebih teruk suara pemimpin Myanmar masih tidak kedengaran, hanya diam seribu bahasa.

          Sabda Nabi SAW: Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, oleh itu janganlah kamu menzalimi dan meremehkannya dan jangan pula kamu menyakitinya..

          Justeru itu, peristiwa berdarah ini sewajarnya mendapat perhatian, simpati dan keprihatinan semua pihak. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil tahu dan cakna akan isu semasa yang berlegar di sekitar umat Islam khususnya dan seluruh dunia umumnya. Teruskan membantu mereka walau sekadar berdoa, kerana doa itu senjata mukmin. Jangan ada yang masih berpeluk tubuh, bahkan tunjukkan solidariti anda selaku mahasiswa. Semoga Allah menurunkan nusrah di bumi bertuah ini dan fajar Islam kan berputik kembali. Sekian.

Bersama bersatu kita jayakan kempen BTKKR sesi kali ini, KEMPEN ACT FOR PEACE !


Disediakah oleh :
Muhammad Nur Ikhwan bin Shamsudin
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM