KENYATAAN YDP BKAN | HAMASAH MEGA

KENYATAAN YDP BKAN : PROGRAM HARI THAQAFAH MAHASISWA (HAMASAH)  MEGA BAKAL DILAKSANAKAN

Isnin, 27 Feb 2017 - Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) merupakan wadah kesatuan anak Malaysia di Mesir yang sentiasa menjaga kebajikan ahlinya dalam pelbagai aspek. Antaranya melalui mekanisme akademik, thaqafah, tarbiah , kemasyarakatan dan lain-lain.

Tarikh 27 Februari 2017, satu perjumpaan bersama telah diadakan oleh Majlis Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) bertempat Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra,  Asrama Rumah Negeri Perlis. Antara perbincangan yang diutarakan adalah berkaitan inisiatif peningkatan thaqafah mahasiswa dan mahasiswi di Mesir.

Dalam perbincangan tersebut, seluruh YDP bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas secara berpusat dalam menggerakkan program HAMASAH MEGA dengan lebih tersusun.

Antara objektif program ini adalah melahirkan mahasiswa/wi beramal yang memahami dengan jelas 4 perkara iaitu :
1. Penyusunan Aulawiyat dalam kehidupan seharian.
2. Pemilihan dan mengikut kumpulan yang sebenarnya.
3. Prinsip kesatuan di kalangan mahasiswa Islam
4. Ukhuwwah Islamiah

Sebelum berakhirnya pertemuan tersebut, Majlis YDP bersetuju melantik Ustaz Amirul Azamuddin bin Zaharuddin sebagai Pengarah HAMASAH Mega manakala Ustazah Ku Fathin Athifah binti Roseli sebagai Timbalan Pengarah. Sebarang pemakluman berkaitan program ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Para YDP juga turut menyuarakan cadangan dan pandangan bagi memastikan program yang direncana ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Semoga dengan usaha yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan lagi thaqafah di peringkat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir dalam mendalami khazanah ilmu Islam dengan sebaiknya.

" Muafakat Asas Kejayaan "

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

LAPORAN | MESRA'17

LAPORAN PROGRAM HARI KELUARGA ANAK-ANAK PERAK DI MESIR (MESRA ‘17)

KAHERAH – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program yang dinamakan Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA’17). MESRA’17 kali ini berkonsepkan “Pahlawan Moden” yang telah berlangsung dengan jayanya selama lima hari bermula 5 Februari sehingga 9 Februari 2017 bertempat di Wisma Darul Ridzuan. Program yang bertemakan “Pugari Ukhuwah, Sinari Mahabbah” ini melibatkan seluruh ahli KPIPM selari dengan objektif yang digariskan pada kali ini iaitu memperkukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir, menerapkan kefahaman Islam yang syumul berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, meluaskan capaian pengetahuan ahli dalam ilmu kontemporari, seterusnya, memaksimumkan medium ekonomi dan kebajikan kepada ahli, mengasah bakat ahli dalam bidang yang pelbagai serta menjayakan Kempen Ma’an Najah & Kebersihan.

    MESRA’17 bermula pada hari Ahad, 5 Februari 2017 bersamaan 8 Jamadil Awal 1438 H jam 9.00 pagi dengan perjumpaan dan persiapan rumah sukan ikhwah dan akhawat yang bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi bagi ikhwah dan Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi bagi akhawat. Pada sebelah malamnya seawal jam 7.00 malam, diadakan pula Malam Pelancaran Program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA’17). Program ini dirasmikan oleh Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Ustaz Munawir bin Mohamed Noh selepas sahaja Ucapan Aluan daripada Pengarah MESRA’17, Ustaz Muhamad Saiful Adli bin Ahmad Padli serta Yang Dipertua KPIPM sesi 2016/2017 Ustaz Khairul Naim bin Abdul Razak. Majlis diteruskan lagi dengan pelancaran gimik perasmian MESRA’17 di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan serta tayangan video pengenalan MESRA’17. Kemudian, diteruskan dengan talkshow ‘’Sembang Santai UBM’’ yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mu'aaz bin Ramli, Ustaz Muhammad Amir bin Ghazali dan Ustazah Umi Atikah binti Samsudin bermoderatorkan Ustazah Nur Farahin binti Hambali.

   Pada hari kedua, program MESRA’17 dimulakan dengan Tazkirah Perdana yang disampaikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri Wilayah Persekutuan, Ustaz Abdul Wafi Bin Alias seusai solat fardhu Subuh bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Kemudian program diteruskan lagi dengan aktiviti outdoor ikhwah dan akhawat. Antara aktiviti outdoor ikhwah adalah perbarisan, acara sukaneka dan balapan 4x100 m, 8x100 m, 4x200 m dan 100 m yang bertempat di Istad Abbasiah manakala aktiviti outdoor akhawat berbentuk perbarisan dan sukaneka bertempat di Hadiqah Atfal.
   
    MESRA’17 diteruskan pada hari berikutnya iaitu hari ketiga dengan acara indoor ikhwah dan akhawat seperti hafazan, khat, tebar roti canai, master chef, pejuang kreatif, madah pejuang, pahlawan translator dan bermacam-macam aktiviti menarik yang telah disusun oleh peringkat pengisian MESRA’17. Pada sebelah malam pula, program diteruskan dengan talkshow PEMANDU atau dikenali sebagai Program Pemantapan Du’at yang bertajuk “Kita Mahasiswa Khalifah Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Sharul bin Malek (Mantan Penasihat BKMIP), Ustazah Siti Aisyah binti Ismail (Fasilitator BKASM) bermoderatorkan Ustaz Mohammad Fadzil bin Abdul Rahim (Fasilitator KPIPM). Program PEMANDU diakhiri dengan persembahan daripada Usrah Al-Muhazirun.

   Kemesraan MESRA’17 dihangatkan lagi dengan pertandingan Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’ pada hari keempat. Pertandingan tersebut bertempat di padang Futsal Zahra’ bagi ikhwah dan Padang Sallab bagi akhawat.

   Lanjutan daripada hari keempat, maka tibalah Majlis Penutupan Program Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir (MESRA’17). Sebelum itu, majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan di sebelah akhawat. Antaranya persembahan Choral Speaking, Boria, Nasyid dan Dikir Barat. Kemudian, pada sebelah petang pula diadakan khidmat kebajikan. Antara perkhidmatan yang dibuat adalah berbekam, refleksologi dan gunting rambut. Pada sebelah malam, majlis diteruskan lagi dengan Pertandingan Persembahan Dikir Barat ikhwah mengikut wakil rumah sukan masing-masing. Majlis Penutupan MESRA’17 telah dirasmikan oleh Pengerusi Badan Penasihat KPIPM sesi 2016/2017, Ustaz Muhammad Hanif bin Abdullah diikuti dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang sepanjang program MESRA’17. Kumpulan rumah sukan terbaik pada sesi kali ini telah disandang oleh Rumah Merah iaitu ‘Fire Fighter’. Tahniah diucapkan kepada seluruh ahli rumah sukan merah di atas kejayaan yang diperoleh. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan sedikit jamuan ringan.

     Maka berakhirlah sudah program MESRA’17 sesi 2016/2017. Diharapkan agar program ini dapat memberi manfaat dan seribu satu kenangan buat ahli-ahli KPIPM baik yang datang dari jauh mahupun yang dekat. Sesungguhnya setiap permulaan pasti ada pengakhiran, dan begitulah juga MESRA’17. Moga Allah jaga ukhuwah Islamiah dan kesatuan kita bersama. Diharapkan juga agar program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang, bahkan disajikan pula dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang lebih menarik pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.

“Pugari Ukhuwah, Sinari Mahabbah”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh :
Setiausaha MESRA'17 KPIPM sesi 2016/2017

LAPORAN | WINTER BREAK DAURAH 2017 (WADAH17)


KAHERAH- Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2016/2017 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program ilmiah selama enam hari bermula dari 25 Januari  sehingga 30 Januari 2017 di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Program yang  diberi nama Winter Break Daurah (WADAH ‘17) diadakan bagi menambah thaqafah dan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan ahli KPIPM.

           Program yang bertemakan “Mahasiswa Berthaqafah Peneraju Transformasi Ummah”  ini melibatkan seluruh ahli KPIPM selari dengan objektif yang digariskan pada program kali ini iaitu memperkasakan medium sebaran ilmu turathi dan kontemporari kepada ahli serta memaksimumkan suasana ilmu di dalam Wisma Darul Ridzuan di samping melahirkan ahli yang berkemahiran  dalam pelbagai bidang.
           Program ini bermula selepas solat subuh pada hari Rabu, 25 Januari 2017 seawal jam 6.30 pagi dengan Daurah Kitab Matan Rahabiah. Kitab ini dikupas oleh Ustaz Aiman Bin Yahaya, Mahasiswa Usuluddin, Universiti Al Azhar. Daurah kitab ini berlangsung selama 2 jam.

     Pada hari kedua bertarikh 26 Januari 2017, Winter Break Daurah  ini diteruskan dengan sambungan kupasan Kitab Matan Rahabiah  oleh Ustaz Aiman Bin Yahaya selama 2 jam.
    Pada sebelah petang, pihak AJK Pertandingan Winter Break Daurah telah menganjurkan pertandingan “Baca Kitab Arab”.  Pertandingan ini berlangsung pada jam 2.30 petang di sebelah akhawat bertempat di Dewan Sheikh Al-Marbawi dan di sebelah ikhwah pada jam 1 petang bertempat di Dewan Sheikh Sya’rawi. Pertandingan ini mempunyai 2 kategori iaitu kategori pertama USMB dan kategori kedua Kuliah.  Setiap usrah perlu menghantar seorang wakil untuk menyertai pertandingan ini.  Pertandingan ini berlangsung kira-kira 2 jam.
   Pada sesi malam sekitar jam 7 hingga 9 malam telah berlangsung Program Ehya’ al-Jum’ah dan diteruskan lagi dengan Majlis Ramah Mesra. Majlis Ramah Mesra ini dihadiri oleh 5 orang tetamu kehormat iaitu Ust Zawawi bin Hassan, Ust Mohd Firdaus Mohd Hassan, Ust Mohd Akmal Kamaruddin,Ust Hj Razman bin Zakaria dan Ust Muhammad Ismi bin Taib.

  Pada hari ketiga bertarikh 27 Januari 2017 telah berlangsung Tazkirah Subuh Perdana(1).
    Pada pagi hari keempat, Tazkirah Subuh Perdana (2) telah ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.  Pada sesi malam, program Winter Break Daurah diteruskan dengan Forum Mahasiswa yang bertajuk Peristiwa Akhir Zaman: Sedarkah Kita? yang telah disampaikan oleh 2 orang panel yang mantap iaitu Ust Syakir Faleh Lai yang merupakan penuntut Master American Maftuh dan Ust Iqbal Atan yang merupakan Mahasiswa Syariah Universiti Al-Azhar.  Moderator program ini ialah Ust Muhd Bukhari bin Abdullah. Program ini berlangsung selama 2 jam bermula pada jam 8.30 malam sehingga 10.30 malam.

       Pada hari kelima bertarikh 29 Januari 2017, program diteruskan dengan Tazkirah Perdana (2). Tazkirah ini bermula pada jam 6.15 hingga 7.30 pagi.

      Pada pagi hari keenam program dimulakan dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk “Kepentingan Akhlak dalam membina Ketamadunan Islam” dan seterusnya Wacana Siswa yang bertajuk “Kerjaya Anak Muda“.  Wacana ini dikendalikan ialah Ust Mohd Nor Farhan bin Muhd Arif.

      Program diteruskan lagi pada malam hari dengan Sembang Santai yang bertajuk “Tanggungjawab & Cabaran selaku Individu Muslim”. Sembang Santai ini dikendalikan oleh Ust Muhd Amir bin Ghazali  dan 2 orang ahli panel jemputan. Program ini bermula jam 8 malam hingga 10.30 malam.

      Setelah itu, program Winter Break Daurah diteruskan lagi dengan acara penyampaian hadiah bagi Pertandingan “Baca Kitab Arab” dan penyampaian sijil penyertaan kepada ahli KPIPM. Penyampaian hadiah dan sijil penyertaan telah disampaikan oleh ,YDP KPIPM, Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak diiringi oleh Pengarah Winter Break Daurah iaitu Ustaz Aiman bin Yahaya.

      Akhir kalam, bersyukur ke hadrat Ilahi Program Winter Break Daurah (WADAH’17) pada tahun ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang diketengahkan. Pelbagai input-input menarik dan berguna yang dapat diterapkan dalam kehidupan setiap ahli-ahli KPIPM.Sekalung penghargaan diucapkan  kepada pihak yang terlibat bagi menjayakan program Winter Break Daurah dan diharapkan agar program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

Disediakan oleh :
Setiausaha Winter Break Daurah 2017 (WADAH'17)

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN

Makluman Pemangkuan Jawatan

Ahli Jawatankuasa Badan Penasihat KPIPM sesi 2016/2017

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger