Sunday, April 17, 2016

KEMPEN "FREEDOM" | GEMPA BUMI DI JEPUN





KEMPEN FREEDOM | GEMPA BUMI DI JEPUN
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2015/2016

KUMAMOTO: Satu gempa bumi kuat  berukuran 7.3 magnitud melanda wilayah Kumamoto, Jepun awal pagi tadi, kurang 24 jam selepas kawasan sama dilanda gempa yang mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan lebih 800 yang lain.

Sekurang–kurangnya 18 orang disahkan terkorban dalam kejadian gempa bumi terbaharu itu.

Seorang jurucakap kerajaan di Wilayah Kumamoto, Takayuki Matsushita mengesahkan perkara itu dengan menyebut sumber polis dan jabatan bomba.

Bagaimanapun siaran television NHK melaporkan sekurang-kurangnya sembilan maut dan 760 yang lain cedera.

Sementara itu di beberapa kawasan terdapat kesan retak terbaharu akibat gempa bumi berkenaan.

Agensi meteorologi Jepun turut melaporkan sebahagian penduduk mengalami kecederaan dan terperangkap di sekitar kawasan Kumamoto.

Sumber : Al-jazeera, astro awani, bernama

.......................................................................

Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2015/2016 menyeru kepada semua untuk sama-sama mendoakan saudara-saudara kita di sana agar dikurniakan keselamatan hendaknya. BTKKR juga menyeru agar kita sama-sama tingkatkan kecaknaan kita terhadap isu dunia yang berlaku di sekeliling kita.

Ayuh bersama kita jayakan kempen "Freedom" , kempen BTKKR KPIPM sesi kali ini!

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, April 13, 2016

Kenyataan Bersama Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di Mesir: "Beri Peluang Kepada Dr. Zakir Naik Buktikan Keindahan Islam"




Kenyataan Bersama Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) di Mesir: "Beri Peluang Kepada Dr. Zakir Naik Buktikan Keindahan Islam"

1. Berikutan isu provokasi terhadap Ceramah Dr. Zakir Naik yang bakal berlangsung pada 17 April ini di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), kami Barisan Kepimpinan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir yang mewakili mahasiswa Islam di Mesir, kesal dengan tindakan tersebut.

2. Kredibiliti Dr. Zakir Naik sebagai pendakwah yang terkemuka dunia serta pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah 1435H Peringkat Antarabangsa itu perlu diberikan pengiktirafan penuh oleh pihak kerajaan Malaysia selaku negara yang mengamalkan keharmonian agama dalam masyarakat berbilang kaum. Sepanjang pengamatan umat Islam terhadap Dr. Zakir Naik dalam arena dakwahnya, belum pernah lagi beliau mencetuskan provokasi atau menghidupkan sentimen prejudis terhadap agama lain. Setiap hujjah yang beliau utarakan dalam ceramah-ceramah beliau adalah bertunjangkan kepada fakta yang tepat dan sahih daripada Al-Quran, Hadis Rasulullah SAW, kitab-kitab sumawi yang lain serta fakta sains yang logik. Selaku tuan rumah, Malaysia seharusnya memanfaatkan kehadiran beliau dalam menyebarluaskan penerangan Islam diseluruh lapisan masyarakat bertepatan dengan agama Persekutuan tanah air kita adalah Islam. Disamping agama-agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing.

3. Kekesalan kami adalah terhadap kenyataan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, YB.Dr.Prof. P. Ramasamy yang telah mencetuskan provokasi antara kaum dan agama. Sepatutnya, beliau sebagai seorang pemimpin wajar menunjukkan sikap profesional dalam melaksanakan sesuatu tindakan dengan hujah dan juga nilai-nilai murni, bukan secara emosional dan menyemburkan kata-kata kesat yang menyinggung perasaan umat Islam. Sekiranya beliau ingin menyatakan pendapat, kami mengesyorkan agar beliau bertemu mata dengan Dr. Zakir Naik dan menyatakan ketidaksetujuan dalam hal ehwal perbandingan agama.

4. Justeru, kami Barisan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir sepakat menyatakan solidariti terhadap Dr. Zakir Naik bagi membuktikan kesatuan umat Islam dalam mempertahankan aqidah Islamiah yang suci dan bertanggungjawab menyebarkan dakwah Islamiah kepada umat Islam yang lain.

5. Kami mengharapkan agar pihak kerajaan membuka peluang seluas-luas kepada pakar perbandingan agama ini untuk membuktikan kepada umat Islam dan bukan Islam akan kebenaran agama Islam dengan hujjah ilmiah dan adab demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

6. Kami juga berharap agar rakyat Malaysia sama ada muslim atau non-muslim bertenang dan cuba elakkan daripada mencetuskan provokasi dan menyemarakkan lagu api permusuhan antara agama.

7. Di samping itu, kami juga ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan yang menarik balik keputusan untuk membatalkan program tersebut. Program yang akan berlangsung di UTEM akan diteruskan namun ditukar kepada tajuk baharu. Dengan penganjuran program ini dapat menarik minat seluruh lapisan masyarakat dalam mengenali Islam dengan lebih dekat. Dalam masa yang sama, kami mengharapkan agar pihak kerajaan memohon maaf terhadap isu pembatalan tersebut.

Terima kasih.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Saturday, April 9, 2016

MSP '16 | "Introspeksi Memacu Pimpinan Berkualiti"


KAHERAH, 2 APRIL 2016 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2015/2016 di bawah anjuran Jabatan Setiausaha Agung telah mengadakan Muhasabah Separuh Penggal 2016 (MSP '16). Objektif program ini diadakan adalah untuk memperkemaskan perjalanan KPIPM , mengikat ukhuwah antara ahli dan pimpinan, serta membuka ruang kepada ahli untuk memberi cadangan dan muhasabah. Program ini berlangsung di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Baitul Ridzuan dengan bertemakan “INTROSPEKSI MEMACU PIMPINAN BERKUALITI”.

     Bermula pada jam 7.25 malam, Kaunter Pendaftaran Ahli KPIPM telah dibuka. Seterusnya, diikuti dengan menunaikan Solat Isyak secara berjemaah dan mendengar sedikit taklimat disiplin. Dengan bermulanya perarakan masuk AJKT dan AJK HEWI KPIPM sesi 2015/2016 ke dalam dewan, maka bermulalah Muhasabah Separuh Penggal 2016 secara rasminya.

     Program ini terbahagi kepada dua sesi. Sesi pertama dimulai dengan ucapan aluan dari Setiausaha Agung KPIPM, saudara Khairul Naim bin Abd. Razak, diikuti dengan pembentangan laporan aktiviti setiap jabatan dan biro sepanjang separuh sesi 2015/2016. Manakala, sesi kedua pula adalah sesi muhasabah dan cadangan dari peringkat ahli untuk para pimpinan KPIPM juga dari ahli sendiri buat ahli.

     Selepas itu, ucapan pergulungan dari Pengerusi Badan Penasihat KPIPM, saudara Muhammad Hanif bin Abdullah, diikuti juga dengan bacaan Doa Rabithah oleh Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM, saudara Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak. Seterusnya, perarakan keluar AJKT dan AJK HEWI KPIPM sesi 2015/2016. Sebelum berakhir, program turut diserikan dengan persembahan nasyid dari Usrah al-Muhazirun.

     Setelah ucapan penangguhan dari pengerusi umum dan sedikit jamuan makan, maka berakhirlah Musabah Separuh Penggal 2016 dengan jayanya sekitar jam 11.30 malam. Moga dengan muhasabah ini mampu mejadikan pimpinan lebih berkualiti pada masa akan datang dan melahirkan ahli yang memahami perlunya kebersamaan dalam apa jua lapangan. Segala kerjasama yang baik dari semua peringkat diucapkan ribuan terima kasih.

Disediakan oleh :
Setiausaha MSP'16 KPIPM sesi 2015/2016






















BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"



PERANAN PEMUDA ISLAM MASA KINI - Diskusi Kitab Tahun Satu


KAHERAH, 4 April 2016- Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM di bawah Jabatan Fasilitator telah mengadakan program Diskusi Kitab “Ahadafuna Akhtar Qodoya Muslimin”. Program yang diadakan ini khusus untuk mahasiswa mahasiswi Tahun Satu. Ianya bertujuan untuk menjelaskan kepada mereka tentang peranan, tujuan dan matlamat berada dalam medan dakwah. Pembentangan tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Fadzil bin Abdul Rahim merupakan mantan Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah dan Setiausaha Agung KPIPM.

     Setiap daripada kita selaku individu muslim mempunyai peranan yang besar dalam menangani bahaya anasir dan musuh yang cuba merosakkan umat Islam pada hari ini. Selain daripada itu, kita juga berperanan mengembalikan semula kefarduan  Islam yang hilang.

     Antara kefarduan tersebut ialah undang-undang Islam telah ditukar dengan undang-undang ciptaan manusia. Tanah-tanah umat Islam juga telah dirampas  dan menjadi hak milik orang-orang kafir. Selain itu, wilayah dan khilafah islamiyyah perlu ditegakkan dan didirikan semula. Tambahan pula, penindasan umat Islam di seluruh dunia juga perlu dibela dan dipertahankan.

     Wasilah dan jalan bagi mencapai tujuan dan matlamat mengembalikan kegemilangan Islam itu terletak di bahu setiap individu muslim. Proses pembentukan diri, keluarga, masyarakat dan negara perlu sentiasa dititikberatkan oleh semua pihak. Perkara tersebut haruslah meliputi setiap aspek dalam kehidupan dari sudut pendidikan, undang-undang, ekonomi, politik dan sebagainya.

     Konklusinya, kita selaku mahasiswa Islam yang merupakan generasi yang bakal mentadbir dan memegang amanah tersebut hendaklah sentiasa bersedia ke arah tersebut. Mahasiswa perlu memahami dan memainkan peranan sebagai mahasiswa Islam.  Sebelum berakhir pengisi telah menegaskan berkaitan peranan pemuda Islam yang digariskan oleh penulis . Antara peranan yang disebut ialah “memahami Islam secara benar, beramal dengan ilmu, menjadi penggerak di medan dakwah dan menggabungkan diri bersama gerakan Islam.”

     Semoga program yang dijalankan ini mampu melahirkan mahasiswa yang berilmu dan beramal dalam menegakkan kembali Islam di muka bumi.







“Kemantapan Tarbiah Wahana Transformasi Ummah’
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, April 5, 2016

Perjuangan di Medan Dakwah : Ijtima’ Fasilitator siri II



KAHERAH , 4 Apri 2016 - Jabatan Fasilitator KPIPM sesi 2015/2016 sekali lagi berjaya mengadakan Ijtima’ Fasilitator untuk siri yang kedua. Program yang diadakan ini khusus buat semua fasilitator di setiap peringkat ikhwah mahupun akhawat.

Beberapa pengisian telah disediakan khas untuk pembinaan ruh tarbiah dan perkongsian ilmu dan thaqafah buat para fasilitator  KPIPM. Pelbagai aspek telah diberi penekanan antaranya berkaitan dalil-dalil perjuangan dalam berdakwah dan rukun dalam berjemaah. Pembentangan berkaitan dalil perjuangan telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Hazim bin Mohd Halim yang juga selaku Pengerusi JATA KPIPM. Pembentangan tersebut berdasarkan kepada dalil di dalam surah Yusuf ayat 108.

Firman Allah SWT yang bermaksud  :

Katakanlah (wahai Muhammad) : Inilah jalanku, aku dan orang yang mengikutiku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan bukti dan keterangan yang jelas dan nyata. Dan aku menegaskan Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

Seterusnya pembentangan berkenaan rukun-rukun dalam berjemaah telah diterangkan oleh Ustazah Fatimah binti Azizuddin selaku Timbalan Pengerusi JATA KPIPM. Rukun tersebut terbahagi kepada empat iaitu ahli yang taat , pemimpin yang rabbani , manhaj  dan uslub dakwah. Keempat-empat elemen ini perlu ada dalam setiap gerak kerja bermasyarakat dan dakwah menyeru kepada Islam. Semuanya memainkan peranan penting untuk merealisasikan matlamat dan tujuan tersebut.

Ijtima’ Fasilitator ini diakhiri dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016, Ustaz Muhamad Ainuddin bin Mohd Ishak. Beliau telah menekankan berkenaan Hari Jumaat yang merupakan ahli untuk diadakan muzakarah berkelompok. Hari yang barakah itu perlu diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Pada masa yang sama, mengingatkan semua fasilitator supaya sentiasa mengenali dan memahami hati mad’u.

Semoga program ini memberikan impak yang besar di dalam diri setiap fasilitator. Sekaligus menjayakan usul KPIPM sesi kali ini bagi melahirkan tenaga pengisi yang berkemahiran.







Disediakan oleh :

Setiausaha  Jabatan Fasilitator
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016.

“Kemantapan Tarbiah Wahana Transformasi Ummah’
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN.

Saturday, April 2, 2016

UJIAN SEBAGAI GANJARAN BUAT HAMBA-NYA



UJIAN SEBAGAI GANJARAN BUAT HAMBA-NYA

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh  Allah SWT sebagai bala' (البلاء) serta fitnah (الفتنة). Menurut kamus Al Muhit (المحيط) kedua-duanya berkongsi maksud yang sama.

Sebagai hamba Allah SWT, kita tidak akan dapat lari daripada terus diuji oleh Allah SWT. Ujian yang mendatang bukan sahaja dapat menjadikan diri kita kuat malah dapat juga meningkatkan tahap keimanan seseorang hamba kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam  Al Qur'an:-

"...وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالخَيْرِفِتْنَةً،وَإِلَينَا تُرْجَعُوْنَ.

"Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan dan kepada kami-lah kamu semua dikembalikan". [Al Anbiyaa':35]

Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menguji hamba-Nya dengan musibah pada satu waktu dan kemudiannya memberikan nikmat pada waktu yang lain untuk melihat siapa yang bersyukur, siapa pula yang sabar, siapa pula yang kufur dan siapa pula yang putus harapan untuk terus bergantung pada Allah SWT.

■Ujian Yang Berbeza Untuk Mengukur Tahap Keimanan Hamba-Nya.

لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

"Allah tidak memberi sesuatu kesusahan kepada seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya".
[Al Baqarah:286]

Daripada ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka.

Rasulullah ﷺ menyifatkan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia merupakan tanda kecintaan Allah SWT kepada mereka. Semakin besar dugaan dan ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia, juga menandakan besar juga pahala yang diperolehinya. Maka, jelas bahawa ujian yang diberikan Allah SWT adalah untuk menguji tahap keimanan seseorang hamba agar terus dekat bersama-Nya dan hanya mengharapkan pergantungan satu-satunya hanya pada Allah SWT. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan hati yang redha. Dan padanya rahmat Allah SWT serta keredhaan-Nya.

Namun,bagi manusia yang lalai dan tidak meredhai ujian yang diberikan keatasnya maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah SWT kerana tidak redha akan ujian yang diberikan oleh Allah SWT buatnya.

■Nabi Allah SWT Juga Diuji.

Suatu kisah berkenaan antara ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ di dalam kehidupan beliau.

Bagaimana ayah Baginda Rasulullah ﷺ meninggal  dunia ketika Rasulullah ﷺ masih dalam kandungan. Kemudian, Allah SWT uji sewaktu Baginda Rasulullah ﷺ berusia 6 tahun pula terpaksa menerima pemergiaan bondanya yang tercinta. Dan seterusnya selepas hijrah Rasulullah ﷺ dari Habsyah ke Madinah, baginda ditambah lagi dengan ujian kematian bapa saudaranya yakni Abu Talib dan isteri Baginda, Siti Khadijah. Juga dalam peristiwa peperangan yang lain yakni syahidnya Hamzah bin Abdul Mutallib, Mus'ab bin Umair, 'Abbad bin Bisyr dan selainnya. Rasulullah ﷺ banyak diuji dengan ujian yang lebih berat, namun Baginda Rasulullah ﷺ menghadapi dugaan tersebut dengan penuh kesabaran meskipun kehilangan insan yang dicintai yang sentiasa menyokong Baginda dalam Aktiviti dakwah, juga para sahabat yang hebat dalam memperjuangkan agama Islam.

■Ujian Buat Hamba-Nya Hari Ini.

Mehnah dan tribulasi dalam konteks kehidupan hari ini dapat dilihat di sekelilling kita bahawa setiap manusia akan diuji  dan tiada yang akan terlepas daripada ujian Allah SWT. Perkara yang ringan pada seseorang adalah berat pada satu orang yang lain pula.Dan cara kita berinteraksi dengan dugaan yang mendatang adalah manifestasikan keimanan kita kepada Allah SWT. Pada kaca mata orang yang miskin itu, ujian buatnya adalah kemiskinan. Namun, buat orang yang kaya pula kekayaannya menjadi ujian buat dirinya.

Hari ini manusia itu diuji dengan pelbagai cara. Adapun orang yang diuji, lain kesusahan yang ditanggung.

Ada orang diberikan kasih  sayang namun suatu saatnya Allah SWT menarik nikmat kasih sayang itu dengan menguji sesuatu kematian terhadap orang yang dicintainya.

Ada orang pula, dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mampu untuk bekerja disiang hari untuk mencari rezeki.Akan tetapi kemudiannya,Allah SWT berinya ujian dengan menghadirkan kesakitan buat dirinya sebagai satu peringatan sama ada dia sentiasa beringat untuk terus beriman dan bersyukur kepada Allah SWT ataupun tidak.

Ada orang diuji dengan kehidupan dan sebagainya.

■Sabar Sebagai Penyelamat Bagi Orang Yang Beriman.

Sering kali kita diingatkan agar sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian Allah SWT. Seperti firman Allah SWT dalam Al Qur'an:-

 يَا أَيُّهَا الذِيْنَ أَمَنُوْا اصْبِرُواْ وَصَابِرُوا وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman!Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-sedia dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beruntung".[Ali Imran:200]

Kesabaran juga mesti dijana dengan ketaatan sebagai dasar untuk mengelakkan iman daripada terus goyah dan bersifat putus asa.Selain itu,ketaatan jua-lah,manusia akan menjadi  redha atas ujian yang berlaku.

Sabar itu juga adalah sunnah para Nabi dan Rasul.Ini jelas sebagaimana  dikhabarkan oleh Allah SWT dalam Al Qur'an surah Al Anbiyaa',ayat 85:-

 وَإِسْمَعِيْلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الكِفْلِ،كُلُّ مِّنَ الصَّبِرِينَ

 "Dan (ingatlah kisah) Ismail,Idris dan Zulkifli.Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar".


■Nikmat Bagi Orang Yang Bersabar Dalam Ujian Allah SWT.

Oleh itu,sebagai  hamba Allah SWT dan ummat Nabi Muhammad ﷺ wajib keatas kita untuk terus bersabar dan bersyukur kepada Allah SWT kerana orang yang diberikan musibah atau ujian hakikatnya merupakan seorang hamba yang dicintai oleh Allah SWT serta mendapat ganjaran yang besar disisi Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT:

يَأيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا اسْتَعِيْنُوا بِالصَبْرِ وَالصَّلَوةِ،إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّبِرِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman!Mohonlah pertolongan (kepada Allah SWT) dengan sabar dan solat.Sungguh,Allah SWT beserta orang-orang yang sabar". [Al Baqarah:153]

Akhirnya,ketahuilah sesungguhnya tidaklah Allah SWT datangkan sesuatu ujian ataupun musibah melainkan hanya untuk meningkatkan tahap keimanan dan darjat seseorang hamba-Nya dalam kehidupan.Dan juga mengerti bahawa kenikmatan yang dikurniakan Allah SWT itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mendekatkan diri agar sentiasa bertaqwa disamping mengetahui bahawa kehidupan didunia itu hanyalah sementara,khayalan semata-mata,sementara yang menjadi hakiki adalah kehidupan yang kekal selama-lamanya iaitu kehidupan di hari akhirat yang pasti.
Wallahua'lam.

Hasil Karya,
Fatini Binti Zulkelnain

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Friday, April 1, 2016

“SIRAH DICAMBAH, LAHIR SRIKANDI KENAL ERTI TABAH”



KAHERAH- 19 Mac 2016 hingga 21 Mac 2016, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah  mengadakan jaulah ke Semenanjung Sinai dengan jayanya. Jaulah yang diberi nama ‘Road to Sinai 2016’ (RISE’16) bertemakan “Rest Your Mind, Rise Your Knowledge” ini telah dianjurkan oleh Ketua HEWI KPIPM dan di bawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI KPIPM sesi kali ini. Jaulah yang berlangsung selama 3 hari ini berjaya mengumpulkan seramai 42 orang peserta dan terdiri daripada mahasiswi KPIPM sendiri yang hadir daripada pelbagai umur dan peringkat pengajian.

HARI PERTAMA

RISE’16 ini bermula dengan majlis perasmian pada jam 1.30 pagi yang bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman yang mana majlis ini diisi dengan ucapan daripada Pengarah RISE’16 serta ucapan perasmian daripada Ketua HEWI KPIPM diikuti dengan taklimat disiplin dan Solat Sunat Musafir secara berjemaah. Pengarah RISE’16, saudari Afifah Najihah binti Ahmad Khalil telah menekankan beberapa objektif RISE’16 di dalam ucapannya. Antara objektifnya tidak lain tidak bukan adalah untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan peserta, mengambil ‘ibrah daripada kisah para anbiya’ dan kaum terdahulu, serta mempraktikkan sunnah mengembara yang dianjurkan Islam. Beliau berharap agar peserta dapat bersama-sama menjayakan objektif yang telah disebutkan. Majlis perasmian disempurnakan lagi dengan ucapan perasmian daripada Ketua HEWI KPIPM, saudari Syariza binti Ayub yang mana di dalam ucapannya beliau juga menekankan objektif RISE’16 yang telah disebutkan oleh pengarah dan berharap agar RISE’16 dapat berjalan dengan lancar dan dipermudahkan sekali gus merasmikan RISE’16. Seterusnya, majlis diserahkan kepada Ad hoc Disiplin, Kebajikan dan Pendaftaran RISE’16, saudari Nur Farhana binti Ali bagi menyampaikan taklimat disiplin dan sesi semakan nama peserta. Kemudian, Solat Sunat Musafir dilakukan secara berjemaah.

Setelah selesai majlis perasmian, peserta berkumpul di perkarangan Baitul Rahman dan memulakan perjalanan tepat jam 3.30 pagi dengan menaiki bas dan doa permusafiran dibacakan oleh Musyrif Penerangan RISE’16, iaitu saudara Abdul Rahman bin Sarwani. Tepat jam 5.30 pagi, bas tiba di sebuah perhentian berdekatan dengan Nokhtah Hasanah bagi menunaikan Solat Subuh di situ. Selesai Solat Subuh, perjalanan diteruskan lagi dengan melalui Terowong Ahmad Hamdi bagi melintasi Terusan Suez. Mengikut kepada penerangan yang telah diberikan oleh musyrif penerangan, terowong ini adalah penyambung di antara benua Afrika dan Asia yang terbina dengan panjang 1.63 kilometer. Terowong ini dibina sebagai jalan pintas penduduk Mesir dari Kaherah ke Semenanjung Sinai selepas Sinai berjaya ditawan Mesir.

Tepat jam 7.00 pagi, peserta tiba di Kubu Bar Lev. Kubu ini merupakan kubu perang Israel terakhir yang berjaya ditawan Mesir. Peserta diberi penerangan oleh askar yang mengawasi bekas tapak kubu tersebut. Kubu Bar Lev ini dikatakan kubu terakhir yang berjaya ditawan oleh kerana binaannya tidak disedari orang sekeliling dan tidak dapat dikesan keberadaannya disebabkan binaannya dari bawah tanah.

Selepas itu, perjalanan diteruskan ke destinasi seterusnya iaitu ‘Uyun Musa A.S. (Telaga Nabi Musa) yang terletak kira-kira 500 meter dari Kubu Bar Lev dan berada di sebelah Teluk Suez Laut Merah. Dan di sinilah 12 telaga yang digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel yang mana diperintahkan oleh Nabi Musa A.S. apabila mereka selamat daripada tentera Firaun yang mengejar mereka ketika menyeberangi Laut Merah. Akan tetapi hanya 3 telaga sahaja yang ditemui di situ. Di sekitar kawasan ‘Uyun Musa itu juga, terdapat beberapa pohon yang besar dan rendang, dan dikatakan pohon tersebut adalah salah satu tempat persinggahan Maryam, ibu Nabi Isa A.S. tumpang berteduh. Sambil mendengar penerangan tentang ‘Uyun Musa A.S. , peserta bersarapan pagi roti berlaukkan sardin bersama teh panas. Setelah selesai bersarapan, peserta bergerak ke destinasi seterusnya iaitu ‘Uyun Ayyub A.S. (Telaga Nabi Ayub). Telaga ini terletak kira-kira 300 meter dari ‘Uyun Musa A.S. dan masih mengeluarkan air yang mencurah-curah sehingga ke hari ini.

Tepat jam 9.30 pagi, bas mula bertolak menuju ke Jabal Musa A.S. dan jangkaan tiba di Jabal Musa selama 5 jam perjalanan. Sepanjang perjalanan, Ustaz Abdul Rahman selaku musyrif penerangan telah berperanan menerangkan tentang beberapa buah tempat bersejarah yang bakal dilawati. Perjalanan ini juga diselang-selikan dengan aktiviti yang telah disusun oleh Unit Pengisian RISE’16, saudari Siti Hajar binti Ahmad Daud iaitu sesi kuiz soal jawab dan juga sesi cabutan bertuah. Hadiah cabutan bertuah. Kesemua peserta memberi respon yang amat baik, menggamat suasana sepanjang perjalanan.

Setelah mengharungi perjalanan selama 5 jam lamanya, bas tiba di kawasan penginapan yang bernama Moon Land Camp yang terletak di kawasan Jabal Musa (St.Catherina) pada jam 2.30 petang. Seterusnya peserta diagihkan bilik penginapan dan berkumpul bagi menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar seterusnya menikmati juadah makanan tengah hari yang telah disediakan oleh Ad hoc Unit Makanan, saudara Ahmad Haziq Muqri bin Ahmad Azhar dan AJK beliau. Setelah selesai makan tengah hari, peserta diminta untuk bersiap sedia bagi aktiviti seterusnya iaitu aktiviti mendaki Wadi Arba’ien.

Tepat jam 4.00 petang, aktiviti pendakian Wadi Arba’ien bermula. Menurut satu riwayat, Wadi Arba’ien ini adalah lembah tempat berkumpulnya 40 orang nabi dan para wali untuk bermusyawarah. Di sini juga terdapat Batu 12 Mata Air yang diketuk oleh Nabi Musa A.S. menggunakan tongkatnya. Maka hal ini bertepatan dengan firman Allah yang berbunyi ;

“Dan ingatlah ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu kami berfirman : Pukullah batu itu dengan tongkatmu, lalu terpancarlah daripadanya 12 mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku kaum kamu telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing) makan dan minumlah rezeki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi ini dengan membuat kerosakan.” (Al-Baqarah : 60) .

Setelah selesai aktiviti pendakian, peserta bergerak pulang ke tempat penginapan dan bersiap sedia untuk menunaikan Solat Jamak Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta makan malam.

Setelah selesai makan malam, peserta diminta berkumpul untuk sesi taklimat dan pembahagian kumpulan bagi aktiviti pendakian ke Jabal Musa bagi keesokan harinya. Peserta juga diselang-selikan dengan sesi kuiz dan soal jawab. Selepas itu, peserta diberi rehat dan diminta berkumpul semula pada jam 12.00 tengah malam itu bagi aktiviti pendakian Jabal Musa.

HARI KEDUA

Keesokan harinya, pada jam 1.00 pagi, peserta mula bergerak ke kaki Jabal Musa dengan menaiki bas. Peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan dan bergerak secara berkumpulan diketuai oleh ketua kumpulan masing-masing. Peserta mula bergerak mendaki mengikut kumpulan demi kumpulan. Lebih kurang 5 jam selepas itu, kesemua peserta berjaya menjejaki puncak Jabal Musa dan Solat Subuh di sana.

Peserta juga dapat menikmati keindahan matahari terbit dan bergambar kenangan bersama. Terpancar kegembiraan pada wajah peserta masing-masing sesudah berjaya sampai ke puncak setelah tabah menempuhi penat lelah mendaki ke puncak. Setelah selesai Solat Subuh, peserta mendengar penerangan yang disampaikan oleh musyrif penerangan berkenaan kisah Nabi Musa A.S. menerima wahyu, bermunajat dan beruzlah di puncak bukit tersebut.

Setelah itu, peserta mula menuruni bukit dan bergerak pula ke kawasan peninggalan perkampungan Nabi Ilyas A.S.. Di sana masih terdapat beberapa buah peninggalan rumah dan sebuah telaga. Kemudian, peserta menyambung perjalanan menuruni hingga ke kaki bukit. Tepat jam 11.00 pagi, semua peserta berkumpul di tempat bus parking dan terus bergerak ke Moon Land Camp bagi urusan check-out dari tempat penginapan dan Solat Jamak Zohor dan Asar secara berjemaah. Setelah selesai urusan solat dan pemindahan barang, bas bertolak ke destinasi yang seterusnya iaitu Pantai Dahab. Di sini, peserta makan tengah hari bersama dan diberi peluang sepenuhnya untuk bergambar, bermain bola, akitiviti BBQ di tepi pantai.
Tepat jam 6.30 petang, peserta berkumpul untuk ke tempat penginapan, Hotel Octopus. Sesampainya di tempat penginapan, peserta diagihkan bilik penginapan, makan malam dan Solat Jamak Maghrib dan Isyak secara berjemaah di bilik masing-masing. Selesai solat, peserta dibawa berjalan ke Pasar Dahab berdekatan hotel penginapan bagi membeli barang dan hadiah kenang-kenangan.

HARI KETIGA

Keesokan harinya, tepat jam 7.30 pagi setelah selesai kendiri dan sarapan pagi, peserta berkumpul dan dibahagikan secara berpasangan bagi aktiviti sukan ATV Quard Bike. Pagi itu, peserta dibawa berjalan menaiki ATV Quard Bike menikmati pemandangan laut, bergambar kenangan dan singgah berehat di satu kawasan perhentian.

Pada jam 10.50 pagi, peserta pulang ke hotel penginapan dan berkumpul bagi aktiviti glass boat di Pantai Dahab. Di pantai, peserta dibawa menaiki bot yang mempunyai bahagian lantai yang diperbuat daripada kaca. Dari permukaan yang berkaca tersebut, peserta dapat melihat hidupan dan keindahan dasar laut secara langsung. Peserta mengambil kesempatan yang ada untuk merakam pemandangan dan mengambil gambar kenang-kenangan.

Tepat jam 1.00 petang, peserta bergerak pulang ke hotel penginapan untuk solat, makan tengah hari dan urusan check-out dari hotel penginapan. Setelah selesai urusan, bas mula bertolak pulang ke Kaherah pada jam 3.00 petang. Semasa perjalanan pulang, peserta diajukan soalan kuiz serta beberapa cabutan bertuah. Suasana menjadi gamat apabila peserta begitu semangat untuk menjawab soalan. Terpalit kegembiraan pada wajah mereka yang berjaya menjawab soalan dan yang bertuah. Sekitar jam 7.15 petang, bas berhenti di sebuah masjid bagi menunaikan Solat Jamak Maghrib dan Isyak. Seusai perjalanan, sekitar jam 11.45 malam, rombongan tiba di Baitul Rahman Wisma Darul Ridzuan.








BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...