Saturday, March 5, 2016

GRADUAN DAN GRADUANITA KPIPM DIRAI DALAM MKAC'16

MAJLIS KESYUKURAN & ANUGERAH CEMERLANG (MKAC ’16)

KAHERAH – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program yang dinamakan Majlis Kesyukuran & Anugerah Cemerlang (MKAC ’16). MKAC ’16 menggariskan 3 objektif penting iaitu meraikan pencapaian ahli di dalam peperiksaan, mengeratkan ukhwah antara anak-anak Perak, serta membangkitkan semangat ahli untuk bersaing dalam kecemerlangan akademik. Program ini melibatkan mahasiswa/wi Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan. Program yang bertemakan “Mahasiswa Cemerlang Tonggak Ummah Terbilang” ini telah berlangsung dengan jayanya pada 18 februari 2016 bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan.

     Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir, Ustaz Muhammad Ariff bin Haron. Pada malam itu, seramai 48 mahasiswa/wi Pengajian Islam, 47 mahasiswa/wi Sains Kesihatan, 2 graduan/nita Pengajian Islam serta seorang graduan dan 6 graduanita Sains Kesihatan telah diraikan dengan penuh gilang-gemilang. Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah kepada Tokoh Cemerlang 2015. Penerima anugerah tokoh cemerlang bagi kategori Pengajian Islam ialah Ustaz Muhammad Amirul Solehin bin Mohd Paid dan Ustazah Nurul Hazimah binti Shahrom Azaman. Manakala, Doktor Mohd Nazirul Nazmi bin Abdul Rahman dan Doktor Ain Munirah binti Jamaludin penerima anugerah tokoh cemerlang bagi kategori Sains Kesihatan.

    Kemeriahan MKAC ’16 diakhiri dengan persembahan dari Usrah al-Muhazirun. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan jamuan ringan. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 memasang harapan yang tinggi agar program seumpama ini dapat menaikkan semangat dan kesungguhan ahli KPIPM untuk menuntut ilmu di bumi perlembahan nil ini. Segala kerjasama dari semua peringkat kami ucapkan jutaan terima kasih.












BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM