Wednesday, July 29, 2009

Bacaan Hanya Untuk Peperiksaan?


Penurunan wahyu pertama Allah s.w.t kepada Baginda Nabi s.a.w sudah jelas menggambarkan peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam permulaan sesuatu amalan atau pekerjaan hatta kepada misi kenabian itu sendiri. Apabila diperhatikan dalam sudut yang lain pula, wujud anjuran daripada Allah Taala supaya menambahkan ilmu pengetahuan dan melipatgandakannya.

Ibnu Qayyim Al-Jauziah Rahimahullah berkata: Cukuplah ayat ini menerangkan kemulian ilmu dan suruhan kepada nabiNya supaya menambahkan ilmu. Juga turut dikatakan, sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyuruh para Rasulnya menambahkan dalam sesuatu perkara kecuali dalam menambahkan ilmu. Sekiranya kita menyoroti perjalanan sirah-sirah Rasul terdahulu, wujudnya teladan dalam menuntut ilmu yang ditunjukkan oleh rasul-rasul sendiri, seperti yang dirakamkan dalam surah Al-Kahfi, kisah Nabi Musa a.s menuntut ilmu pengetahuan daripada Nabi Khidir a.s.

Nah, sekarang sudah jelas kepada kita akan kepentingan ilmu dan kepentingan mengayakan diri dengan ilmu. Walaupun peperiksaan kita sudah berakhir, jangan pula kita lalai,leka,lembik,lesu,lemah,longlai dan lelah untuk terus menuntut ilmu dan membaca kitab-kitab. Banyak lagi yang kita tidak tahu kan?? Ataupun sahabat-sahabat dah rasa hebat,mantap dan kejap dengan tahap ilmu yang kita ada sekarang?? Tanyalah diri masing-masing. Nilailah diri masing-masing. Timbanglah diri masing-masing. Marilah sama-sama kita ambil iktibar daripada beberapa kisah ulama-ulama terbilang kita dalam usaha dan kesungguhan mereka dengan ilmu.

Suatu hari Ibnu Taimiyyah rahimahullah terlantar sakit tenat lalu berkata seorang tabib kepadanya: “Sesungguhnya ulangkajimu dan bacaanmu yang terlampau akan menambahkan sakit kamu,” maka Ibnu Taimiyyah rahimahullah menjawab: “Sesungguhnya aku tidak boleh sabar dengan ilmu, dan aku mahu bertanyakan satu perkara kepadamu, berdasarkan kepada ilmu kamu bukankah sakit seseorang akan berkurang apabila hati berasa senang dan gembira??” Jawab tabib tersebut: “Ya bahkan benar sekali,”. Lalu Ibnu Taimiyyah menjawab : “Maka aku berasa senang dan gembira dengan ilmu,”.

Berkata Abu Syaamah al-Maqdisi, menceritakan mengenai al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi: “Sesungguhnya matanya telah menjadi kabur dan tidak jelas disebabkan terlalu banyak membaca dan menangis. Tidak ada orang setanding beliau dalam ilmu hadis pada zamannya,”.

Dikatakan bahawa Ibnu Mubarak radhiallahu `anhu tidak banyak bergaul dengan orang ramai, maka ditanyakan kepadanya:” Kenapakah kamu selalu sendirian dirumah??”. Beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak bersendirian, sedangkan Baginda Nabi sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabatnya berada dirumahku..” (iaitu kitab-kitab dan tulisan ilmu)

KISAH-KISAH BACAAN PARA ULAMA

Khatib Baghdadi rahimahullah membaca kitab Sahih Bukhari dalam 3 kali majlis.

Al-Imam al-`Iz Abdul Salam rahimahullah membaca kitab Nihayatul Mathlab dalam masa 3 hari.

Al-Hafiz al-Mizzi rahimahullah membaca al-Mu’jam al-Kabir dalam 60 majlis.

Imam Zahabi rahimahullah membaca sirah Ibnu Hisyam dalam 6 hari sahaja.

Al-Hafiz Zainuddin al-Iraqi rahimahullah membaca Sahih Muslim dalam 6 majlis. Membaca kitab Al-Musnad dalam 30 majlis.

Imam Sirajuddin Bulqini rahimahullah membaca kitab Feqah dalam semua masalah dalam masa 1 hari sahaja.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

> membaca sahih Bukhari dan Sunan Kubra dalam masa 10
majlis dan sahih Muslim dalam masa 5 majlis.
> membaca Sunan Ibnu Majah dalam masa 10 majlis
> membaca al-Mu’jam as-Soghir dalam masa 1 majlis

Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan pengajian dan pembacaan kita sehari-hari tanpa sebarang ikatan peperiksaan ataupun sebagainya. Sekiranya ingin menjadi ulama’ maka perlulah ikut thariq ulama’. Apapun kita menuntut ilmu hanya semata mencari Redha Allah s.w.t. Ikhlaskan kembali niat asal kita semua kesini. Moga kita semua dibawah inayah dan nusrah Allah s.w.t.

Disediakan oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...