‘IBRAH DI SEBALIK SYA’BAN
Terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada dua peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Sya’ban,iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat dan terbelahnya bulan kepada dua.

Nabi Muhammad SAW seperti mana yang ketahui,baginda sering disakiti dan diingkari oleh puak kafir kerana membawa kebenaran iaitu mentauhidkan Allah SWT. Ini termasuklah kejadian bulan terbelah dua, yang mempamerkan sikap buruk pihak musyrikin yang sukar menerima kebenaran yang terbentang. Mereka tetap dengan sikap degil mereka sedangkan mereka sendiri yang meminta baginda S.A.W menunjukkan bukti kebenaran kononya dengan bukti kebenaran tersebut mereka akan tunduk dan menyerah kalah.
Hakikatnya mereka mempunyai niat yang buruk terhadap baginda Nabi S.A.W, kononnya Rasulullah SAW tidak akan mampu menunjukkan sebarang bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk akal. Andainya bukti tersebut gagal ditunjukkan oleh baginda S.A.W maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji baginda Nabi S.A.W. Namun baginda tetap bersabar dengan sikap mereka sehingga mereka mempercayai dan menyakini keagungan dan keesaan Allah SWT.

Begitulah yang terjadi kepada sebahagian masyarakat yang sering mencari helah untuk menidakkan atau melarikan diri dari suatu perintah Allah SWT. Hakikatnya mereka tahu tetapi buat seperti orang yang tidak tahu, bahkan ada pula yang berani mencabar serta memperlekehkan sesebuah syariat tersebut. Tidak cukup itu, mereka dengan lantang dan biadapnya sanggup melabelkan ahli ulamak sebagai sesat, wahabi dan kafir.Tidakkah ini persis sikap puak-puak kafir Quraisy? Hal ini jelas menunjukkan akhlak dan perilaku buruk itu berulang kembali pada hari ini.
Sumber : Risalah Tinta Dakwah (8), Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM 2014.
No comments:
Post a Comment