Wednesday, August 31, 2016

PERUTUSAN KEMERDEKAAN KE-59 YDP KPIPM SESI 2015/2016



[ Selamat Hari Kemerdekaan, Malaysiaku Tercinta! ]

Assalamualaikum w.b.t

الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

Tanggal 31 bulan lapan '57
Merdeka..merdeka.. tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah...
 [ Petikan lagu Merdeka oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad ]

         Laungan Merdeka!Merdeka!Merdeka! akan kita dengari apabila jam berdetik tepat pukul 12 tengah malam 31 haribulan 8 pada setiap tahun. Tetapi sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia memahami serta menghayati roh kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar? Merdekakah kita?

         Erti kemerdekaan yang sebenar dari sudut yang boleh difahami adalah bebas dari perhambaan, keterikatan, lepas dari dikenakan tuntutan, tidak bergantung nasib kepada orang, bangsa dan negara lain. Merdeka juga bermaksud bebas dari belenggu kelemahan peribadi dan keruntuhan moral, penyakit dan kemiskinan yang membingkai dan menghalang manusia dari mencapai darjat kemanusiaannya yang sejati. Dalam konteks negara, kemerdekaan bermaksud terlepas dari penjajahan, sama ada penjajahan politik, ketenteraan, ekonomi, budaya, informasi dan sebagainya. Namun malangnya, ramai dalam kalangan kita tidak merdeka dari sudut pemikiran dan tingkahlaku yang sebenar sepertimana yang digariskan oleh syariat. Kita juga masih terkepong dengan masalah sosial yang berleluasa seperti penzinaan, pembuangan bayi dan dadah.

Bukan itu sahaja, kita juga diserang dengan ideologi atau pemikiran barat yang telah menyelinap masuk di bumi tercinta Malaysia. Antaranya, pemikiran sekular iaitu memisahkan agama daripada kehidupan, Liberalisme iaitu memberi kebebasan kepada akal semata-mata untuk membuat keputusan serta hiburan melampaui batas iaitu Hedonisme yang menjadi satu penyakit untuk melemahkan umat Islam terutamanya golongan pemuda pada hari ini.  Baru-baru ini kita digemparkan dengan konsert Selena Gomez yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam dan ini bercanggah dengan tatacara seorang muslim. Artis juga dipuja dan mereka dijadikan ikutan,rujukan  serta contoh dalam kehidupan masyarakat.

Oleh itu, sebagai langkah yang terbaik untuk memahami  konsep merdeka itu sendiri adalah dengan mengembalikan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian kerana manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj yang dibuat oleh manusia itu sendiri . Sebagai contoh,  sistem kapitalis dan sosialis dalam ekonomi ternyata mencetuskan pelbagai masalah dan krisis dalam setiap lapisan masyarakat. Islam merupakan cara hidup yang sempurna dari aspek akidah, ibadah, cara hidup, ekonomi serta seluruh kehidupan seharian. Kembalilah kepada acuan Islam kerana Islam adalah agama penyelamat seperti yang telah termaktub di dalam al-Quran dari surah Ali -Imran,ayat 19 :

" Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah adalah Islam "

         Selain itu, kita juga boleh  melakukan reformasi dalam kehidupan seperti yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW iaitu :

1. Pengabdian diri kepada Allah dan menjauhkan taghut
2. Memastikan kesedaran dan keinsafan
3. Menzahirkan agama Islam mengatasi ideologi dan agama ciptaan manusia
4. Mendaulatkan syariat dan menyelia muka bumi berasaskan syariat.

         Jadi,marilah sama-sama kita memahami dan menghayati erti kemerdekaan  yang sebenar kerana kemerdekaan ini merupakan satu nikmat yang diberikan oleh Allah dan didambakan oleh setiap manusia di muka bumi ini dengan mengarahkan kehidupan kita kepada Islam agar setiap manusia hidup dalam keadaan merdeka.

Selamat menyambut hari Kemerdekaan yang ke-59 Malaysiaku Tercinta!

Mohammad Ainuddin bin Mohd Ishak
YANG DIPERTUA KPIPM SESI 2015/2016

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...