Saturday, August 15, 2009

Program Bakti Siswa 09 Berjalan Lancar


KUALA KANGSAR, 14 OGOS - Program Bakti Siswa al Azhar yang sekian lama telah dirancang, akhirnya terlaksana juga. Program dijalankan pada 31 Julai sehingga 2 Ogos bertempat di Dewan Orang Ramai, Sayong, Kuala Kangsar, Perak.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal bagi persediaan mereka yang bakal menyambungkan pelajaran ke Mesir. Program PBSA kali ini telah diketuai oleh Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Rahman, Setiausaha Agung KPIPM, sebagai pengarah program.

Program yang disertai seramai 56 orang, 37 orang ikhwah, dan 19 orang akhawat, telah bermula dengan pendaftaran pada Hari Jumaat, 31 Julai, pada jam 4.30 petang.

Pada sebelah malamnya, telah diadakan majlis perasmian. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Shu'ib bin Din, Mantan kepimpinan KPIPM.

Pada keesokan harinya, selepas selesai tazkirah, peserta dihidangkan dengan slot pengenalan tentang KPIPM pada jam 8 pagi. Ahli panel yang terlibat dalam slot ini ialah, Ustaz Hadi bin Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung KPIPM, Ustazah Nurul Afifah binti Syed Ahmad Shah sebagai Anggota Badan Penasihat KPIPM, dan Ustazah Azura binti Rahim sebagai pengerusi majlis.

Pada jam 10 pagi, peserta dihidangkan pula dengan slot pengenalan Universiti al Azhar. Panel yang terlibat dalam slot ini ialah Ustaz Hadi bin Abdul Rahman sebagai Panel Kuliah Syariah, Ustazah Syahidatul Akmal binti Dahalan sebagai Panel Kuliah Usuluddin, dan Ustazah Nurul Ain binti Yaacob sebagai panel Kuliah Bahasa.

Pada jam 11 pagi pula, telah diadakan ceramah motivasi yang bertajuk "al Azhar Digeruni dan Menggerunkan". Ceramah disampaikan oleh Ustaz Sofiuddin bin Ahmad Farid, Sarjana Muda Universiti al Azhar.

Program diteruskan lagi dengan slot ceramah umum pada jam 3 petang, dengan tajuk "Persediaan Pelajar Ke Mesir Dari Segi Mental dan Fizikal" yang disampaikan oleh Ustaz Salehuddin bin Ahmad Zabidi.

Pada sebelah malamnya, penceramah yang sama telah memberi pengisian pula tentang "Mesir dan Suasana", pada jam 8 malam.

Pada hari yang terakhir, seawal pagi lagi peserta dihidangkan dengan "Slot Madu Tiga" pada jam 8 pagi. Panel jemputan pada slot kali ini ialah, Ustaz Nabil, Ustazah Suzana binti Ali, dan Ustazah Nasuha. Ketiga-tiga mereka adalah Sarjana Muda, Universiti al Azhar.

Pada jam 2 petang, tirai program semakin berlabuh. Program Perasmian Penutup telah berlangsung dengan dirasmikan oleh Ustazah Nurul Afifah binti Syed Ahmad Shah, Anggota Badan Penasihat KPIPM.

Pengarah program, Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Rahman memberitahu bahawa program secara keseluruhannya berjalan lancar dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta amat memberansangkan.

Mengulas tentang usaha pelaksanaan program ini, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, Yang Dipertua, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Adhoc dan AJK yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Tidak dilupakan juga kepada mereka yang telah memberi sumbangan dan bantuan dalam pelaksanaan program ini.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM