Tuesday, September 3, 2024

MINDA PIMPINAN | PEMERKASAAN ILMU, KESEDARAN BERSAMA


MINDA PIMPINAN | PEMERKASAAN ILMU, KESEDARAN BERSAMA  
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِم
“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim” 
(HR. Ibnu Majah No. 224) 

Ilmu menurut Islam secara umumnya di definisikan sebagai pengetahuan dan pemahaman yang berkaitan mengenai sesuatu sumber maklumat yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan cara tertentu yang dapat digunakan melalui bidang ilmu tersebut. 

Tujuan ilmu adalah untuk dijadikan panduan yang boleh diguna bagi meneruskan kehidupan manusia. Jika digunakan untuk mencari redha Allah maka kebenaranlah yangg kita dapat dan juga sebaliknya. Inilah peraturan alam yang dikenali sebagai hukum Allah. 

Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim. Hal ini kerana, banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menyentuh dan menjelaskan tentang keutamaan menuntut ilmu. Menjadi satu perkara yang mustahil apabila melakukan amal ibadah tanpa secalit ilmu. 

Ilmu agama merupakan satu keperluan untuk memberikan kesan terhadap sesuatu amal. Ini tidak bermakna ilmu yang lain boleh diabaikan tetapi kita memberikan keutamaan sesuai dengan keperluan seorang muslim. 

Kehidupan di muka bumi ini mendorong kita untuk memiliki ilmu pengetahuan. Setiap perkara perlu kepada ilmu kerana dengannya kita mampu untuk meningkatkan kemampuan dalam diri. Tingkatan dalam mencari ilmu juga perlu dititikberatkan bagi menjamin kualiti ilmu tersebut. 

Qudwah kita Nabi Muhammad SAW pernah memberitahu sahabatnya: 
"Jikalau aku hidup pada satu hari, dan hari itu tidak bertambah sebarang ilmu yang mendekatkan aku dengan Allah, maka hilanglah keberkatan matahari terbit pada hari itu". 

Justeru, amatlah penting untuk kita tingkatkan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seharian walaupun ianya dilihat sekecil-kecil perkara. 

Bukan sahaja ilmu yang perlu kita murajaah di kuliah sahaja, bahkan banyak cabang bidang ilmu yang perlu kita mahir seperti ilmu pengurusan, pentadbiran, kemahiran, kepejabatan dan banyak lagi. Dengan ini dapat memantapkan lagi penguasan kita di setiap cabang ilmu melalui pengalaman yang ada. 

Sehubungan dengan itu, peringkat KPIPM banyak mengadakan kelas pengajian yang dilakukan secara mingguan dan bulanan. Antaranya kelas Talaqqi Hadis, Tafaqquh Fiddin, Tafaqquh an-Nisa’, dan Halaqah Ilmiah. Dengan medium yang dilaksanakan dapat menambah baik thaqafah ahli di setiap bidang ilmu bagi segenap pihak. 

Kesibukan tidak lagi menjadi penghalang dan alasan untuk tidak menambah ilmu pengetahuan. Peluang keemasan yang ada dapat digunakan untuk meningkatkan kefahaman dalam setiap ilmu. 

Sahabat yang dikasihi, Satu peribahasa Melayu, mengikut resmi padi makin berisi makin tunduk. Begitulah manusia dengan ilmu yang dimiliki niat utamanya bukan untuk menyanjung diri tetapi menampung kelopongan yang diperlukan buat jasadi dan rohani. Ilmu mempunyai kedudukan yang sangat tinggi sehingga Allah memuliakan dan mengangkat darjat orang yang berilmu. 

Allah juga ada menyatakan perbezaan antara orang yang berilmu dan tidak berilmu. Antara ayat yang telah dirakamkan dalam al-Quran berkaitan kedudukan ilmu dalam Surah Mujadilah, ayat 11
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قِيلَ لَكُمۡ تَفَسَّحُواْ فِي ٱلۡمَجَٰلِسِ فَٱفۡسَحُواْ يَفۡسَحِ ٱللَّهُ لَكُمۡۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُواْ فَٱنشُزُواْ يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ وَٱللَّهُ بمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.  

Menjadi galakan dan dorongan buat diri dan para sahabat semua supaya sentiasa melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang telah dijalankan di peringkat KPIPM, antaranya Talaqqi Hadis dan Tafaqquh Fiddin. 

Kelas-kelas yang disusun bukan hanya tertumpu kepada turathi sahaja, KPIPM juga ada menjalankan kelas-kelas berbentuk kontemporari seperti pengisian-pengisian dalam  Raudhatul Fatayat dan Muzakarah Berkelompok. 

Para sahabat yang dimuliakan Allah SWT, memetik kata-kata dari Imam Syafie :
"Singa jika tidak keluar dari sarangnya, ia tidak akan mendapatkan makanan. Begitu juga dengan anak panah, jika tidak meluncur dari busurnya, anak panah tersebut tidak akan mengenai sasaran."   

Teruskan mengutip ilmu melalui medium di sekeliling kita. Bekalan yang cukup perlu disediakan sepanjang permusafiran di negara asing supaya mampu memenuhi dada dengan ilmu yang bermanfaat. Ilmu dapat dikuatkan dengan dalil-dalil supaya menjadi satu hujah yang kukuh apabila berhadapan dengan pelbagai kelompok masyarakat. 

Mahasiswa/wi Azhari menjadi generasi harapan buat keluarga dan masyarakat di Malaysia. 
Wallahua’lam, semoga beroleh manfaat. 

"Pemerkasaan Ilmu, Kesedaran Bersama"

#60TahunSetiaBersama
#KPIPMKeluargaKita 
#KeluargaKitaKitaJaga 
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP #BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM   

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"   

Nukilan daripada : Ustaz Mohamad Nor Ikmal bin Mohamad Suhaimi 
Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2023/2024

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...