Monday, January 31, 2011

Kenyataan Rasmi Yang Dipertua KPIPM Berikutan Rusuhan Di Mesir


Segala puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T, dengan limpah dan kurnianya kita diberikan kesempatan olehNya untuk terus menikmati nikmat Iman dan Islam sehingga ke hari ini. Lafaz syukur juga dipanjatkan ke hadrat Ilahi yang sentiasa memelihara keselamatan kita secara amnya dan seluruh anak-anak Perak di Kaherah mahupun seluruh cawangan yang lain khususnya.

Berikutan keadaan Mesir yang dilanda beberapa masalah baru-baru ini, dengan berlakunya beberapa rusuhan yang berlaku diantara warga tempatan dan pemerintah, sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rutin harian anak-anak Perak di sini.

Walaupun begitu, pihak Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menyarankan kepada seluruh ahli agar lebih berhati-hati oleh kerana terdapat banyak laporan kecurian dan rompakan berlaku di sekitar kawasan Kaherah. Namun,sehingga kini masih tiada laporan yang melibatkan pelajar Perak khususnya dan pelajar Malaysia umumnya. Segalanya masih berada di dalam keadaan baik dan terkawal.

Ketua Polis Tentera Mesir telah mengeluarkan perintah berkurung beberapa kali kepada seluruh penduduk dalam memastikan keselamatan penduduk selamat.

Sehubungan dengan itu, pihak KPIPM sentiasa berhubung dengan Persatuan Induk dan pihak Kedutaan Malaysia Kaherah dalam mendapatkan sebarang maklumat penting bagi memastikan keselamatan bersama berada di tahap yang baik.

Pimpinan KPIPM telah menubuhkan Ahli Jawatankuasa Bertindak Keselamatan susulan tindakan pihak Kedutaan Malaysia mengeluarkan arahan kepada semua Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN) agar lebih berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling.

Oleh itu, pihak KPIPM menasihatkan kepada seluruh anak-anak Perak di bumi Mesir serta waris dan ibu bapa agar tidak terus bertindak dalam membuat sebarang keputusan. Ini kerana segalanya masih berada di dalam keadaan yang baik dan selamat. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, sila dapatkan maklumat lanjut melalui Yang Dipertua KPIPM di talian +2011-7869112 atau +2014-5598458.

Sesungguhnya Allah S.W.T Maha berkuasa ke atas segala sesuatu dan hanya Dia sahaja yang memelihara kesejahteraan kita dari segalanya. Semoga Allah S.W.T menerima segala usaha kita untuk menuju dan mencari keredhaanNya. Marilah kita sama-sama berdoa agar seluruh warga Perak khususnya dan warga Malaysia amnya selamat daripada perkara yang tidak diingini.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS


KHAIRUL ASHRAF MOHD KHIR

YANG DIPERTUA

KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR

SESI 2010/2011

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...