Friday, November 27, 2009

Kemeriahan Sambutan Aidil Adha 1430 H




KAHERAH : Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir di bawah Biro Tabung Kebajikan, Kesenian Dan Riadhah akan menganjurkan sambutan Hari Raya Aidil Adha 1430H pada 27 dan 28 November 2009 ini. Justeru pihak persatuan mengalu-alukan seluruh warga KPIPM yang berada di bumi Mesir untuk sama-sama menjayakan program tersebut.

Sebanyak dua ekor unta, tiga ekor kambing dan dua ekor kharuf akan dikorbankan pada hari raya pertama, manakala majlis rumah terbuka akan berlangsung pada hari raya kedua. Ustaz Fareez Izhar Bin Zainuddin, pengarah program sambutan tersebut ketika ditemui mengharapkan agar semua ahli Perak dapat memeriahkan majlis sambutan Aidil Adha pada kali ini.

“Kami amat mengharapkan semua ahli KPIPM yang berada di sini baik pengajian Islam mahupun perubatan, Kaherah ataupun cawangan dapat hadir memenuhi Wisma A pada majlis tersebut” kata beliau.

“Sumbangan tenaga sahabat-sahabat amat ditagih semasa program ini berlangsung. Kita akan sama-sama melapah, memotong daging dan memasak secara gotong-royong. Kerja-sama seperti ini akan dapat meningkatkan ukhuwwah sesama kita” tambah beliau lagi.

Masalah penempatan bagi sahabat-sahabat yang berada di luar Kaherah tidak perlu dibimbangkan. Dengan adanya dua buah wisma (A dan B) banyak membantu mengurangkan masalah penempatan.

“Sahabat-sahabat terutamanya akhawat yang berada di luar Kaherah tidak perlu risaukan masalah rumah untuk transit. Kedua-dua wisma kita mampu untuk menampung dan selesa untuk penempatan sahabat-sahabat” ujar Ustazah Siti Salamah Binti Hamzah, Ketua HEWI KPIPM pula.

Beliau mewakili seluruh barisan kepimpinan KPIPM menjemput semua ahli agar dapat menghadiri majlis sambutan hari raya korban pada tahun ini. Beliau yang ditemui selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tadbir semalam mengucapkan jutaan terima kasih semua pihak yang telah menyumbang baik berbentuk kewangan ataupun tenaga untuk menjayakan sambutan ini.

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM