Sunday, April 19, 2009

Keluarga Kita

Fitrah insani mengimpikan sebuah keluarga yang dipenuhi dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Namun begitu, proses pembentukan keluarga muslim ini tidak hanya dipertanggungjawabkan ke atas ibu bapa malah anak-anak juga perlu turut memainkan peranan dan memberikan kerjasama yang terbaik untuk merealisasikan impian ini.

Berbicara tentang keluarga, ruang lingkupnya tidak hanya terbatas pada ibu bapa dan anak-anak malah pada ruang lingkup yang lebih besar, kita melihat persatuan juga turut berperanan sebagai sebuah keluarga.

Keluarga dan persatuan hampir serupa, sedikit perbezaan tetapi banyak persamaan. Jika di dalam keluarga, bapa adalah ketuanya, maka di dalam persatuan, Presiden atau Yang DiPertua adalah ketuanya. Jika di dalam keluarga, ada anggotanya, di dalam persatuan juga ada ahlinya. Jika kaedah dan perundangan diperlukan untuk membentuk keluarga muslim, ia juga diperlukan oleh persatuan sebagai panduan dan perlu dipatuhi oleh setiap ahli bagi memastikan segalanya berjalan lancar mengikut silibus yang telah disusun oleh Allah SWT.

Saidina Ali r.a menyebutkan "Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa pimpinan, tiada pimpinan tanpa ketaatan"

Melewati angka 70-an, ia bukanlah satu usia tua yang menjadi penghalang bagi keluarga besar anak-anak melayu di Perlembahan Nil ini untuk terus melangkah kehadapan. Tua keluarga kita adalah tua yang kaya dengan pengalaman, namun kitalah yang terlalu naif dalam menilai setiap mekanisme yang dibawakan oleh ketua keluarga.

Pelbagai kempen biah solehah yang digerak-gempurkan samada di peringkat PMRAM mahupun KPIPM tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kita. Risalah yang dikeluarkan, tazkirah yang disampaikan, roadshow yang dijalankan dan lain-lain hanya dipandang sepi tanpa ada kesedaran walaupun hakikatnya masing-masing telah mempelajari dan memahami apa itu "biah solehah".

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa' ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman ! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu selagi mana dia berpegang dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Anak yang soleh/solehah pastinya akan mendengar setiap arahan atau keputusan yang dikeluarkan oleh ibu bapanya sekalipun dalam keadaan keterpaksaan. Begitu juga konsep berpersatuan, thiqah dan wala' pada setiap arahan, qoror dan keputusan pimpinan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam, amatlah penting dalam menatijahkan suatu persatuan yang padu dan mampu menangani segala perkara dan anasir-anasir yang ingin menjatuhkan persatuan. Keretakan dan keruntuhan akan berlaku sekiranya kita tidak memberikan thiqah dan wala' sepenuhnya kepada pimpinan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud :-

"Wahai orang yang beriman janganlah sesuatu kaum (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum lelaki yang lain, kerana boleh jadi mereka yang dicemuhkan itu lebih baik dari mereka yang mencemuh. Dan jangan pula sesuatu kaum dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kaum perempuan kerana boleh jadi mereka yang dicemuh lebih baik dari mereka yang mencemuh"

Antara kaedah dan perundangan yang telah digariskan oleh Islam bagi menjamin keharmonian dan keutuhan sesebuah keluarga atau persatuan adalah dengan menjaga hubungan sesama anggota. Sewajarnya, kita menghiasi peribadi kita dengan sikap hormat menghormati, bertoleransi antara satu sama lain dan berlapang dada dalam menerima teguran serta menjaga setiap tutur kata kita agar tidak menyentuh sanubari sahabat yang lain.

Kesimpulannya, usahlah kita memandang enteng semuanya ini, lantaran objektif penubuhan keluarga muslim tidak akan terealisasi tanpa adanya kemahuan dan komitmen daripada setiap anggotanya.

Disediakan oleh :
Unit Bait Muslim,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM