Ribat KPIPM: Peranan Umat Islam Selaku Khalifah


Kaherah, 21 Jun 2013 – Seusai sahaja imtihan fasa kedua ini, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan  Ribat Perdana. Program yang bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Wisma Perak Darul Ridzuan A itu dimulakan dengan alunan zikir munajat dan qiamullail secara berjemaah.

Seterusnya program diteruskan dengan pengisian tazkirah subuh jemputan bersama Al-Fadhil Ustaz Abdul Mu’iz Muhammad, Mantan Presiden PMRAM 2009. Beliau telah berkongsi serba sedikit tentang tugas dan peranan umat Islam selaku khalifah diatas muka bumi ini dan menerangkan tentang kesyumulan Islam berbanding dengan agama lain.


Beliau juga menyentuh tentang konsep kecintaan kepada Nabi yang sebenar-benarnya perlu dibuktikan dengan gerak kerja dan jihad. 


“Menuntut ilmu itu wajib disamping mempraktikkan ilmu yang ada, Semakin berilmu seseorang itu, semakin taatlah dia kepada Allah S.W.T.” Ujar beliau. Program seperti ini bertujuan membentuk kefahaman dalam kesatuan dan ianya menjadi program yang wajar diadakan. Program berakhir dengan tasbih kifarah dan Surah Al-‘Asr.

Persediaan Menghadapi Ramadhan


Ramadhan,satu nasib tak serupa,
peluangnya sama natijah berbeza,
Ramadhan mereka, gemilang cemerlang,
Mukmin berjasa di awal  zaman,
Ramadhan kami malam terbuang,
Muslim berdosa di akhir zaman.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
(Al-Baqarah : 183)

Suatu hari, tanpa diduga  kita telah menerima hadiah saguhati satu pakej  percutian ke Paris selama seminggu untuk 3 orang. Percutian itu disertakan bersamanya penginapan di hotel lima bintang, pakej makanan di beberapa buah restoran terkemuka, juga lawatan ke tempat- tempat menarik di sekitar Paris dan yang paling menggembirakan disertakan bersama kita wang poket berjumlah 3000 USD untuk dibelanjakan di sana .

Kita sangat teruja dan gembira dengan hadiah tersebut.Bagi kita itulah salah satu peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Oleh yang demikian, kita mula merancang perjalanan dan persiapan kita sebelum ke sana dan ketika berada di sana. Kita akan pastikan setiap detik yang berlalu dimanfaatkan sebaik mungkin. Apalah ertinya jika pergi ke Paris tetapi hanya menginap di hotel, malas untuk berjalan-jalan dan menikmati kemewahan dan keindahan di sekitarnya. Malah langsung tidak membawa pulang ole-ole kenangan dari  Paris, duit yang ada langsung tidak dibelanjakan.

Begitulah juga keadaannya apabila semakin dekatnya bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang Allah janjikan di dalamnya pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang tiada tolok tandingya di dunia khas buat orang beriman yang bersungguh-sungguh beramal pada bulan ini. Mukmin yang bijaksana akan memastikan Ramadhan yang datang dimanfaatkan sepenuh masanya untuk beribadat dan membuat amal kebajikan. Mereka akan mempersiapkan diri dari sudut rohani dan jasmani untuk menghadapinya. Mereka akan berasa sangat rugi andai masa mereka terbuang dengan perkara yang sia- sia tanpa digunakan sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah SWT.

Merekalah salafus soleh terdahulu yang sangat merindui bulan yang mulia ini dan teramat sedih apabila ingin meninggalkannya. Bagi mereka, belum pasti mereka dapat bertemu lagi dengannya pada tahun yang akan datang. Kecintaan mereka pada bulan ini sangat tinggi sehingga persiapan itu telah dibuat enam bulan sebelum datangnya Ramadhan. Alangkah berbezanya mereka dengan umat zaman kini, tidak merasakan keberkatan yang ada pada bulan ini malah berasa gembira dengan pemergiaannya.

Oleh yang demikian, persediaan dan persiapan awal perlu dibuat untuk memastikan Ramadhan kita pada kali ini menjadi Ramadhan yang terbaik daripada tahun-tahun sebelumnya. Mungkin kita leka dan lalai pada Ramadhan yang lepas namun jangan jadikan Ramadhan yang bakal tiba ini sama sepertinya. Ciptalah satu perubahan yang bermula daripada satu kesedaran kerana di awal ketaqwaan yang telah Allah janjikan pada akhir Ramadhan itu terletak pada kesedaran yang hadir dari dalam diri individu muslim itu sendiri di permulaannya.

PERSEDIAAN PERTAMA

Mempersiapkan diri dengan keimanan dan akidah yang teguh kepada Allah SWT menurut panduan yang sohih dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah SWT :
“ Barangsiapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.”  (Al-Isra : 15).


Merupakan satu kewajipan ke atas setiap muslim untuk memastikan dirinya berada pada jalan dan landasan yang benar. Tidak diterima ibadah dan tidak ternilai ibadah yang dilakukan tanpa memiliki akidah yang sohih. Kefahaman aqidah yang sahih ialah apa yang datang secara pasti dan yakin dari pemahaman salaf soleh yang merupakan sebaik-baik umat dan terpelihara keimanan dan keilmuan mereka.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :
“ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien)” .  (HR MUSLIM)      

Sabda Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam :
 “ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah (memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (HR MUSLIM).

Tidak ketinggalan, memastikan keimanan dan kelurusan hati serta keikhlasan melakukan ibadah hanya kerana Allah SWT. Sesungguhnya tidaklah diterima amalan jika tidak dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT :
“ Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya melalui deen yang lurus” (Al-Baiyinah : 3).

Keimanan bahawa kewajipan puasa ramadhan dan kewajipan serta sunnah melakukan ibadah di bulan ini merupakan apa yang datang dari Allah dan rasul serta mengimani akan kebesaran Allah, mengimani kerasulan Muhammad salallahualaihiwasalam dan melakukan ibadah sesuai sebagai hamba Allah yang mengharap redha dan keampunan serta rahmatNya merupakan kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap orang sebelum memasuki bulan ramadhan.

Firman Allah SWT :                              
“ Barangsiapa yang mengingini pertemuan dengan tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan ibadahnya kepada tuhannya dengan sesuatu” 
(Al-Kahfi : 110)

PERSEDIAAN KEDUA

Melengkapkan diri dengan ilmu dan panduan tentang ibadah puasa beserta kaedah menjalankan ibadah tersebut secara sohih.

Kadang-kadang kita rasakan yang kita telah cukup tahu dan pakar dalam bab puasa. Tambahan pula mereka yang bergelar golongan agamawan yang mempelajari bidang pengajian islam, khususnya bidang syariah dan usuluddin. Namun acap kali, hakikatnya kita telah pun lupa akannya dan masih lagi tidak yakin dengan beberapa persoalan pokok yang seringkali menjadi tanda tanya masyarakat umum.

            Oleh yang demikian, hendaklah sebelum memasuki Ramadhan setiap orang kembali menyemak buku-buku atau menyoal para alim ulama akan kaedah puasa dan menjalankan ibadah yang sahih menurut pegangan salaf soleh dan ajaran Rasulullah Sallalahu ‘alaihi wasallam yang jauh dari bid’ah penambahan dan penyelewengan. Antara yang wajib diketahui :

1. Rukun-rukun puasa serta sunat-sunatnya
2. Perkara-perkara yang membatalkan puasa
3. Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa
4. Dan segala yang berkaitan dengan ibadah puasa

Juga kaedah puasa dari sudut batinnya sepertimana yang telah digariskan oleh Imam Al-Ghazali radhiyallahu ‘anhu :

1. Puasa umum : iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus : iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus) : iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Firman Allah SWT :
“ Bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui”
 (An-Nahl : 43)

Hendaklah difahami tujuan beribadah itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah dilakukan menurut panduan yang telah Allah SWT berikan iaitu melalui Al-Quran dan Sunnah Rasulullah serta apa yang didapati daripada para salafus soleh yang memahami isi panduannya menurut pemahaman yang sahih dan terjamin.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :
“Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.”   (HR BUKHARI & MUSLIM)

PERSIAPAN KETIGA

Mempersiapkan dirinya dengan kemampuan fizikal dan kekuatan jasmani juga persedian material dan kewangan, agar dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan selesa.


Firman Allah SWT :
“Dan bersedialah kamu dari kekuatan untuk peperangan itu apa yang kamu mampu dari kuda yang terikat moga demikian menakuti musuh Allah dan musuh kamu..”(Al-Anfal : 60).


Sekalipun ayat di atas untuk peperangan namun ianya secara umum untuk semua hal ibadah iaitu jika peperangan dan jihad itu ialah ibadah yang memerlukan persediaan kebendaan maka demikianlah juga dengan puasa yang merupakan ibadah asasi yang termasuk dalam rukun Islam.

Kita seharusnya mempersiapkan diri dengan fizikal dan kekuatan tubuh badan, seperti menjaga kesihatan agar  ibadah dengan sempurna dapat dilaksanakan. Ia  menjadi satu kewajipan kepada kita supaya dapat menunaikan hak kepada Allah SWT dalam ibadah dengan sempurna dan selesa.


Tidaklah disukai mereka yang tidak menjaga makan dan minum serta tidak mengurus tidur dan rehat secukupnya sehingga mengakibatkan badan menjadi lemah untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah di bulan ramadhan dengan sempurna dan selesa bahkan terganggu waktu ibadah kita kerana kelemahan dan keletihan badan.


Oleh itu hendaklah melakukan persediaan secara fizikal dan badan bagi yang mampu bahkan termasuk amalan dan usaha melakukan persediaan secara fizikal seperti mengambil vitamin, melakukan senaman dan mempersediakan menghadapi ramadhan dengan menjalani terapi kesihatan sebagai usaha ibadah dan berpahala.

“Tidaklah Allah membebani seseorang melainkan sekadar apa yang termampu olehnya”   ( Al-Baqarah : 286).


Setelah itu, hendaklah kita mempersiapkan diri untuk menjalani ibadah puasa dengan melengkapkan diri dengan kemampuan material dan kewangan serta belanja keperluan. Persediaan ini amat diperlukan agar kita dapat mengambil bahagian dalam usaha infaq dan sedekah serta menunaikan kewajipan zakat di bulan ramadhan. Sesungguh golongan yang kaya dan berkemampuan harta serta material mendapat kelebihan di sisi Allah SWT apabila mereka mampu menunaikan ibadah zakat dan mampu pula mengeluarkan infaq sedekah kepada fakir miskin yang mengakibatkan mereka beroleh kedudukan mulia di sisi Allah swt dan mendapat ganjaran pahala yang besar.

Mungkin sekali kita khususnya yang masih bergelar mahasiswa tidak mampu untuk meninfakkan harta yang banyak. Namun janganlah menjadikan itu sebagai satu alasan untuk kita mengurangkan sedekah kita dalam bulan yang mulia ini. Cubalah sekadar yang termampu. Andai perlu, menabunglah dari sekarang jadikan ia sebagai satu medan latihan untuk kita bersedekah kepada yang memerlukan pada bulan Ramadhan nanti juga pada bulan-bulan yang seterusnya.

Sabda Nabi Muhammad  salallahu ‘alaihi wasallam:
“ Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api”  ( HR Tirmidzi ).
Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda:
 “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah”  (HR Tirmidzi).

Hendaklah umat Islam berusaha mendapatkan kedudukan untuk bersedekah dan menjadi tangan yang di atas dari tangan yang di bawah supaya dapat memperolehi ganjaran besar di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Firman Allah SWT :
“ Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan harta mereka”  (At-Taubah : 103).



PERSIAPAN KEEMPAT

Melakukan perancangan dan persediaan jadual aktiviti kehidupan harian .
            Yang demikian dapat memudahkan kita mengaturnya  supaya dapat menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan dan lain-lain ibadah dengan teratur dan selesa serta tanpa gangguan.


Firman Allah SWT :

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah.Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."  (Al-Munaafiqun: 9).


Imam Hassan Al- Banna telah menggariskan salah satu ciri yang terdapat di dalam muwasafat tarbiyah ialah tersusun dalam urusannya. Sesungguhnya Islam ialah agama yang tersusun dan teratur oleh itu hendaklah umat Islam mengatur kehidupan dan membuat perancangan ibadah di bulan puasa supaya tahu menyusun aktiviti hidup agar dapat dimanfaatkan waktu sebanyak mungkin untuk menjalani ibadah di bulan ramadhan.
Firman Allah SWT :

“Di antara kamu ada golongan yang menginginkan dunia dan ada pula golongan yang mengingini akhirat”  (Ali-Imran : 152).


Sebagai contoh, selaku mahasiswa kita harus mengatur waktu belajar, waktu rehat dan waktu aktiviti bermasyarakat, juga yang paling penting waktu ibadahnya supaya dapat dimanfaatkan sebanyak mungkin masa ibadah di bulan ramadhan. Kosongkan aktiviti harian kita daripada banyak melakukan perkara yang sia-sia seperti bermain permainan komputer,menonton cerita, chating dengan banyak berbual kosong bersama rakan-rakan  dan sebagainya.
Firman Allah SWT :

“ Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).

NATIJAH KETAKWAAN YANG DINANTIKAN


Jadikanlah bulan Ramadhan ini salah satu medan untuk kita mencapai ketakwaan kepada Allah SWT. Tidak bermakna sebuah kehidupan andai kata, cahaya ketakwaan masih kelam dan kabur di dalam hati. Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan ketakwaan bagi mereka yang bersungguh-sungguh melakukan ibadah serta amal soleh dan amal kebajikan di dalam bulan ini. Rebutlah peluang yang ada sebaik mungkin, berapa ramai  dalam kalangan kita mensia-siakan peluang ini, dan berapa ramai yang menyesal apabila Ramadhan yang dirindui dibiarkan berlalu begitu sahaja. Jadikanlah takbir 1 Syawal itu sebagai satu takbir kemenangan buat kita, natijah mujahadah di bulan Ramadan Al-Mubarak.

Rintih Air Mata Umat






































Tika bumi basah dengan darah
Air mata tak tertumpah lagi
Kesakitan dan penindasan menjadi satu
Dimanakah pembelaan?

Pandanglah dunia tua ini
Umat Islam diinjak-injak
Kesucian dirobek-robek
Penghinaan tiada belas

Saudara-saudaraku,
Lihatlah penderitaan kami,
Kami diseksa…
Kami dipersenda…
Kami… tak berdaya

Mengapa kalian berdiam rasa,
Kaku, mengunci bicara
Sepi dari usaha

Di mana bantuan kalian?
Di mana doa kalian?
Untuk kami Palestin Dan Syria.
Oh Tuhan,
Tolonglah umat ini!

Teman-temanku
Usah biarkan tangan kalian
Tidak berjasa…

Lantunkanlah doa
Tebarkanlah usaha
Bantulah mereka di sana
Pelbagai cara sedaya upaya
Saudara kita
Seaqidah seagama…


7.14pm

28/2/2012

Biodata Penulis
Nama penulis adalah Ustazah Azlina Binti Idris yang merupakan mahasiswi kuliah Syariah Islamiah, Tahun 4, Universiti Al-Azhar. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua HEWI KPIPM bagi sesi 2007/2008.

Tiada Kejayaan Datang Bergolek

Dalam surah ar –Ra’du ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Allah tidak akan  mengubah keadaan  sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri “

Hakikatnya, belajar di luar negara ini memang susah. Pembelajaran kuliah, keseluruhannya menggunakan bahasa Arab bagi mahasiswa bidang Pengajian Islam dan Bahasa Inggeris bagi mahasiswa Sains Kesihatan. Buku-buku kuliah, soalan peperiksaan dalam bahasa asing, juga rakan-rakan sekelas adalah rakyat-rakyat asing. Tidaklah dinafikan ada dikalangan kita yang mahir dan fasih berbahasa arab, namun majoriti daripada kita hanya pada tahap “cukup makan”. Oleh itu, perlulah kita berusaha untuk sesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.

Setiap kesusahan itu,pasti ada kesenangan. Jangan kita merasa letih dan berputus asa dalam menuntut ilmu. Jika merasakan susah untuk memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah semasa di dalam kuliah, maka buatlah persediaan awal sebelum belajar.


Kebanyakkan daripada kita hanya tunggu apabila dekat dengan peperiksaan,barulah nak mula belajar atau mengulangkaji. Kenapa tidak mahu mula awal-awal lagi, seawal bermulanya semester?

Hal ini kerana, banyak yang perlu dibaca dan diulangkaji. Oleh itu masa yang diperlukan untuk menghadam dan mengingati satu-persatu isi-isi penting juga panjang dan lama. Masa yang singkat beberapa minggu sebelum peperiksaan bukanlah masa yang ideal untuk mengingat ilmu-ilmu baru.

Disamping itu, perlulah berusaha bersungguh-sungguh dalam belajar dan bersabar. Sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar, merasai keperitan untuk memperoleh ilmu-ilmu ini, kita sebenarnya akan lebih menghargai apa yang kita dapat dan selalunya akan lebih mudah untuk kita ingat apa yang kita belajar. Kesusahan itu sesungguhnya mengajar.

Imam Bukhari, seorang yang terkenal dengan kebolehan menghafal ratusan ribu hadis-hadis sahih, telah melalui fasa pembelajaran begini. Beliau terpaksa mengharungi padang pasir yang panas beribu-ribu batu untuk hanya sekadar memperolehi satu hadis. Atas kesungguhan dan susah payah beginilah, akhirnya beliau mampu untuk mengingat ratusan ribu hadis-hadis sahih didalam memorinya. InsyaAllah, kita juga mampu.

Tidak ada manusia di atas dunia ini yang lahirnya genius. Manusia bijak pandai dan berjaya adalah lahir daripada susah payah dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi sebelum menempa kejayaan. Kejayaan tidak datang tanpa titik peluh. Titik peluh itulah sebenarnya adalah azimat-azimat kejayaan. Pepatah Arab ada menyebut:

“Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnya.”

Sesungguhnya,tidak ada orang yang berjaya dalam keadaan dirinya tidak pernah sedia untuk berjaya.Sekiranya dia berjaya,itu bukan kejayaan tapi kebetulan.Ingatlah,tiada kejayaan yang datang bergolek tanpa kita berusaha mencarinya.


Biodata Penulis
Nama penulis adalah Ustazah Fatimah binti Azizuddin Mahasiswi Kuliah Syariah Islamiah Tahun 2, Universiti Al-Azhar. Beliau juga merupakan Ketua Biro Pelajaran Dan Ilmiah HEWI KPIPM sesi 2012/2013.


Erti Ujian Yang Sebenar

Apabila kita bertanya tentang ujian, maka setiap orang yang beriman pasti tidak akan lari daripadanya. Di sana terdapat beberapa jenis rintangan yang disebutkan di dalam al Quran, antaranya ialah ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kematian sanak saudara dan sebagainya.

Perkara ini telah disebukan oleh Allah SWT di dalam al Quran Surah al Baqarah, ayat 155 yang bermaksud:

“Dan Kami pasti akan menguji kamu seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu, mereka yang apabila ditimpa ujian, mereka mengucap “sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepadaNya kami kembali..”

Dr Wahbah az Zuhaili menyebut di dalam Tafsir Munir (1/402) bahawa :

a. Apa yang dimaksudkan dengan ketakutan itu ialah, sedikit ketakutan yang diuji oleh Allah SWT kepada orang yang beriman, ketika berhadapan dengan musuh.

b. Kelaparan juga diuji disebabkan tanah yang tidak subur, atau dengan kata lain, disebabkan kekurangan makanan dan keperluan harian.

c. Kekurangan harta disebabkan ia hilang. Ya, seorang yang beriman akan diuji dengan kehilangan harta benda, dipotong gaji, sekatan sumber pendapatan dan sebagainya.

d. Kematian sanak saudara atau pun orang yang disayangi disebabkan berjuang di jalannya.

Inilah sedikit ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang beriman. Ujian ini bertujuan meningkatkan keimanan hambaNya terhadap Allah SWT. Maka, beruntunglah mereka yang diuji.

Adakah Kekayaan Itu Juga Satu Ujian?

Allah SWT berfirman di dalam Surah al Anbiya’, ayat 35

“Dan kami akan menguji kamu dengan keburukan, dan kebaikan..”

Iaitu ujian yang Allah SWT berikan kepada orang yang beriman dalam dua bentuk, samada ujian yang kita sukai ataupun kita benci. Contohnya diuji dengan sihat dan sakit, kaya dan miskin, senang dan susah, halal dan haram, ketaatan dan kemaksiatan, dan sebagainya. (ibid 9/59)

Maka, kita perlu sedar bahawa setiap detik seorang yang beriman pastinya akan diuji. Sekiranya kita merasa senang dengan hidup, berhati-hati kerana ia adalah ujian. Dan kerap kali kita akan kalah dengan ujian yang berbentuk kebaikan ini. Ujian ini akan melatih seseorang itu supaya tidak leka dengan kesenangan sementara yang diberikan.

Allah SWT berfirman di dalam Surah al Anfal, ayat 17

“Dan Tuhan hendak menguji orang yang beriman dengan ujian yang baik

Wahai orang yang beriman, bersabarlah dengan ujian itu. Kadangkala kita diuji dengan sogokan duit sehingga kita leka dengan kemewahan tersebut. Kadangkala kita diuji dengan kehabisan duit belanja yang sangat kritikal.

Bersabarlah dengan ujian itu kerana rezeki itu milik Allah. Kadangkala kita diuji dengan penghinaan dan ancaman sepertimana yang dilalui oleh Baginda SAW, dan nabi-nabi terdahulu, namun kita perlu menilai bahawa ia adalah satu anugerah yang Allah SWT berikan kepada kita.

Israk Dan Mikraj: Persinggahan Rasulullah S.A.W ke Masjidil Aqsa

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa yang perlu dijadikan pengajaran. Dengan faktor inilah umat Islam dapat menilai pelbagai hikmah disebalik peristiwa yang dikatakan luar biasa ataupun di luar jangkaan pancaindera manusia. Disebalik kesedihan Rasulullah yang menempuhi pelbagai liku-liku dalam perjuangan dakwahnya, maka Allah S.W.T menenangkan hati kekasihNya dengan membawa baginda melihat kekuasaan serta kebesaran Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.

Kesedihan yang dialami oleh Nabi Muhammad di dalam tempoh ‘tahun kesedihan’ jelas dihayati di atas pemergian sayap kiri perjuangannya, Saidatina Khadijah R.A dan bapa saudara kesayangannya, Saidina Abu Thalib. Namun kesedihan tersebut tidak pernah menjadikan semangat baginda luntur lantas masih tetap di atas landasan perjuangan membawa risalah tauhid serta rahmat ke seluruh pelusuk alam buana.

Israk Mikraj merupakan satu anjakan paradigma bagi perjuangan Rasulullah S.A.W. Hakikatnya ia adalah suatu perjalanan yang benar dan realiti yang perlu dijadikan kepercayaan selaku hambanya yang beriman kepada Allah S.W.T dan perkara-perkara sami'yyat. Peristiwa tersebut jelas digambarkan oleh Allah S.W.T di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى )
(الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Isra’ : 1)

Walaupun peristiwa ini tidak mampu untuk digambar melalui pancaindera manusia, namun cukuplah ayat ini meyakinkan diri kita terhadap kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Hatta dalam peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar R.A adalah orang yang pertama yang mempercayai akan kata-kata Nabinya:

( ﻓﻘﺎﻝ ﻟﻬﻢ ﺃﺑﻮ ﺑﻜﺮ ﺭﺿﻲ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻨﻪ: ﺇﻥ ﻛﺎﻥ ﻗﺎﻟﻬﺎ, ﻓﻘﺪ ﺻﺪﻕ ﻭﺇﻧﻲ ﻷﺻﺪﻕ ﻋﻠﻰ ﺃﺑﻌﺪ ﻣﻦ ﺫﻟﻚ...)
“Maka ditanya Abu Bakar akan perihal itu (Israk Mikraj) : Sekiranya apa yang dikatakan tentangnya benar, maka aku akan membenarkan malah lebih daripada itu…[1]

Begitulah sifat seorang pengikut Nabi Muhammad S.A.W yang patuh dan sentiasa membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Gelaran As-Siddiq memang sesuai untuk diberikan kepada Saidina Abu Bakar. Oleh sebab kepercayaan Abu Bakar kepada Rasulullah terlalu tinggi, maka beliaulah orang yang pertama yang diberi kepercayaan untuk menjadi khalifah selepas kewafatan baginda.

Di dalam tempoh perjalanan baginda di dalam peristiwa tersebut, pelbagai gambaran yang Allah S.W.T tunjukkan kepada hambaNya. Di sinilah solat lima waktu difardhukan, Rasulullah melihat gambaran neraka dan syurga, pertemuan dengan barisan Nabi-nabi dan pelbagai lagi hikmah serta pengajaran yang Allah S.W.T tunjukkan kepada kekasihNya Nabi Muhammad S.A.W. Namun persoalannya, sejauh mana kita menghayati kebenaran dan pengajaran pada perisitiwa tersebut?

Perjalanan Nabi Ke Masjidil Aqsa
Nabi Muhammad S.A.W di’isra’ oleh Allah S.W.T dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. –Kedua-dua destinasi ini dirungkai melalui ayat dalam surah Al-Isra’ ayat satu iaitu:

مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى..
…dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa..

Maka kedua-dua tempat tersebut adalah dua kawasan yang sangat jauh jaraknya. Dijangkakan bahawa jarak di antara kedua destinasi tersebut adalah lebih kurang 1300 kilometer jauhnya.[2]

Maka amat ajaib bagi seseorang musafir untuk berjalan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa pada satu malam sahaja di zaman tersebut. Hanya kekuasaan Allah Taala yang mampu menjadikan segala kejadian tersebut.

Masjidil Aqsa adalah tempat suci bagi umat Islam. Ianya terletak di daerah Jerusalem di bumi Palestin. Di situlah terletaknya kiblat umat Islam yang pertama sebelum ditukarkan ke Baitullah Al-Haram.  Di dalam surah Al-Isra’ ayat satu tersebut menyifatkan bahawa Masjidil Aqsa atau Baitul Maqdis yang penuh barakah adalah tempat yang mana diutuskan para Nabi bagi menyampaikan risalah tauhid. Selain itu, ianya juga disifatkan sebagai tempat yang menerima kebaikan dunia dari sudut sungainya, buah - buahannya, tumbuh-tumbuhannya yang sangat subur yang dilimpahkan kepada hamba-hambaNya.[3]

Persinggahan Nabi Muhammad S.A.W ke Masjidil Aqsa pasti ada hikmah yang tersendiri yang perlu dikaji oleh setiap umat Islam.

Mengapa Masjidil Aqsa?
Persoalan mengenai persinggahan Nabi Muhammad S.A.W di Masjidil Aqsa, Palestin adalah jarang sekali dirungkai. Namun hikmahnya amat besar jika ingin dikaitkan dengan realiti zaman sekarang.

Persoalan ini pernah dirungkai oleh Dr. Muhammad Al-Ghazali di dalam kitabnya Fiqh Sirah. Antara sebab persinggahan Nabi ke Masjidil Aqsa adalah:



“Sesungguhnya ia mengimbau kembali sejarah silam, yang mana wahyu Allah S.W.T pernah diturunkan secara berterusan kepada Bani Israel, diutuskan para Nabi dari kalangan mereka di tanah yang dicintai dan mereka adalah kaum yang dipilih oleh Allah.”[4]

Menurut sebuah riwayat hadith menceritakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bertemu dengan barisan para Nabi terdahulu dan mengimami solat bersama mereka di Masjidil Aqsa.  Di sinilah, Allah mengumpulkan Rasul-rasul yang terdahulu sebelum Rasulullah, yang membawa hidayah serta risalah tauhid. Sesungguhnya para-para Nabi ini saling membenar di antara satu sama lain dan mengiktiraf akan kenabian Nabi Muhammad S.A.W.

Justeru Allah telah menjanjikan kepada utusan kaum Bani Israel ini dengan kedatangan Rasulullah sebagai utusan yang terakhir kepada manusia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T:


وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُم مِّن كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُم مِّنَ الشَّاهِدِينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.” (Surah Al-imran:81)

Aqsa Yang Semakin Dilupakan
Dalam memperingati peristiwa Israk dan Mikraj ini pada setiap tahun, kita jarang sekali untuk menceritakan tentang Al-Aqsa yang merupakan ‘watak’ utama yang penting dalam peristiwa tersebut. Apa yang sering disebut di dalam ceramah-ceramah, ataupun muhadharah ilmiah, setiap orang yang menceritakan tentangnya pasti akan memulakan dengan perjalanan Nabi ke Masjidil Aqsa lalu dimikrajkan ke Sidratul Muntaha. Namun jarang sekali untuk mereka menyampaikan atau menceritakan tentang situasi yang berlaku kepada saudara seaqidah kita di sana yang dizalimi oleh Zionis laknatullah.

Sepertimana yang ditegaskan oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam karangan,’ Tarbiyyah Assiyasah inda Al-Imam Hasan Al-Banna’ yang menceritakan tentang perihal Imam Al-Banna dalam menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj:



“Bersempena dengan Israk Mikraj yang diingati setiap tahun, ianya menjadi satu peluang untuk memperingati situasi di Masjidil Aqsa, diakhiri dengan Israk dan dimulai dengan Mikraj. Dan beginilah cara yang sesuai yang digunakan oleh Imam Hasan Al-Banna bagi menghidupkan kesedaran tentang situasi di Aqsa.”[5]

Oleh sebab itu, memperingati Israk dan Mikraj adalah sama seperti meniupkan semangat serta kesedaran kepada umat Islam akan kewajipan kita dalam memperjuangkan pembebasan Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis laknatullah. Ini adalah situasi yang perlu dilihat oleh umat Islam zaman kini bagi menyemarakkan lagi api perjuangan yang diteladani daripada Rasulullah melalui peristiwa Israk dan Mikraj yang mulia ini.

Sepertimana yang diungkapkan oleh Dr. Mahdi Akif yang merupakan Mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin:

"Isu Palestin adalah isu yang wajib diperjuangkan walau sesaat biarpun ada sahaja usaha-usaha yang cuba dilakukan oleh musuh untuk mengaburi isu ini. Justeru, perbuatan mereka tidak akan berhasil kerana isu Palestin adalah isu yang sentiasa hidup dalam jiwa raga bangsa Arab dan juga seluruh umat Islam. Palestin tidak akan dapat dibebaskan kecuali dari tangan pemimpin Islam yang bertaqwa, bukannya Obama atau pemimpin- pemimpin fasiq lain dan seumpamanya." 



Maka oleh sebab itu, dalam isu penjajahan kaum Bani Israel (gerakan Zionis) ke atas Palestin, perlu umat Islam untuk mempertahankan Baitul Maqdis yang merupakan tempat suci bagi umat Islam. Lantaran itu, mempertahankannya jelas mampu menunjukkan kebersamaan umat Islam dalam membela nasib saudara seaqidah yang semakin dipijak-pijak oleh Zionis laknatullah. Moga sinar kemenangan terpancar di sana.

Kaitan Israk Mikraj Dengan Kerakusan Kaum Bani Israel

Jika diteliti kembali, di dalam surah Al-Isra’, Allah telah menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj hanya dalam satu ayat yang tunggal, seterusnya Allah S.W.T mendedahkan tentang kerakusan dan kezaliman kaum Yahudi dan jenayah-jenayah yang mereka lakukan terhadap agama Allah. Allah memperingatkan mereka bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ini hanya akan memberi hidayah kepada sesuatu yang lebih tulus.[6]

Lantaran kesalahan dan jenayah yang mereka lakukan sehingga sanggup mengingkari apa yang diturunkan oleh Allah dan membunuh para-para Nabi mereka menjadikan mereka sesuatu kaum yang dilaknat oleh Allah sehingga ke hari kiamat.

Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsir Al-Munir menerangkan tentang jenayah yang dilakukan oleh kaum Bani Israel ada dua perkara yang menyeleweng:

Pertama: Berpaling daripada kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S dan membunuh sebahagian Nabi, antaranya Nabi Sya’ya A.S, dan memenjarakan Nabi Irmiya A.S ketika baginda memberi peringatan kepada mereka.

Kedua: Membunuh Nabi Zakaria A.S dan Yahya A.S, dan percubaan dalam mebunuh Nabi Isa A.S.[7]

Kesan daripada itu, mereka menjadi bongkak dan sombong lalu merasakan bahawa mereka adalah kaum yang dipilih oleh Allah sehingga hari ini. Mereka masih lagi cuba melakukan kerosakan di muka bumi ini dengan pelbagai cara.

Isu penindasan umat Islam di Palestin adalah salah satu tanda kerosakan dan kezaliman yang mereka lakukan dan sanggup menghalalkan darah umat Islam yang lain. Maka oleh sebab itu, peristiwa Israk dan Mikraj ini mengingatkan kepada mereka bahawa sudah tiba masanya memecat kaum yang bongkak ini daripada menerajui kepimpinan manusia. Lantas Allah S.W.T memindahkan amanah kepada pemimpin yang baru daripada kalangan Arab yang mampu membawa manusia ke arah kebaikan. Amanah yang dipindahkan ini juga diiktiraf oleh seluruh para Nabi yang diutuskan kepada kaum bani Israel .

Resolusi
Persinggahan Nabi ke Masjidil Aqsa adalah mempunyai tujuan tertentu yang perlu dinilai oleh umat manusia. Ianya bukan sahaja persinggahan yang biasa, namun ada hikmah disebalik persinggahan tersebut. Pengajaran sudah banyak dikutip, namun apakah sumbangan kita untuk mengaplikasikan pengajaran tersebut terhadap kehidupan semasa kita?

Dalam meneruskan kesinambungan perjuangan membawa risalah tauhid ini, perlu untuk kita meniupkan kembali kesedaran umat manusia yang semakin lama semakin kabur dengan fitrah yang sebenar. Maka perisitiwa ini menjadi peluang kepada diri kita untuk bercerita dan menyedarkan kembali umat manusia ke arah kebenaran.

أصلح نفسك وادع غيرك
“Perbaiki diri, seru pada yang lain”



BIODATA PENULIS
Nama penulis adalah Ustaz Amar Arif Bin Ahmad Po’aad yang merupakan mahasiswa kuliah Syariah Islamiah tahun 1 Universiti Al-Azhar.





[1] Tafsir Al-Munir Karangan Dr. Wahbah Azzuhaili
[2] Rujuk http://www.evi.com/q/distance_between_al_aqsa_and_makka
[3] Tafsir Al-Munir, jilid 8, m/s 15
[4] Fiqh Sirah karangan Dr, Muhammad Al-Ghazali, m/s 140
[5] Tarbiyyah Assiyasah Indal Imam Hasan Al-Banna
[6] Rahiqul Makhtum, karangan Syeikh Abdurrahman Al-Mubarak Furi, m/s 192
[7] Tafsir Al-Munir, jilid 8, m/s 23

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger