Sunday, March 24, 2024

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024

Firman Allah SWT :

{ فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَیۡرࣰا یَرَهُۥ (٧) وَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲ شَرࣰّا یَرَهُۥ (٨) }

Maksudnya: 
“Barangsiapa yang melakukan kebaikan sebesar zarah maka akan diperlihatkan kelak (7) Dan barangsiapa yang melakukan keburukkan sebesar zarah akan diperlihatkan kelak (8)
(Surah Al-Zalzalah: ayat 7-8)

Menurut Kamus Pelajar Edisi ke-2 kebajikan membawa maksud perbuatan yang mendatangkan kebaikan dan jasa kepada masyarakat. Kebajikan ialah komponen utama yang seharusnya diterapkan dalam setiap keperibadian insan dalam membentuk sahsiah terpuji dan melahirkan masyarakat harmoni. Hal yang demikian kerana kebajikan merupakan salah satu sifat mahmudah yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran sebagai satu penekanan terhadap manusia akan kepentingannya.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa kebajikan merupakan tuntutan agama yang bukan sahaja memberi faedah kepada diri sendiri,  faedah tersebut dapat dirasai oleh masyarakat sekeliling.  Antara fitrah seorang manusia itu apabila saudaranya ditimpa sebarang musibah maka akan timbulnya belas kasihan dan rasa ingin membantu sesama mereka. Dengan demikian, maka beruntunglah kita sebagai manusia kerana dianugerahkan satu sifat yang mana tidak diberikan kepada makhluk lain.

Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,
Menjadi kewajipan terhadap kita semua yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi untuk menitikberatkan serta menjaga kebajikan diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Jika dilihat dari sudut yang lain tidak wajar bagi seorang mahasiswa itu mengambil enteng terhadap isu kebajikan kerana perbuatan tersebut akan melahirkan sifat pentingkan diri sendiri dan tidak mahu untuk membantu saudara mereka. Janganlah kita mencari alasan yang tidak munasabah seperti sibuk terhadap pembelajaran sebagai satu sebab kita tidak mahu mengambil berat terhadap kebajikan orang lain.


Oleh itu, izinkan saya untuk berkongsi sedikit tentang kepentingan terhadap penjagaan kebajikan sepanjang kita bergelar sebagai mahasiswa dan mahasiswi:
1. Menyemai perasaan cinta dan kasih sayang sesama kita.
2. Meningkatkan tahap kecaknaan individu terhadap keadaan seseorang.
3. Meringkan beban sahabat kita yang ditimpa musibah dan kesusahan. Natijahnya, kita dapat memperkukuhkan lagi ikatan persaudaraan dan membina kesefahaman.
4. Menunaikan hak kita terhadap orang lain iaitu tolong-menolong antara satu sama lain. Setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan agar dapat membangunkan keharmonian dan keutuhan sesebuah masyarakat atau kesatuan.


Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian,
Maka yang demikian saya berbesar hati untuk mengutarakan satu kalam daripada Nabi S.A.W : 
“Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang kesusahan, Allah akan mudahkan urusannya di dunia dan akhirat” (H.R. Muslim).
Sehubungan dengan itu, maka jelaslah di sini bahawa Baginda S.A.W sangat menggalakkan umatnya untuk membantu saudaranya dalam meringkan bebanan dan kesusahan. Jika diteliti dengan lebih mendalam, kalam Baginda tersebut amat berkait rapat dengan soal kebajikan kerana dengan asbab kita menjaga kebajikan orang lain maka secara tidak langsung kita dapat memudahkan urusan mereka.

Walau bagaimanapun, hal tersebut bersangkutan dengan soal pengorbanan kita terhadap orang lain. Cuba kita fikirkan sejenak sejauh mana pengorbanan yang telah kita curahkan kepada sahabat-sahabat demi keselesaan mereka? 
Sekiranya tidak wujud dalam jiwa seorang insan itu rasa ingin berkorban untuk orang lain maka tidak terhasil kebaikan individu tersebut dan kebajikan tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya. Justeru, saya ingin menegaskan bahawa setiap mahasiswa mestilah mendalami erti pengorbanan yang sebenar sebelum ditanam ke dalam hati setiap insan.

Lantaran itu, pengorbanan dan kebajikan merupakan dua elemen utama yang wajib bergerak seiring dalam diri mahasiswa. Setiap daripada kita haruslah berkorban dalam setiap aspek seperti masa, tenaga dan harta kerana hal tersebut tidak lain dan tidak bukan untuk memelihara kesejahteraan kita dan kebajikan mahasiswa akan lebih terjamin.

Mahasiswa dan mahasiswi yang disegani sekalian,
KPIPM merupakan wadah kesatuan anak perak yang bertanggungjawab dalam mengekalkan penjagaan kebajikan seluruh anak Perak khususnya yang sedang menuntut ilmu di bumi Mesir ini. Di samping itu, kita juga mestilah memahami bahawa KPIPM tidak tertumpu kepada aspek akedemik dan kesatuan semata-mata, akan tetapi di sini juga adalah medan untuk kita membina sahsiah keperibadian yang mulia dan melahirkan seorang pendakwah yang berkualiti dalam seluruh aspek. Setiap usaha dan gerak kerja yang dipraktikkan dalam kesatuan ini merupakan satu rantaian yang berhubung dengan gerak kerja dakwah islam yang pernah dibawa oleh Baginda Nabi S.A.W bersama para sahabat suatu ketika dahulu. Maka yang demikian, dengan wujudnya kesatuan ini dapat memberi peluang sebesarnya-besarnya kepada seluruh anak Perak untuk menaburkan bakti dan jasa dalam memastikan kebajikan anak-anak Perak terus berkekalan. Tidak dilupakan juga, KPIPM pada sesi kali ini akan berusaha sedaya upaya dalam menjayakan pembawaan YDP KPIPM sesi 2023/2024 iaitu “Kebajikan Agenda Utama”.

Berdasarkan sabda Nabi S.A.W yang membawa maksud: “Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin lain maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada hari itu mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah.” (Riwayat At-Tabrani).


Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam melaksanakan gerak kerja Islam yang telah diperjuangkan oleh para asatizah terdahulu. Jadikanlah KPIPM sebagai batu loncatan dalam meneruskan perjuangan dakwah baginda. Sehubungan dengan perkara tersebut, janganlah kita menjadikan soal pembelajaran sebagai alasan untuk kita tidak mengambil berat tentang kebajikan orang di sekeliling kita. Selain itu, tanamkanlah dalam hati dan nurani kita akan sifat keprihatinan terhadap orang lain supaya kita dapat menghindarkan diri daripada sifat pentingkan diri sendiri serta mengutamakan kebajikan umum berbanding kebajikan diri sendiri.

'Kebajikan Agenda Utama'

#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM 

Nukilan daripada:
Ustaz Hafizh Nurhaziq bin Husin
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024

Friday, March 15, 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024

KAHERAH, 17 & 18 FEBRUARI 2024 - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah menganjurkan Kejohanan Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’. Kejohanan Bola Jaring Piala An-Nisa’ telah diadakan pada 17 Februari di Padang Nadi Syabab, Hayyu Sadis manakala Kejohanan Futsal Piala KPIPM telah diadakan pada 18 Februari di Padang Champion, Hayyu Safarat.

Kejohanan Bola Jaring Piala An-Nisa’ bermula jam 9:30 pagi selepas majlis perasmian.  KPIPM telah menghantar 2 buah  pasukan iaitu "One Hit-Wonder" dan “ Geng Kluster”.Kumpulan tersebut dikendalikan oleh Ustazah Nur Najiah binti Mohd Azhar selaku pengurus pasukan “One Hit-Wonder” dan Ustazah Husna Farzana binti Ismail bagi pasukan “Geng Kluster”.Selain itu, turut hadir kumpulan daripada wakil MGBKAN iaitu “Bidadari Solehah MGB” dan kumpulan daripada wakil BKAN TAAKHI iaitu “ALPHA”.

Seterusnya, kejohanan ini diteruskan lagi dengan perlawanan di peringkat kumpulan,perlawanan peringkat penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir. Pasukan yang mendapat tempat keempat ialah “Bidadari Solehah MGB”, dan tempat ketiga ialah “Geng Kluster”. Seterusnya, pasukan “One Hit-Wonder” dan juga “Alpha” telah berjaya masuk ke perlawanan akhir. Dan Johan bagi Kejohanan Piala An-Nisa’ pada tahun ini adalah pasukan “One Hit-Wonder”.

Kejohanan ini berakhir pada jam 1.30 dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang,pengadil jemputan dan ahli medic.

Bagi Kejohanan Futsal Piala KPIPM pula bermula jam 8.30 pagi bermula dengan majlis perasmian. Kejohanan tersebut diteruskan dengan perlawanan peringkat kumpulan dan 8 pasukan berjaya mara ke peringkat suku akhir.

Perlawanan peringkat kalah mati disambung semula jam 1.00 petang.Terdapat 4 pasukan berjaya masuk ke peringkat separuh akhir iaitu DPM Tanta, Al Azraq,Al Ahly dan Salam City A.

Kemudian,perlawanan separuh akhir bermula jam 3.30 petang. Perlawanan pertama dimenangi oleh kumpulan Al Azraq. Perlawanan kedua dimenangi oleh Al Ahly. Kumpulan Al Azraq dan Al Ahly berjaya masuk ke peringkat akhir manakala kumpulan DPMT dan Salam City A bertemu di peringkat penentuan tempat ketiga. 

Selanjutnya,perlawanan penentuan tempat ketiga bermula jam 4.30petang. Perlawanan tersebut dimenangkan oleh kumpulan DPMT dengan sepakan penalti. Akhir sekali,perlawanan peringkat akhir antara Al Ahly dan Al Azraq berlangsung pada jam 5.00 petang. Kumpulan Al Ahly telah dinobatkan sebagai juara Piala KPIPM 2024.

Sehubungan itu,pihak KPIPM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Kejohanan Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’ pada sesi ini.


#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga  
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP 
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Tuesday, January 2, 2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-57 (MAT-57)

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-57 (MAT-57) 
KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2022/2023

KAHERAH:-  Program Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke-57 (MAT-57) sesi 2022/2023   anjuran Jabatan Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 dengan bertemakan “Syura Tunjang Kesatuan Islam”.

Program Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-57 (MAT-57) ini bermula pada 14 Oktober 2023 bersamaan 29 Rabiul Awal 1444H sehingga 15 Oktober 2023 bersamaan 30 Rabiul Awal 1444H bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Program ini telah diadakan saban tahun tidak lain dan tidak bukan merupakan satu medium muhasabah dan cadangan dari ahli keluarga KPIPM bertujuan untuk menambahbaik segala kekurangan sepanjang tampuk kepimpinan ini bergerak.

Objektif utama yang ingin dicapai di peringkat program Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-57 (MAT-57) ini adalah menambahbaik penyusunan gerak kerja Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM seperti menerima maklum balas antara pimpinan dan ahli mengenai gerak kerja yang telah dijalankan sepanjang tahun. Objektif seterusnya yang digariskan ialah mengeratkan Ukhuwah Islamiah antara pimpinan dan ahli dengan saling berinteraksi sepanjang program berlangsung dan saling bantu membantu meneruskan perjalanan majlis yang diadakan bersama-sama. Di samping itu, dapat memaksimumkan medium penerangan kepada ahli tentang perjalanan KPIPM dengan saling melontarkan idea yang bernas bagi meneruskan kelangsungan pergerakan persatuan ini.

Sebelum menunggu hari program Mesyuarat Agung Tahunan kali-57 (MAT-57) ini dilangsungkan, pihak penggerak program telah mengadakan Riadah  Ambang MAT-57 pada 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiul Awal 1444H bagi setiap ahli KPIPM menerusi Muzakarah Berkelompok Gabungan bagi ikhwah dan akhawat. Bagi belah ikhwah telah diadakan di Padang Champion Safarat. Antara aktiviti yang menarik yang telah diadakan ialah Speaker Corner yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Uzair bin Muhamad Zakuan, Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2023/2023 bagi menyemat utuh thaqafah dan ilmu pengetahuan ahli. Selain itu, pihak program juga mengadakan aktiviti sukan futsal bagi mengeratkan lagi hubungan sesama ahli selain melatih kemahiran dan teknik bagi meneruskan keberjayaan pasukan ahli KPIPM untuk menjuarai liga-liga yang akan diadakan nanti.

Bagi sebelah Akhawat, pihak program telah diadakan di Padang Nadi Alam Riyadi. Antara aktiviti yang menarik adalah Speaker Corner yang disampaikan oleh Ustazah Fatin Hakimah binti Marzlidin, Fasilitator KPIPM sesi 2022/2023. Selain itu, Aktiviti Sukan Rakyat juga diadakan bertujuan meningkatkan stamina para ahli di samping menggamit memori ketika kecil. Antara permainan yang dimainkan adalah Tuju Guli, Lompat Tikus dan Lompat Pepsi-Cola. Kita raikan bersama memori kecil ahli walaupun terdapat perbezaan kenangan dan zaman yang dilalui. Syukur kehadrat ilahi kerana aktiviti-aktiviti yang diadakan telah berjaya menambat hati dan disambut baik oleh mereka.


Seterusnya hari yang dinanti-nanti oleh ahli KPIPM ialah hari pertama Program Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-57 (MAT-57) pada hari Sabtu, 14 Oktober 2023 bagi melontarkan ucapan, muhasabah sepanjang sesi dan cadangan penambahbaikan untuk kelangsungan perjalanan KPIPM bagi sesi yang akan datang. Antara agenda besar mesyuarat yang dibawakan adalah Ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-56, pembentangan laporan gerak kerja Jabatan dan Biro KPIPM sesi 2022/2023, pembentangan dan pengesahan laporan kewangan KPIPM sepanjang satu sesi, penyampaian Wang Ithar kepada penerima yang layak, pembentangan dan perbahasan usul, dan seterusnya majlis bersurai selepas solat isyak secara berjemaah dan juadah ringan diagihkan kepada semua perwakilan dan pemerhati.

Program diteruskan lagi pada hari kedua Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-57 iaitu pada hari Ahad, 15 Oktober 2023, dimulakan dengan pengisian Sembang Santai yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Haziq bin Hussin yang digandingan dengan Ustaz Muhammad Anas bin Ahmad Sopuan. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan pelancaran Kitab Terjemahan Biro Pelajaran Ilmiah KPIPM yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari, Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023 diiringi Ustaz Muhammad Uzair bin Muhamad Zakuan selaku Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2022/2023. Antara Agenda besar hari kedua ialah sambungan perbahasan usul, muhasabah dan cadangan ahli kepada pimpinan, penyampaian hadiah bagi setiap biro dan anugerah khas KPIPM pada sesi kali ini, ucapan wakil Badan Penasihat KPIPM sesi 2022/2023, ucapan Ketua Hewi KPIPM sesi 2022/2023 dan ucapan penangguhan sesi oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023.

Majlis melabuhkan tirainya dengan pengisytiharan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa  HEWI KPIPM sesi 2023/2024 oleh Jawatankuasa Khas Pilihanraya seterusnya ucapan Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail selaku Yang Dipertua KPIPM sesi baharu iaitu 2023/2024. Majlis diakhiri dengan jamuan ringan serta solat isyak.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan oleh kepada para perwakilan, pemerhati serta seluruh barisan kepimpinan yang bantu melancarkan perjalanan program. Tiada daya dan tiada upaya melainkan Allah SWT yang menggerakkan hati-hati kita semua agar bersatu menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Pihak program sangat berharap pelaksanaan mesyuarat pada kali ini dapat menuaikan hasil yang terbaik dan membuahkan natijah yang sempurna di mata sisi Islam. Di samping itu, kami juga mendoakan semoga pelayaran kapal yang akan dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Tadbirdan Ahli Jawatankuasa HEWI KPIPM sesi akan datang agar dapat berlayar dengan baik.



"Syura Tunjang Kesatuan Islam"
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
 
Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Basyir bin Nazri,
Setiausaha (Unit Promosi & Pendaftaran) Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-57 (MAT-57)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.

Saturday, December 9, 2023

KENYATAAN RASMI | MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1

KENYATAAN RASMI | MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudmya: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan" 

(Surah Al-Mujadalah, Ayat 11) 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam serta menjadikan kita sentiasa dalam naungan-Nya. Bertepatan dengan ayat al-Quran daripada Surah al-Mujadalah, KPIPM sentiasa menitikberatkan berkaitan hal ehwal akademik ahlinya.

Sedia maklum, pihak Universiti al-Azhar telah mengumumkan tarikh bagi pelaksanaan imtihan bagi fasa yang pertama.

Sehubungan itu, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024 dengan ini memaklumkan bahawa bermula 8 Disember 2023 sebarang aktiviti atau program adalah ditangguhkan dengan pengecualian aktiviti yang berbentuk ilmiah, motivasi dan tarbiah sahaja. Hal ini memberi laluan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi untuk membuat persiapan sebaiknya bagi menghadapi peperiksaan.

Oleh itu, KPIPM mengharapkan seluruh mahasiswa dan mahasiswi memanfaatkan ruang dan masa sebaiknya bagi mengulangkaji pelajaran.

Mudah-mudahan kita semua diberi kejayaan oleh Allah SWT.

Bittaufiq Wannajah! 

Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024

#KPIPMKeluargaKita 
#KeluargaKitaKitaJaga 
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, November 22, 2023

[ KENYATAAN RASMI | PEMANGKUAN JAWATAN AJKT KPIPM SESI 2023/2024 ]

[ KENYATAAN RASMI | PEMANGKUAN JAWATAN AJKT KPIPM SESI 2023/2024 ]

Segala puji bagi Allah SWT yang menguasai langit dan bumi, selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W serta keluarga dan para sahabat.

Berdasarkan perlembagaan KPIPM dalam bab 5, perkara 24 :

"Jika berlaku kekosongan dalam mana-mana jawatan, AJKT KPIPM diberi kuasa melantik seorang pemangku dalam kalangan AJKT bagi jawatankuasa tersebut"

Telah berlaku kekosongan jawatan di dalam AJKT KPIPM. Oleh itu, peringkat pimpinan KPIPM berbincang dan dengan sebulat suara bersetuju melantik saudara Muhammad Umair bin Muhamad Zakuan bagi memangku jawatan sebagai Ketua Biro Perumahan sesi 2023/2024.

Jutaan terima kasih dan selamat maju jaya diucapkan kepada AJKT yang berkenaan, semoga terus istiqamah dalam melakukan kebaikan. 

Siiru A'la Barakatillah

Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail
Yang Dipertua, 
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024. 

#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

9 Jamadilawal 1445H bersamaan 22 November 2023

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Thursday, October 26, 2023

KENYATAAN RASMI | MAKLUMAN : PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT PERAK LUAR NEGARA (ONLINE) KINI DIBUKA

Bismillahirahmanirrahim.

Makluman kepada semua, permohonan Dermasiswa Luar Negeri Zakat Perak dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC) bagi Mahasiswa/wi peringkat pengajian Ijazah telah dibuka sehingga :

📌 9 NOVEMBER 2023

Syarat-syarat utama:

1. Mahasiswa bidang pengajian Islam di Mesir dan Jordan yang bermastautin di Negeri Perak;

2. Tidak mendapat pinjaman dan biasiswa dari agensi lain seperti SUK
Perak, MARA dan SPH JAKIM; dan

3. Mendapat keputusan sekurang-kurangnya Jayyid (batch 2022 ke atas) atau Manqulain (batch 2021 ke bawah) bagi peperiksaan sesi pengajian
2022/2023.

Anda boleh mengisi permohonan secara online di pautan berikut :

online.maiamp.gov.my/bantuanmaipk/

Dokumen yang perlu dikemaskini:

1. Keputusan peperiksaan rasmi bagi sesi pengajian 2022/2023;

2. Pengesahan status mastautin terkini;

3. Pengesahan tahun pengajian sesi
2023/2024.

📌 Kesemua dokumen yang dinyatakan tidak perlu diterjemah.

Sumber : Facebook Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak

Sebarang permasalahan dan pertanyaan, sila hubungi:
• Atase Pendidikan Negeri Perak
Encik Mohammed Tasyreef bin Mohamd Tarmizi
www.wasap.my/+201098569800
+201098569800

• Penolong Atase Pendidikan Negeri Perak
Encik Muhamad Khairul Adli bin Ahmad Padli
www.wasap.my/+201557890369
+201557890369

• Setiausaha Agung KPIPM sesi 2023/2024
Saudara Muhammad Nazreen Faris bin Zaini
www.wasap.my/+201554482542
+201554482542

• Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2023/2024
Saudari Ainun Fathiah binti Ahmad Kemunchak
www.wasap.my/+201554278245
+201554278245

Thursday, October 19, 2023

MAKLUMAN | DIREKTORI ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2023/2024

MAKLUMAN | DIREKTORI ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2023/2024 
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2023/2024

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2023/2024.

Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...