MINDA PIMPINAN | PELAPIS BERKUALITI, PENERUS LEGASI Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2025/2026
MINDA PIMPINAN | PELAPIS BERKUALITI, PENERUS LEGASI
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2025/2026
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat dan seluruh umat Islam yang istiqamah meniti jalan perjuangan hingga ke hari kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kamu mampu.”
(Surah al-Anfal: 60)
Walaupun ayat ini turun dalam konteks persiapan menghadapi musuh, para ulama menjelaskan bahawa ia merangkumi segala bentuk persediaan umat Islam. Antaranya ialah menyediakan modal insan, membina kader dan melahirkan generasi pelapis yang mampu memikul amanah dakwah dan kepimpinan.
Allah SWT juga berfirman:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
(Surah ar-Ra’d: 11)
Perubahan bermula daripada pembinaan manusia. Jika ingin melihat organisasi terus berkembang, maka manusianya perlu dibentuk terlebih dahulu.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan sebaik-baiknya.”
(Riwayat al-Baihaqi)
Hadis ini mengajar bahawa setiap pelapis perlu dibentuk dengan sifat itqan, iaitu melakukan amanah secara berkualiti dan bersungguh-sungguh.
Perkataan PELAPIS bermaksud generasi yang dipersiapkan untuk menggantikan kepimpinan sedia ada.
BERKUALITI pula bukan sekadar hebat bercakap atau mempunyai banyak kemahiran, tetapi mempunyai akhlak yang baik, luas pengetahuan dan kemahiran.
Manakala PENERUS LEGASI bermaksud individu yang menyambung perjuangan tanpa memutuskan kesinambungannya.
Dalam konteks KPIPM, legasi yang dimaksudkan ialah legasi dakwah, ukhuwah, khidmat kepada ahli dan pembinaan modal insan mahasiswa Islam.
Maka tajuk ini membawa maksud bahawa kita bukan sekadar mahu melahirkan ramai pelapis, tetapi pelapis yang mampu meneruskan perjuangan dengan lebih baik daripada generasi sebelumnya.
Beberapa kepentingan membina pelapis:
Pertama: Menjamin kesinambungan organisasi
Tiada seorang pemimpin yang akan memegang jawatan selama-lamanya.
Rasulullah SAW sendiri telah menyediakan para sahabat sebagai pelapis dakwah.
Selepas kewafatan Baginda, Islam tidak terhenti kerana telah lahir tokoh-tokoh seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang meneruskan perjuangan.
Ini menunjukkan bahawa kejayaan seorang pemimpin bukan hanya pada apa yang dilakukannya, tetapi siapa yang berjaya dibentuk selepas dirinya
Kedua: Mengelakkan krisis kepimpinan
Apabila tiada pelapis, organisasi akan kehilangan arah.
Banyak organisasi menjadi lemah bukan kerana tiada ahli, tetapi kerana tiada orang yang bersedia memikul amanah.
Oleh itu pembinaan pelapis perlu dilakukan lebih awal, bukan apabila jawatan sudah kosong.
Ketiga: Memastikan budaya ilmu dan dakwah terus hidup
Pelapis akan membawa budaya yang diwariskan.
Jika budaya yang diwariskan ialah ilmu, disiplin dan tarbiah, maka budaya itu akan terus hidup.
Tetapi jika tiada proses pewarisan, budaya tersebut akan hilang sedikit demi sedikit.
Keempat: Melahirkan pemimpin yang matang
Pemimpin tidak lahir secara tiba-tiba.
Mereka lahir melalui proses latihan, pengalaman, kesilapan dan bimbingan.
Sebab itulah program pembinaan pelapis sangat penting.
Selain itu juga, kita juga perlu mempunyai ciri-ciri pelapis berkualiti, antaranya:
Pertama: Ikhlas kerana Allah kerana matlamat utama bukan mengejar jawatan, tetapi mencari keredaan Allah.
Kedua: Berilmu yang mana pelapis perlu sentiasa menambah ilmu agama, akademik dan kemahiran organisasi.
Ketiga: Berakhlak mulia ialah kekuatan seorang pemimpin. Orang mungkin kagum dengan kepintaran kita, tetapi mereka akan terus bersama kerana akhlak kita.
Keempat: Amanah, apabila diberikan tugasan, dia melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.
Dan akhir sekali: Boleh bekerjasama. Organisasi tidak dibina oleh seorang individu malah ia dibina oleh satu pasukan.
Alhamdulillah, KPIPM sentiasa berusaha melahirkan generasi pelapis melalui pelbagai program, antaranya: PESAT (Pusat Sumber Tenaga) yang memberi latihan kepada tenaga pelapis dalam pelbagai bidang. PEMANDU (Program Pemantapan Du'at) yang mana mendedahkan kemahiran yang perlu selaku seorang Daie. Seterusnya, usrah dalam pembentukan kefahaman Islam. Dan akhir sekali, penglibatan dalam jawatankuasa program seperti unit teknikal, setiausaha(promosi), unit disiplin, unit makanan, unit perhubungan bagi memberi pengalaman sebenar mengurus organisasi.
Program-program ini bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi menjadi medan latihan yang melahirkan pelapis yang bersedia memimpin.
Sebagai kesimpulan, saya ingin berpesan kepada diri saya dan seluruh ahli KPIPM.
Jangan pernah merasa diri terlalu muda untuk memimpin kerana usia bukan ukuran utama, tetapi kesediaan untuk belajar dan berkorban. Jangan takut melakukan kesilapan malah kesilapan yang diperbetulkan akan menjadi pengalaman yang sangat berharga.
Semoga suatu hari nanti, apabila tiba masa kepimpinan bertukar tangan, KPIPM tidak ketandusan pemimpin kerana pelapisnya telah dipersiapkan sejak awal.
Sesungguhnya legasi tidak akan kekal hanya dengan kenangan. Legasi hanya akan hidup apabila ada insan yang sanggup menyambung perjuangan.
Marilah kita menjadi pelapis yang bukan sekadar hadir memenuhi ruang organisasi, tetapi menjadi pelapis yang membawa perubahan, menyambung dakwah dan memimpin dengan amanah.
Ingatlah, organisasi yang hebat bukan diukur dengan hebatnya seorang pemimpin, tetapi hebatnya proses melahirkan pemimpin-pemimpin baharu.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita keikhlasan, kekuatan dan istiqamah untuk menjadi pelapis berkualiti serta penerus legasi perjuangan Islam.
والله الموفق إلى أقوم الطريق
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh
#WeStandWithPalestine
#BersamamuPalestin
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"



Comments
Post a Comment