Ribat KPIPM : Menghayati Peristiwa di bulan Rejab


Kaherah 24 Mei 2013 - Program Ribat Perdana KPIPM pada kali ini telah bermula pada jam 2.30 pagi dengan bacaan zikir dan diteruskan dengan qiamullail bulanan secara berjemaah.

Seperti kebiasaan, seusai solat subuh berjemaah program diteruskan lagi dengan pengisian tazkirah. Santapan minda pada pagi ini telah disampaikan oleh tetamu yang didatangkan khas daripada HEWI PMRAM 2013, iaitu Ustazah Salsabila binti Hashim, Naib Setiausaha HEWI PMRAM 2013 merangkap HEWI Angkat KPIPM pada sesi ini.

Antara pengisian yang telah beliau sampaikan adalah berkenaan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika bulan Rejab. Antaranya seperti Perang Tabuk, Pembebasan Kota Al-Quds dan Israk Mikraj. Beliau telah menyentuh beberapa perkara mengenai perang Tabuk yang mana perang ini telah berlaku semasa musim panas dan di mana ketika itu ekonomi menjulang tinggi dan buah-buahan masak ranum. Namun, apabila tiba seruan jihad untuk berperang, para mukmin telah bersiap sedia untuk menyahut seruan itu kecuali beberapa golongan munafik.

Beliau telah menekankan sebab utama golongan islam malas untuk menyahut seruan jihad itu adalah disebabkan NAFSU yang menguasai dan mengaburi hati para mukmin untuk pergi berjihad. Dengan kisah ini, beliau mengaitkan dengan kehidupan kita selaku mahasiswa terutama dalam fatrah imtihan agar melawan nafsu-nafsu jahat yang menyebabkan kita malas untuk berusaha.


Selain itu, konsep muhasabah diri juga turut ditekankan agar mahasiswa sedar akan tanggungjawab dan tahap keikhlasan diri dalam beramal.

Sebelum mengakhiri tazkirah, pesanan beliau pada para hadirin supaya meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W dan membuat sedikit tayangan video mengenai Rasulullah yang sungguh menyayat hati.

Pendakian Usaha dan Tawakkal

Sebahagian orang menganggap bahawa tawakal adalah sikap pasrah tanpa melakukan usaha sama sekali.

Tawakkal Yang Sebenarnya
Ibnu Rajab rahimahullah dalam Jami'ul Ulum wal Hikam menjelaskan:
"Tawakal adalah benarnya penyandaran hati pada Allah 'azza wa jalla untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya baik dalam urusan dunia maupun akhirat, menyerahkan semua urusan kepada-Nya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa 'tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata'."

Tawakal Bukan Hanya Pasrah
Tawakal bukanlah hanya sikap bersandarnya hati kepada Allah semata, namun juga disertai dengan melakukan usaha.

Allah memerintahkan kita untuk melakukan usaha sekaligus juga memerintahkan kita untuk bertawakal. Sebagaimana Allah s.w.t berfirman (yang ertinya):

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sigupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang."  (Al Anfaal:60).

 Juga firman-Nya :
"Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kunia Allah" (Al Jumu'ah:10).


Ingatan
Ingatlah bahawa tawakal bukan hanya untuk meraih manfaat duniawi atau menolak bahaya dalam urusan dunia. Namun hendaklah seseorang juga bertawakal dalam urusan akhiratnya, untuk meraih apa yang Allah redhai dan cintai. Maka hendaklah seseorang juga bertawakal agar bagaimana boleh teguh dalam keimanan, dalam dakwah, dan jihad fii sabilillah serta dalam menhadapi peperiksaan sekalipun.

Perhatikanlah firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya." (Ath Thalaaq:2-3).

Al Qurtubi dalam Al Jami' Liahkamil Qur'an mengatakan:

"Barang siapa menyerahkan urusannya sepenuhnya kepada Allah, maka Allah akan mencukupi keperluannya."

Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam pernah membaca ayat ini kepada Abu Dzar. Lalu beliau shallallahu 'alaihi wa sallam berkata kepadanya:

"Seandainya semua manusia mengambil nasihat ini, sungguh hal ini akan mencukupi mereka." Yaitu seandainya manusia betul-betul bertakwa dan bertawakal, maka sungguh Allah akan mencukupi urusan dunia dan agama mereka.

وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا
"dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pemelihara," (Surah Al-Ahzab:Ayat 3) 

Yusuf al Qaradhawi dalam kitabnya Ath Thariq Ilallah, At-Tawakal mengungkapkan mengenai keistimewaan disandang hamba Allah bertawakal kepada-Nya, iaitu timbul ketenteraman jiwa, kekuatan jiwa (kekuatan spiritual), kewibawaan, keredaan dan percaya diri.

Oleh yang sedemikian, kita selaku pelajar haruslah bertawakkal kepada Allah s.w.t setelah kita sedaya upaya berusaha untuk berjaya khususnya dalam pelajaran kita. Kita juga harus yakin akan pertolongan Allah. Allah tidak akan membiarkan orang berjuang di jalan-Nya. Allah tetap menolong mereka, cuma cepat atau lambat saja.


Al-Marbawi: Ulama’ Nusantara Yang Menyinari Islam


Genap 24 tahun pemergian Al-Marhum Syeikh Idris Al-Marbawi, ulama’ Nusantara yang terkemuka suatu tika dahulu. Kegigihan serta ketajaman pemikirannya dalam membahaskan ilmu Islam, menjadikannya beliau salah seorang ulama’ yang sebaris dengan tokoh-tokoh ulama’ Nusantara terkemuka pada era tersebut seperti Tok Kenali, Syeikh Yasin Al-Fadani, Tuan Guru Abdullah Fahim, Sheikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Abdul Qodir Al-Mandaeli dan ramai lagi.

Beliau dilahirkan di Mekah pada 10 Mei 1896, mempunyai kemahiran dan kefahaman yang jitu mengenai ilmu bahasa Arab, ilmu hadis, tafsir dan feqah. Pada usia 10 tahun, beliau mampu untuk menghafal 17 juzuk Al-Quran dan beberapa buah kitab. Beliau mengambil gelaran ‘Al-Marbawi’ bersempena dengan tempat asalnya iaitu Lubuk Merbau, Perak.

Kegigihan Dalam Menuntut Ilmu

Ilmu tidak akan dapat ditimba melaiinkan dengan usaha yang gigih. Kegigihan beliau dalam memartabatkan ilmu Islam perlu menjadi iktibar kepada diri kita. Pada awalnya, beliau mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Kuala Kangsar Perak. Selain itu, beliau juga banyak menimba ilmu agama di beberapa buah pondok antaranya Madrasah Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fathani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Hasilnya, beliau mampu untuk mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam dan terus melanjutkan pelajarannya ke peringkat tertinggi di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau di antara salah seorang anak Melayu yang terawal menuntut ilmu di bumi Mesir.

Kegigihan beliau tidak terhenti setakat itu, malah kesungguhan beliau bertambah dengan menimba ilmu di Mesir yang merupakan kiblat ilmu Islam. Di Mesir, beliau menuntut ilmu secara talaqqi bersama guru beliau iaitu Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Maklumat ini di ambil berdasarkan kata-kata aluan di dalam karangan beliau, kitab Bahrul Mazi.

Sifat Tolong-menolong Dalam Diri Ulama’

Syeikh Idris Al-Marbawi ketika muda
Sebagai angkatan pertama yang baru mengenal suasana di Mesir, Syeikh Idris Al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dalam kalangan anak Melayu. Dengan sikap beliau yang gemar membantu akhirnya timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama beberapa orang rakannya antaranya Syeikh Juned Tola, dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan-rakannya. Walaupun bersendirian, beliau tetap nekad untuk menyiapkan kamus tersebut.

Akhirnya, kamus Arab-Melayu tersebut yang terkenal sebagai 'Kamus al-Marbawi' itu, berjaya disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak berpuluh-puluh kali kerana sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. Kamus al-Marbawi menjadi terkenal sehingga ke hari ini. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al-Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam penghasilan karya Islam yang lain.


