Monday, August 28, 2017

KARYA AHLI | MERDEKA HARI INI SUDAH BERBEZA


[ MERDEKA HARI INI SUDAH BERBEZA ]

...................................................................................................................................................................

"Murid-murid semua, minggu depan 31 Ogos. Hari apa ya?" Bersemangat guru besar kami bertanya.

"Hari Kemerdekaan, cikgu!"

"Ok, baik. Jadi, minggu depan kita akan buat marching sekitar sekolah kita sambil menyanyikan lagu-lagu bersempena merdeka. Semua diminta bersedia ok?" Pengumuman yang dibuat menimbulkan tanda tanya kepada kami. Bagaimana nak marching ramai-ramai ini?

"Ok, cikgu." Balas kami tanpa bertanya lanjut.

Hari demi hari berlalu. Terasa seminggu ibarat sehari. Tarikh 31 Ogos 2006 akhirnya menjengah jua. Kami semua memakai baju T-shirt dan tracksuit pada pagi ini. Takkanlah nak berjalan satu sekolah pakai baju kurung kan?

Persoalan kami akhirnya terjawab juga. Kami membuat barisan seperti bersedia untuk kawad kaki. Tidak sabar rasanya untuk mendendangkan lagu pagi-pagi ini.

"Tanggal tiga puluh satu
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka..."

Tanggal 31 nyanyian Sudirman menjadi pilihan pertama. Masih tersipu-sipu malu kami ingin mengeluarkan suara. Namun, ianya tidak kekal lama apabila lagu Malaysiaku Gemilang menjadi pilihan kedua. Sungguh lantang suara yang dilantunkan sehingga kawasan kejiranan berhampiran dengan kawasan sekolah kami mula dipenuhi manusia. Mereka kelihatan teruja melihat kami. Ada juga yang mula mengikuti perjalanan kami. Respons yang diberikan semakin mengujakan kami. Terasa sambutan ini lebih bermakna kerana kami terdiri daripada kepelbagai bangsa. Melayu, India dan Cina. Kami masih tidak mengenali erti racist pada waktu ini, malahan kami juga merupakan teman baik sesama kami. Setakat ziarah ke rumah, itu sudah menjadi kebiasaan.

...................................................................................................................................................................

"Alya, sudah-sudahlah berangan tu. Daripada zaman sekolah sampai zaman universiti tak berubah lagi kau ni." 

Seha sudah mula membebel. Aku, seperti biasa hanya mampu tersengih.

Hari ini 31/8/2017. Sudah lebih sepuluh tahun berlalu, namun kenangan bersama mereka masih segar dalam ingatan. Sudah lama aku tidak bertegur sapa dengan mereka. Hanya sekadar menjeling di laman maya sahaja. Jika ingin bertegur sapa, mungkin pada hari kelahiranku sahaja. Jujur, aku sangat merindui persahabatan kami. Bukan seketika, bahkan lima tahun aku bersama mereka banyak mengajar aku erti kesatuan walaupun berlainan warna kulit.

Namun, zaman sekarang ternyata sudah berbeza. Isu perkauman makin menjadi mainan media. Masing-masing saling melagakan. Ini bukan situasi yang aku bayangkan sewaktu di zaman sekolah rendah. Aku sudah tidak dapat menilai erti kesatuan.

Aku juga merasakan sambutan kemerdekaan di Malaysia hanya tinggal sekadar sambutan sahaja. Hanya bersuka-ria di Dataran Merdeka tanpa memaknai erti kemerdekaan. Belajar sahaja subjek Sejarah, tetapi tidak pernah menghargai kesusahan orang-orang terdahulu memperjuangkan kebebasan daripada penjajah buat negara. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Datuk Maharaja Lela dan ramai lagi yang banyak menyumbang jasa kepada negara.

Ya, aku masih belum lahir ketika itu. Bagaimana aku dapat merasakan situasi yang berlaku? Aku kira, kisah yang diceritakan oleh ayahku banyak memberi kesedaran kepada diriku. Zaman dijajah oleh Jepun banyak diceritakan kepada aku. Mereka sering memeriksa barangan yang dibawa oleh rakyat tempatan. Tidak mengira tempat. Sungai Siput antara kawasan hotspot komunis pada ketika itu. Kisah-kisah sebegini perlu ditular lebih lagi berbanding kisah-kisah artis yang dipenuhi skandal. Sejarah akan berulang jika kita tidak mengambil pelajaran daripadanya.

Belum disebut lagi kisah-kisah perjuangan ulama' terdahulu yang berjuang membebaskan negara daripada kejahilan. Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong bukan nama yang asing buat negara. Walaupun buku teks Sejarah hanya mencatatkan mereka sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan, namun sumbangan mereka untuk membuang karat-karat jahiliyah dalam negara perlu diangkat. Sememangnya, ini merupakan satu muhasabah buat aku dan semua penuntut ilmu. Beramal dengan ilmu yang telah dipelajari. Sememangnya, usaha untuk mengubah fenomena hedonisme yang semakin merebak bukannya mudah, tetapi tidakkah membazir usaha ulama' terdahulu sekiranya bukan kita yang meneruskan perjuangan ini? Bukan sekelumit cuma, bahkan selautan rasa terkilan yang aku tahan selama ini tidak ramai yang merasainya.

"Alya, jom. Malam ini ada malam munajat kemerdekaan." 

Seha mengingatkan aku akan program yang dianjurkan pada malam ini sekaligus menutup isi hatiku yang semakin membara.

Aku dapat merasakan sambutan kemerdekaan pada tahun ini pasti unik. Kenapa? Hari ini sambut kemerdekaan, esoknya pula akan sambut hari kemerdekaan buat umat Islam pula. Hari raya kan. Bukan sahaja dapat mengenang kembali sumbangan tokoh-tokoh negara, bahkan memanggil semula ingatan berkaitan sirah para Nabi yang banyak berkorban demi menyampaikan Islam ke seluruh dunia.

"Jom, Seha! Kita sambung rantai perjuangan ini!"

- Study the past if you would define the future. -
Confucius

...................................................................................................................................................................

Tinta Cerpen oleh :
Nur Aliaa binti Meor Idris
Pelajar Perubatan Universiti al-Azhar, Kaherah 

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...