Monday, December 7, 2020

TEKS PENUH | UCAPTAMA YANG DIPERTUA KPIPM SESI 2020/2021

TEKS PENUH | UCAPTAMA YANG DIPERTUA KPIPM SESI 2020/2021
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021

Bismillahirrahmanirrahim, 

Yang dihormati, barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2020/2021 dan Ustazah Syahidatul Aimi binti Khairuddin, Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPIPM sesi 2020/2021, beserta barisan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam.
Barisan penasihat, para nuqaba, seterusnya sahabat sahabiah ahli keluarga KPIPM yang dirahmati Allah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan limpah dan kurnia-Nya, Allah SWT masih mengizinkan kita untuk sama-sama menikmati dua nikmat yang sepatutnya kita syukuri iaitu nikmat iman juga Islam. Tanpa kedua nikmat ini, pasti sia-sialah segala perbuatan atau ibadah kita di atas dunia ini. Sebagai cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kita adalah dengan kita melaksanakan segala ibadah dan tuntutan yang Allah telah tetapkan kepada kita.

Firman Allah SWT :

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ
 لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”
(Surah al-Anfal, ayat 60)

Berdasarkan ayat al-Quran yang dibacakan sebentar tadi daripada surah al-Anfal ayat ke-60, Allah SWT memberi saranan agar kita melakukan persiapan yang rapi bagi menghadapi musuh terutama dalam peperangan. Oleh itu, kami di pihak KPIPM berbesar hati menerangkan serba sedikit berkenaan pembawaan yang kami telah putuskan bagi sesi kali ini.

PEMBAWAAN 1 : KEBAJIKAN
Memaksimumkan medium kebajikan serta menekankan aspek keselamatan dalam kalangan anak-anak Perak.

Firman Allah SWT :
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُون
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(Surah an-Nahl, ayat 97)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT memberikan tawaran khas kepada kita dengan menjanjikan ganjaran yang banyak dengan syarat kita melaksanakan amal soleh dan kebajikan.

Bertepatan dengan ayat tersebut, kami di pihak KPIPM meletakkan pembawaan ‘Kebajikan’ sebagai item pertama bagi sesi kali ini. Ianya juga selaras dengan peranan KPIPM selaku Badan Kebajikan Anak Negeri yang sentiasa komited dalam menjaga kebajikan anak-anak Perak di Mesir. Gagasan yang dirangka antaranya adalah pemerkasaan Unit Kebajikan menerusi edaran Syantoh Kebajikan dan sebagainya.

PEMBAWAAN 2 : PENGURUSAN
Meningkatkan kualiti Sumber Tenaga dan hubungan luar menerusi pengurusan yang lebih sistematik.

Islam menganjurkan umatnya untuk menyusun atau melaksanakan sesuatu perkara dengan kesungguhan dan tekad yang tinggi. Maka perlulah untuk kita memperkasakan segala bentuk pengurusan yang berkaitan dengan KPIPM. 

Sepertimana Hadis Nabi Muhammad SAW :

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
“Sesungguhnya, Tuhan Yang Maha Esa menyukai bahawa jika salah seorang daripada kamu melakukan pekerjaan, maka dia tekun dalam pelaksanaannya.”
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Oleh itu, pihak kami meletakkan pembawaan kedua sebagai langkah untuk kami menambah baik pengurusan KPIPM dengan pelaksanaan beberapa aktiviti berbentuk pengurusan dan penghasilan sumber tenaga serta pelaksanaan kunjungan hormat sebagai bentuk pemerkasaan hubungan luar.

Kedua-dua pembawaan yang telah disebutkan tadi merupakan pembawaan yang menjayakan usul yang telah sama-sama kita persetujui dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-54 yang lalu dengan matan usul yang berbunyi :

“Mengoptimumkan peranan KPIPM sebagai persatuan induk anak-anak Perak dengan memperkasakan kebajikan dan sumber tenaga.”

PEMBAWAAN 3 : BIAH SOLEHAH
Membentuk mahasiswa/wi Islam yang rabbani melalui pemantapan biah solehah.

Biah solehah merupakan aspek penting yang perlu dipelihara oleh seseorang Muslim yang mempelajari ilmu agama tambahan pula sebagai seorang Azhari. 

Sepertimana firman Allah SWT :

وَلِكُلّ وِجۡهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَاۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ أَيۡنَ مَا تَكُونُواْ يَأۡتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡء قَدِيرٞ
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Baqarah, ayat 148)

Biah solehah hari ini perlu diperkasakan semula dengan pelaksanaan 6 Pembawaan Unit Biah Solehah yang telah dibawa atau ditetapkan oleh PMRAM iaitu :
Memperkasakan Solat Jemaah
Mengukuhkan Tautan Ukhuwah
Memanfaatkan Media Elektronik
Membudayakan Etika Pergaulan Syarie
Membentuk Fikrah dan Sahsiah  
Mengkaji dan Mendalami Sejarah Islam. 
Oleh itu, pembawaan ketiga ini perlu kita perkasakan seiring penyusunan aktiviti yang lebih baik seperti pemerkasaan peranan Unit Biah Solehah di bawah Biro Dakwah dan Tarbiah.

PEMBAWAAN 4 : THAQAFAH 
Memantapkan thaqafah dan pencapaian akademik ahli dalam pembentukan ulama amilin.

Menuntut ilmu merupakan tanggungjawab utama kita selaku individu yang hadir ke Mesir. Oleh itu, perlu kita laksanakan tanggungjawab ini sebaiknya dengan meningkatkan ilmu dan thaqafah demi membentuk diri menjadi insan yang berilmu serta mengamalkannya. 

Allah SWT berfirman :
وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَة مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ
“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
(Surah at-Taubah, ayat 122)

KPIPM sentiasa komited bagi membawa agenda thaqafah dan keilmuan dengan pelaksanaan beberapa aktiviti bagi memantapkan thaqafah ahli. Antara aktiviti yang disusun adalah pelaksanaan Kelas Tafaqquh Fiddin, Tafaqquh an-Nisa, Halaqah Ilmiah dan lain-lain. 

PEMBAWAAN 5 : KESATUAN
Menjadikan KPIPM sebagai wadah kesatuan yang bercirikan kekeluargaan bagi memperkasakan ukhuwah Islamiah. 

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;”

Jika kita meneliti sirah Nabi Muhammad SAW, baginda mementingkan aspek pembinaan kesatuan yang jitu serta kefahaman fikrah Islam yang baik kepada para sahabat sebelum sama-sama menggembleng tenaga untuk turun ke medan dakwah, menyeru kepada Islam dengan melaksanakan Amar Makruf  Nahi Mungkar.

Maka, KPIPM sebagai kesatuan induk anak-anak Perak berperanan sebagai medan utama penyatuan anak-anak Perak. Jadikanlah KPIPM dan ahlinya sebagai keluarga di waktu susah atau senang. Keluarga ini sentiasa prihatin bagi menjaga kebajikan ahlinya dan kita sewajarnya perlu berperanan menjaga keluarga kita yang tercinta ini.

Sahabat-sahabiah yang dirahmati Allah.

Untuk makluman juga, pihak KPIPM akan membuat hantaran-hantaran berkaitan KPIPM di Media Rasmi KPIPM sepanjang bulan Disember ini sebagai usaha penerangan berkenaan jabatan, biro dan unit-unit di bawah KPIPM.

Harapan pihak kami selaku pimpinan agar ahli dapat menjayakan segala aktiviti yang telah disusun serta bersedia untuk kita sama-sama belajar dan bekerja untuk keluarga yang kita sayangi ini. Galakan juga untuk kita memperbanyakkan doa dan bermunajat agar segala perancangan aktiviti yang disusun dapat dilaksanakan dengan lancar serta keluarga yang kita cinta ini sentiasa di bawah lembayung rahmat Allah SWT. 

“Keluarga Kita, Kita Jaga”.

#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...