Perginya seorang Ulama’

Pemergian Syeikh Idris Al-Marbawi dalam dunia Islam amat dirasai. Sumbangan dan jasa yang banyak menjadikan beliau antara tokoh ulama’ yang dikenang hingga ke hari ini. Karangan beliau seperti Bahrul Mazi, Kamus Al-Marbawi, Tafsir Surah Yasin, Tafsir Al-Quran Al-Marbawi dan banyak menjadi rujukan oleh para ilmuwan Islam. Beliau telah pulang ke rahmatullah pada 13 Oktober 1989 13 Rabiul Awal 1409 Hijrah dan meninggal dunia di Hospital Besar Ipoh pada umur 96 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Kampung Lubuk Merbau, Perak.

Memandangkan jasa dan sumbangan beliau yang banyak dalam ilmu agama, beliau diiktiraf oleh beberapa institusi pendidikan terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dan dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh UKM. Nama beliau diabadikan di salah sebuah kolej di sana yang diberi nama Kolej Idris Al-Marbawi.

Kesimpulan

Perjuangan Syeikh Idris Al-Marbawi dalam memartabatkan ilmu Islam perlu dijadikan iktibar kepada diri kita selaku mahasiswa Al-Azhar yang menuntut ilmu di Mesir. Kegigihan serta kecekalan beliau, menjadikan beliau antara tokoh yang dikenang sehingga ke hari ini. Di samping menuntut ilmu demi menghilangkan kejahilan yang ada pada diri, beliau juga tidak melupakan tanggungjawab beliau untuk membantu dan menyebarkan apa yang dipelajari. Malah beliau terkehadapan dalam memartabatkan ilmu melalui dunia penulisan yang dikatakan ‘evergreen’ yang mampu untuk masuk ke setiap lapisan masyarakat yang dahagakan hidayah Allah.

Justeru, bersempena dengan musim peperiksaan ini, perlu kita menilai dan menghayati kisah perjuangan para-para ulama’, supaya diri kita ‘segera bangun dari lamunan’ dan bingkas mempertingkatkan kualiti diri dari setiap sudut sama ada dari sudut keilmuan, kemahiran dan ketaqwaan demi memimpin masyarakat kelak.

أصلح نفسك وادع غيرك
“Perbaiki Diri, Seru Pada Yang Lain”


BIODATA PENULIS
Nama penulis adalah Ustaz Amar Arif Bin Ahmad Po’aad yang merupakan mahasiswa kuliah Syariah Islamiah tahun 1 Universiti Al-Azhar.

Persinggahan Di Fasa Pengislahan Diri


Dalam mengorak langkah menuju mardhatillah, seringkali kehidupan kita diintai dengan cabaran dan ujian. Adakalanya kita tersungkur sebelum redha menjengah kamar hati kerana kita adalah manusia yang lemah. Dalam mencapai redha, mujahadah diri amat diperlukan dan langkah pertama bermujahadah adalah BERSEDIA UNTUK MENGISLAHKAN DIRI. 

  “Demi masa, sesungguhnya, manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan orang-orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan orang-orang yang berpesan-pesan dengan kesabaran” (Al-‘Ashr : 1-3)

   Sebagai seorang Muslim, kita perlu belajar untuk menjadi hamba yang sentiasa sedar dan peka dengan hakikat hidup. Jangan mudah berasa selesa dengan kehidupan hari ini dan semalam kerana perjalanan kita sebagai hamba Allah masih jauh. Ambillah satu waktu untuk bermuhasabah diri. ‘adakah hari ini aku seperti sebelumnya?’ atau ‘adakah hari ini aku lebih teruk dari sebelumnya?’. Jika YA, sungguh! kita adalah manusia yang sangat rugi.

Sabda Rasulullah SAW: ‘Maka celakalah orang yang hari ini seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.’
  
Kehidupan kita yang terdedah dengan anasir-anasir luar yang tidak sihat sedikit demi sedikit telah menghakis fitrah manusia yang dicipta oleh Allah SWT dengan segala sifat kebaikan. Pengislahan diri mengikut sibghatallah perlu sentiasa dilakukan untuk mengelakkan kita terus hanyut dan terbuai dengan fantasi dunia. Ianya perlu dijana dengan kekuatan mental dan rohani. Hubungan dengan Al-Khaliq perlu dipertingkatkan bagi memastikan kita terus teguh dalam fasa pengislahan diri kerana ia merupakan sumber kekuatan bagi orang yang beriman.

Hakikatnya kita tidak akan selama-lamanya muda. Maka jadilah setiap detik kehidupan kita memberi makna dan manfaat agar dapat kita jelaskan di hadapan Allah SWT nanti. JOM kita mengorak langkah kearah pengislahan diri! Kerana esok belum lagi menjanjikan kehidupan untuk kita.

Kehidupan kita seperti SEBUAH BUKU..

Muka hadapan adalah TARIKH LAHIR..

Muka belakang adalah TARIKH KEMATIAN..

Setiap HALAMAN adalah setiap hari dalam KEHIDUPAN yang kita lakukan..

Sekali tertulis, tidak akan boleh diubah semula..

TETAPI..seburuk manapun HALAMAN sebelumnya, masih TERSEDIA halaman 
selanjutnya yang PUTIH dan BERSIH..”

Peristiwa Bersejarah Bulan Rejab



1. HIJRAH PERTAMA UMAT ISLAM

Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) pada bulan Rejab tahun ke-7 sebelum Hijrah. Hal terbabit pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w. dan orang-orang mukmin ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan mendapatkan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Sayidina Uthman r.a. dan isterinya Ruqiah anak Rasulullah s.a.w.

Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya (Najasyi) dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya. Beliau tidak menukar umat Islam walaupun akan dijanjikan berupa segunung emas sebagai imbalan.

Setelah Islam kembali kuat dan membina ketamaduna tersendiri dibumi Madinah, Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Ja’afar bin Abi Thalib untuk mengajak Raja Najasyi memeluk Islam.

Isi Surat :

Dari Muhammad utusan Islam untuk An-Najasyi, penguasa Abyssinia (Ethiopia). Salam bagimu, sesungguhnya aku bersyukur kepada Allah yang tidak ada Tuhan kecuali Dia, Raja Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, dan aku bersaksi bahwa Isa putra Maryam adalah ruh dhari Allah yang diciptakan dengan kalimat Nya yang disampaikan Nya kepada Maryam yang terpilih, baik dan terpelihara. Maka ia hamil kemudian diciptakan Isa dengan tiupan ruh dari-Nya sebagaimana diciptakan Adam dari tanah dengan tangan Nya. Sesungguhnya aku mengajakmu ke jalan Allah. Dan aku telah sampaikan dan menasihatimu maka terimalah nasihatku. Dan salam bagi yang mengikuti petunjuk ”.

2. KEMATIAN RAJA NAJASYI

Najasyi meninggal pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijrah. Sayyidah Aisyah binti Abu Bakar melaporkan bahawa kubur Najasyi diliputii cahaya. Rasulullah mengadakan solat ghaib iaitu sembahyang jenazah dari jauh. Rasulullah tidak pernah solat jenazah ghaib sebelum ataupun sesudah meninggalnya raja Najasyi.


3. PERANG TABUK

Perang Tabuk pada tahun ke-9 Hijrah. Ia terletak antara Hijaz dan Syam (Syiria). Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad s.a.w. Ia dikenali juga dengan “Perang al-‘Usrah” kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik bahkan Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh.

Kebiasaan dalam peperangan Nabi s.a.w. tidak memberitahu lokasi dan destinasi yang hendak dituju kerana untuk merahsiakannya daripada pengetahuan musuh, namun pada peperangan Tabuk berlaku sebaliknya. Ini kerana besarnya persiapan dan perbekalan yang harus disiapkan kerana amat sukar perjalanannya agar semuanya dapat memperlengkapkan diri secukupnya bagi menghadapi angkatan musuh yang besar.

Namun dalam masa yang sama, ketika inlah Allah s.w.t. ingin memperlihatkan sikap sebenar golongan munafik yang mencari pelbagai alasan untuk menghindari diri mereka keluar berperang kerana kesukaran tersebut bahkan dalam masa yang sama mengajak pula sahabat-sahabat lain untuk bersama mereka.

Lalu Allah s.w.t. berfirman : "Orang yang ditinggalkan (tidak ikut ke medan perang) berasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah dan mereka tidak suka berjihad (menegakkan ajaran Allah) dengan harta dan jiwa mereka dalam jalan Allah, dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat(pergi berperang)dalam panas terik ini. Katakanlah(wahai Muhammad, api neraka lebih panas, jika mereka mengetahui." (Surah At-Taubah,ayat:81)

Namun, Rasulullah s.w.t. hanya mempercayai tiga orang dikalangan mereka yang memberikan alasan tersebut kerana benar-benar jujur mengakui kesilapan mereka. Sebagai ‘iqab (denda) yang dikenakan kepada mereka sebagai peringatan, Rasulullah dan para sahabat memulaukan ketiga-tiganya selama hampir 50 hari sehinggalah datangnya Firman Allah s.w.t. :

"Terhadap tiga orang yang tidak keluar perang, hingga bumi terasa sempit bagi mereka (kerana dipulau oleh Nabi dan Sahabat) padahal bumi itu luas, lalu jiwa mereka pula menjadi sempit, serta mereka telah mengetahui bahawa tiada tempat lari dari pengajaran Allah melainkan kepada-Nya jua, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka thabat dengan taubat mereka, seungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang”. (Surah al-Taubah : 118).

Pulangnya angkatan tentera Islam dari Tabuk tanpa berperang kerana bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk, mereka telah digentarkan 100,000 malaikat yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah. Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam.



4. ISRAK MIKRAJ RASULULLAH S.A.W.

Menurut catatan sejarah yang masyhur pada tanggal 27 Rejab tahun ke-11 dari masa kenabian beliau, merupakan peristiwa penting yang selalu diraikan setiap tahun oleh seluruh umat Islam dengan pelbagai amalan dan peringatan sebagai ‘ibrah (pengajaran).

Walaupun disana terdapat pelbagai khilaf dikalangan ulama’ pada menentukan tarikh dan tahun yang tepat namun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya al-Tobaqatil Qubra, bahawa berlaku Israk Mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah.

Israk ertinya berjalan manakala Mikraj ertinya diangkat kelangit menghadap Allah s.w.t. Dalam peristiwa tersebut Rasulullah dipertontonkan pelbagai perkara disetiap lapisan langit sehinggalah sampai ke hadrat Allah dengan difardhukan kepada Baginda dan semua umat Islam akan solat lima waktu.

Ianya sejarah penting memperlihatkan mukjizat Rasulullah s.a.w.


5. LAHIR IMAM SYAFIE R.A

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie’. Beliau lahir di Ghazzah, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Fiqh.

Antara jasa besar beliau adalah menggabungkan antara dua jenis institusi pengajian (madrasah Hadith di Hijjaz dan madrasah Ra’yu di ‘Iraq). Beliau juga ulama’ pertama yang menyusun dan menulis Kitab Usul Fiqh dan diberi nama al-Risalah.

Antara peninggalan imam Syafie yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm, al-Risalah, al-Hujjah, Ikhtilaful Hadith dan lain-lain.

6. PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, golongan Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib tmenduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun.

Setelah itu ia dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.

Pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

KESIMPULAN

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, sedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab sebagai persediaan awal kepada pembukaan Bulan Ramadhan nanti. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kejayaan dan anugerah Allah s.w.t.

Gelap malam pasti terang, sang mentari pasti datang. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya datang menyuluh dan menerangi para mukmin. Sucikan kalam, amalan dan hati semata-mata kerana-Nya. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita. Menjadi pemangkin keberjayaan kita dalam imtihan dunia dan akhirat.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “ Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Imam Syafie mengatakan : 'Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam : malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban".

SALAM IMTIHAN, SALAM KEJAYAAN

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Disediakan oleh:
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin


__________________________________________

RUJUKAN:

1. Kitab Lathoiful Maarif karangan Ibn Rejab al-Hanbali
2. Kitab Fiqh Sirah karangan Syeikh Saied Ramadhan al-Buthi
3. Kitab Mausu'ah Tarikhul Islami karangan Dr. Raghib al-Surjani
4. Kitab Manaqib al-Syafie karangan Imam Baihaqi

Sumber: Manhal PMRAM

Dapatkan majalah rasmi KPIPM di pasaran sekarang!!!



Dapatkan majalah rasmi KPIPM di pasaran sekarang!!!
Majalah The Fikr Edisi Double Fever

Antara yang menarik:
~ Imtihan Dan Pilihanraya : Satu Ujian Atau Peluang?
~ Tahaluf Siyasi
~ Adab Kepada Pemimpin Dan Rakyat

Harga: LE 3.50

Boleh dapatkan daripada wakil KPIPM di setiap cawangan.

"Berilmu Beramal Ikhlas"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Panduan Permohonan Melanjutkan Pengajian (Pengajian Islam) Di Institusi Pengajian Tinggi di Mesir


Memandangkan ramai kalangan pelajar-pelajar Malaysia khususnya  pelajar lepasan STAM yang masih kabur tentang permohonan untuk meneruskan pengajian dalam bidang pengajian Islam  di Timur Tengah khususnya di Mesir .Pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) mengambil inisiatif  memberikan sedikit panduan sebagai satu pencerahan bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran di sini.

Pemohon yang ingin mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir peringkat ijazah pertama hendaklah memenuhi syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia seperti berikut:

1)      Mempunyai Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan memperoleh sekurang-kurangnya pangkat MAQBUL dengan syarat sijil STAM tidak melebihi 3 tahun
2)     Lulus Imtihan Qabul (IQ)
3)     Pengajian Qiraat Mempunyai Diploma Qiraat dengan syarat sijil / diploma tidak melebihi 3 tahun


PERMOHONAN
Permohonan perlu dibuat dengan mengisi borang pemohonan yang boleh didapati di laman web Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) :



Semua pemohon yang memenuhi syarat perlu menghadiri Program Transformasi Mahasiswa ke Luar Negara anjuran KPT yang akan dikendalikan oleh Biro Tatanegara. Borang permohonan serta dokumen sokongan yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pengajian Tinggi di alamat berikut;


Pengarah Bahagian Education Malaysia
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
Aras 4 No 2, Menara 2,
Jalan P5/6, Presint 5
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62200 PUTRAJAYA

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-8870 6611/6631/6627.



TARIKH TUTUP

Permohonan untuk mengikuti pengajian di universiti di Timur Tengah bagi sesi 2013/2014 ini ditutup pada 31 Mei 2013.

Semoga dengan sedikit panduan pencerahan daripada pihak kami ini dapat membantu mereka yang berkeinginan untuk melanjutkan pengajian di bumi Anbiya ini.


MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN”

Ahmad Shahrir Bin Alias
Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa
Persekutuan Melayu Repulik Arab Mesir (PMRAM) 2013

Jaulah Auliya' Bahnasa: “Thaqafah didalami , Ibrah dihayati”


BAHNASA, 27 APRIL 2013 - Biro Perhubungan Sambutan dan Rehlah  KPIPM telah menganjurkan satu jaulah ke Bahnasa bagi ikhwah. Jaulah ini juga di anjurkan bersempena dengan musim imtihan yang hampir tiba ini.  Program ini bertemakan “Thaqafah didalami , Ibrah dihayati” telah disertai seramai  51 peserta daripada kalangan ahli KPIPM.

Pada jam 11 malam bertarikh 26 April 2013 semua peserta jaulah berkumpul di sekitar Wisma Darul Ridzuan A. Setelah semua persiapan jaulah selesai dan bas tiba, peserta jaulah semua bergerak menuju ke lokasi bas di mahkamah berdekatan dengan Wisma.  Perjalanan bermula daripada Kaherah sekitar jam 12.50 pagi bertarikh 27 April 2013. Acara di dalam bas yang dikendalikan oleh Unit Pengisian dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jelajah Auliya’ Bahnasa, Yang Dipertua KPIPM dan seterusnya taklimat dan doa yang dibacakan oleh Musyrif Jelajah kali ini, Mohd Firdausi Bin Mohd Fauzi.

Perjalanan menuju ke sana telah mengambil masa hampir 4 jam . Kami tiba di Bahnasa pada pukul  4.30 pagi. Seusai solat subuh secara berjemaah di masjid  berdekatan, kami diberikan santapan rohani yang di sediakan oleh pengisi jaulah. Tazkirah ringkas pada pagi itu disampaikan  oleh wakil peserta jaulah iaitu Ustaz Zuhaili Bin Zanal Ali.

Pada jam 7.30 pagi kami memulakan jelajah makam di sekitar kawasan Bahnasa. Sedikit taklimat ringkas disampaikan oleh musyrif yang bertugas  sebelum memulakan jelajah makam . Peserta mula bergerak menziarahi makam di sekitar masjid Bahnasa. Hampir 20 makam yang di lawati antaranya anak sepupu Rasulullah SAW, Saidina Ali bin ‘Akhil bin Abi Thalib RA, Saidina Ja’far bin ‘Akhil bin Abi Thalib RA, Saidina al-Husain bin Soleh bin al-Husain bin Ali bin Abi Thalib RA, Saidina Ziyad bin Abi Sufyan, Ma’bad Nabi Isa bin Maryam AS, Bahrul Yusuf, pokok tempat berteduh Sayyidah Maryam, Saiyidah Khaulah al-Azwar (al-asadiah) dan beberapa lagi makam para sahabat dan syuhadaa’ Bahnasa ketika pembukaan Bahnasa.

Pada jam 10.00 pagi, peserta berkumpul di Masjid Bahnasa untuk solat jama’ taqdim dan makan tengah hari. Jaulah diteruskan ke makam Sab’uu Banat pada jam 1.45 petang dan bertolak pulang pada jam 3.20 petang. Lawatan ini dapat meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan menghayati dan mentadabbur cipataanNya. Peserta juga dapat menghayati pengorbanan dan jasa para sahabat dan auliya’ serta mengembalikan semangat peserta untuk terus berjuang demi Islam.

Perjalanan berakhir dan selamat tiba di Wisma Darul Ridzuan A pada jam 5.00 petang. Walaupun lawatan yang dianjurkan ini hanya mengambil masa satu hari sahaja tetapi kesan dan kenangan yang amat manis tetap terpahat dalam hati semua peserta jaulah. 

Ribat KPIPM: Ahli KPIPM Bersedia Menghadapi Imtihan


Kaherah 26 Mei 2013 - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan Ribat Perdana dengan jayanya. Program dimulakan pada jam 2.30 pagi dengan bacaan zikir dan diteruskan dengan qiamullail bulanan secara berjemaah.

Selesai solat subuh berjemaah, program diteruskan lagi dengan pengisian tazkirah dan motivasi bersempena imtihan yang akan menjelang tidak lama lagi. Santapan minda pada pagi tersebut telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Aziz Bin Ali, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2013.

Beliau telah berkongsi sedikit sebanyak tentang pengalaman yang telah dilalui selama enam tahun keberadaan beliau di mesir. Beliau juga telah memberi kaedah belajar yang cukup berkesan kepada semua yang hadir.


"Manusia ini sama sahaja tarafnya, yang diumpamakan sebagai seorang  asing, yang diibaratkan sebagai seorang pedagang  yang sedang mencari hala tuju untuk pulang ke kampung halaman." ujar beliau.

Semua ahli yang hadir memberikan tumpuan sepenuhnya. Diharapkan KPIPM dapat lagi meneruskan program yang bermanfaat seperti ini pada masa akan datang.

“Beramal, Berilmu, Ikhlas”

“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

 
Support : UPP KPIPM | PMRAM Cawangan Perak | KPIPM
Copyright © 2011. Laman KPIPM - All Rights Reserved
Template Modify by KPIPM64
Proudly powered by Blogger