Monday, April 30, 2012

Bagaimana Mematuhi Jadual Ulangkaji



Ketahuilah bahawa kejayaan dalam banyak perkara sebenarnya bergantung pada waktu yang kita peruntukkan. Kejayaan bukan dapat diraih dalam sekelip mata. Malah, kejayaan yang diperoleh  bergantung kepada penyusunan masa yang baik . Oleh itu, kesabaran, ketekunan dan istiqamah amat penting dalam kehidupan seseorang. Begitu juga merujuk kepada jadual ulangkaji pelajaran sebagai satu wasilah dalam menentukan kejayaan seseorang. Jika ingin mencapai kejayaan yang diimpikan, maka  perlu kita mematuhi jadual ulangkaji tersebut seperti yang telah disusun.

Dalam kehidupan seharian, kita pasti menyedari betapa sukarnya  untuk mendisiplinkan diri dalam mematuhi jadual. Perkara ini berlaku sekiranya kita berada dalam kelompok yang mempunyai jadual. Namun, bagaimana bagi mereka yang tidak mempunyai jadual? Pastinya tidak mampu mengisi hari dengan perkara yang berfaedah mengikut nisbah masa yang ditentukan. Amat malang lagi bagi mereka yang mempunyai jadual tetapi hanya sekadar menjadi perhiasan dinding dan tidak pernah dipatuhi. Mengapa perkara ini berlaku?. Jawapannya adalah kita bukannya robot yang boleh dijadualkan yang mesti berfungsi mengikut masa yang ditetapkan.

Sebagai manusia kita sering tidak terlepas dengan faktor di luar jangkaan, sebagai contoh, sebagai seorang yang terlibat dengan kepimpinan, anda mahu mengulang kaji pelajaran tetapi dalam masa yang sama perlu menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kalangan ahli seperti sakit dan musibah tanpa boleh ditunda pada masa yang lain.

Semua perkara tersebut adalah antara penyebab mengapa kita sukar mematuhi  jadual. Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu membahagikan masa kepada tiga perkara iaitu peruntukkan masa luar jangkaan, masa dalam jangkaan dan  masa yang disusun. Hal Ini dapat mengelakkan kita daripada terlepas waktu mengulangkaji  pelajaran kerana terpaksa melakukan kerja melebihi had masa.

Seterusnya, penyusunan jadual mestilah mengikut kemampuan diri. Walaupun penyusunan tampak hebat pada kaca mata orang lain, hakikatnya implikasi buruk yang dihadapi iaitu menyebabkan kita cepat bosan dan hilang tumpuan terhadap jadual yang disusun tanpa menyukat kemampuan diri. Sahabat di sekeliling juga memainkan peranan yang besar dalam memastikan kita patuh terhadap jadual yang disusun. Kita perlu meletakkan jadual ditempat yang mudah dilihat. Untuk itu, sebagai sahabat kita berperanan untuk sentiasa mengingatkan sahabat kita yang lain kala terpalit leka dengan keseronokan dunia.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Kecuali orang beriman dan mengerjakan kebenaran serta saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Asr:3).

Penegasan yang sering kali diucap oleh pakar motivasi ialah setiap pelajar mesti mematuhi  jadual, Hal ini akan melatih anda menjadi istiqamah dalam pekerjaan, dan dapat memelihara diri daripada melakukan perkara lalai dan maksiat. Sementelahan itu, matlamat kita dalam mengejar sesuatu  mestilah jelas. Ingat!!, matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan kosong. Matlamat mesti disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan kecil yang diraih setiap hari.

Oleh itu, pastikan matlamat tidak terlalu kecil sehingga matlamat itu tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar sehingga merasakan mustahil untuk dicapai. Tetapkan satu matlamat yang jelas, sehingga anda begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh menjadikannya  sebagai satu realiti. Matlamat kita ialah  ingin mengecapi kejayaan yang cemerlang . Dengan adanya matlamat , pada bila-bila masa kita boleh mengubah perancangan, asalkan tidak menjejaskan perancangan untuk mencapai matlamat anda tersebut.

Sumber: pmram.org

Trivia ARMA : Merungkai Sejarah



1. 22 Februari 1992 adalah sejarah hitam bagi PMRAM apabila pihak Kedutaan secara rasmi tidak membenarkan PMRAM menggunakan kemudahan di Asrama Rumah Melayu.

2. Pada tarikh 28 April 1992, pintu pejabat PMRAM dipalang  setelah mendapat notis supaya mengosongkan pejabat di Asrama Rumah Melayu ( ARMA ). Ekoran itu, sebahagian ahli PMRAM mengadakan himpunan bantahan yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir untuk menuntut kembali hak PMRAM.

3. Bersempena 28 April 2012 pada hari ini, genaplah  sudah 20 tahun hak PMRAM dinafikan.
4. 1993, berlaku gempa bumi yang menyebabkan kerosakan besar pada struktur ARMA, pejabat PMRAM terpaksa dipindahkan ke tempat baru iaitu di Masakin Othman bagi kerja baik pulih dijalankan.

5. 1994  proses pemindahan sempurna dan ARMA telah dikosongkan.

6. 1996 Walaupun proses baik pulih telah selesai namun ARMA masih belum boleh diduduki sehingga tahun 1999.

7. 1998 ARMA telah dibuka semula pada tahun ini untuk penggunaan dewan. Antara program yang telah dijalankan adalah Majlis Pengenalan dan Silaturrahim (MPS) untuk pelajar-pelajar baru anjuran PMRAM dengan kerjasama JPM yang membenarkan penggunaan semua bilik untuk penginapan peserta.

8. TIGA TUNTUTAN PMRAM :

1. Membetulkan fakta yang telah diseleweng mengenai pemberian tanah oleh        kerajaan Mesir kepada kerajaan Tanah Melayu pada waktu itu.

2. Menuntut Anjung ARMA (perpustakaan kini) untuk dijadikan Pejabat PMRAM.

3. Meletakkan 3 orang wakil PMRAM sebagai AJK penggubalan sebarang peraturan mahupun undang-undang berkaitan Asrama Rumah Melayu.


Sumber : pmram.org

Dimana ARMA Dihati Kalian?



Kemajuan yang dikecapi oleh dunia hari ini bukanlah kerana usaha seorang individu tetapi hasil usaha generasi terdahulu dalam memastikan ketamadunan manusia bergerak seiring dengan peredaran zaman.

Ini memberikan kepada kita gambaran jelas sejarah lampau sebagai cermin dalam membentuk generasi akan datang. Persoalannya adakah kita benar-benar memahami kepentingan mengetahui sejarah.

Ada ungkapan yang menyatakan bahawa " Sejarah Perlu Diketahui Sebelum Kita Mencipta Sejarah ". Sejauhmana penguasaan sejarah tersebut perlulah kita sendiri mengukurnya agar ianya bukan sekadar dimimpi dibibir sahaja bahkan dihayati sebaik mungkin.

PMRAM juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri sehingga mampu bertahan mencecah 82 tahun. Segala yang berlaku dalam lipatan sejarah PMRAM perlu diketahui oleh semua pendokong PMRAM agar tidak lari daripada landasan sebenar perjuangan PMRAM.

