Tuesday, November 13, 2012

Pneumonia Meragut Bahagia




Kita boleh sahaja menyangka ianya hanya batuk dan selesema biasa. Seterusnya, kita biarkan melarat ataupun diberi preskripsi ubat yang salah sehingga mampu membawa maut. Itulah bahayanya pneumonia. Ramai antara kita tidak mengetahui bahawa pneumonia merupakan pembunuh nombor satu bagi kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun di seluruh dunia.



Oleh sebab itu ibu bapa lazimnya, hanya menjangka ianya demam biasa dan melengah-lengahkan masa untuk berjumpa dengan doktor sedangkan anak mereka berkemungkinan besar sedang bertarung nyawa untuk hidup. Kesukaran bernafas yang dialami oleh kanak-kanak ini adalah disebabkan oleh cecair yang memenuhi alveoli dalam salah satu atau kedua-dua belah paru-paru yang menganggu penyerapan oksigen dan boleh menyebabkan pesakit, terutamanya bayi tidak sedarkan diri.


Dianggarkan lebih dari 150 juta kes pneumonia berlaku diseluruh dunia setiap tahun dan sebahagian besar kes melibatkan kanak-kanak dibawah umur lima tahun. Ini baru anggaran bagi negara-negara membangun. Asia Tenggara dan Afrika jika digabungkan mencatat lebih dari separuh daripada keseluruhan kes-kes di seluruh dunia. Pada tahun 2008, seramai 8.8 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat pneumonia.
Pneumonia, Sama Parah dengan Barah


Menurut Perangkaan Sebab Kematian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2008, pneumonia mengungguli tangga kedua dalam carta sebab kematian utama selepas penyakit jantung, iaitu sebanyak 7% daripada keseluruhan kes kematian. Pada tahun sebelumnya pula, pneumonia hanyalah berada di tempat keempat namun masih dapat menjadi punca kematian yang lebih utama dari kemalangan jalanraya. Ini bermakna pneumonia wajar diberikan perhatian setanding dengan penyakit jantung, barah dan sebagainya.


Pneumonia atau secara umumnya dikenali sebagai radang paru-paru kebanyakannya disebabkan pelbagai organisma yang berbeza. Ianya boleh jadi jangkitan daripada bakteria, virus ataupun fungi. Setakat ini kebanyakan dari kes-kes pneumonia berpunca dari bakteria jenis Streptococcus pneumoniae yang menjangkiti kanak-kanak di negara membangun. Lagi satu bakteria penyebab utama pneumonia ialah Haemophilus influenzae type b (Hib). Patogen penyebab untuk satu-satu kes pneumonia amat penting untuk dikenalpasti untuk menentukan ubat yang benar-benar sesuai dengan pesakit.


Kanak-kanak yang dijangkiti pneumonia mungkin mempunyai simptom yang berbeza mengikut umur dan penyebab jangkitan tersebut. Pneumonia yang disebabkan bakteria kebiasaannya membawa kepada demam panas dan sesak nafas. Jangkitan virus pula menjangkiti pesakit dengan perlahan-lahan tetapi semakin teruk dengan berlalunya masa. Antara simptom pneumonia yang lazim bagi kanak-kanak adalah sesak nafas, batuk, demam, sakit kepala, dan hilang selera.


Bakteria yang menyebabkan pneumonia lazimnya berada di dalam saluran pernafasan seseorang dan seterusnya disedut kedalam paru-paru dan seterusnya menyebabkan jangkitan. Patogen-patogen ini turut boleh merebak melalui air yang tercemar mahupun melaluidarah. Pneumonia lazimnya menjangkiti kanak-kanak kerana sistem imun mereka yang lemah terutamanya bayi yang kekurangan susu ibu secara eksklusif, atau kekurangan dari segi pengambilan zat besi yang mencukupi. Kanak-kanak yang menghidap AIDS atau demam campak turut lebih mudah untuk dijangkiti. Keadaan persekitaran seperti rumah yang sesak atau ibu bapa yang merokok juga menambah risiko untuk kanak-kanak dijangkiti pneumonia.


Pneumonia boleh dielakkan dengan memastikan nutrisi yang mencukupi terutamanya bagi kanak-kanak. Langkah-langkah lain termasuklah meningkatkan kadar imunisasi setempat melalui vaksin, mengurangkan pencemaran udara dan termasuklah membasuh tangan dengan kerap. Kesedaran dalam kalangan pengamal perubatan juga amat penting supaya pneumonia ini dapat dikesan dari awal dan dapat dirawat dengan sebaiknya. Ini kerana pneumonia lebih mudah dirawat sekiranya diprekripsi dengan antibiotik yang sesuai dengan jenis patogen. Oleh itu, tidak keterlaluan sekiranya setiap kanak-kanak terus disyaki dijangkiti pneumonia apabila terdapat dua tanda yang paling jelas untuk menggambarkan pneumonia, iaitu pernafasan yang pantas dan kesukaran bernafas.
Fight Pneumonia, Save a Child


Oleh itu, Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan Hari Pneumonia Sedunia dengan moto Fight Pneumonia, Save a Childyang bertujuan untuk :


-Meningkatkan kesedaran tentang pneumonia


-Menggalakkan langkah-langkah perlindungan, pencegahan dan rawatan pneumonia


-Menjana tindakan untuk melawan pneumonia


Namun begitu, usaha-usaha ini bukan sahaja tanggungjawab mereka, tetapi tanggungjawab setiap daripada kita ialah dengan membekalkan diri dengan pengetahuan berkaitan pneumonia ini. Tiada siapa tahu, mungkin orang yang kita sayangi turut menderita satu hari nanti. N'auzubillahi min zalik.


*Artikel ini dipetik daripada perubatan.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM