Saturday, December 19, 2009

Imtihan dan Pengorbanan

Menjengah musim peperiksaan membuatkan hati makin sempit dan ketat untuk perkara-perkara lain yang membuang masa, selain daripada urusan menelaah pelajaran. Masa 24 jam yang dikurnia mahu diguna sepenuh dan semaksima mungkin untuk kepentingan diri bagi memastikan penguasaan pelajaran dicapai sepenuhnya. Fenomena ini adalah sesuatu yang positif lantas menjahkan perubahan kearah yang lebih berdisiplin dan teratur. Namun, sesuatu mahu diingatkan disini, tentang ukhuwah dan tentang indahnya i’brah sirah, untuk kita sama-sama fikir dan renung sejenak, mengapa kita ditempatkan bersama manusia-manusia lain hanya kita dan dunia kita semata.

Penghijrahan Baginda Nabi S.A.W bersama bapa ZaatuNitaqain meninggalkan mutiara-mutiara i’brah yang cukup berkilau. Keberaniaan gadis yang berusia muda terserlah apabila meredah kepekatan malam tanpa ditemani siapa-siapa demi menghantar bekalan makanan kepada Baginda Nabi S.A.W dan bapanya selama 3 malam. Apa yang difikirkan oleh gadis kecil ini? Semestinya dia sedang memikirkan tentang sumbangan yang perlu disumbangkan dalam peristiwa bersejarah ini, walau hanya sekadar menghantar makanan, bukannya membunuh musuh atau sumbangan lain yang lebih bermakna pada nisbah manusia. Lebih mengharukan bagaimana sanggup mengorbankan tali pinggangnya (yang ketika itu setiap gadis-gadis arab mesti memilikinya) untuk mengikat bekalan makanan buat perjalanan penghijrahan insan mulia.

Allah ta’ala yang Maha Penyayang tidak pernah membiarkan apa-apa amalan yang dibuat oleh hambanya sepi tanpa nilaian. Sekali pandang, sumbangan Saidatuna Asma’ adalah suatu yang biasa, seolah-olah nisbahnya dengan dunia perfileman atau drama rekaan manusia, dimana penonton sudah pasti hanya akan memandang watak utama tanpa sedikit pun melihat siapakah pembantu rumah yang sedang memasak, atau siapakah tukang sapu yang turut serta memenuhi watak-watak dalam drama atau filem tersebut. Disinilah indahnya Islam dan pengasihnya al-Khaliq terhadap hamba-hambanya. Biar kecil sumbangan yang dihulur, sedikit pun tidak dibiar tanpa anugerah hingga Saidatuna Asma’ dijanjikan dengan Nitaqain (dua tali pinggang dari syurga) diakhirat kelak.

Disinilah tujuan utama risalah ini ditulis, mahu dan ingin sekali menjemput pembaca budiman untuk sama-sama kita fikirkan tentang “ dimana juga situasi kita, lapang atau sempit, pupukkan dalam diri tentang mahu bertolong menolong dalam kebaikan dan tidak sama sekali bergandingan didalam kejahatan” bersesuaian dengan potongan dari surah al-Maidah ayat 2 diatas. Malu jika kita tahu tentang sejarah, malangnya sejarah itu menjadi sejarah lapuk dan berhabuk dalam diri tanpa ada istifadah bernilai ditepuk keluar. Dasar Islam menyeru kepada berjemaah jelas menuntut untuk kita saling bergandingan dan bantu membantu didalam kebaikan.

Gerakkan dalam diri untuk sentiasa berfikir apakah bentuk-bentuk pertolongan yang ingin kita sumbangkan dalam kebangkitan Islam, sebagaimana runsingnya hati Saidatuna Asma’ yang meronta ingin melakukan sesuatu yang boleh disumbang. Jangan sekali kita menunggu selepas tamat pengajian, atau ‘nanti-nantilah’. Bermulalah dari sekarang, biar kecil dan sedikit, tidak perlu difikir tentang itu, utamanya, kita sedang melakukan sesuatu untuk Islam, dan perlu diingat, umur kita tidak dijamin sampai esok.

Hakikatnya, kita memasak untuk teman-teman serumah, juga satu bentuk pertolongan ke arah kebaikan yang cukup besar. Biar masa telaah terbuang sedikit (itu akan diganti oleh Allah semestinya), namun kita telah bantu memudahkan urusan teman-teman yang lain didalam medan perjuangan mereka (dan hakikatnya kita berada dalam medan perjuangan yang sama -Allahumma amen). Niat dihati juga perlulah jelas dan tepat, ikhlas dan niatkan segalanya untuk Islam. Buat akhirnya, fatrah imtihan yang sedang kita lalui ini harapannya kita mampu membentuk hati dan mentarbiyah diri untuk sentiasa mahu memberi masa pada orang keliling ketika kita diperlukan untuk satu-satu masa dan satu-satu bentuk pertolongan. Potongan ayat suci dan Hadis diatas satu tasyji’ untuk kita pegang sebagai pemujuk hati. Mudah-mudahan hati sentiasa mengingat diri. Wallahua’lam. Bittaufiq
.

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...