Melalui acuan Al-Quran dan Sunnah lalu disalurkan momentum kebajikan kepada ahli tanpa mengira latar belakang asal dan pendidikan kerana berdasarkan peringatan Allah SWT didalam Surah Al-Maidah yang bermaksud " Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa " maka diaspirasikan janji Allah SWT dalam Surah Muhammad yang bermaksud " Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membantu (agama) Allah, nescaya Allah akan membantumu dan meneguhkan kedudukanmu ".

Di atas dasar ini, PMRAM yang ditubuhkan pada 1930 optimis dalam meneruskan agenda kebajikan. Maka antara kebajikan yang PMRAM laksanakan adalah dengan menempatkan sebuah asrama anak Melayu yang lebih dikenali dengan ARMA ( Asrama Rumah Melayu Abbasiah ). Sejarah ARMA semakin pudar daripada ingatan pendokong dan penyokong PMRAM. Namun begitu, apakah ARMA sudah hilang serinya? adakah kita mengetahui betapa bernilainya ARMA kepada PMRAM? bagaimanakah tahap pengetahuan kita terhadap sejarah ARMA?

Persoalan inilah yang perlu diberikan kepada kita agar paradigma mahasiswa Islam amnya ahli PMRAM khususnya untuk memikirkan bagaimanakah ARMA perlu dikembalikan kepada PMRAM. Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-79 telah meluluskan usul "Mengembalikan Hak PMRAM di ARMA" yang telah diperbahaskan oleh perwakilan daripada seluruh peringkat PMRAM Cawangan. Dimanakah suara-suara bersedia menjayakan impian PMRAM ini atau sekadar ungkapan biasa yang meniti dibibir semata-mata.

Tiga tuntutan perlu dilunaskan dalam menjayakan usul ini:

- Pejabat PMRAM di Anjung ARMA
- 3 Wakil Badan Pengurus dalam jawatankuasa dasar ARMA
- Fakta sejarah yang telah diselewengkan.

Selagimana PMRAM terus berpencak Menghayati Sejarah Mempertahankan Maruah dipersada dunia selagi itu perjuangan mengembalikan hak PMRAM di ARMA akan tetap diteruskan kerana jasa mereka terdahulu perlu diasimilasikan dengan perjuangan mendapatkan hak PMRAM di ARMA. Sesungguhnya nilai ARMA dalam lipatan sejarah PMRAM tidak luntur ditelan zaman dan tidak rapuh dimamah usia.

"Menghayati Sejarah Mempertahankan Maruah"

"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Atiyqah binti Yusoff
Naib Pengerusi HEWI I
Ketua Unit Perancang Dan Panitia HEWI PMRAM
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

Saturday, April 28, 2012

Ukhwah Bersatu Di Laman Riadhah



Di dalam tubuh, kita mempunyai dua unsur yang saling berkait antara satu sama lain, iaitu rohani dan jasmani. Rohani tanpa dokongan jasmani yang kuat akan menjejaskan ibadah kita kepada Allah, begitu juga sebaliknya. Demi meningkatkan kualiti jasmani selain menjaga pemakanan, riadhah adalah sebagai ikhtiar lain untuk kita untuk menuju jasmani yang yang sihat mengikut landasan syariat yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Riadhah merupakan aktiviti yang dianjurkan oleh Islam untuk kesihatan tubuh badan kita yang telah dianugerahkan Allah kepada kita. Aktivti ini dilakukan oleh semua golongan samada tua atau muda, lelaki atau perempuan. Ia juga merupakan satu perkara yang penting dalam kehidupan kita selaku seorang muslim. Hal ini bertepatan dengan hadis yang telah disabdakan Nabi Muhammad S.A.W,yang bermaksud “orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan dicintai Allah daripada mukmin yang lemah

Menyedari akan kepentingan riadhah, pihak Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk riadhah bagi memastikan kesihatan ahli-ahlinya sentiasa dalam keadaan yang baik. Tambahan pula kita selaku mahasiswa islam yang pastinya memerlukan tenaga yang banyak dalam meneruskan perjuangan untuk menuntut ilmu serta mengerjakan ibadah-ibadah lain.

Di samping itu juga,dalam melaksanakan aktiviti riadhah,pihak KPIPM tidak hanya menumpukan kepada satu matlamat sahaja. Antara matlamat yang lain adalah untuk mengeratkan ukhwah sesama ahli. Seperti yang kita ketahui ukhwah merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim bagi meneruskan perjuangan Rasulullah untuk menegakkan agama Allah.Firman Allah S.W.T “Sebenarnya orang-orang beriman itu bersaudara” (al-hujurat:10)

Dengan kuatnya ukhwah yang kita bina maka mudahlah gerak kerja kita untuk melakukan sesuatu perkara secara berjemaah. Sesuai dengan firmanNya “hendaklah kamu tolong-menolong dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan” (al-maidah:2).

Selain itu, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga ada mengatakan bahawa “yang saya maksudkan dengan ukhwah adalah mengikatnya dengan hati-hati dan jiwa-jiwa ini dengan ikatan aqidah,dan aqidah merupakan ikatan paling kukuh dan paling mahal harganya,dan ukhwah adalah saudara keimanan,sementara perpecahan adalah teman dari kekufuran.kekuatan yang utama adalah persatuan dan tidak ada persatuan tanpa cinta,dan cinta yang paling rendah adalah berlapang dada manakala yang paling tinggi adalah ithar

Akhirnya semoga dengan apa yang dikongsikan diatas, sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk tetap menjaga ukhwah dan kesihatan lebih-lebih lagi di dalam tempoh imthan ini yang pastinya akan ada ujian dan cubaan datang bertandang. Berusahalah untuk terus istiqamah dalam setiap amal ibadat kita, insyaAllah kita akan beroleh ganjaran pahala di akhirat kelak.

Salam imtihan,bittaufik wannajah..

Ehya' Al-Jum'ah :Daie Dalam Mencari Redha Allah


KAHERAH, 26 April - Dalam usaha melahirkan generasi pejuang Islam yang berkualiti, Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir sekali telah meneruskan pelaksanaan program Ehya’ Jumaah  dibawah kelolaan Biro Dakwah Dan Tarbiah yang merupakan program mingguan melibatkan seluruh mahasisiwa anak perak yang menuntut di bumi Mesir ini.

Program Ehya’ Jumaah telah  dimulakan dengan alunan qasidah, bertempat di Wisma Darul Ridzuan A dengan alunan qasidah. Seterusnya majlis yang dipengerusikan oleh saudara Adil bin Mohd Fadzil merangkap Ketua Biro Dakwah Dan Tarbiah 2011/2012 telah diserahkan kepada saudara Ibnu Abbas Bin Azizuddin, mahasiswa Pengajian Islam tahun 4 Universiti Al-Azhar Kaherah merangkap Timbalan Yang Dipertua KPIPM 2011/2012 bagi memimpin bacaan yasin  dan tahlil secara beramai-ramai.

Majlis pada malam itu diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh saudari Norazura Binti Rahim, mahasiswi pengajian Islam Universiti Al-Azhar  sebagai santapan rohani kepada semua hadirin.  Beliau telah berkongsi mengenai kewajipan yang perlu ada pada setiap insan yang bergelar dai’e. Dan beliau juga berpesan mengenai beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam  usaha menjadi seorang dai’e yang terbaik yang mana matlamat utama seorang daie ialah mencari redha Allah.

Selasai solat Isyak dan solat hajat, Program Ehya Jumaah pada malam itu diteruskan dengan solat Sunat Hifzi berjemaah yang diimamkan oleh saudara Mohammad Ainuddin Bin Mohamad Ishak dan saudara Ali Fathullah bin Ali Yusoff. Selesai solat sunat hifzi majlis pada malam itu ditangguhkan dangan santapan jamuan kapada semua hadirin.

Pada keesokan paginya pula bertempat di Darul Ridzuan A, program Ehya’ Jumaah diteruskan dengan solat Subuh berjemaah serta pengisian tazkirah yang telah disampaikan oleh saudara Muhammad Mu’aaz Bin Ramli, mahasiswa pengajian Bahasa Arab Universiti Al-Azhar Kaherah yang mana beliau telah membicarakan mengenai ganjaran di sebalik setiap ujian yang Allah timpakan kepada setiap hambanya. Manakala bertempat di Wisma Darul Ridzuan B pengisian tazkirah telah disampaikan oleh saudara Ahmad Huwaidy bin Ahmad Azizi penuntut kuliah Syariah Islamiah universiti Al-Azhar kaherah. Program Ehya’Jumaah pada minggu ini ditangguhkan dengan bacaan surah Ar-Rahman secara beramai-ramai.

Hukum Demonstrasi



Definisi

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, demonstrasi memberikan maksud :
-          tunjuk perasaan dgn cara berkumpul beramai-ramai, berarak, dan seumpamanya
-          menunjukkan serta menerangkan cara menggunakan sesuatu (spt mesin, alat solek, dll) atau cara-cara melaku­kan sesuatu.

*rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4 atau Pusat Rujukan Persuratan Melayu

Bentuk Demonstrasi

Demonstrasi sebagaimana yang telah dinyatakan menurut definisi Kamus Dewan dan Pustaka, jelas ia merupakan konsep atau wasilah dalam menyampaikan sesuatu perkara. 

Disebabkan itu antara konsep dalam demonstrasi ialah mengadakan himpunan samada menyatakan sokongan atau bantahan, perarakan, rapat umum dan apa jua aktiviti yang melibatkan perhimpunan masyarakat yang ramai. Dan inilah definisi yang mahu diperbincangkan di dalam artikel ini.

Adapun begitu, maka hukum bagi demonstrasi adalah mengikut kepada tujuan dan wasilah yang digunakannya. Hal ini demikian kerana demonstrasi bukanlah tujuan utama, namun ia merupakan sebagai wasilah atau cara dalam menunjukkan sesuatu tujuan.

Justeru, dalam membincangkan hukum demonstrasi kita lihat kepada jenis-jenis demonstrasi iaitu :

1-      Menunjukkan kekuatan Islam dan umat yang bersatu.
2-      Mencegah kemungkaran dan kezaliman serta menyeru ke arah perkara makruf.
3-      Menggunakan cara yang tidak bertentangan dengan syara’ (tidak mengangkat senjata dan mendatangkan mudharat kepada masyarakat) dan sebagai pemberitahuan secara besar-besaran (menuntut hak yang tidak diperolehi).
4-      Menggulingkan pemerintah Islam yang adil.
5-      Mengangkat senjata (bertentangan dengan syara’).

*kitab Fusul Min Siyasah Syar’iyah Fi Ad-Dakwah Ila Allah karangan Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq

Demonstrasi Yang Diharamkan Oleh Syara’

Merujuk kepada jenis-jenis demonstrasi, maka para ulama sepakat bahawa demonstrasi yang berbentuk untuk menggulingkan pemerintah yang adil dengan menggunakan cara yang tidak syari’e iatu menggunakan senjata dan kekerasan, hukumnya adalah haram.
Hal ini berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1-      Wajib mentaati pemerintah

Maksud firman Allah dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-59 :

“Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah rasul serta pemimpin di kalangan kamu.”
-          Berkenaan ayat di atas Imam At-Tabari menyifatkan ulul amri dalam ayat di atas ialah ketua atau pemimpin berdasarkan hadis Nabi SAW yang menyuruh mentaati pemerintah selagimana di atas landasan yang benar.

-          Imam Ibnu Kathir mentafsirkan kalimah ulul amri adalah merujuk kepada pemerintah dan ulama.

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW bersabda :
مَنْ أَطاعَنِي فَقَدْ أَطاعَ اللهَ, وَمَنْ عَصانِي فَقَدْ عَصَى اللهَ, وَمَنْ أَطاعَ أَمِيْرِي فَقَدْ أَطاعَنِي, وَمَنْ عَصَى أَمِيْرِي فَقَدْ عَصانِي

“Sesiapa yang mentaati aku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai aku maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah (yang berhukum mengikut manhaj) ku maka dia telah mentaatiku, maka sesiapa yang menderhakai pemerintah (tersebut) maka dia telah menderhakaiku.” – Bukhari (7137) dan Muslim (1835)

Abdullah ibnu Umar berkata, Nabi SAW bersabda :
السَمْعُ والطاعَةُ عَلى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيْما أَحِبَّ وَكَرِهَ, مَالَمْ يُؤْمَر بِمَعْصِيَة فَإذا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلا سَمْعَ وَلا طَاعَةَ

“Taat dan patu kepada seseorang muslim (pemerintah) pada setiap perkara samada suka atau benci selagimana tidak disuruh melakukan maksiat, maka apabila disuruh melakukan maksiat maka tidak wajib (bahkan haram) untuk taat dan patuh.” – Bukhari (7144) dan Muslim (1839)

Imam An-Nawawi menyebutkan di dalam kitab Syarah Muslim bahawa ijma’ bahawa wajib mentaati pemerintah dalam konteks bukan maksiat dan begitu juga haram mentaati pemerintah dalam konteks maksiat.

2-      Haram memudharatkan ke atas manusia

Apabila demonstrasi yang dirancang dengan menggunakan kekerasan dan senjata samada untuk membunuh atau menyeksa, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1-      Ayat Al-Quran dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-93 yang bermaksud :
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja,maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal ia di dalamnya (tempoh yang panjang) dan Allah murka kepadanya.”

2-      Ayat Al-Quran dalam Surah Al-An’am pada ayat ke-151 yang bermaksud :
“Dan jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (untuk membunuhnya)  melainkan dengan jalan yang hak (dibenarkan oleh syara’)”

3-      Ibnu Umar meriwayatkan, sabda Nabi SAW ketika Haji Wada’ :
أيُّها الناس! إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

“Wahai manusia! Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu ke atas kamu adalah haram (terjaga) sebagaimana ia telah diharamkan (suci dan terjaga penghormatan) seperti sucinya hari kamu pada hari ini, bulan ini dan negara (Tanah Mekah) ini.” - Bukhari

4-      Nabi SAW melarang manusia daripada melakukan 7 perkara yang mendatangkan dosa besar iaitu melalui sabda baginda SAW :
 الشِرْكُ بِالله، وَالسِحْر، وقَتْلُ النَفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إلِّا بالحَقّ، وأَكْلُ الرِبا، وأَكْلُ مالِ اليَتِيم، والتَوَلّي يَوْمَ الزَحَف، وقَذْفُ المُحْصَنات الغافِلات المُؤْمِنات

“Syirik keada Allah,sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada medan perang dan menuduh zina wanita Islam yang baik.” – Bukhari dan Muslim

5-      Kaedah “لا ضَرَرَ وَلا ضِرَار” berdasarkan kepada hadis Nabi SAW. Maka jelas Islam menolak sebarang mudharat iaitu dalam hadis Nabi SAW disebutkan tidak ada (haram melakukan) perkara memudharatkan (diri sendiri atau orang lain) dan tidak ada (haram melakukan) tindak balas memudharatkan (terhadap mudharat yang diterima). Hal ini bertepatan dengan maqasid syariah yang dijaga oleh Islam iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Sebarang mudharat ke atas 5 perkara ini adalah diharamkan oleh Islam.

Kesimpulannya, berdasarkan kepada dalil-dalil yang dibentangkan di atas maka para ulama sepakat bahawa demonstrasi yang tidak dibenarkan oleh syara’ ialah tunjuk perasaan yang mengangkat senjata kerana ia akan memudharatkan masyarakat awam apatah lagi jika membunuhnya dengan sengaja. Begitu juga demonstrasi bagi menggulingkan pemerintah yang adil dan memegang dasar pemerintahan Islam, maka hukumnya adalah haram.

Demonstrasi Yang Diharuskan Oleh Syara’

Sehubungan itu, bentuk demonstrasi selain yang disebutkan di atas iaitu berniat menggulingkan pemerintah Islam, pemerintahan yang adil serta mengangkat senjata, maka ia adalah harus sekiranya tujuan dan cara adalah tidak bertentangan dengan syara’.

Maka demonstrasi yang berbentuk menuntut hak, menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan rakyat dalam berhadapan dengan pemerintahan yang zalim yang melakukan kemungkaran adalah diharuskan.

Hal ini berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1-      Hukum asal bagi sesuatu perkara (selain dalam konteks ibadah) adalah harus. Kaedah “أن الأصل في الأشياء الإباحة

Demonstrasi adalah dalam konteks urusan dunia, tidak termasuk dalam konteks ibadah, maka hukum asal bagi konteks urusan dunia adalah harus dan terpulang kepada kebijaksanaan manusia dalam menguruskan wasilah yang pelbagai dan sesuai dengan zaman mereka selagimana tidak bertentangan dengan nas-nas yang mengharamkan sesuatu perkara.

Hal ini demikian kerana demonstrasi adalah wasilah kepada sesuatu tujuan yang ingin disampaikan. Maka sekiranya tujuan untuk menuntut hak yang dirampas dan keadilan yang sebanar dengan wasilah demonstrasi secara aman tanpa merancang menimbulkan huru-hara maka ia adalah diharuskan.

Islam memerintahkan umatnya mencegah kemungkaran dan menetang kezaliman. Adapun cara atau wasilahnya berdasarkan kesesuaian tempat, masa dan pihak yang membawa kebenaran. Maka konteks hikmah dan peringatan yang baik adalah berdasarkan kepada kesesuaian realiti dan peringkat serta kemampuan. Maka kita dapat lihat bagaimana setiap zaman para rasul adalah berbeza pendekatan yang dilakukan. Contohnya, Nabi Ibrahim berhujah dengan Namrud, Nabi Musa menggunakan mukjizat dalam berhadapan dengan ahli sihir, Ratu Balqis tertawan dengan pemerintahan yang adil yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman bahkan di zaman Nabi Muhamad SAW terdapat banyak peperangan.

2-      Dr Yusuf Al-Qardhawi menerangkan 3 cara apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jelas melakukan kemungkaran, bahkan apabila mencegah sekiranya diam atau rahsia masih tidak berjaya, maka wajib ke atas umat Islam apabila mempunyai kekuatan dan kemampuan untuk mencegahnya melalui :

-undian pilihanraya
- kuasa tentera
-kuasa rakyat

Dalam konteks kuasa rakyat adalah termasuk sekali dengan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak bersetuju dengan kemungkaran yang dilakukan oleh pihak pemerintah. – rujuk kitab Fiqh Ad-Daulah, karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi dan artikel MANHAL PMRAM di http://www.manhal.pmram.org/2012/04/kewajipan-membebaskan-penjajahan-ke.html

Perbahasan ini adalah merujuk kepada perbahasan mencegah kemungkaran melalui 3 peringkat yang disuruh oleh Nabi SAW dalam sabdanya :
مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسانِه، فَإن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِه، وذلك أَضْعَفُ الإِيْمان

“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran,maka wajib mengubahnya dengan menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”– Muslim

Dan juga Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas RA :
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

“Bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi. Maka bertanya sahabat : Wahai Rasulullah SAW, aku mengetahui bahawa untuk membantu orang yang dizalimi maka bagaimana cara untuk membantu orang yang zalim? Maka jawab Nabi SAW : menghalangnya atau mencegahnya daripada berterusan melakukan kezaliman maka demikian kamu telah membantunya.” – Bukhari (6438)

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَشْكُو جَارَهُ فَقَالَ « اذْهَبْ فَاصْبِرْ ». فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا فَقَالَ « اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِى الطَّرِيقِ ». فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِى الطَّرِيقِ فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ فَعَلَ اللَّهُ بِهِ وَفَعَلَ وَفَعَلَ فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ ارْجِعْ لاَ تَرَى مِنِّى شَيْئًا تَكْرَهُهُ

Abu Hurairah meriwayatkan ada seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai jirannya, lalu Baginda SAW berkata “Pulanglah dan bersabarlah”. Situasi itu berlaku 2 ataupun 3 kali lalu kata Baginda SAW “Pulanglah dan buang barangmu di atas jalan”. Lalu setelah lelaki tersebut melakukan sebagaimana yang disarankan, ramai orang bertanya puncanya, lalu lelaki ini menceritakan situasinya. Ini membuatkan semua orang yang lalu di situ mencerca jiran lelaki tersebut. Tidak lama selepas itu, jirannya itu datang dan memohon maaf padanya dan berjanji peristiwa lama tidak berulang lagi.

Berdasarkan kepada hadis di atas, Imam Ibnu Qayyim menyebutkan di dalam kitab beliau I’lam Al-Muwaqqi’in bahawa tidak mengapa bagi seseorang yang dizalimi untuk menceritakan kezaliman yang diterimanya bagi mendapatkan sokongan dan kekuatan dalam mendapatkan kembali hak yang telah dizalimi. Sekiranya dengan perbuatan yang dilakukan tersebut mampu untuk mencegah kezaliman dan cara nasihat yang baik tidak memberikan kesan.

3-      Menunjukkan keizzahan dan kekuatan Islam adalah diharuskan. Hal ini dapat dilihat kepada beberapa situasi di zaman Nabi SAW iaitu :

-          Ketika penghijrahan sahabat, antara sebab keberjayaan para sahabat keluar berhijrah adalah apabila terdapat sahabat yang gagah dan berani dengan memberikan amaran kepada pihak musyrikin Mekah agar tidak mengganggu penghijrahan para sahabat.Antaranya Saidina Umar Al-Khattab. Hasilnya para sahabat dapat keluar berhijrah beramai-ramai mengikut peringkat-peringkat yang telah disusun.

-          Ketika Nabi SAW tiba di Madinah maka penduduk-penduduk Madinah termasuk wanita dan kanak-kanak keluar dengan bergembira berhimpun sambil mengalunkan nasyid menandakan kegembiraan mereka kedatangan Nabi SAW

-    Ketika solat sunat Hari Raya, Nabi SAW menggalakkan juga wanita yang haid untuk keluar (tetapi tidak solat dan berada dalam masjid, cuma keluar bersama-sama bagi menyambut Hari Raya) agar menampakkan ramainya umat Islam dalam menyambut perayaan hari kebesaran dalam Islam. 

-      Kisah Bai’ah Ridhwan. Ia apabila Nabi SAW mneghantar utusan untuk berjumpa dengan pembesar Mekah, namun dikhabarkan bahawasanya mereka telah membunuh Saidina ‘Uthman, maka Nabi SAW dan para sahabat telah membuat persepakatan untuk berjuang menuntut bela terhadap ketidakadilan yang berlaku kepada Saidina ‘Uthman.

*antara peristiwa-peristiwa yang menunjukkan para sahabat berhimpun dalam menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan umat Islam. Boleh rujuk kitab sirah-sirah.

Kesimpulan

Hasil pengkajian ringkas di atas mengenai demonstrasi,maka dapat difahami dengan jelas beberapa perkara :
1-      Demonstrasi merupakan satu bentuk wasilah bagi sesuatu tujuan. Ia termasuk dalam urusan dunia yang asal pada hukumnya adalah harus.
2-      Bentuk-bentuk demonstrasi yang diharamkan ialah menggulingkan pemerintah yang adil, menyerang pemerintahan Islam dan mengangkat senjata bagi melakukan huru hara dan mendatangkan mudharat.
3-      Manakala demonstrasi yang berbentuk menyatakan pendirian bagi menuntut hak-hak yang telah dicabuli, mencegah kemungkaran dan menunjukkan keizzahan Islam adalah tidak bertentangan dengan syara’ dan ia diharuskan.
4-      Sehubungan itu, penganjur demostrasi mestilah mengingatkan kepada peserta demonstrasi untuk menjaga adab dan tidak melakukan perkara-perkara yang memudharatkan orang awam dan batasan syara’.
5-      Sekiranya tujuan dan wasilah yang dirancang adalah baik,namun terdapat beberapa kekacauan selepas demontrasi di luar dugaan, maka ia tidak menjejaskan hukum asal bagi demontrasi tersebut. Hal ini demikian samajuga seperti musafir yang mubah namun di tengah perjalanan berlaku perkara maksiat, maka masih dibolehkan untuk solat jama’ dan qasar. Namun sekiranya niat musafir adalah untuk maksiat, maka ia berbeza dan ulama menyatakan adalah haram untuk solat jama’ dan qasar.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-      Sirah An-Nabawiyyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2-      Al-Halal Wa Al-Haram Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-      Fiqh Ad-Daulah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4-      Dirasah Fi Fiqh Maqasid Al-Syariah, Dr Yusuf Al-Qardhawi,cetakan Maktabah Wahbah
5-      Dhawabit Al-Maslahah Fi As-Syariah Al-Islamiyyah, Dr Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr
6-      Nail Ar-Raja’ bisyarh Safinah An-Naja’, oleh Al-‘Allamah Al-Faqih As-Sayyid Ahmad bin Umar Asy-Syatiri
7-       Al-Qaawaid Al-Fiqhiyyah, oleh Dr Abdul Aziz Muhd Azzam, cetakan Dar Al-Hadis

Sumber: manhal.pmram

Friday, April 27, 2012

Kewajipan Membebaskan Penjajahan Ke Atas Syariat Islam



Islam Agama Yang Syumul Iaitu Meliputi Semua Aspek

Keadilan yang dibawa oleh Islam merupakan keadilan ke atas semua manusia bahkan menjadi rahmat ke atas sekalian alam. Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah sebagai panduan bagi kehidupan manusia.

Islam membawa kepada 3 unsur utama iaitu berkaitan akidah, syariat dan akhlak. Adapun lapangan yang berkaitan syariat menjelaskan bahawa kehidupan manusia tidak lari dari sudut perspektif Islam walaupun satu bahagian. Hal ini demikian kerana syariat yang dibentangkan kepada manusia adalah mencangkupi lapangan ibadah, kewangan, pernikahan dan institusi kekeluargaan serta perlaksanaan hukuman ke atas jenayah dan pemerintahan.

Disebabkan itulah, mereka yang mencari penyelesaian selain daripada Islam maka mereka telah mengecilkan skop Islam. Sedangkan secara jelas Islam tidak hanya tertumpu kepada konteks ibadah semata-mata bahkan Islam adalah agama dan kehidupan.
Imam Hassan Al-Banna dalam menerangkan maksud kesyumulan Islam, beliau menyatakan bahawa :

الإسلامُ نِظامٌ شاملٌ يَتَناوَل مَظاهِر الحَياةِ جميعا فَهُوَ دَوْلَةٌ وَوَطَنٌ أَوْ حُكُومَةٌ وَأُمَّة وهو خُلُق وقُوَّة أَوْ
رَحْمَة وَعَدَالَة وهو ثَقافَة وَقانُون أَوْ عِلْم وَقَضاء وَهُوَ مادَّة وثَرْوَة أَوْ كَسْب وَغَنِىّ وَهُوَ جِهاد وَدَعْوَة
أَوْ جَيْش وَفِكْرَة كما هو عقيدة صادِقَة وعِبادَة صَحيحَة سَواءٌ بِسَواء

Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah negara dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.

Maksud firman Allah dalam Surah An-Nahl pada ayat ke-89:

“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu”

Dalam kitab Sirah An-Nabawiyah, karangan Imam Ibnu Kathir, terdapat kisah Nabi bersabda kepada kabilah Bani Syaibanbin Tsa’labah, ketika baginda memperkenalkan dirinya di Mekah :

ما أَسَأْتُم الرَدّ إذا أَفْصَحْتُم بالصِدْق ، إنه لا يَقُومُ بهذا الدِّينِ إِلّا مَن أَحاطَه مِن جَمِيعِ جَوانِبَهُ

”Kamu tidak menolak dengan cara yang jahat sekiranya kamu berterang-terangan dengan kebaikan. Tidak akan tertegak agama ini melainkan dengan orang yang mencangkupinya di setiap ruang.” – rujuk kitab Nazorat Fi Risalah At-Ta’lim

Golongan Yahudi dahulu ditegur dan dimurkai oleh Allah kerana mereka hanya mengambil sebahagian yang dibawa oleh para rasul dalam masa yang lain menolak sebahagian yang lain. Maksud daripada firman Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat ke-85:

3“Maka apakah kamu hanya beriman dengan sebahagian Kitab (Taurat) dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat sedemikian itu daripada antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.”

Penjajahan Ke Atas Syariat Islam

Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah secara rasminya pada tanggal 3 Mac 1924, negara-negara Islam mula dipecah-pecahkan dengan pentadbiran yang pelbagai dan ideologi-ideologi yang berasingan. Hal ini demikian kerana taktik yang dipanggil ‘pecah dan perintah’ ini adalah bagi memastikan umat Islam tidak bersatu dan sekaligus menghadkan skop syariat dalam kehidupan manusia.

Sebagaimana yang berlaku di Tanah Melayu ketika penjajahan British, pihak penjajah terus mengekalkan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama dan pihak penjajah juga tidak mengisytiharkan agama selain Islam sebagai agama rasmi. Namun begitu, pihak penjajah selain menjajah wilayah dan kawasan, mereka juga menjajah syariat Islam dan hari ini penjajahan ke atas syariat ini diteruskan sendiri oleh orang Islam yang berkiblatkan ideologi pihak barat.

Justeru, kita dapat lihat sejarah bagaiman sistem penasihat kepada Raja iaitu Residen berjaya menghadkan Islam kepada skop yang amat kecil iaitu urusan-urusan agama yang melibatkan solat, adat istiadat dan pernikahan sahaja. Manakala sistem yang berkaitan urusan pemerintahan negara dari sudut undang-undang, jenayah dan sebagainya diketepikan dan dihakis sedikit demi sedikit.

Syeikh Muhamad Al-Ghazali menyebutkan :

“Kita orang Islam diperintahkan oleh Allah untuk melaksanakan syariat Islam. Mana mungkin melaksanakan syariat berpandukan kepada hawa nafsu manusia iaitu dengan melaksanakan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Hal ini demikian kerana Islam terdiri dari sudut iman dan akhlak dan kesyumulan Islam itu sendiri yang mencangkupi seluruh alam dan kejadian. Maka mana mungkin dikira melaksanakan Islam dengan melakukan satu bidang dalam masa yang sama menafikan bidang yang lain. Lihat sahaja kepada 2 firman Allah iaitu mengenai kewajipan puasa dan kewajipan melaksanakan qisas.” – Majalah Al-Azhar bagi keluaran Jamadil Akhir 1433

Justeru, penjajahan yang masih berlaku sehingga ke hari ini ialah penjajahan ke atas syariat Islam dengan mengecilkan skop syariat Islam tersebut. Maka kewajipan umat Islam pada hari ini ialah membebaskan syariat Islam agar dapat dilaksanakan dengan sepenuh sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Dan penjajahan ini adalah melalui ideologi-ideologi yang ditanam oleh pihak musuh semenjak dahulu lagi dan sehinggalah mereka berjaya melahirkan pelapis-pelapis mereka dari kalangan umat Islam itu sendiri namun hakikatnya mereka tersebut merupakan hamba kepada iedologi barat yang disebut sebagai عبيد الفكر الغربي .

Abi Umamah Al-Bahili berkata Nabi SAW bersabda :

لَتَنْقُضَنَّ عُرَى الإسْلامِ عُرْوَةً عُروةً فَكُلَّما انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ الناسُ بالتي تَلِيها وَأَوَّلُهُنَّ نقضاً: الحكم، وآخِرُهُّن الصلاة

“Akan terlerai satu persatu ikatan-ikatan Islam, maka setiap kali terlerai satu ikatan maka akan berpaut pada ikatan yang seterusnya. Ikatan pertama yang akan terlerai ialah pemerintahan dan akhir sekali ialah solat.” – dalam Musnad Ahmad

Ideologi Yang Menjajah Syariat Islam

Penentangan ke atas Islam bermula sejak zaman dahulu lagi, bahkan sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terahir, penentangan Islam juga sudah bermula dengan pelbagai ideologi yang jelas karut antaranya penyembahan berhala, binatang dan apa jua yang dianggap tuhan, serta penafian wujudnya tuhan dengan menyucikan akal pemikiran dan sebagaimana.

Maksud firman Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat ke-120 :

Tidak akan sesekali pihak Yahudi mahupun Nasrani redha akan kamu sehinggalah kamu mengikuti (perintah) agama mereka.”

Hari ini penentangan tersebut diteruskan lagi dengan menggunakan istilah yang berbeza-beza dan lebih tersusun, namun kehendaknya adalah sama iaitu memastikan Islam tidak menang.

Ideologi yang paling berjaya digunakan oleh pihak musuh ialah dengan menaikkan sentiasan ‘kebebasan’ sehingga ke tahap mutlak iaitu tanpa sebarang displin dan peraturan. Perkara sebegini didoktrin ke atas semua manusia supaya tidak menundukkan diri kepada Islam yang dikatakan mengongkong umatnya kerana peruntukkan-peruntukkan dalam syariat dikatakan sebagai menyekat kebebasan mutlak sebagai hak asasi manusia.

Maka ideologi inilah yang disebutkan sebagai Liberalisme. Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa hari ini liberal sudah masuk ke dalam konteks demokrasi iaitu menjadi demokrasi yang sebenar mengikut telunjuk ideologi liberal. Justeru, hasil daripada itulah konsep demokrasi sekarang ini memisahkan antara agama dan urusan politik yang disebutkan sebagai sekularisme. Hal ini demikian bagi menjamin kebebasan dalam menguruskan perkara yang berkaitan dengan sosial hidup.

Bahkan konsep liberal ala demokrasi ini disebutkan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi menghasilkan beberapa ideologi yang lain dalam konteks menjauhkan umat Islam daripada Islam iaitu :

-          Sekularisme
-          Semangat perkauman
-          sistem kewangan secara kapitalisme
-          hak asasi manusia dalam kebebasan mutlak terutama dalam melibatkan kebebasan wanita sebagaimana lelaki (sekarang ini dipanggil liberalisme)

Hasil daripada ideologi-ideologi yang ciptakan oleh manusia ini, ditambah dengan ideologi yang lain seperti komunisme, sosialisme dan sebagai adalah semata-mata bagi menjajah minda umat Islam serta mengubah identiti mereka daripada menjadi seorang muslim yang benar-benar menepati syariat.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran pada ayat ke-85
  Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka ia tidak akan diterima sama sekali, dan di akhirat kelak ia akan tergolong dari kalangan orang yang rugi.”

Kewajipan Mempertahankan Hukum Allah

Kewajipan bagi umat Islam ialah mempertahankan hukum Allah serta melaksanakannya tanpa ada sebahagian yang ditolak walaupun sedikit. Penjajahan ke atas syariat Islam merupakan satu kemungkaran maka umat Islam wajib membebaskan syariat Islam daripada terus dijajah agar syariat Islam dapat ditegakkan.

Maka selagimana Islam masih dijajah, kewajipan umat Islam ialah berjuang dan berjihad dengan segenap usaha mengikut kesesuaian dan peringkat. Hal ini demikian kerana di zaman Nabi SAW, pensyariatan berperang adalah untuk mempertahankan dakwah Islam, negara Islam dan membebaskan negara-negara yang dijajah oleh pemerintah yang zalim. Peperangan yang berlaku bukanlah menunjukkan Islam itu pengganas atau Islam itu tersebar melalui mata pedang sebagaimana yang difinah oleh pihak musuh.

Firman Allah dalam Surah Al-Haj pada ayat ke-39 :

t 4Diizinkan berperang kepada orang Islam yang diperangi kerana sesungguhnya mereka tela dizalimi

Daripada Sa’id bin Zaid, Nabi SAW bersabda:

مَن قُتِل دُوْنَ ماله فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُوْن أَهْله فهو شهيد، ومن قتل دُوْنَ دِيْنه فهو شهيد، ومن قتل دون دَمِه فهو شهيد

“Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka ia dikira syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya maka ia dikira dikira syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya ia dikira syahid dan sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya ia dikira syahid.” – At-Tirmizi dan Al-Nasai

Justeru, siri-siri peperangan yang berlaku selepas penghijrahan Nabi SAW bersama para sahabat ke Madinah dan mendirikan sebuah negara Islam di Madinah adalah semata-mata bagi mempertahankan dakwah Islam serta menentang kezaliman yang berlaku.

Peperangan Badar Al-Kubra tercetus apabila pihak musyrikin Mekah mula berasa entiti masyarakat Islam di Madinah mula mengancam mereka apabila para sahabat Muhajirin merancang mengambil kembali harta-harta mereka yang telah dirampas dan ditinggalkan di Mekah. Peperangan Uhud pula tercetus ekoran pihak musyrikin Mekah ingin membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam peperangan Badar Al-Kubra. Manakala pengusiran kaum Yahudi dari Madinah dalam peperangan Bani Nadhir disebabkan kaum Yahudi tersebut mencabuli perjanjian yang berlaku. Bahkan mereka merancang untuk membunuh Nabi SAW. Demi mempertahankan baginda SAW dan keselamatan serta keharmonian di dalam Madinah maka tercetuslah peperangan Bani Nadhir.

Begitu juga dalam peperangan Ahzab atau Khandak, ia berlaku disebabkan pihak musyrikin Mekah merancang untuk menghancurkan kekuatan umat Islam di Madinah. Mereka mengumpulkan puak-puak serta kabilah-kabilah yang memusuhi Islam untuk melakukan kerjasama beramai-ramai dalam menghancurkan Islam. Dan lagi, peristiwa Fathul Makkah juga berlaku disebabkan pihak musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang dimeterai di antara pihak Islam dan musyrikin Mekah.

Sehubungan itu, pengarang kitab Ghazwat Ar-Rasul iaitu Ahmad Hamid At-Thohir menyebutkan bahawa kalaulah tidak disyariatkan berperang nescaya kebatilan akan menguasai kebenaran. Namun begitu, janji Allah yang pasti, kebenaran tetap dipertahankan dan kewajipan mempertahankan kebenaran telah pun dilaksanakan oleh para sahabat ketika dahulu dengan sepenuh pengorbanan yang diberikan.

Kewajipan Melaksanakan Syariat Islam Secara Menyeluruh

Islam adalah yang syumul dan meliputi semua aspek di dalam kehidupan sebagaimana yang terdapat dalam di awal kajian yang dibentang. Tidak ada satu urusan dalam kehidupan manusia yang terlepas pandang dari konteks syariat Islam samada perkara tersebut melibatkan individu, masyarakat apatah lagi negara.

Hari ini penjajahan ke atas syariat Islam berlaku ke atas negara apabila pemimpin di negara-negara Islam atau negara yang mengisytiharkan agama rasminya ialah Islam, tidak menjalankan hukum Allah secara menyeluruh. Konteks syariat Islam yang telah disempurnakan di zaman Nabi SAW dihakis satu persatu sehingga disempitkan dalam ruang lingkup yang begitu kecil. Bahkan menjadikan ideologi barat yang menjajah minda mereka sebagai perundangan yang adil serta saksama di zaman sekarang. Dan ini juga telah jelas dalam kajian di atas yang menerangkan konsep penjajahan ke atas syariat Islam melalui dengan mendokongi ideologi-ideologi ciptaan barat.

Maka dalam soal melaksanakan hukum Allah iaitu syariat Islam secara menyeluruh para ulama bersepakat bahawa ia merupakan kewajipan ke atas umat Islam. Bahkan negara Islam atau negara yang dikuasai oleh umat Islam wajib melaksanakan perundangan Islam samada konteks hukuman ke atas jenayah, kehakiman, dan politik.

Hal ini berdasarkan kepada dalil ayat Al-Quran pada Surah Al-A’raf pada ayat yang ke-3, bermaksud :

“Ikutlah apa yang telah diturunkan oleh tuhan kamu (Allah) kepada kamu.”

Maka para ulama memutuskan bahawa perintah “ikutilah” tersebut merupakan kewajipan dan yang dimaksudkan dengan “ikut apa yang diturunkan oleh Allah” ialah mengiktiraf Islam sebagai syariat Allah dan melaksanakan apa yang diperuntukkan dalam syariat. – Majalah Buhuth Islam, jilid pertama pada keluaran pertama pada tahun 1395 Hijriah yang dikeluarkan oleh Institusi Fatwa di Kerajaan Arab Saudi.

Syeikh Abdul Kadir ‘Audah menyebutkan :

“Sesungguhnya Islam mewajibkan manusia untuk mengikuti apa yang telah diturunkan oleh Allah dan mewajibkan mereka untuk melaksanakan hukum Allah tanpa ada campur aduk daripada hukum yang selainnya.” – kitab karangan beliau yang berjudul Al-Mal Wa Al-Hukm Fi Al-Islam

Surah An-Nisa pada ayat ke-59, Allah berfirman yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah rasul dan pemimpin di kalangan kamu.”

Berdasarkan ayat di atas umat Islam wajib mentaati pemimpin mereka iaitu yang melaksanakan Islam serta mempertahankan dasar Islam. Hal ini demikian kerana pemimpin yang disebutkan di atas merujuk kepada pemimpin yang boleh ditaati. Maka pemimpin yang boleh ditaati adalah pemimpin itu juga mentaati Allah dan rasul, nescaya pemimpin tersebut melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah dan rasul secara penuh, dikira sebagai mentaati Allah dan rasul.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-49 yang bermaksud :

u“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka.”

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-65 yang bermaksud :

“Maka demi tuhanmu, mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak berasa berat hati dari apa yang telah engkau hukumkan dan menerima menerima keputusan tersebut dengan sepenuhnya.”

Imam Ibnu At-Taimiyah dalam kitab Al-Iman karangan beliau menyebutkan berkenaan ayat di atas :

“Maka apabila terdapat penafian ke atas iman, peruntuh tersebut menunjukkan adalah wajib ke atas setiap manusia.”

Abi Umamah Al-Bahili berkata Nabi SAW bersabda :

لَتَنْقُضَنَّ عُرَى الإسْلامِ عُرْوَةً عُروةً فَكُلَّما انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ الناسُ بالتي تَلِيها وَأَوَّلُهُنَّ نقضاً: الحكم، وآخِرُهُّن الصلاة

“Akan terlerai satu persatu ikatan-ikatan Islam, maka setiap kali terlerai satu ikatan maka akan berpaut pada ikatan yang seterusnya. Ikatan pertama yang akan terlerai ialah pemerintahan dan akhir sekali ialah solat.” – dalam Musnad Ahmad

Said Qutb menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan thaghut ialah :

“Setiap perkara atau urusan yang tidak dibenarkan oleh Allah dan juga setiap hukum atau perundangan yang tidak mempunyai sandaran kepada syariat Allah.” – Tafsir Fi Zilal Al-Quran

Kewajipan Menentang Kemungkaran Dan Kezaliman

Ideologi-ideologi ciptaan barat yang menjadi penjajah ke atas syariat Islam melalui pemimpin yang zalim wajiblah ditentang. Tidak ada istilah yang ketiga daripada Islam dan thaghut sebagaimana yang telah disebut oleh Said Qutb dalam kitab tafsir beliau. Maka sekiranya tidak dilaksanakan hukum Allah maka ia telah melaksanakan agenda thaghut.

Dan hari ini thaghut yang berbentuk ideologi barat mestilah ditentang sehinggalah syariat Allah dapat dilaksanakan dengan menyeluruh. Tidak kira samada ideologi yang berbentuk liberalime, sekularisme, sosialisme, kapitalisme dan sebagaimana.

Bahkan dalam negara Islam pemimpin yang tidak melaksanakan hukum Allah ia dikira zalim dan telah melakukan kemungkaran yang besar. Hal ini sekiranya pemimpin tersebut masih percaya dan iktikad bahawa hukum tersebut adalah diturunkan oleh Allah. Sekiranya ia telah menafikan hukum tersebut dengan manganggap ia bukanlah hukum Allah dan mempersendakannya maka ia telah pun dikira terkeluar daripada Islam.

Kewajipan menentang kemungkaran dan kezaliman ini jelas berdasarkan Al,Quran, hadis dan ijma’ ulama. Hal ini demikian kerana mempertahankan dan melaksanakan syariat Allah secara menyeluruh merupakan kewajipan dan mengingkarinya merupakan satu kemungkaran dan kezaliman.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran pada ayat ke-110 yang bermaksud :
 3
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umah manusia kerana kamu menyeru kepada perkara yang baik dan mencegah sebarang kemungkaran serta bberiman kepada Allah.”

Firman Allah dalam surah Al-Maidah pada ayat ke-78 dan 79 yang bermaksud :
   
“Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat melalui lidah Nabi Daud dan Isa Ibnu Maryam. Yang demikian tersebut disebabkan mereka menderhaka dan melampaui batas. Mereka sentiasa tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka lakukan.”

Daripada Abu Said Al-Khudri, Nabi SAW bersabda :

مَنْ رَأَى مِنْكُم مُنْكرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسانِه، فَإن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِه، وذلك أَضْعَفُ الإِيْمان
“Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran,maka wajib mengubahnya dengan menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan, sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”– Muslim

Justeru jelas kepada kita kewajipan dalam mencegah kemungkaran dan kezaliman di seluruh peringkat samada individu, masyarakat dan pemerintah. Hal ini demikian kerana dalam hadis tersebut menunjukkan lafaz umum dan tidak tertumpu kepada mana-mana pihak yang tertentu.

Bahkan Nabi SAW menggariskan cara pencegahan ke atas kemungkaran tersebut yang didapati. 3 peringkat tersebut adalah wajib dan berubah ke peringkat yang rendah apabila tidak ada kemampuan, bukan berdasarkan pilihan.

Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan dalam konteks mencegah kemungkaran, pihak yang menjalankan kewajipan mencegah tersebut menepati syarat 4 syarat iaitu :

1-      Kemungkaran tersebut merupakan perkara haram yang disepakati. Tidak dinamakan kemungkaran melainkan ia adalah perkara yang haram. Seperti tidak melaksanakan hukum Allah, minum arak dan sebagainya. Tidak dinamakan perkara mungkin apabila ia merupakan perkara khilaf dari sudut furu’ kerana khilaf tersebut tidak haram.
2-      Kemungkaran tersebut jelas berlaku di hadapan mata atau jika tidak, ia mempunyai bukti yang kukuh.
3-      Dalam konteks mengubah melalui kuasa, maka hendaklah mempunyai kemampuan untuk melakukan pencegahan ke atas kemungkaran yang berlaku.
4-      Yakin tidak akan berlaku kemungkaran yang lebih besar ekoran pencegahan yang dilakukan tersebut. Iaitu tidak mendatangkan kemungkaran yang lebih besar daripada kemungkaran yang sedia ada, secara yakin.

Adapun jika kemungkaran tersebut dilakukan oleh pemerintah atau pihak kerajaan sebagaimana dalam konteks perbincangan iaitu penjajahan ke atas syariat Islam. Kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah tersebut merupakan kemungkaran yang besar dan jelas iaitu tidak melaksanakan hukum Allah dengan sepenuh. Maka bagaimana mungkin untuk kita mengubah atau mencegah melalui kuasa?

Dalam permasalahan ini, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan terdapat 3 cara iaitu :
1-      Melalui undian dalam pilihanraya. Iaitu suara majoriti rakyat menukar pemerintah yang menjalankan hukum Allah dengan penuh. Hal ini demikian sistem pilihanraya pada hari ini merupakan medium sebagai demokrasi yang adil sekiranya telus dalam memberikan ruang kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka melalui undian.
2-      Kekuatan Tentera. Sekiranya pemerintah yang melakukan kemungkaran tersebut berjaya menggunakan kekerasan dalam mengekalkan kekuasaanya bahkan medium pilihanraya tidak mampu menjadi medium keadilan dalam rakyat membuat pilihan, maka pihak tentera yang sedar akan Islam dan memahami akan kemungkaran yang berlaku mestilah menggunakan kekuaatan yang ada pada mereka dalam ‘menggulingkan’ pemerintah yang sedia ada. Kemudian apabila selesai tempoh dharurat, pihak tentera mestilah menyerahkan semua pemilihan tentera kepada rakyat melalui pilihanraya yang adil dan telus.
3-      Kuasa rakyat. Apabila pilihanraya terdapat penipuan yang tidak boleh diperbaiki dan tentera dikawal oleh pemerintah yang melakukan kemungkaran, maka rakyat sekiranya sebulat suara dalam isu mencegah kemungkaran ini mampu untuk mengubahnya melalui revolusi atau demontrasi untuk mengembalikan keadilan dalam negara mereka.

Maka sekiranya 3 cara di atas tidak mempunyai kemampuan, rakyat mestilah bersabar dan menjalankan gerak kerja tarbiyah dan dakwah sehinggalah mempunyai kemampuan untuk mengubahnya.

Kesimpulan dalam permasalahan penjajahan ke atas syariat Islam ini menjadi kewajipan yang besar kepada umat Islam untuk memastikan syariat Islam dapat dilaksanakan dengan sepenuh. Hal ini disebutkan oleh Imam Hassan Al-Banna sebagai membebaskan negara daripada segala perkara thaghut iaitu ideologi ciptaan barat serta pemerintah yang menjadi boneka kepada agenda barat kemudiannya mendirikan negara pentadbiran Islam di negara tersebut.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN
PENGERUSI FELO MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
1-      Nazorat Fi Risalah At-Taklim, oleh Muhamad Abdullah Al-Khatib dan Muhammad Abdul Halim Hamid, cetakan Dar At-Tauzi’ Wa An-Nasyr Al-Islamiyyah
2-      Al-Khilafah Al-Islamiyyah Wa Qadhiyah Al-Ahkam Bima Anzala Allah, oleh Dr Shodiq Syaif Nu’man, cetakan Dar As-Salam
3-      Ghazwat Ar-Rasul, oleh Hamid Ahmad Thahir, cetakan Dar Al-Fajr Lil Turath
4-      Mausu’ah Usul Al-Fikr, jilid pertama, oleh Khadijah An-Nabrawi, cetakan Dar As-Salam
5-      Al-Hulul Al-Mustauradah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
6-      A’da’ Al-Hil Al-Islami, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
7-      Fiqh Ad-Daulah, Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
8-      Majalah Al-Azhar keluaran Jamadil Akhir 1433 Hijriah
9-      300 Hadis Bimbingan, oleh Us Zahazan Mohamed dan Us Ahmad Hasan Mohd Nazam, cetakan Telaga Biru


sumber : pmram-manhal

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM