Tuesday, June 16, 2015

KEBERSAMAAN ADALAH WASILAH KEKUATAN ORGANISASI



Manusia adalah makhluk sosial yang tidak boleh hidup bersendiri dan manusia juga perlu berada di dalam satu kelompok ataupun dikatakan satu jemaah bagi melengkapi kehidupannya. Allah S.W.T menciptakan manusia beraneka ragam dan berbeza-beza tingkat sosialnya. Ada yang kuat dan ada yang lemah, ada yang kaya dan ada yang miskin dan sebagainya. Demikian pula Allah S.W.T menciptakan manusia ini dengan keahlian  dan kepandaian yang berbeza-beza pula. Semua itu adalah dalam rangka saling memberi dan saling mengambil manfaat ataupun saling melengkapi antara satu sama lain. Orang kaya tidak dapat hidup tanpa orang  miskin yang menjadi pembantunya manakala orang miskin tidak dapat hidup tanpa orang kaya yang memperkerjakan dan mengupahkannya. Jadi di sini jelas yang mana perlunya seseorang itu duduk di dalam satu jemaah dan tidak tinggal bersendirian.

Allah S.W.T telah berfirman: “Apakah mereka  yang membahagi-bahagi rahmat tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan di dunia dan kami telah meninggikan sebahagian mereka dan sebahagian yang lain beberapa darjat agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Az-Zukhruf: 32)

Kehidupan bermasyarakat sendiri tidak akan tercipta dengan sempurna kecuali dengan seorang pemimpin dan kebersamaan. Oleh kerana itulah Islam begitu menekankan agar kaum muslimin bersatu dalam sebuah jemaah di bawah satu penguasa. Seorang mukmin dan mukmin yang lain seperti menampung serba kekurangan seseorang itu.

Sabda Rasulullah S.A.W “ Hendaklah Kamu berada dalam jamaah dan jauhilah kamu dari perpecahan sesungguhnya syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua dan barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah” ( Hadith Sahih riwayat Tirmidzi, Ibn Majah dan Humaidi)

Sungguh indah kebersamaan dalam satu kelompok ataupun jemaah dan sungguh nikmat hidup dalam keteraturan di bawah satu organisasi. Satu organisasi ataupun jemaah mestilah berpandukan atas dasar yang tetap iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jika keluar dari salah satu maka akan terjatuh dalam perpecahan. Nikmat kebersamaan dalam satu organisasi dengan satu kepimpinan dapat dirasakan sejak zaman para sahabat dengan Rasulullah S.A.W sebagai pemimpinnya. Maka ketika Rasulullah S.A.W wafat para sahabat segera membicarakan siapa khalifah yang akan menjadi pemimpin selepas peninggalan Rasulullah S.A.W.

Ini bukan kerana kegilaan kuasa para sahabat tetapi kerana mereka faham dengan betul betapa pentingnya keberadaan seorang pemimpin itu dalam kebersamaan. Tentu kepemimpinan tanpa ketaatan adalah satu benda yang sia-sia. Oleh kerana itulah Allah S.W.T memerintahkan agar seorang itu mentaati pemimpin yang Allah takdirkan.

Firman ALLAH S.W.T : “ Wahai orang-orang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan pemerintah/pemimpin di kalangan kalian”. (An-Nisa':59)

Maka betapa pentingnya seorang itu berada di dalam satu golongan ataupun kelompok ataupun satu jemaah. Ini kerana boleh satu kelompok itu menampung serba kekurangan di antara satu sama lain. Jadi disini ana berharap kita istiqomah dengan organisasi yang kita ada sekarang. Kerana kita  perlu yakin dan jelas bahawa kita perlu berada kebersamaan di dalam sebuah jemaah atas dasar Al-Quran dan As-Sunnah.

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”


OLEH: MUHAMAD SAIFUL ADLI BIN AHMAD PADLI
KETUA BIRO PERHUBUNGAN, SAMBUTAN & REHLAH KPIPM 2014/2015

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM