Hijrah Mahasiswa


     Sudah hampir seminggu kita berada di tahun 1436 Hijrah ini. Teringat ketika mana ia menjelang, seluruh umat Islam menyambut perayaan tahun baru dengan penuh penghayatan dengan mengikut garis panduan Islam itu sendiri seperti yang disunatkan untuk dimulai dengan bacaan doa menjelang akhir tahun dan juga doa menjelang awal tahun, diikuti bacaan surah Yaasin dan solat hajat, sebagai persiapan untuk menyambut tahun baru ini.

     Secara zahirnya, ketibaan tahun baru itu menandakan peralihan masa yang menjadikan hari ini kepada semalam dan peristiwa semalam yang telah berlaku itu akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah. Namun apa yang lebih signifikan dari itu adalah persediaan diri kita untuk memperbaiki keadaan diri sebagai seorang insan, seorang mahasiswa dan lebih-lebih lagi sebagai seorang makhluk Allah Ta’ala.

     Oleh itu sebagai seorang mahasiswa, rasa tidak bermakna jika tahun baru tidak diiringi dengan semangat, azam dan minda yang baru. Sama ada azam tahun yang lalu tercapai atau tidak, itu bukan kisahnya. Tetapi perlulah diingat bahawa azam baru itu perlu bertitik tolak daripada perancangan yang rapi dan realistik dan diikuti dengan perlaksanaan yang sistematik dan bersungguh-sungguh.

    Azam merupakan matlamat yang menjadi impian seseorang. Impian ini bukan angan-angan kosong,   tetapi seharusnya keinginan yang realistik. Hasrat yang realistik ini pula bergantung kepada sikap yang optimistik serta perancangan dan perlaksaan yang rapi. Ada di antara mereka yang berazam, namun disudahi dengan kegagalan kerana gagal merancang walaupun sebenarnya tiada sesiapa yang mahukan kegagalan. Namun pada asasnya, individu yang berjaya adalah mereka yang bukan semata-mata merancang, tetapi juga melaksanakan apa yang telah mereka rancangkan. Tujuannya ialah agar memperolehi hasilnya dalam jangkamasa yang tertentu, di samping sentiasa memperbetulkan strategi sekiranya terdapat gangguan yang boleh mencetuskan kegagalan.

     Mahu atau tidak, kita sebagai penuntut ilmu perlu mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.  Oleh itu, dalam memenuhi matlamat untuk berubah, terdapat beberapa perkara asas yang perlu dihayati.

Pertamanya, kesedaran. Seseorang itu perlu menyedari mengapa ia perlu berubah. Contoh paling mudah, mengapa saya datang ke Mesir? Untuk menuntut ilmu dan mencapai keputusan cemerlang. Maka seseorang pelajar itu perlu meninggalkan keseronokannya seketika sekiranya pelajar itu menyedari tujuan utamanya ke Mesir.

Kedua, kesanggupan untuk berubah. Ramai pelajar telah sedar tetapi tidak atau belum sanggup lagi untuk berhenti meninggalkan keseronokan tersebut kerana pelbagai faktor, antaranya tiada keikhlasan .

Ketiga, berniat tegas untuk berubah dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Keempat adalah tindakan pematuhan kepada niat atau azam yang diikuti dengan proses tindakan bagi membuktikan bahawa perubahan itu dilakukan dalam tempohnya dan perubahan itu dilihat benar-benar berlaku.

Tindakan terakhir pula merupakan muhasabah terhadap tindakan pematuhan bagi memastikan sama ada pematuhan itu berlaku, diabaikan, ditangguhkan, dituruti atau sebagainya, agar tidak menyeleweng dari azam sebenar iaitu untuk berubah menuju kebaikan. Ayuh!

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"Satu Fikrah Satu Amal"

SUMBER: Risalah Warkah Da'ie (Bil.06), Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM Sesi 2014/2015

Kalam Rasmi Yang Dipertua KPIPM sesi 2014/2015




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


     Segala pujian dan rasa syukur dipanjatkan kehadrat Illahi Pemilik dan Pengurnia segala nikmat. Selawat dan salam yang berpanjangan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , ahli keluarga baginda, para sahabat, serta pembantu dan pengikutnya yang setia yang telah bersama-sama susah dan senang dalam siri-siri perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan menjadikannya sebagai Ad-Deen bagi seluruh pelusuk dunia ini.


Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Maaidah, ayat ketiga yang bermaksud:


" Pada hari ini telah-Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah-Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah-Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barangsiapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


     Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf, yang mempunyai sistem yang menyeluruh lagi mencakupi segenap aspek kehidupan adalah suatu kenyataan yang tidak boleh disanggah dan dipertikaikan lagi, akan tetapi perkara yang penting perlu diberikan perhatian adalah bagaimana kita sebagai penganutnya dapat mengekspresi dan mengadaptasikan kesempurnaannya itu kepada umum. Berlandaskan persoalan ini perkara teras yang perlu ditekankan adalah kefahaman tentang Islam itu sendiri. Kefahaman itu wujud dengan adanya ilmu, dan ilmu itu perlu dikumpul dan dicari gali dari sumber-sumber yang murni, maka pada akhirnya ia akan menatijahkan cahaya realiti yang cemerlang.


     Kecemerlangan cahaya Islam yang kita harapkan itu dapat kita realisasikannya dengan penguasaan akademik dan thaqafah yang baik. Hal ini telah termaktub melalui arahan " Bacalah! " dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Rasul S.A.W yang mana arahan dari wahyu pertama itu menunjukkan betapa penguasaan ilmu itu adalah suatu teras untuk membuahkan amal yang berterusan berlandaskan tunjang kefahaman yang jelas.


     Melalui perbincangan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir kali ke-48 yang telah berjaya dilangsungkan baru-baru ini, ahli KPIPM telah sepakat dan sebulat suara akan menjayakan usul yang telah dibentang dan diperbahaskan, iaitu ;

" Mengupayakan mahasiswa dan mahasiswi Perak untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik dan thaqafah. "


     Mesyuarat berlangsung dengan baik dan ia juga melihatkan komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar segala komitmen tersebut berkekalan dan meningkat dari satu masa ke satu masa yang lain.


     Barisan pimpinan sesi 2014/2015 dengan dokongan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli seluruhnya akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan satu usul yang telah disepakati tersebut, juga 5 item penting yang sudah menjadi pegangan KPIPM iaitu :

1. Thaqafah  : Meningkatkan tahap penguasaan ilmu dari sudut akademik dan kemahiran.

2. Fikrah   : Memperkasakan tarbiah Islamiah bagi memantapkan kefahaman Islam yang syumul.

3. Ukhuwah  :Menerapkan nilai sahsiah Islamiah bagi mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli

4. Kebajikan  : Mengutamakan kebajikan ahli dalam pelbagai aspek.

5. Ekonomi    : Mengukuhkan ekonomi untuk kelangsungan KPIPM.


     Berdasarkan suasana perbincangan yang wujud dalam Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-48 yang lepas, pihak pimpinan pada sesi kali ini cukup optimis bahawa seluruh ahli KPIPM akan bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.

     Mari kita sama-sama panjatkan doa semoga KPIPM yang kita sedang naungi ini berkekalan menjadi medium kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir. Tidak dilupakan juga semoga seluruh pembantu agama Allah S.W.T ini diberikan ganjaran berupa Rahmat dan RedhaNya yang berpanjangan.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS


MUHAMMAD 'ASRI BIN MOHD SALIM
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014/2015

ADAB MEMBACA AL-QURAN

      Diriwayatkan daripada Saidina Uthman Bin Affan R.A berkata: Sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Sebaik-baik daripada kamu adalah mereka yang mempelajari Al-Quran.” (Riwayat Bukhari)  

      Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi cahaya petunjuk kepada umat manusia. Maka, umat Islam wajib untuk mengikut isi yang terkandung di dalam Al-Quran supaya ianya menjadi panduan sepanjang hidup hatta di akhirat kelak.  

      Al-Quran yang merupakan kalam Allah yang agung perlu dijaga akan ketulenannya dan menjaga adab-adab dalam membaca dan mempelajarinya. Rasulullah S.A.W pernah membahagikan golongan yang membaca Al-Quran ini kepada beberapa bahagian. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:  

“Perumpamaan orang mu’min yang rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Al-Atrujah yang mana aromanya yang wangi dan rasanya yang sedap, dan perumpamaan orang mu’min yang tidak rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar yang mana tiada aromanya dan rasanya yang manis, dan perumpamaan orang munafiq yang rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Raihanah yang mana aromanya yang wangi dan rasanya yang pahit manakala perumpamaan bagi orang munafiq yang tidak rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Hanzhalah yang mana tidak mempunyai aroma dan rasanya yang pahit. (Riwayat Bukhari & Muslim)  

      Untuk menjadi mu’min yang berpegang teguh dengan Al-Quran serta mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, tidak dapat tidak perlu untuk kita mengetahui akan adab-adab serta tatacara untuk membaca serta mempelajarinya. Rasulullah S.A.W menekankan beberapa adab yang perlu umat Islam lakukan dalam mempelajari Al-Quran. Antaranya:  

1) Mengikhlaskan niat hanya kerana Allah S.W.T
Perlu meletakkan niat yang asas hanya semata-mata untuk menambahkan ketaatan dan taqarrub pada Allah S.W.T.  

2) Bersih daripada segala hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar
Para ulama’ bersepakat bahawa harus bagi umat Islam membaca Al-Quran dalam keadaan berhadas kecil kecuali hadas besar sama ada junub atau haidh. Akan tetapi, ianya bukan bermakna menghalang umat Islam untuk tidak membaca Al-Quran secara langsung. Bagi mereka yang dalam keadaan hadas besar, harus bagi mereka melihat ayat Al-Quran untuk membacanya dan menggunakan suara hati tanpa melafazkan ayat Al-Quran tersebut.  

3) Menghadap qiblat
Disunatkan bagi kita membaca Al-Quran dengan menghadap qiblat selain solat sepertimana hadis baginda Nabi S.A.W: “Sebaik-baik majlis adalah menghadap qiblat.”  

4) Membaca Isti’azah (memohon perlindungan) Menurut jumhur ulama’, disyariatkan membaca isti’azah untuk memohon perlindungan Allah S.W.T daripada syaitan sepertimana firmanNya yang bermaksud: “Apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada Syaitan yang direjam” (Surah An-Nahl : 98)  

5) Membaca basmalah dipermulaan surah kecuali surah At-Taubah

6) Membaca ditempat yang bersih seperti masjid, surau, bilik yang bersih dan sebagainya

7) Disunatkan bersiwak (sugi)

8) Mentadabbur ayat Al-Quran, sepertimana firman Allah: “Al-Quran ini adalah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) yang banyak faedah serta manfaatnya, untuk memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya…" (Surah Shod: 29)

9) Membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan berlagu
Sepertimana sabda Nabi S.A.W: “ Hiasilah (melagukan) Al-Quran dengan suaramu.” (Riwayat Abu Daud)

10) Membaca Al-Quran dengan tartil
Firman Allah S.W.T: “Bacalah al-Quran itu dengan tartil (bertajwid)”. Ummu Salamah pernah ditanya akan cara Nabi S.A.W membaca Al-Quran, lalu Ummu Salamah menjawab:“Rasulullah S.A.W membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan.” Tartil yang dimaksudkan di sini adalah membaca dengan jelas mengikut kaedah tajwid dan sebutan huruf yang betul. Ulama’ berpandangan bawa disunatkan untuk tartil dalam bacaan bertujuan untuk mentadabbur dan memahami ayat lebih-lebih lagi daripada kalangan bukan arab (a’jamiyy).  

      Secara kesimpulan yang boleh kita ambil, dalam berpegang kepada ajaran Allah S.W.T, maka perlulah kita untuk menjaga adab kita dalam mempelajari ‘perlembagaan teragung’ yang telah diturunkan kepada rasulNya, Nabi Muhammad S.A.W. Berdasarkan kaedah serta adab yang ditekankan oleh baginda, maka perlulah kita mengikuti sunnah tersebut, supaya Al-Quran ini akan menjadi pegangan teguh yang tersemat di dalam hati kita selaku seorang muslim yang beriman.  

Amar Arif Bin Ahmad Po’aad
Ketua Badan Penerangan & Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2014  

Rujukan: At-Tibyan Fi Hamlatil Quran – Imam Nawawi Rahimahullah

Program Perayaan Mahabbah Aidil Adha KPIPM 2014 (PERMAI'14): Menghayati Tadhiyah Menyimpul Mahabbah

Sabtu, 4 Oktober 2014 - Sempena perayaan Aidil Adha, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menganjurkan program Perayaan Mahabbah Aidil Adha 2014 (PERMAI'14) dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak bertemakan "Pengorbanan Dihayati, Mahabbah Bersemi". Sebanyak 50 ekor haiwan terdiri daripada unta, lembu dan kambing dijadikan korban pd tahun ini.

       Pada pagi hari raya pertama, ahli KPIPM telah disajikan dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad 'Asri b. Mohd Salim sebelum bergegas ke Masjid Musa an-Nusair, Haiyu Sabie' bagi menunaikan solat sunat Aidul Adha, anjuran PMRAM. Seusai solat, seluruh ahli menuju ke Baitul Rahman bagi menjalankan proses pnyembelihan dan melapah secara bergotong-royong. Seluruh ahli memberikan kerjasama yang sangat memberansangkan. Pada hari yg sama juga, daging diagihkan kepada yang mengambil bahagian panggu dan seluruh ahli KPIPM. Seusai proses melapah, sekali lagi semua ahli bergotong-royong membersihkan tapak penyembelihan bagi memberi ruang untuk memasak sebagai persediaan rumah terbuka pada keesokan harinya.

       Pada hari berikutnya, program dimeriahkan lagi dengan Rumah Terbuka Aidil Adha KPIPM yg dihadiri oleh seluruh ahli KPIPM, tetamu jemputan dan tetamu dari luar. Kehadiran tetamu yg datang ke majlis tersebut amat menggalakkan. Program ini diteruskan lagi dengan Malam Perayaan Mahabbah Aidil Adha 2014. Pada malam tersebut, para hadirin dihiburkan dengan pementasan teater musikal yang dipersembahkan oleh ahli KPIPM seterusnya diakhiri dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah dan pertandingan kuiz Fiqh Korban Aidil Adha. Semoga program Perayaan Mahabbah AidilAdha 2014 (PERMAI'14) pada kali ini menatijahkan impak positif seiring dengan objektif yang dibawakan iaitu:

1) Meraikan dan menghayati hari kebesaran Islam
2) Mengukuhkan tautan ukhuwah dalam kalangan ahli KPIPM
3) Melahirkan semangat kerjasama serta toleransi dalam kalangan ahli

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger