Tuesday, January 31, 2017

MINDA PIMPINAN | PERANAN MAHASISWA ISLAM


PERANAN MAHASISWA ISLAM

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang”

     Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang menciptakan segala kehidupan. Tuhan yang membelai jiwa kami dengan rahmat dan kemuliaan Islam. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga baginda S.A.W, pembawa risalah Islam daripada-Nya. Semoga kita bersama Baginda di Jannah kelak in shaa Allah.

     Realiti hidup masa kini cukup mencabar para azhari dalam pembentukan sahsiah diri. Pelbagai tohmahan dan tuduhan diterima dari segi aspek jati diri, kegiatan harian dan persatuan bahkan aspek kemantapan rohani azhari itu sendiri dipersoalkan. Gelaran azhari cukup memberikan kesan mendalam bagi sesiapa sahaja yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir apabila pulang ke Malaysia kelak.

     Tanggungjawab kita sebagai mahasiswa Islam bagi memperkasakan ilmu bukan sahaja kedapatan di waktu-waktu kuliah bahkan juga diluar waktu kuliah. Sering kita alpa dan leka hanya segelintir sahaja daripada kalangan kita yang terkesan dek kerana situasi hidup rakyat Malaysia yang kini dilanda kebobrokkan akhlak yang kian meruncing sehingga lalai dengan kemodenan dunia luar yang berlumba-lumba untuk kehadapan, lambakan kemudahan komunikasi yang canggih, matawang yang rendah, dan lain-lain.

     Dalam menongkah kehidupan di bumi Mesir ini, mahasiswa perlu menyedari tujuan datang ke bumi Mesir ini bukan sekadar menuntut atau menadah ilmu daripada para alim ulama’, tetapi keberadaan kita sebagai mahasiswa muslim tentunya kerana menyedari hakikat bahawa selaku mahasiswa Al-Azhar di manakah sumbangan kita terhadap ummah. Dalam menuntut ilmu, melunaskan amal fardi , janganlah kita lupa untuk kita laksanakan amal jamaie dan amal ijtimaie kita. Dan apabila kita berbicara mengenai sumbangan, pastinya di sana terdapat pengorbanan yang mesti dilakukan dari setiap sudut.

     Mahasiswa Islam juga perlu berani menghadapi segala cabaran pada zaman yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini. Sebagai mahasiswa sepatutnya kita tidak perlu takut dengan ancaman daripada pihak luar yang ingin melemahkan semangat mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa bukan sahaja layak berbicara mengenai isu globalisasi, tetapi juga berbicara berkenaan isu umat Islam kini. Masalah-masalah kebejatan serta kebobrokkan akhlak dari dulu hingga kini seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya kecuali dengan pendekatan yang kita ambil berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai penawarnya.

     Kesediaan mahasiswa Islam kini untuk berperanan setelah pulang nanti, inilah yang ingin diperkatakan. Kerana yang pasti, ada yang akan pulang sebagai seorang ulama’ dan sebahagiannya pula sebagai umara’. Sementara masih di sini, segala bentuk bekalan dan kelengkapan perlu dikutip. Bekalan ini tidak boleh disudutkan skopnya hanya kepada ilmu sahaja. Juga tidak patut disempitkan kepada kemahiran berpersatuan cuma. Bahkan yang paling tepat adalah mengambil keduanya dan dihiasi dengan adab dan akhlak yang mulia.

     Tuntasnya, peranan kita sebagai mahasiswa Islam merangkap golongan pemuda Islam ialah melakukan perubahan dan bukannya menempel atau memperbaiki. Kesemua ilmu dan thaqafah yang dikutip di bumi Barakah ini menjadi penantian oleh masyarakat Malaysia. Kitalah yang akan mengorak langkah bagi menyinari masyarakat ditanah air. Segala ilmu dan bakti yang dicurahkan akan menghasilkan kerberkatan sebagaimana yang kita impikan iaitu baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur akan menjadi kenyataan.

Siiru 'ala barakatillah. 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

Tinta pimpinan oleh :
Mohamad Akmal Aliff bin Saleh
Bendahari Kehormat KPIPM sesi 2016/2017

Monday, January 23, 2017

MAKLUMAN | PERMOHONAN DERMASISWA MAIPk TELAH DIBUKA

PERMOHONAN DERMASISWA MAIPk 2017 TELAH DIBUKA

PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT
(FISABILILLAH) MAJLIS AGAMA ISLAM & 'ADAT ISTIADAT MELAYU PERAK BAGI MAHASISWA/WI
PERAK PENGAJIAN ISLAM, SAINS KESIHATAN
DAN LAIN-LAIN TELAH DIBUKA PADA :

16 JANUARI 2017 HINGGA 28 FEBRUARI 2017,
PERMOHONAN KALI KEDUA DAN KE ATAS

Makluman kepada seluruh mahasiswa/wi Perak,
permohonan Dermasiswa Zakat (Fisabilillah)
MAIPk telah dibuka.

Bagi pelajar tajaan MAIPk dan Bantuan Umum Pelajar MAIPk (BUP) 2016/2017, anda semua dikecualikan kerana proses tersebut telahpun dijalankan sebelum ini.

Sehubungan itu, para pemohon dikehendaki :

1. Mengemaskini borang online terlebih
dahulu di laman web:
http://isyura.maiamp.gov.my/fisabilillah

2. Dinasihatkan kepada pemohon agar
mengisi borang online ini di Bahagian A dengan LENGKAP tanpa
meninggalkan mana-mana bahagian kosong
untuk memudahkan proses permohonan.

3. Sila lampirkan dokumen-dokumen berikut dalam bentuk Jpeg, Png atau Gif sahaja di Bahagian B seperti :
(1) SALINAN GAMBAR PROFILE
(2) SALINAN GAMBAR SLIP GAJI IBU/BAPA
(3) SALINAN GAMBAR KEPUTUSAN PEPERIKSAAN TERKINI
(4) SALINAN GAMBAR PENGESAHAN PENGAJIAN / TASDIQ
(5) SALINAN GAMBAR AKAUN BANK

4. Salinan di atas boleh dikumpulkan kepada Setiausaha Agung dan Setiusaha HEWI untuk diserahkan dan disahkan kepada Pegawai Atase.

5. Sila cetak (print) borang permohonan anda untuk simpanan.

Diingatkan kepada pemohon untuk menghantar
borang online serta salinan yang lengkap
SEBELUM TARIKH TUTUP (28 FEBRUARI 2017)

Sebarang permasalahan dan pertanyaan sila rujuk:

ATASE Pendidikan Negeri Perak :
Ustaz Munawir Bin Mohamed Noh
(+201093355520)

Setiausaha Agung KPIPM sesi 2016/2017
Saudara Mohamad Bukhari Ridha Bin Mohd Bakri
(+201125422274)

Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2016/2017
Saudari Nur Afifah Najihah binti Ahmad Khalil
(+201002603785)

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN
KESATUAN"

Disediakan oleh :
Jabatan Setiausaha Agung,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2016/2017

Friday, January 20, 2017

KES ROMPAKAN BERSENJATA | HISBAH KPIPM

KES ROMPAKAN BERSENJATA

Khamis, 19 Januari 2016

KAHERAH - Pada jam 3.00 pagi, sekumpulan geng berkulit hitam seramai 7 orang telah memecah masuk ke rumah pelajar Malaysia di kawasan Bawabah 2, Hayyu Asyir. 

Seramai 4 orang suspek bersenjatakan parang panjang mengikat mangsa dan menempatkan mereka di sebuah bilik, manakala 3 orang lagi menggeledah rumah tersebut.

Walaubagaimanapun, kesemua mangsa selamat dan anggaran kerugian sekitar LE 80 ribu.

Justeru, Hisbah KPIPM mengucapkan takziah kepada mangsa dan menyarankan supaya semua ahli :

1. Sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling

2. Sentiasa kunci pintu dengan baik pada waktu malam dan ketika tiada di rumah. 

3. Menyimpan barang dan dokumen penting di tempat yang selamat.

4. Elakkan dari mempamerkan kekayaan / barang berharga pada khalayak umum.

5. Memaklumkan segera kes yang berlaku kepada :

- Pegawai Atase Negeri Perak
En Munawir bin Mohamed Noh
+201122141005

- Yang Dipertua KPIPM
Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak
+201100403093

- Pengarah Hisbah KPIPM
Ustaz Mohd Hazim bin Mohd Halim
+201117936552

- Ketua HEWI KPIPM
Ustazah Nurul Izzaty binti Osman
+201127066847

"Bersama Mencegah Kemungkaran"

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh:
Setiausaha Badan Hisbah KPIPM sesi 2016/2017

Sunday, January 15, 2017

KENYATAAN BERSAMA YDP BKAN | HENTIKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP SEKOLAH AGAMA

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI DI MESIR

HENTIKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP SEKOLAH AGAMA

1) Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian dan keamanan manusia sejagat. Islam bukanlah agama yang melampaui batas bahkan ia melengkapi fitrah manusia serta sesuai dianuti untuk kebaikan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Ar-Rum : 30)

2) Di dalam segenap aspek kehidupan manusia, Islam mementingkan aspek ilmu  pendidikan yang menjadi tunjang penting di dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, sejak dahulu lagi, negara kita telah banyak terbina institusi-intitusi pendidikan yang berteraskan agama Islam yang menjadi salah satu institusi pilihan bagi rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam.

3) Institusi pendidikan agama seperti pondok, madrasah, sekolah agama rakyat dan berbagai lagi telahpun melahirkan ramai tokoh-tokoh yang berwibawa yang banyak berjasa kepada negara. Jangan kita lupa kepada jasa pejuang-pejuang kemerdekaan kita yang merupakan pelajar pondok dan madrasah ini. Lihatlah bagaimana ketokohan mereka seperti Tok Janggut, Tok Kenali, Hj. Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanudin Al-Helmy dan ramai lagi pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita hasil daripada institusi pendidikan agama ini.

4) Justeru, institusi pendidikan agama ini tidak boleh sama sekali dipandang enteng akan kewibawaannya dan perlu dibersihkan segala tanggapan buruk yang boleh mewujudkan salah faham terhadap agama Islam.

5) Oleh demikian itu, kami sebagai Yang Dipertua-yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir (BKAN) mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, baru-baru ini supaya mengkaji semula dasar sekolah agama bantuan kerajaan. Sila rujuk kenyataan beliau pada link http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/12/gerakan-kaji-semula-dasar-sekolah-agama-bantuan-kerajaan/

6) Tanggapan yang dibuat terhadap institusi pendidikan agama ini hakikatnya merupakan satu fakta yang tidak benar dan berunsur hasutan yang mana boleh menimbulkan persepsi buruk sesama rakyat sekaligus mampu memecah belahkan perpaduan.

7) Jika kita meneliti dasar pendidikan di sekolah agama di negara kita ini, ia sama sekali tidak pernah menyeleweng daripada dasar kefahaman Islam yang sebenar bahkan selari dengan apa yang disusun oleh pihak kerajaan.

8) Justeru itu, kami juga menggesa agar beliau menarik balik kenyataan tersebut supaya ia tidak menimbulkan persepsi negatif khususnya terhadap institusi pendidikan agama bahkan kepada agama Islam itu sendiri yang mana merupakan agama persekutuan menurut perlembagaan Malaysia, dalam perkara 3 (1).

9) Kami mengharapkan kepada seluruh rakyat dalam setiap lapisan masyarakat tidak kira agama dan bangsa agar menjaga keharmonian dan keamanan negara tanpa menimbulkan persepsi dan tanggapan negatif yang boleh membawa kepada perpecahan. Kami menyarankan agar kita semua dapat mempertingkatkan kefahaman terhadap Islam dan beramal dengannya sekaligus menjadi mukmin yang sejati.

“Muafakat Asas Kejayaan”

Yang Benar,
Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir
14 Januari 2017

Friday, January 13, 2017

PERKONGSIAN KHUTBAH JUMAAT | NIKMAT KETENANGAN YANG SEBENAR

PERKONGSIAN INTIPATI KHUTBAH JUMAAT

TAJUK : NIKMAT KETENANGAN YANG SEBENAR

     Keseluruhan khutbah pada hari ini boleh disimpulkan dalam 2 persoalan dan jawapan yang diajukan sendiri oleh khatib :

1. Nikmat ketenangan adalah suatu nikmat yang sering dibualkan oleh seluruh peringkat manusia. Sama ada orang kaya miskin, tua muda, lelaki perempuan dan lain-lain. Akan tetapi kebanyakan manusia meletakkan bahawa nikmat ketenangan itu hanya dapat diperolehi dengan adanya harta dan anak-anak serta menumpukan keseluruhan hidup mereka untuk keduanya. Adakah perkara ini sebenar-benar ketenangan?

     Khatib membawakan beberapa potong ayat Al-Quran sebagai renungan dan jawapan bagi persoalan ini, antaranya :

- Dunia dan isinya hanyalah perhiasan dan ujian,

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ

"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; "
[Al-Kahfi : 46]

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar."
[At-Thaghabun : 15]

2. Apakah nikmat yang sebenar bagi manusia?

     Sekali lagi khatib membacakan beberapa potongan ayat al-Quran sebagai jawapan kepada persoalan kedua ini.

- Beriman dan beramal soleh :

وَمَا أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ بِالَّتِي تُقَرِّبُكُمْ عِنْدَنَا زُلْفَىٰ إِلَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ لَهُمْ جَزَاءُ الضِّعْفِ بِمَا عَمِلُوا وَهُمْ فِي الْغُرُفَاتِ آمِنُونَ

"Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa."
[Saba' : 37]

- Selalu mengingati Allah SWT :

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."
[Ar-Ra'd : 28]

     Khatib mengakhiri khutbah dengan pesanan :

"اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا واعمل للآخرة كأنك تموت غدا"

"Bekerjalah untuk kehidupan duniamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok. "

Wallahua'lam.

Jumaat | 13 Januari 2017
Masjid Abu Bakar, Hayyu Sabei',
Nasr City, Cairo.

Oleh :
Muhammad 'Arif bin Yaaziz
Mantan Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016

Friday, January 6, 2017

PERKONGSIAN KHUTBAH JUMAAT | RASUAH ITU HARAM LAGI MEMBINASAKAN

PERKONGSIAN INTIPATI KHUTBAH JUMAAT

TAJUK : RASUAH ITU HARAM LAGI MEMBINASAKAN

وَتَرَىٰ كَثِيرًا مِنْهُمْ يُسَارِعُونَ فِي الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَأَكْلِهِمُ السُّحْتَ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan."
[Al-Maidah : 62 ]

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."
[Al-Baqarah: 188]

     Dalil daripada hadis Nabi S.A.W. tentang rasuah : Daripada 'Aisyah r.a., katanya :

"Rasulullah S.A.W. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."
(HR al-Bazzar & Abu Ya'la)

     Di dalam sebuah hadis lain : Daripada Thauban katanya :

"Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya."
(HR Ahmad & Hakim).

- Rasuah walau apa jua nama lain yg diberikan padanya seperti hadiah, duit kopi dan lain-lain, ia tetap haram.

     Khatib meneruskan khutbah dengan menerangkan lagi tentang bahaya melakukan perkara yg haram yang antaranya adalah :

- Setiap perkara haram itu jika masuk pada rumahmu maka ia akan meruntuhkannya, jika ia masuk pada mulutmu, ia akan menyakitkan, jika ia masuk dalam negaramu ia akan membinasakan.

- Yang haram itu jika masuk dlm badanmu ia akan merosakkan hatimu, jika hatimu telah rosak maka kamu akan melupakan tuhanmu dan jika kamu melupakan tuhanmu maka DIA akan melupakan dan membiarkanmu.

     Seperti mana firmanNya di dalam surah al-Hasyr dan at-Taubah :

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

"Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka."

نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُم

"Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka."

- Perkara haram itu tidak akan membuatkan pelakunya kenyang dan akan terus membuatkannya dahaga dan kelaparan.

- Harta yg halal walaupun sedikit akan membuat pemiliknya merasa cukup kerana padanya ada keberkatan.

     Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Wallahua'lam.

Jumaat | 6 Januari 2017
Masjid Abu Bakar, Hayyu Sabei',
Nasr City, Cairo.

Oleh :
Muhammad 'Arif bin Yaaziz
Mantan Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016

Tuesday, January 3, 2017

2 JANUARI 1492 | KEJATUHAN ISLAM DI ANDALUSIA




HARI INI DALAM SEJARAH

Pada tahun 900 Masihi, Islam telah mencapai puncak kegemilangannya di tanah Andalusia.Umat Islam di daerah tersebut mencapai kira-kira sebanyak 5 juta orang bersamaan 80% daripada penduduk tempatan.

Dinasti Umayah II pada ketika itu menjadi penguasa tunggal di Andalusia di mana kerajaannya mencapai kondisi sosial yang paling maju dan stabil di daratan Eropah namun pada tahun 1000 Masihi, kerajaan Andalusia telah menempah kegagalannya dalam mengekalkan posisi mereka. Kerajaan ini telah runtuh dan terpecah menjadi negara-negara kecil yang digelar Thaifah. Lebih menyedihkan lagi apabila satu per satu Thaifah ini telah berjaya ditakluki oleh kerajaan Kristian Eropah (Reconquesta) dan perkara ini berlaku sepanjang 200 tahun kecuali di sebuah negara kecil di hujung selatan tanah Andalusia iaitu kerajaan Granada.

Pada era tahun 1200-an, Granada berjaya menghindarkan negara mereka daripada penaklukan kerajaan-kerajaan Kristian Eropah. Bagi mempertahankan negara mereka, kerajaan Granada telah menyepakati perjanjian dengan kerajaan Castile (antara kerajaan Kristian terkuat di Eropah). Mereka dibayar upeti berupa emas setiap tahun sebagai tanda ketundukan kerajaan Granada kepada mereka.
Namun keruntuhan Granada bermula apabila Raja Ferdinand dari kerajaan Aragon menikahi puteri Castile, Isabella. Natijahnya, Granada ditakluk dan semua jejak Islam yang terdapat di negara ini dihapuskan. Dan pada 1482 Masihi, pertempuran antara kerajaan Kristian Sepanyol dan Emirat Granada pun bermula.

Tanggal 1492 Masihi, pasukan Kristian berjaya memasuki Kota Granada dan Istana al-Hambra. Bendera-bendera dan simbol-simbol kerajaan Kristian ditampal pada dinding-dinding istana dan bendera salib dipacakkan di menara tertinggi istana sebagai tanda kekuasaan dan penaklukan mereka.

Ribuan umat Islam diseksa dan dibunuh. Dengan jatuhnya kerajaan Granada ini, maka berakhirlah peradaban Islam di Sepanyol yang sebelum ini telah bertahan lebih dari 7 abad lamanya, maka cahaya Islam di sana telah diganti dengan pengaruh Kristian yang menempati wilayah tersebut.

      Dengan ini, Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi ini menyeru kepada seluruh mahasiswa mahupun mahasiswi supaya cakna dan peka terhadap jatuh bangun sejarah dan tamadun Islam, agar jiwa-jiwa kita punya kesedaran dalam menyebarkan serta menghidupkan keagungan dan syiar Islam hendaknya. Kembalikan kegemilangan Islam !

Mari bersama kita jayakan KEMPEN ACT FOR PEACE !


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“ Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan “


Disediakan oleh :
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM
sesi 2016/2017

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM