Wednesday, August 5, 2015

Defisit Wang vs Defisit Iman

          

Islam adalah satu-satunya ad-din yang diwahyukan Allah kepada  Rasulullah S.A.W untuk mengatur seluruh sendi kehidupan manusia dan alam semesta. Kegiatan perekonomian manusia atau disebut juga sistem muamalat turut diatur dalam Islam dengan prinsip Ilahiyah. Bertepatan dengan pembawaan KPIPM sesi ini, sistem ekonomi satu unsur yang amat penting bagi meneruskan kelangsungan sesebuah persatuan dan komuniti umumnya.
Rasulullah S.A.W sendiri telah menunjukkan qudwah terbaik dalam bidang ekonomi melalui perniagaan yang baginda S.A.W jalankan.

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan.”
(HR Tarmizi)

          Segala kegiatan perekonomian yg berlaku di dunia ini juga mengikut ketetapan dari Ilahi. Pelbagai sistem pengurusan Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah telah diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kian mendesak. Al-Mudharabah, Al-Ijarah, Ar-Rahnu dan Al-Wadi’ah merupakan antara konsep muamalat yang telah disusun oleh para ulamak bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan kehendak syariat. Hal ini penting bagi memastikan harta yang dimiliki manusia jauh dari unsur riba, gharar dan sebagainya.

          Namun, perlu diingat, segala harta yang ada pada manusia  adalah anugerah dari Yang Maha Kuasa. Manusia dipinjamkan sedikit sahaja harta di dunia untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Setiap harta yang dimiliki ini akhirnya akan dihitung serta disoal oleh Allah S.W.T. kelak untuk dipertanggungjawabkan.

          Dalam kehidupan sebagai mahasiswa, kita tidak terlepas dari merangka dan berhadapan dengan aliran keluar masuk wang sama ada untuk dimanfaatkan dalam perihal pelajaran mahupun kos sara diri. Item debit iaitu kemasukan wang dalam akaun kewangan rata-rata bersumberkan dari penaja “FAMA” iaitu Father and Mother. Antara fenomena yang kerap kali timbul adalah bahagian kredit akaun tersebut gagal dikesan ke mana aliran dan curahannya sehinggakan kadangkala berlaku defisit (penggunaan wang melebihi dari kemasukan wang) dan terpaksa menebalkan muka berulang kali menelefon kembali ibubapa menyatakan masalah yang sama.

          Namun, dalam kesibukan kita menyusun perancangan kewangan dan kehidupan setiap hari,bagaimana pula dengan perjalanan akaun amal kehidupan kita selaku hamba-Nya di dunia ini? yang mana nilaian untung bersih dari akaun tersebut akan kita raih di akhirat kelak. Tepuk dada,tanya iman.

Firman Allah S.W.T:
Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan Allah S.W.T dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui
                                                                                                                           (Surah As-Saff : 10-11)

Pernahkan dihitung item debit akaun iman kita sepanjang kehidupan sejak dari kecil sehingga dewasa kini? Alangkah indahnya apabila catatan debit itu dipenuhi dengan amalan soleh yang membawa kepada pertambahan iman.

          Namun, amat sedih saat kita memandang di bahagian kredit, ia sarat dengan senarai perbuatan dosa dan noda yang menghapuskan semua catatan debit. Bahkan lebih parah lagi jika catatan kredit tersebut melebihi catatan debit dan membawa kepada defisit iman. Jika perkara tersebut terzahir dan nampak dengan jelas di hadapan kita, sudah pasti ianya menjadi suatu penyesalan yang tiada kesudahan di akhirat kelak.

Riwayat Abu Jaafar Al-Khatami dari bapanya dari datuknya Umair bin Hubaib berkata:
“Iman manusia bertambah dan berkurang”. Ada yang bertanya: “Bagaimana ia bertambah dan berkurang?” Lalu beliau menjawab “Apabila kita mengingati-Nya, bertahmid dan bertasbih kepada-Nya maka iman akan bertambah. Apabila kita melupakan-Nya, lalai dan cuai dari mengingati-Nya maka imannya akan berkurang.”

         Jika akal makanannya ilmu, maka hati makanannya adalah iman. Akal yang dipenuhi ilmu juga perlukan pimpinan hati yang sarat dengan iman. Emas perlu ditempa, intan perlu digilap, mungkin begitulah juga tamsilan iman manusia. Iman perlu ditempa oleh ujian, digilap melalui kesusahan. Sengatan ujian kadang-kadang menyakitkan namun apabila dapat dihadapi dan ditangani dengan redha maka ia seolah-olah satu cecair imunisasi yang dapat mengilatkan kembali iman yang pudar.

Firman Allah S.W.T:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebutkan nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya maka bertambahlah iman mereka (kerananya)”
                                                                                                                                   (Surah Al-Anfal: 2)

          Jadikan akaun kehidupan kita yang mana debitnya adalah pahala daripada amal kebaikan dan jangan mengkreditkan akaun tersebut dengan dosa-dosa yang kita lakukan. Defisit wang tidak mengapa kerana wang mudah dicari , namun jika yang menjadi defisit itu adalah iman, maka rugilah kita di akhirat kelak. kerana iman dan amal tapak semaiannya hanyalah di dunia. Akhirat kelak merupakan tempat menuai dan mengutip hasilnya.

Debit pahala, kredit dosa ???
Buatlah pelarasan iman.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM