Saturday, January 25, 2014

Anda Berhutang??


Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu. Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli sesuatu barangan. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Daripada sabda nabi SAW yang bermaksud :

" Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban.Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)"
( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugi kannya, Allah pun akan merugikannya"
                    ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat Islam agar berdoa dilepaskan dari hutang iaitu :

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari"
                 ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu yang boleh. Beberapa tindakan perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Janganlah hanya ingin nampak bergaya kita sanggup berhutang. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Orang yg berhutang, apabila diberikan amanah dia khianat, apabila dia berjanji dia mungkir, apabila dia bercakap dia berbohong".

Memang betul. Majoriti orang yg berhutang tak kiralah samada kawan sendiri, saudara sendiri atau sesiapapun tiga ciri-ciri yang Nabi sebutkan ini akan
mula wujud wujud dalam diri penghutang tersebut.

Nasihat saya kepada mereka-mereka yang berhutang, bayarlah hutang anda itu. Jika sudah ada duit, dahulukanlah duit anda itu untuk langsaikan hutang anda. Jangan fikir nak enjoy saja. Ingat sahabat-sahabat, jika di dunia kita terlepas di akhirat kelak pasti menanti kita untuk dihisab.

“BERILMU BERAMAL IKHLAS”
“MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”


Nama penulis adalah Ustaz Hussaini Bin Hussein, Mahasiswa Kuliah Usuluddin Tahun 1, Al-Azhar, Kaherah. Beliau juga memegang amanah sebagai Biro Ekonomi KPIPM bagi sesi 2012/2013.

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...