Friday, December 30, 2016

MINDA PIMPINAN | PENCETUS HARAPAN ISLAM




PENCETUS HARAPAN ISLAM

          Untuk melangkah maju ke hadapan memerlukan tenaga, dan untuk mengundur ke belakang juga memerlukan tenaga. Seseorang itu tidak mampu melakukan sesuatu pekerjaan tanpa adanya kerahan tenaga dan usaha.
 
          “Pemuda adalah simbol hati yang masih jernih sehingga memiliki keyakinan dan iman yang kuat, kejujuran yang memungkinkan untuk memiliki ketulusan dan keikhlasan dalam beramal, serta semangat yang tinggi memungkinkan untuk beramal dengan bersungguh-sungguh dan penuh dengan pengorbanan.” (Imam Hassan Al Banna)

          Pengertian pemuda yang digambarkan adalah seperti matahari di siang hari yang berada tepat di puncak hari. Generasi muda mempunyai kelebihan dalam pemikiran ilmiah, mempunyai semangat yang bersinar terang, kritis dan juga merupakan motor penggerak utama perubahan.

          Pemuda Islam memegang peranan yang penting dalam sejarah kebangkitan Islam seperti Ali bin Abi Talib, Zubair bin ‘Awwam, Tolhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi Waqas, Zaid bin Harithah dan ramai lagi. Kejayaan dan kekuatan, semangat juang yang tinggi daripada mereka wajar dicontohi oleh generasi muda masa kini. Hakikat seorang pemuda itu adalah berpegang teguh dengan ilmu dan taqwa. Apabila keduanya tiada maka tidaklah dianggap sebagai pemuda baginya.

         Wajarkah kita generasi muda kini hanya menongkat dagu mengharapkan kejayaan datang bergolek dengan mudah?

         Kapal yang belayar juga memerlukan nakhoda yang mahir ilmu pelayaran dan mempunyai usaha yang jitu dalam mengemudi kapalnya untuk sampai ke destinasi. Begitu juga kepada diri kita, kejayaan tidak akan datang tanpa kesungguhan dan semangat iltizam yang tinggi. 
           
Allah SWT berfirman :
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan mereka yang menunaikan zakat, dan mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka mereka itu tidaklah dicela, mereka yang ingin melakukan sebaliknya maka mereka itu adalah orang-orang yang melampaui batas, dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya …”
 (Al-Mukminun : 1-11) 
                               
          Ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa orang yang mendapat kejayaan itu adalah dalam kalangan orang mukmin. Orang mukmin sahaja yang sanggup melakukan syarat-syarat yang disebutkan di dalam ayat tadi. Kemenangan umumnya hanyalah di dunia, manakala kejayaannya yang hakiki adalah di akhirat kelak.

Terdapat tujuh syarat orang mukmin untuk mendapat kejayaan :
      1)      Khusyuk di dalam solat.
      2)      Mengelakkan dari perkara yang tidak memberi faedah.
      3)      Mengeluarkan zakat.
      4)      Menjaga kehormatan.
      5)      Menjaga amanah.
      6)      Menunaikan janji.
      7)      Menjaga solat.

          Pemuda Islam yang berusaha untuk memperoleh kejayaan tidak boleh memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakan atau saudaranya yang lain. Syeikh Said Hawa menyebut di dalam kitabnya bahawa pemuda Islam mestilah menjauhi 3 sifat iaitu pemalas, kedekut dan takut. Hal ini kerana mereka yang memiliki sifat ini pasti akan memberikan pelbagai alasan untuk kepentingan diri sendiri.

          Antara peranan pemuda Islam terhadap rakan seperjuangannya ialah menasihati dan mengingatkan mereka supaya tidak leka dan hanyut dengan hal-hal keduniaan. Bahkan antara hak seorang muslim ke atas muslim yang lain sebagaimana yang disebut oleh Nabi Muhammad S.A.W. ialah dengan memberi nasihat apabila diminta.

Allah SWT berfirman :
“Dan tetaplah memberi peringatan , kerana sesunggunya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”  (Az-Zariyat : 55)

          Kejayaan terbesar Islam yang terukir daripada dalam diri Nabi Muhammad S.A.W. adalah berusaha dalam menakluk manusia daripada kegelapan kepada landasan keimanan. Dan bukti-bukti kejayaan itu sehingga kini dapat dirasakan oleh sesiapa saja yang berusaha untuk menggalinya. Bagaimana pula dengan kejayaan kita

          Sempena musim peperiksaan yang sedang dihadapi oleh seluruh mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam mahupun perubatan, tingkatkan spiritual yang tinggi dalam menggunakan tenaga dan masa yang ada dengan sebaiknya untuk mengulang kaji kitab-kitab kuliah. Penyesalan yang tidak berguna adalah orang yang tidak mahu memperbaiki dirinya dari segala kesalahan masa lalunya. Justeru itu, merasai manisnya sebuah kejayaan adalah jauh lebih indah berbanding menelan pahitnya sebuah kegagalan.

          Akhir kata, ilmu tidak akan diraih tanpa bekalan doa daripada seorang guru. Pintalah doa dan keberkatan daripada mereka yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga dalam mencurahkan ilmu kepada kita semua. Semoga dengan kejayaan yang kita perolehi  dapat menjadikan kita sebagai role model  kepada generasi kini dan akan datang.

Wallahua’lam.


“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

Tinta Pimpinan oleh :
Nurul Izzaty binti Osman
Ketua HEWI KPIPM sesi 2016/2017

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...