Monday, May 16, 2022

LAPORAN | PROGRAM IHYA' TARBAWI RAMADAN 2022 (IHTIRAM'22)


LAPORAN | PROGRAM IHYA' TARBAWI RAMADAN 2022 (IHTIRAM'22)
Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2021/2022

Firman Allah SWT :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"
(Surah al-Baqarah ayat 183)

     Sempena dengan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia, Biro Dakwah dan Tarbiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022 telah menganjurkan Program Ihya’ Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM’22) yang bermula pada tarikh 30 Mac 2022 sehingga 1 Mei 2022 bersamaan 27 Syaaban 1443H sehingga 30 Ramadan tahun 1443H. Tema yang dibawa pada sesi kali ini ialah “Madrasah Ramadan, Membentuk Ketakwaan”. 

    Antara objektif yang telah digariskan dalam program ini adalah untuk meningkatkan thaqafah mahasiswa/wi Perak berkenaan kefahaman Islam. Selain itu, menerapkan nilai penghayatan Islam dalam kalangan anak Perak melalui pentarbiahan Madrasah Ramadan. Seterusnya, mengukuhkan tautan ukhuwah Islamiah sesama anak-anak Perak di bumi Mesir. 

   IHTIRAM’22 telah dibuka dengan ambang Ramadan daripada pembentangan kitab Zaadul Awwam Fi Ahkam as-Shiyam yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Faisal bin Mohd Kamaruzaman yang merupakan aktivis KPKM. Pembentangan ini berlangsung pada hari Rabu pukul 6.00 pagi bertempat di Markas Sementara KPIPM. 

    Pada hari yang berikutnya telah berlangsungnya Majlis Perasmian Program Ihya' Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM'22) yang bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan dengan ucapan daripada Pengarah, Ustaz Muhammad Umair bin Muhamad Zakuan dan Yang Dipertua KPIPM sesi 2021/2022, Ustaz Meor Amin Nurrasyid bin Meor Azhar. Majlis telah dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Azri Fauzan bin Zoolcaphly, Pengerusi Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2021/2022. Seterusnya, majlis juga telah diserikan lagi dengan gimik perasmian dan tayangan video pengenalan IHTIRAM'22. 

    Antara aktiviti-aktiviti IHTIRAM ’22 yang dapat dilaksanakan pada kali ini ialah Syantah Ramadan, Kembara Sahur, Iftar Jamaie, Solat Tarawih Berjemaah, Muzakarah Taakhi, Kursus Pengurusan Jenazah dan Tazkirah Ramadan. Selain itu, IHTIRAM ’22 juga telah berjaya melaksanakan beberapa aktiviti mingguan seperti Ribat Sufi, Raudhatul Muttaqin, Tafaqquh an-Nisa’ dan Kembara Dari Masjid Ke Masjid. 

     Kembara Sahur Ramadan kali ini mempunyai teknikal yang berbeza antara ikhwah dan akhawat di mana rumah sewa ikhwah yang menyertai kembara sahur ini bersahur di rumah sewa ahli yang lain pada setiap hari Jumaat manakala akhawat pula menjalankan katibah dan bersahur di Markas Sementara KPIPM.

     Pengisian Raudhatul Muttaqin pada IHTIRAM'22 ini telah membentangkan dua buah kitab iaitu kitab Ramadan Wa Bina' Al-Ummah yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Yusuf bin Hasani, Aktivis KPKM dan Kitab Matan Tuhfatul Atfal & Kaifa Hifzul Quran yang disampaikan oleh Ustaz Badrul Amin bin Aidzuhar, Ketua Lajnah Pengetahuan dan Pendidikan DPM (MAQAZ) Shoubra sesi 2021/2022. 

     Di samping itu, IHTIRAM'22 juga telah menjelajah beberapa buah masjid tempatan bagi aktiviti Kembara Dari Masjid Ke Masjid sebanyak tiga kali khusus bagi akhawat. Antara masjid yang telah dijelajah untuk solat tarawih adalah Masjid Mosyeer Tantawi, Masjid Al-Azhar dan Masjid Hassan El-Sharbatly yang bertempat disekitar Kaherah, Mesir. Pada malam Nuzul Quran, peringkat program juga telah mengadakan Ziarah Tarawih bersama BKAN Taakhi Zon C dan diadakan Ceramah Nuzul Quran. 

   Bukan itu sahaja, IHTIRAM’22 juga telah mengambil manfaat melalui sosial media dengan mengadakan pengisian-pengisian berbentuk poster, video Fazakkir dan menyarankan kepada semua ahli untuk menonton siaran langsung Ribat Sufi yang diadakan pada hari Jumaat di Laman KPIPM. 

    Seterusnya, IHTIRAM ’22 melaksanakan Iftar Jamaie pada setiap minggu hari Khamis dengan menjemput seluruh anak Perak untuk iftar jamaie bersama-sama di Markas Sementara KPIPM dan beberapa rumah sewa yang dikhususkan. Ini bertujuan untuk mengukuhkan tali silaturrahim antara anak-anak Perak yang telah lama tidak berkumpul akibat Covid 19 serta mengambil peluang mengeratkan lagi ukhuwah bersama adik-adik USMB yang baharu.

   Antara aktiviti-aktiviti baharu yang dijalankan didalam IHTIRAM’22 pada kali ini adalah Muzakarah Taakhi, Kursus Pengurusan Jenazah, Agihan Bubur Lambuk dan Moreh yang telah mendapat sambutan yang baik di kalangan anak-anak Perak. 

   Alhamdulillah, solat tarawih berjemaah juga dapat dilaksanakan di Wisma Baitul Ridzuan pada setiap hari Isnin dan Rabu serta dimeriahkan lagi dengan jemputan Imam Tarawih dari Shoubra pada setiap hari Rabu. 

   Ihya Tarbawi Ramadan (IHTIRAM ’22) melabuhkan tirai dengan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi pada 1 Mei 2022 selepas solat Asar. Majlis telah ditutup dengan sedikit ucapan penghargaan daripada Pengarah, Ustaz Muhammad Umair bin Muhamad Zakuan serta tayangan video penutup IHTIRAM’22.

  Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan IHTIRAM’22 secara langsung atau tidak langsung. Semoga setiap gerak kerja yang dilakukan dicatat sebagai satu amalan kebaikan dan digandakan pahala disisiNya. Insya-Allah “MADRASAH RAMADAN, MEMBENTUK KETAKWAAN”

#IHTIRAM22
#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh:
Ustaz Danial Iskandar bin Zaini,
Setiausaha (Promosi),
Program Ihya' Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2021/2022.

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...