CARTA ORGANISASI AHLI MAJLIS PERWAKILAN KPIPM SESI 2015/2016

 AHLI MAJLIS PERWAKILAN KPIPM SESI 2015/2016



BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

RISE'16 | MENELUSURI IBRAH KALIMULLAH

RISE'16 | MENELUSURI IBRAH KALIMULLAH

KAHERAH : Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) di bawah kelolaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah telah berjaya menganjurkan Jaulah ke Semenanjung Sinai pada 12,13, dan 14 Mac 2016 yang lepas.  Jaulah yang diadakan selama 3 hari 2 malam ini diberi nama "Road to Sinai"  (RISE’16) yang bertujuan untuk mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli KPIPM serta menyingkap ‘ibrah dan pengajaran daripada kisah para nabi dan kaum-kaum terdahulu sekaligus dapat mempraktikkan sunnah mengembara. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat ke 42:

Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah Bagaimana kesudahan orang-orang Yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik".

     RISE ‘16 ini telah disertai seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada semua peringkat ahli sama ada mahasiswa baru mahupun mahasiswa yang lama. Perjalanan dimulakan tepat jam 2.45 pagi pada 12 Mac 2016. Doa menaiki kenderaan dibaca oleh Ustaz Muhammad Hazim bin Mohd Halim. Bertolak dari mahkamah yang berhampiran dengan Baitul Rahman,  seterusnya singgah menunaikan solat Subuh di Noktah Hasanah sekitar jam 5.00 pagi. Noktah Hasanah ini merupakan perhentian rehat untuk kenderaan yang mahu memasuki Terowong Ahmad Hamdi bagi melintasi Terusan Suez.

     Setelah selesai solat Subuh secara berjemaah, jaulah diteruskan dengan majlis perasmian. Menariknya, majlis perasmian RISE  ’16 pada kali ini dilaksanakan sewaktu bas mula bergerak meneruskan perjalanan ke destinasi yang berikutnya. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Faiz bin Mohd Salim selaku Pengarah RISE  ’16 merangkap Ketua Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM sesi 2015/2016, di dalam ucapannya beliau melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT seterusnya menerangkan objektif utama yang telah digariskan pada jaulah kali ini. “Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan, yang rapat kita eratkan” itulah bait yang telah diungkapkan mengakhiri ucapannya diikuti tepukan oleh semua peserta RISE ’16. Seterusnya, majlis perasmian diteruskan lagi dengan kalam mutiara yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ainuddin bin Mohd Ishak, Yang Dipertua KPIPM sesi 2015/2016. Yang Dipertua telah mengingatkan kepada semua hadirin agar mengambil  ibrah dengan apa yang terjadi pada kaum terdahulu serta menjelaskan bahawa jaulah merupakan salah satu daripada wasilah tarbiah. “Sinai mempunyai tinggalan sejarah yang tinggi nilainya. Sinai juga merupakan tempat Nabi Musa a.s berbicara dengan Allah SWT. Bertepatan dengan usul yang telah disepakati bersama iaitu “ Meningkatkan kualiti mahasiswa melalui penjanaan sumber tenaga yang berkemahiran dalam pelbagai bidang”, maka jaulah ini merupakan salah satu usaha dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti dalam bidang thaqafah dan ilmu” ujar beliau.
         
     Seusai majlis perasmian, seterusnya kami melalui Terowong Ahmad Hamdi. Terowong ini dibina bagi menyambung Mesir yang terpisah kepada dua benua iaitu Benua Afrika dan Benua Asia Barat. Terusan Suez ini telah dibina pada tahun 1859 dan siap 10 tahun kemudian dan mula digunakan secara rasmi pada tahun 1870. Terusan Suez dibina bagi memudahkan kapal-kapal membawa barang dagangan dari Eropah di Utara ke Asia di bahagian Selatan. Terusan ini telah dibina oleh Ferdinand Vicomte de Lesseps seorang Insiniur daripada Perancis. Panjang keseluruhan Terusan Suez adalah 163 KM, manakala lebar terusan ini adalah diantara 120 ke 200 meter. Semua peserta telah diberikan penerangan dan penjelasan oleh mushrif penerangan yang dilantik iaitu Ustaz Mohamad Amilrol Anua bin Osman.

     Destinasi pertama yang dituju adalah Kubu Barliev yang merupakan tapak peninggalan kubu Israel yang datang menjajah Sinai pada tahun 1967. Sebenarnya Semenanjung Sinai ini tidak kurang daripada 15 kali cubaan kuasa-kuasa luar bagi menguasainya. Jadi pada tahun 1967, Israel telah berjaya menawan Semenanjung Sinai dalam Perang 6 Hari. Setelah berlalu tempoh beberapa tahun, Mesir akhirnya di bawah pemerintahan Presiden Anwar Sadat telah bergabung kekuatan dengan Syria yang dipimpin oleh Hafiz Asad. Serangan bagi mengembalikan semula maruah Mesir ke atas Sinai telah dilancarkan pada 6 Oktober 1973. Peperangan ini dilancarkan pada bulan Ramadhan yang jatuh tepat pada hari perayaan kaum Yahudi yang dikenali sebagai Yom Kippur. Justeru, peperangan ini dinamakan sebagai Peperangan 6 Oktober atau Perang Yom Kippur. Setelah bertaruh nyawa bagi mengembalikan kedaulatan Mesir ke atas bumi Sinai, akhirnya peperangan ini berakhir setelah lebih kurang 20 hari tercetus. Dan Kubu Barliev ini merupakan kubu terakhir yang berjaya ditawan oleh tentera Mesir setelah teknik serangan diubah apabila Syeikh al-Azhar pada ketika itu Syeikh Abdul Halim Mahmud mendapat ilham daripada Allah SWT. Tentera Mesir yang dipimpin oleh Anwar Sadat pada waktu itu diarahkan untuk menyembur air ke kawasan padang pasir tersebut sehinggalah tersingkap semua kubu yang berada di bawahnya. Jadi peluang ini diambil oleh tentera Mesir bagi menyerang kubu ini yang diberi nama Kubu Barliev yang diambil semperna nama Panglima Israel yang mengawasi kawasan ini.
Kemudian jaulah diteruskan ke ‘Uyun Musa yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari Kubu Barliev. Peserta Rise ’16 diberitahu bahawasanya di sinilah terdapat 12 telaga yang digali oleh 12 puak daripada kalangan Bani Israel. Tetapi kini hanya tinggal 3 sahaja. Menurut kisah perjalanan Nabi Musa a.s, setelah selamat daripada buruan Firaun yang akhirnya ditenggelamkan oleh Allah di dalam Laut Merah, semua pengikut Nabi Musa a.s kehabisan sumber air bersih bagi dijadikan minuman. Lalu Nabi Musa a.s memerintahkan setiap satu puak daripada kaumnya menggali telaga sendiri. Kawasan ‘Uyun Musa ini terletak betul-betul di sebelah Teluk Suez di Laut Merah dan dikhabarkan di sinilah tempat terbelahnya laut apabila Nabi Musa menunjukkan mukjizatnya dengan menghayunkan tongkatnya ke Laut Merah.

     Seterusnya jaulah diteruskan dengan melawat ‘Uyun Ayyub a.s yang terletak hanya 300 meter dari ‘Uyun Musa. Telaga ini masih lagi mengeluarkan air mata air yang mencurah-curah keluar dari bumi. Kesahihan telaga ini yang dikatakan milik Nabi Ayyub a.s masih lagi menjadi perbincangan. Ada yang mengatakan ianya adalah milik kaum Bani Israel dan ada pendapat yang mengatakan ianya adalah kepunyaan Nabi Ayyub a.s.          
     
     Seterusnya, jaulah diteruskan menuju Jabal Nabi Musa (St. Catherina). Masa yang terluang di dalam bas diisi dengan beberapa aktiviti yang diatur oleh Adhoc Pengisian iaitu Ustaz Mohammad Fadzil bin Abdul Rahim. Antara aktiviti yang dijalankan di dalam bas adalah ta’aruf kesemua peserta, kuiz berdasarkan sejarah tempat yang dilawati, kuiz umum, teka-teki, dan beberapa bentuk pengisian lain lagi yang bertujuan bagi merapatkan ukhuwah dalam kalangan peserta di samping menambah thaqafah peserta. Kesemua peserta memberikan respon yang sangat baik dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Modul ukhuwah dan kerjasama juga berjalan dengan amat baik. Bagi modul ini, peserta yang berjaya dalam memberi respon yang baik samada ketika menjawab soalan kuiz atau apa sahaja akan diberikan kupon berupa pakej menunggang ATV atau pakej percuma sewatu snorkling (Blue Hole). Suasana di dalam bas ketika modul ini berlangsung amat meriah sekali.
     

     Beberapa jam di dalam bas, akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Semua peserta diberikan penginapan di hotel Moon Land Camp. Kami juga disajikan dengan makan tengah hari yang telah disediakan oleh Ustaz Muhammad Hanif bin Abdullah selaku unit Masakan Rise ’16. Seusai mendirikan Solat Jamak Zohor dan Asar, kami bersiap-siap untuk bergerak ke Wadi Arba’ien. Wadi Arbaien ini adalah banjaran bukit yang bersambung dengan Jabal Nabi Musa a.s. Diceritakan Wadi Arbaien ini adalah tempat berkumpulnya 40 orang nabi dan para wali bagi bermusyawarah. Di sini juga terdapat seketul batu yang besar yang merupakan batu yang diketuk oleh Nabi Musa a.s sehingga terpancar 12 mata air. Setiap satu rekahan air tersebut untuk setiap puak daripada Bani Israel yang menjadi pengikut Nabi Musa a.s. Kisah ini dapat dibaca dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Baqarah ayat 60 yang berbunyi:

60. Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu terpancarlah dari batu itu dua belas mata air; Sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (dan Kami berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu membuat bencana kerosakan di muka bumi".

           Setelah hampir setengah jam mendaki, akhirnya semua peserta telah sampai di Batu 12 Mata Air Nabi Musa a.s. Selesai bergambar dan berdoa di tempat yang berkat itu, kami meneruskan perjalanan dengan menziarahi satu keluarga warga tempatan di kawasan tersebut, kami melihat mereka memelihara pelbagai haiwan, kelihatannya seperti memerang kemudian kami dihidangkan syai (teh) yang sangat enak dicampur herba yang entah dari mana datangnya, semua peserta berasa sangat gembira. Kemudian kami kembali menuruni banjaran bukit tersebut.

        Memandangkan waktu Maghrib telah masuk, maka perjalanan menuruni Wadi Arbaien dilencongkan ke Masjid Wadi Muqaddas bagi menunaikan Solat Jama’ sebelum berjalan pulang ke tempat penginapan. Selesai solat dan membeli barang keperluan bagi mendaki Jabal Musa pada malam harinya, kesemua peserta berjalan pulang ke tempat penginapan. Selesai menjamu selera dengan makanan yang disediakan, kesemua peserta diingatkan tentang aktiviti mendaki Jabal Tur Sina’ pada awal pagi keesokan harinya. Kemudian peserta Rise ’16  diberi peluang bagi berehat di bilik yang disediakan mengikut kumpulan yang telah dibahagikan.

HARI KEDUA:

         Tepat jam 12.00 pagi, kesemua peserta Rise ‘16 bangun dan bersiap sedia bagi menaiki bas untuk ke kaki Jabal Musa a.s. Setelah semua peserta bersedia dengan pakaian untuk mendaki, bas bergerak ke kaki Jabal Musa yang terletak tidak berapa jauh dari tempat penginapan. Setelah selesai membuat pendaftaran kepada polis yang menjaga Jabal Musa a.s, semua peserta melakukan senaman ringan mengikut kumpulan sebelum memulakan pendakian. Peserta Rise ’16 dibahagikan kepada empat kumpulan yang diketuai oleh Ustaz Suhaimi bin Sulaiman, Ustaz Muhammad Syafie bin Sulaiman, Ustaz Muhammad Hisyam bin Hashim dan Ustaz Muhammad Naim bin Kamaruzaman. Tepat jam 12.45, semua peserta telah memulakan pendakian Jabal Musa yang dikenali juga sebagai Tur Sina’. Jabal ini mencapai ketinggian sehingga 2 285 meter dari paras laut. Di dalam Al-Quran Allah telah menyebut mengenai jabal ini sebanyak dua kali iaitu dalam Surah Al-Mukminun ayat ke 20:
 
20. Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak dan bahan pembangkit selera bagi orang-orang yang makan.

Dan dalam dan Surah At-Tin ayat kedua:

1. Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun,
2. Dan Gunung Tursina,

Di Tur Sina’ inilah tempat Nabi Musa a.s bermunajat kepada Allah SWT selama 40 hari dan menerima menerima wahyu berupa Kitab Taurat. Kisah ini dirakamkan dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raaf ayat ke 142:

142. Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan".

      Pendakian pada pagi ini mencabar minda dan fizikal semua peserta Rise ’16 memandangkan cuaca yang begitu sejuk dan bulan langsung tidak kelihatan seperti kebiasaan. Peserta Rise ’16 terpaksa menggunakan lampu suluh bagi mendaki bukit dengan selamat kerana keadaan track yang gelap. Pendakian akan berhenti rehat seketika di checkpoint-checkpoint yang terdapat di sepanjang laluan pendakian bagi menghilangkan sebentar kepenatan sebelum meneruskan pendakian. Alhamdulillah sekitar sebelum azan Subuh kesemua peserta telah selamat tiba di puncak Jabal Musa a.s walaupun ada peserta yang telah sampai lebih awal. Kesempatan sampai awal di puncak Jabal Musa diisi dengan sebaiknya dengan menunaikan solat Tahajjud dan sujud syukur di Musolla yang terdapat di puncak tersebut. Selesai Solat Subuh berjemaah, rata-rata peserta mengambil peluang untuk bergambar, dan kesemua peserta dihimpunkan dan diberi sedikit penerangan.

      Di puncak tersebut terdapat beberapa tanda kebesaran Allah SWT. Antaranya adalah tapak gunung yang hancur apabila Allah menunjukkan zatNya setelah diminta oleh Nabi Musa a.s untuk melihat Allah. Kisah ini Allah rakamkan di dalam Surah Al-A’raaf ayat yang ke 143:
 
143. Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya Aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesarannya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan Gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang pertama beriman (pada zamanku)." 

Kemudian, di puncak tersebut terdapat satu lubang yang merupakan tempat Nabi Musa a.s bermunajat kepada Allah SWT ketika peristiwa menerima wahyu berupa Kitab Taurat. Selain itu, terdapat satu batu besar yang menyelamatkan (asbab) Nabi Musa a.s daripada impak letupan besar gunung yang meletup itu.
       
 Di atas itu juga terdapat batu yang mempunyai kesan tapak kaki Buraq yang menjadi tunggangan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa isra’. Selesai mendengar sedikit penerangan itu, peserta Rise ‘16 singgah bersarapan di rumah kedai atau rumah rehat yang terdapat di situ, pelbagai ragam peserta dapat dilihat, ada yang membeli cenderamata dan sebagainya. Seterusnya, kami mula menuruni Jabal Musa dengan melalui tapak perkampungan Nabi Ilyas. Ketika inilah hujan rintik mula turun ditambah pula dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, rata-rata daripada kami mengharapkan salji akan turun namun yang ditunggu tak kunjung tiba. Laluan turun ini tidak menggunakan track asal yang dilalui ketika waktu mendaki pada awal paginya. Laluan ini menggunakan hampir 90 peratus track bertangga. Hal ini memberi peluang kepada semua peserta menikmati pemandangan bukit-bukau yang lebih menarik di samping dapat menghirup udara yang begitu nyaman. Setelah hampir beberapa jam menuruni Jabal Musa a.s, kesemua peserta selamat menuruni Jabal Nabi Musa dan menaiki bas yang telah menunggu untuk pulang ke tempat penginapan.            

                Dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan, kami telah berhenti di Makam Nabi Harun a.s yang bersebelahan dengan bukit Batu Kesan Lembu Samiri. Peserta sekali lagi mengambil peluang berdoa bertawassul di Maqam Nabi Harun a.s di samping bergambar kenangan di bukit Batu Kesan Lembu Samiri. Bukit batu kesan Lembu Samiri ini merupakan kesan pancaran cahaya matahari terhadap patung emas Samiri yang dicipta oleh kaum Bani Israel yang telah hilang pedoman imannya apabila ditinggalkan seketika oleh Nabi Musa a.s dalam peristiwa Nabi Musa bermunajat kepada Allah di Tur Sina’ bagi menerima wahyu berupa Kitab Taurat. Hal ini Allah ceritakan di dalam Al-Quran di dalam Surah Thaha ayat ke 90 dan 91:

90. Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: "Wahai kaumku, Sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, Ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".
91. Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahNya hingga Nabi Musa kembali kepada kami"

        Setelah selesai menjamu selera, tepat jam 11.00 pagi, kami telah memulakan perjalanan untuk menuju ke Dahab. Kemudian semua peserta Rise ’16 telah sampai ke pantai awam Dahab. Pelbagai aktiviti bebas dilakukan oleh peserta, ada yang mandi di pantai, bermain bola, menaiki kuda dan lain-lain. Setelah puas berkelah dan mneghirup udara di tepi pantai kami bergerak menuju ke hotel Octopus. Setibanya kami disana, kami telah dibahagikan bilik untuk menginap dan semua peserta boleh melakukan aktiviti bebas.

Pada malam harinya, kesemua peserta mengambil peluang berjalan-jalan di Pasar Dahab yang banyak menjual baju-baju sejuk bertuliskan perkataan Dahab. Setelah habis berjalan-jalan di pantai, kesemua peserta pulang ke penginapan untuk berehat dan makan malam. Namun ada juga peserta yang mengambil peluang bagi berenang-renang di dalam kolam yang berada di hadapan hotel.

HARI KETIGA:

       Pada keesokan harinya, selesai menunaikan Solat Subuh, kesemua peserta Rise ’16 meneruskan aktiviti seawal jam 7.30 pagi. Semua peserta berpeluang menunggang motorsikal tayar empat (ATV) secara berpasangan bagi satu motor. Perjalanan dimulakan tepat jam 8.00 pagi dengan melalui beberapa checkpoint. Checkpoint pertama berhenti bergambar di kawasan yang dipanggil panorama Dahab kemudian meneruskan perjalanan dengan menunggang ke kawasan bukit dan berehat hampir 15 minit di khemah yang disediakan. Setelah menikmati air teh yang disediakan oleh pemilik kawasan tersebut, peserta ekspedisi mengambil peluang mendaki bukit yang ada disitu. Perjalanan diteruskan dengan menyelusuri kawasan berhampiran pantai dan berhenti seketika di pantai Dahab bagi bergambar kenangan di situ. Akhirnya kesemua peserta menunggang pulang ke hotel dengan selamat. Aktiviti menunggang ATV ini membuatkan semua peserta mendapat pengalaman yang sukar untuk dilupakan lebih-lebih lagi ianya merupakan pakej dalam Rise ‘16 pada kali ini.

     Aktiviti riadhah diteruskan lagi dengan aktiviti Snorkling (Blue Hole). Kesemua peserta mengambil kesempatan untuk melibatkan diri dalam aktiviti ini untuk menyelam ke dasar lautan bagi melihat karang laut, rumpai dan ikan yang berada di kawasan tersebut. Pelbagai reaksi boleh dilihat daripada peserta sepanjang aktiviti ini.
           Setelah selesai aktiviti snorkling, kami pulang kembali ke penginapan dan sama-sama menjamu selera setelah penat seharian. Kemudian kami bersiap-siap untuk bergerak pulang ke Kaherah. Lebih kurang  jam 12.00 malam, peserta Rise ‘16 selamat tiba.

     Semoga program yang bermanfaat ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Diharapkan agar semua peseta RISE ‘16 pada kali ini dapat menjadikan segala sirah dan pengalaman yang diperolehi sebagai pedoman untuk menghadapi liku-liku kehidupan dihari yang mendatang dan semoga ianya tertulis sebagai 1001 kenangan kita bersama.







BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

KEMPEN "FREEDOM" | PENGEBOMAN ANKARA

KEMPEN "FREEDOM" | PENGEBOMAN ANKARA



ANKARA:  Sekurang-kurangnya 34 orang terkorban manakala 125 cedera akibat letupan bom di Ankara, Turki pada Ahad.

Bom itu meledak di Dataran Ataturk Bulvari dekat pusat bandar Ankara dan letupannya boleh didengari dari jarak beberapa kilometer.

Kesan letupan berkenaan, termasuk serpihan bahan yang terbakar telah terserak ke radius beberapa ratus meter dan jatuh ke bangunan Kementerian Dalam Negeri, mahkamah serta bangunan pejabat perdana menteri yang lama.

Menurut stesen televisyen tempatan NTV, letupan dipercayai akibat letupan sebuah bom kereta.

Ia diletupkan berdekatan sebuah bas dan turut mencetuskan kebakaran beberapa kenderaan berdekatan.

Berikutan kejadian itu, pihak berkuasa Turki menutup kawasan pejabat kerajaan berkenaan serta melarang media daripada membuat laporan insiden berkenaan.

Dua pegawai kanan keselamatan memberitahu Reuters bahawa siasatan awal mencadangkan bahawa insiden itu dilakukan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), atau sekutunya, yang selama tiga dekad lalu sering menimbulkan kekacauan kerana menuntut kuasa autonomi.

Tiada pihak setakat ini tampil mengaku bertanggungjawab, namun Menteri Dalam Negeri Afkan Ala berkata nama kumpulan di sebalik serangan itu bakal didedahkan selepas siasatan dijalankan.

Sumber : astroawani & al-Jazeera
..................................................................................................

Biro Tabung Kebajikan,Kesenian dan Riadah KPIPM sesi kali ini menyeru kepada semua agar sedar dan cakna tentang isu-isu yang berlaku. Bersama bersatu mencorak masyarakat ke arah Islam yang syumul In Sya Allah.

   Ayuh sama-sama kita jayakan kempen BTKKR KPIPM sesi kali ini, Kempen “Freedom” !

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

PERKONGSIAN KULIAH MENJAYAKAN KEMPEN & USUL



PERKONGSIAN KULIAH MENJAYAKAN KEMPEN & USUL


KAHERAH- Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2015/2016 telah menganjurkan program ilmiah pada hari Khamis, 10 Februari 2016 di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman. Program yang  diberi nama Perkongsian Kuliah diadakan bagi menambah thaqafah dan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan ahli KPIPM.

      Program ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang pada peringkat Biro Pelajaran dan Ilmiah bagi menjayakan kempen yang dibawa pada sesi kali ini iaitu “Kempen Ma’an Najah”. Objektif yang digariskan pada program kali ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada ahli KPIPM untuk berkongsi ilmu daripada kuliah masing-masing serta menyediakan medan latihan kepada ahli untuk menyampaikan ilmu yang dipelajari,  sekaligus bagi menjayakan usul yang dibawa KPIPM pada sesi ini.

      Program ini bermula selepas solat fardhu maghrib dan bacaan yasin, iaitu pada jam 8.30 malam.Tajuk perkongsian kuliah yang dibawa pada kali ini adalah daripada madah yang dipelajari oleh pelajar kuliah usuluddin tahun 2 iaitu “Syubhat Hawlal Hadis”. Dua orang pengisi telah dijemput untuk mengupas topik ini. Pengisi pertama ialah Ustaz  Muhamad Helmy bin Muhamad Teridi dan pengisi kedua ialah Ustaz Mohamad Akmal Aliff bin Saleh iaitu Ketua Biro Ekonomi KPIPM sesi 2015/2016. Program ini dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Asyraf bin Abdul Aziz, Pengarah Biah Solehah KPIPM sesi 2015/2016 selaku moderator. Mereka bertiga adalah Mahasiswa Tahun 2 kuliah Usuluddin. Perkongsian kuliah ini berlangsung selama 1 jam 15 minit dan diakhiri dengan penggulungan daripada moderator mengenai tajuk yang diperbincangkan.

      Akhir kalam, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana program pada kali ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang di ketengahkan. Pelbagai input-input menarik dan berguna  yang dapat diterapkan dalam kehidupan  setiap ahli-ahli KPIPM .Terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat bagi menjayakan program perkongsian kuliah dan berharap agar program sebegini akan dianjurkan pada masa akan datang.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"







"TUBUH JAWATANKUASA KHAS" | KENYATAAN BERSAMA YDP-YDP BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI DI MESIR



KENYATAAN BERSAMA YDP-YDP BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI (BKAN)

Mesyuarat Yang Di-Pertua (YDP) Badan Kebajikan Anak Negeri telah diadakan pada hari Ahad, 6 Mac 2016 di Dewan Soleh Al-Masri, Asrama Rumah Pulau Pinang, Hayyu Sabiek yang dipengerusikan oleh Saudara Mohammad Ainuddin Bin Mohd Ishak, YDP Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir  (KPIPM) adalah bertujuan membincangkan permasalahan dan menyusun aktiviti-aktiviti secara bersama. Mesyuarat telah mencapai kata sepakat seperti berikut :

1. Mesyuarat pada kali ini memfokuskan berkenaan usaha memperkasakan kesatuan antara BKAN-BKAN yang telah terjalin sejak sekian lama. Beberapa program anjuran bersama telah diadakan untuk mencapai objektif tersebut, antaranya Ifthor Jamaie 1436H, Solat Sunat Aidilfitri, Nadwah Thaqafiah 2015, dan yang terkini sedang berlangsung adalah Hari Thaqafah Mahasiswa (HAMASAH).

2. Justeru bagi melancarkan gerak kerja secara bersama, YDP-YDP BKAN bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas yang bertanggungjawab menyelaraskan dan menguruskan aktiviti-aktiviti antara BKAN-BKAN agar lebih tersusun.

3. Bentuk kerjasama antara BKAN-BKAN ini secara terperinci akan dirangka dan seterusnya dibentangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat YDP-YDP BKAN yang akan datang bagi proses saringan terakhir. Pemakluman secara terperinci kepada ahli akan dibuat pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Terima kasih.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

DISKUSI KITAB "al-Islam Syari'atuz Zaman wal Makan"

MUZAKARAH BERKELOMPOK GABUNGAN TAHAP SATU

KAHERAH, 26 Feb – Jabatan Fasilitator di bawah Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM telah berjaya mengadakan satu program Muzakarah Berkelompok Gabungan khusus untuk pelajar USMB sesi 2015/2016. Ianya bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang konsep kesyumulan Islam beserta hikmah pensyariatan di dalam Islam.

     Muzakarah Berkelompok Gabungan tersebut diisi dengan diskusi kitab “AL-ISLAM SYARI'ATUZ ZAMAN WAL MAKAN” yang dibentangkan oleh Ustazah Afiqah Syuhaidah binti Abd Samad, Timbalan Pengarah 2 Hisbah KPIPM sesi 2015/2016.

     10 ciri-ciri syariat Islam telah dihuraikan serba ringkas oleh pembentang. Seperti yang kita semua sedia maklum, Islam itu merangkumi semua aspek dan tiada agama yang sesempurna seperti agama Islam. Malah dalam kitab ini juga diterangkan mengenai bukti-bukti terkini tentang kesan pensyariatan. Bukti-bukti tersebut berdasarkan bukti semasa, bukti daripada perkumpulan-perkumpulan dan bukti daripada golongan pertengahan. Agama dan pemerintahan tidak dapat dipisahkan. Apabila kita mempunyai pemikiran sebaliknya kita sebenarnya telah dikuasai oleh pemikiran Barat iaitu fahaman Sekularisme.

     Alhamdulillah, program ini telah mendapat sambutan yang baik daripada mahasiswa dan mahasiswi USMB sesi 2015/2016. Semoga program seperti dapat melahirkan pemuda dan pemuda Islam yang berilmu dan faqih dalam agama. Pada masa yang sama celik dan cakna berkaitan fahaman dan ideologi semasa yang mempengaruhi umat Islam.






"Kemantapan Tarbiah Wahana Transformasi Ummah"
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

GRADUAN DAN GRADUANITA KPIPM DIRAI DALAM MKAC'16

MAJLIS KESYUKURAN & ANUGERAH CEMERLANG (MKAC ’16)

KAHERAH – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program yang dinamakan Majlis Kesyukuran & Anugerah Cemerlang (MKAC ’16). MKAC ’16 menggariskan 3 objektif penting iaitu meraikan pencapaian ahli di dalam peperiksaan, mengeratkan ukhwah antara anak-anak Perak, serta membangkitkan semangat ahli untuk bersaing dalam kecemerlangan akademik. Program ini melibatkan mahasiswa/wi Pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan. Program yang bertemakan “Mahasiswa Cemerlang Tonggak Ummah Terbilang” ini telah berlangsung dengan jayanya pada 18 februari 2016 bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan.

     Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir, Ustaz Muhammad Ariff bin Haron. Pada malam itu, seramai 48 mahasiswa/wi Pengajian Islam, 47 mahasiswa/wi Sains Kesihatan, 2 graduan/nita Pengajian Islam serta seorang graduan dan 6 graduanita Sains Kesihatan telah diraikan dengan penuh gilang-gemilang. Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah kepada Tokoh Cemerlang 2015. Penerima anugerah tokoh cemerlang bagi kategori Pengajian Islam ialah Ustaz Muhammad Amirul Solehin bin Mohd Paid dan Ustazah Nurul Hazimah binti Shahrom Azaman. Manakala, Doktor Mohd Nazirul Nazmi bin Abdul Rahman dan Doktor Ain Munirah binti Jamaludin penerima anugerah tokoh cemerlang bagi kategori Sains Kesihatan.

    Kemeriahan MKAC ’16 diakhiri dengan persembahan dari Usrah al-Muhazirun. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan jamuan ringan. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2015/2016 memasang harapan yang tinggi agar program seumpama ini dapat menaikkan semangat dan kesungguhan ahli KPIPM untuk menuntut ilmu di bumi perlembahan nil ini. Segala kerjasama dari semua peringkat kami ucapkan jutaan terima kasih.












BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

3 MAC 1924 | SEJARAH HITAM UMAT ISLAM SEDUNIA

3 MAC 1924 | SEJARAH HITAM UMAT ISLAM SEDUNIA


    Islam pada abad kegemilangannya suatu ketika dahulu pernah menaungi 2/3 dunia. Namun, pada tarikh 3 Mac 1924, genaplah sudah 92 tahun tarikh hitam kejatuhan  dan kehilangan Empayar Khilafah Uthmaniyah. Kehilangan ini bukan sahaja melibatkan kejatuhan Empayar Uthmaniyah, bahkan meliputi kejatuhan Islam secara keseluruhannya.

    “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang yang mempunyai akal fikiran. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu bahkan sebagai petunjuk serta rahmat bagi kaum yang beriman.” ( Surah Yusuf : ayat 111 )

    Islam pernah menawan Kota Constantinople di bawah pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih sekali gus mengakhiri Empayar Byzantine pada tahun 1453. Durasi masa sejarah selepas itu dipenuhi dengan peristiwa demi peristiwa dengan bertukarnya tampuk kepimpinan, peristiwa peperangan dan serangan, penjanjian-perjanjian serta pemberontakan.

     Konspirasi, perancangan serta strategi telah disusun rapi oleh puak-puak Yahudi yang sememangnya benci dengan sistem khilafah Islamiyah. Mereka menyusun pelbagai modus operandi semata-mata untuk menjatuhkan sistem khilafah Islam yang begitu gah ketika itu dengan melaga-lagakan umat Islam serta memecahbelahkan fahaman dan fikrah Islamiyah yang utuh pada jiwa umat Islam ketika itu. Antaranya melalui kaedah hutang, melalui Revolusi Arab 191, Perjanjian Skyes-Picot dan juga melalui kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Pertama.

     Konflik semakin memuncak sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876-1909). Pada 31 Mac 1909, pihak Zionis merancang konspirasi hebat dengan tercetusnya pembunuhan berdarah di Kota Istanbul, Turki. Sultan Abdul Hamid dituduh hebat sebagai dalang pembunuhan berdarah ini sehingga dilucutkan jawatan sebagai pemegang tampuk pemerintahan Turki pada ketika itu. Selepas peristiwa perlucutan jawatan itu, Turki menjadi lebih parah apabila munculnya musuh bertopengkan manusia, Kamal Atartuk.

     Semasa pemerintahan Atartuk, usul untuk melaksanakan projek pembubaran khalifah diserahkan kepada anggota Zionis Antarabangsa dan usul ini dipersetujui oleh anggota organisasinya sendiri, yang mana berlaku pada tarikh 3 Mac 1924. Sejak peristiwa itu, Kamal Atartuk mula mengubah sistem persekolahan Islam kepada sistem sekular. Rakyat tidak dibenarkan berpakaian Islam, sebaliknya memerintahkan untuk berpakaian barat. Apa yang lagi menyedihkan, seruan azan ditukar kepada bahasa Turki manakala kalendar Hijri ditukar kepada kalendar Masihi.

    Begitulah detik-detik terakhir keruntuhan Khilafah Islamiyah. Namun adakah ada sekelumit rasa pada jiwa dan diri kita untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiyah yang telah hilang? Adakah kita masih punya masa untuk berdiam diri tanpa usaha digelumang leka?

    Ayuh segera bangkit membentuk perpaduan Islam yang syumul dalam usaha mengembalikan semula sistem khilafah yang telah lama hilang.

   Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi kali ini menyeru kepada semua agar sedar dan cakna tentang sejarah Islam yang berlaku. Bersama bersatu mencorak masyarakat ke arah Islam yang syumul In Sya Allah.

   Ayuh sama-sama kita jayakan kempen BTKKR KPIPM sesi kali ini, Kempen “Freedom” !

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger