Friday, April 26, 2013

Kembara Sejarah Membongkar Hikmah



Bahnasa, 20 April 2013 - Biro Perhubungan Sambutan dan Rehlah HEWI telah menyelia satu program yang diberi nama Jelajah Auliya’ Bahnasa sempena imtihan yang hampir tiba di bawah anjuran Ketua HEWI KPIPM sesi 2012/2013. Program ini bertemakan “Kembara Sejarah Membongkar Hikmah” telah disertai seramai 90 orang pelajar termasuk BKAN taakhi Johor seramai 14 orang pelajar. Terdapat juga penyertaan daripada BKAN Terengganu, Kedah dan mahasiswa daripada kuliah Ulum Islamiyah tajaan Amanah Raya Berhad. Jaulah ini dipimpin oleh musyrif penerangan iaitu Ustaz Ariff Adli bin Ibrahim daripada BKAN Selangor serta 2 pasangan mutazawwijin sebagai pengiring program. Dengan penyertaan dari BKAN luar, lawatan ini telah berjaya membawa objektifnya iaitu mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli KPIPM khususnya dan PMRAM amnya.

                 Pada jam 12.15 pagi, peserta jaulah telah berkumpul di hadapan Wisma A Darul Ridzuan untuk mendengar taklimat jaulah daripada pengarah dan unit disiplin. Perjalanan bermula pada jam 12.30 pagi. Perjalanan yang mengambil masa 4 jam, akhirnya tiba di  destinasi pada jam 4.20 pagi.

Berhampiran pokok Saidatina Maryam berteduh


Terdapat banyak maqam para syuhada' di Bahnasa bumi berkat

 Para peserta sedang berdoa dan bertawassul di maqam para wali

                 Seusai solat subuh dan kendiri, musyrif penerangan memberi tazkirah dan taklimat tentang Bahnasa. Pada jam 7.30 pagi, peserta mula bergerak menziarahi makam di sekitar masjid Bahnasa. Hampir 20 makam yang di lawati, antaranya anak sepupu nabi, Saidina Ali bin ‘Akhil bin Abi Thalib RA, Saidina Ja’far bin ‘Akhil bin Abi Thalib RA, Saidina al-Husain bin Soleh bin al-Husain bin Ali bin Abi Thalib RA, Saidina Ziyad bin Abi Sufyan, Ma’bad Nabi Isa bin Maryam AS, Bahrul Yusuf, pokok tempat berteduh Sayyidah Maryam, Saiyidah Khaulah al-Azwar (al-asadiah) dan beberapa lagi makam para sahabat dan syuhadaa’ Bahnasa ketika pembukaan Bahnasa.
                  
                Pada jam 11.25 pagi, peserta berkumpul di Masjid Bahnasa untuk solat jama’ taqdim dan makan tengah hari. Jaulah diteruskan ke makam Sab’uu Banat pada jam 1.45 petang dan bertolak pulang pada jam 3.20 petang. Lawatan ini dapat meningkatkan ketaqwaan kpada Allah s.wt dengan menghayati dan mentadabur cipataanNya. Peserta juga dapat menghayati pengorbanan dan jasa para sahabat dan auliya’ serta mengembalikan semangat peserta untuk terus berjuang demi Islam.

                 Perjalanan berakhir dan selamat tiba di Wsima Darul Ridzuan pada jam 6.20 petang. Walaupun lawatan seumpama ini pertama kali dianjurkan oleh persatuan secara besar-besaran, namun ia sangat berhasil. Harapan dari pihak penganjur agar program-program yang seterusnya akan lebih ramai penyertaan dan berjalan lancar.

Telaga yang terdapat di Sab'u Banat

Tuesday, April 23, 2013

Muzakarah Berkelompok Gabungan: Mengenang Kembali Khilafah Yang Dilupakan


KAHERAH, 19 April 2013 - Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan diskusi kitab bagi Muzakarah Berkelompok Mahasiswa/wi Gabungan Tahun Satu. Diskusi kitab yang berjudul "أهدافنا أخطر قضايا المسلمين"pada kali ini telah dilakukan dalam bentuk forum yang menampilkan seorang moderator dan dua ahli panel.

Program tersebut telah dikendalikan oleh Ustazah Nabilah Binti Mokhtar, mahasiswi Kuliah Bahasa Arab sebagai moderator dan Ustaz Mohd Faizal Bin Jaafar, mahasiswa Kuliah Syariah Islamiah serta Ustazah Nur Syuhada binti Hashifuddin, mahasiswi Kuliah Syariah Islamiah sebagai ahli panel.
            
Program tersebut telah membincangkan tentang tujuan-tujuan membina khilafah Islamiah yang telah dilupakan. Kedua-dua ahli panel memberikan ulasan yang sangat mendalam kepada semua yang hadir. Semua peserta yang hadir memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Semoga KPIPM dapat mengadakan lagi program seperti ini di masa akan datang.


Tuesday, April 9, 2013

Usrah Gabungan KPIPM: Melahirkan Generasi Islam Yang Berketerampilan


Kaherah, 5 April 2013 – Bagi menjayakan Usul Mesyuarat Agung ke-46, KPIPM dengan jayanya mengadakan satu program diskusi kitab “ As-Syariatul Zaman Wa Makan” yang dibentangkan oleh Ustaz Arif Bin Yaziz, Mahasiswa Kuliah Syariah Islamiah Tahun 3, Universiti Al-Azhar. 

Program ini telah menggabungkan kesemua usrah tahun satu  di bawah anjuran Jabatan Nuqaba’ Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.

Di antara objektif program ini ialah untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam kalangan ahli KPIPM meliputi ilmu fardhu ain dan bahasa arab. Mahasiswa didedahkan dengan pengisian berguna daripada pendiskusi sebagai persediaan melangkah ke medan dakwah islamiyyah. 


Sambutan dan penyertaan daripada ahli KPIPM sangat menggalakkan. Pihak KPIPM  mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Seterusnya melahirkan mahasiswa yang berilmu dan berketerampilan. 

Saturday, April 6, 2013

Pilihan Raya Mengikut Perspektif Islam


Pada asasnya kita memahami pilihan raya sebagai proses pemilihan pimpinan yang membentuk sebuah pemerintahan, daerah mahupun negara. Namun hakikatnya, pilihan raya merupakan satu mekanisme kepada peralihan kekuasaan dari rakyat di dalam mana-mana negara yang menjalankan prinsip demokrasi (kebebasan). Tradisi memilih dan mengganti pimpinan hanyalah melalui kutipan suara majoriti atau pilihan raya sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen. Cara ia dijalankan bergantung pada jenis pemerintahan sama ada pemerintahan republik, persekutuan ataupun beraja.

Dalam kebanyakan sistem politik demokrasi, beberapa jenis pilihan raya boleh didapati, bergantung kepada lapisan pemerintahan atau sempadan geografi. Antara yang biasa ditemui adalah:

1.    Pemilihan Presiden

2.    Pilihan raya umum

3.    Pilihan raya utama

4.    Pilihan raya parti

5.    Pilihan raya kecil

Tidak menjadi kesalahan kepada umat Islam untuk menyertai pilihan raya selama mana mereka hanya menghadkan aktiviti kepada melakukan amar makruf nahi mungkar, berdakwah, memeriksa dan mengkritik dasar kerajaan kerana perkara ini adalah sesuai dengan tuntutan syara'. Namun perlu dipastikan bahawa individu tersebut tidak terlibat dengan pengiktirafan bahawa undang-undang manusialah yang tertinggi dan tidak terlibat dalam penggubalan undang-undang, ini kerana Allah SWT berfirman:

"Sebenarnya (yang menentukan) hukum hanyalah bagi Allah."

Adapun aktiviti perundangan itu sebenarnya juga tertakluk kepada tegahan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: 'Ini halal dan ini haram', untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya."

Begitu juga dengan kalam Allah SWT yang lain, yang dapat ditemukan di dalam kitab Al-Quran, kitab yang diimani tanpa sedikitpun keraguan terhadap isi kandungannya. Maka dari sini jelas bahawa segala bentuk penggubalan undang-undang mahupun peraturan hidup yang bukan berasal dari Allah SWT (dengan kata lain, wahyu) adalah tertolak.



Hukum pilihan raya mengikut perspektif Islam

Di sisi syara', pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Penyempurnaan aqad wakalah mesti memenuhi rukun-rukunnya, iaitu;

1.    Ijab dan qabul

2.    Muwakkil- pihak yang mewakilkan

3.    Wakil - pihak yang mewakili

4.    Perkara yang diwakilkan

5.    Bentuk redaksi akad perwakilannya (sighat tawkil)

Ini berdasarkan kepada beberapa dalil dari hadis :

Dari Jabir bin Abdillah. Ia menuturkan, "Saya hendak berangkat ke Khaibar, lalu saya menemui Rasulullah SAW. Baginda kemudian bersabda : Jika engkau menemui wakilku di Khaibar maka ambillah olehmu darinya lima belas wasaq."

Dalam peristiwa baiah 'Aqabah II, Rasulullah SAW meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).

Sementara yang menjadi isu utama dalam menetapkan hukum pilihan raya itu adalah 'perkara yang diwakilkan' yang merupakan objektifnya, jika pasti bahawa calon yang ingin diundi itu dapat memastikan dirinya tidak terlibat dalam proses pembuatan undang-undang dan melakukan aktiviti yang sesuai dengan syariat, maka bolehlah datang mengundi untuk beliau, namun jika tidak adalah haram untuk bersubahat melantik menjadi wakil kepada benda yang diharamkan.

Ini berasaskan kaedah fiqh, al-wasilatu ila haraam, muharramah (sesuatu yang membawa kepada keharaman, maka ia juga haram).

Muhasabah Pemerintah

Mengenai fungsi mengawasi negara dan memuhasabah para pemerintah, ini merupakan suatu kewajiban syarak ke atas kaum muslimin dalam menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar. Juga merupakan hak dan kewajiban majlis perwakilan untuk menjalankannya. Oleh itu (untuk hak dan tanggungjawab ini dijalankan oleh seseorang ahli majlis perwakilan), terdapat syarat-syarat syarie yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang ingin mencalonkan dirinya untuk pilihan raya (majlis perwakilan) pada hari ini. Pencalonan hendaklah berpandukan kepada syarat –syarat ini, namun ia (syarat-syarat ini) tidak boleh dijadikan sebagai kebenaran (untuk pencalonan) secara mutlak. Syarat-syarat tersebut adalah:-

1.    Dia mestilah mengisytiharkan dengan jelas dan lantang (tidak cukup dengan niat dan tidak dibolehkan berpura-pura) bahawa ia menolak sistem kapitalisme Barat dan kesemua sistem kufur.

2.    Dia mestilah mengisytiharkan bahawa fungsinya di Parlimen (jika menang) adalah untuk mengubah sistem kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam.

3.    Dia akan berkempen hanya dengan apa yang diambil dari al-Quran dan sunnah rasul.

4.    Dia mestilah mengisytiharkan bahawa dia akan menggunakan Parlimen sebagai platform untuk berdakwah kepada Islam.

5.    Dia tidak akan masuk dalam pencalonan (parti) sekular, mahupun bekerjasama dengan mereka, kerana mereka ini adalah penyokong kepada sistem kufur.

6.    Dia tidak dibolehkan merapatkan diri dengan badan Eksekutif dan Judikatif (dengan mereka yang menerapkan (hukum) serta mereka yang terlibat dengan perundangan) dan memasukkan namanya sebagai calon untuk tujuan bermanis muka dengan badan-badan ini yang merupakan sandaran bagi mereka yang berlaku zalim. Allah SWT berfirman:

 “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” [Hud:113]

7.    Bahawa kempennya di sepanjang waktu pencalonannya ini bertujuan agar umat manusia memahami objektif-objektif yang telah disebutkan di atas.

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Disediakan oleh:
Felo MANHAL PMRAM 2013

SUMBER: Manhal PMRAM

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024

LAPORAN | KEJOHANAN PIALA KPIPM DAN PIALA AN-NISA’ 2024 Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2023/2024 KAHERAH, 17 & 18...