Sunday, September 4, 2011

Situasi Aliff Adalah Mangsa Keadaan Dan Kecuaian Pegawai




Pihak EME telah dimaklumkan oleh pentadbiran universiti tentang amalan pelajar (G to G) yang berkenaan memasuki kelas perubatan (MoU) ; seperti kes Mohamad Aliff bin Sofian Gan dan Iramaya bt. Abdul Hamid dari Universiti Tanta. Perbuatan ini adalah menyalahi peraturan universiti dan menyebabkan mereka dihalang memasuki peperiksaan kerana kehadiran di kelas yang sebenar tidak mencapai 75%. Justeru, pihak EME memberi amaran keras kepada pelajar terbabit dan yang akan datang (sesi 2011/2012) supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.Sekian dimaklumkan.
Sumber: www.educationmalaysiaegypt.net

Saya terpanggil untuk menjawab situasi yang menimpa diri ini yang masih buntu mencari  jalan penyelesaian, dan keadaan dilihat seolah-olah seperti kenyataan di atas ini menghujum dan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada saya selaku pelajar yang hadir di bawah jalan yang sah iaitu pelajar persendirian daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, namun hak saya sehingga hari ini dinafikan untuk mengambil peperiksaan seperti rakan-rakan saya yang lain.Apa salah saya?

Sesungguhnya saya mempunyai penjelasan daripada saya sendiri untuk kenyataan di atas dan boleh saya katakan EME sememangnya masih berpeluang untuk membela saya lebih awal sebelum ini, namun gara-gara kelemahan tindakan pegawai untuk menyelesaikan perkara ini, saya dijadikan kambing hitam ataupun mangsa. Sekali lagi saya persoalkan, apa salah saya?

Di sini ingin saya mempersoalkan beberapa perkara:

1) Mengapakah saudari Ira Maya binti Ab. Hamid, mahasiswi tahun 1 persendirian yang hadir di bawah Kementerian Pengajian Tinggi seperti saya berpeluang untuk memasuki peperiksaan dur thani pada kali ini sedangkan beliau juga menghadiri kelas MOU seperti saya dan kehadiran beliau juga dalam rekod sebagai pelajar G2G tidak cukup 75% seperti saya?

2) Di kuliah pengajian perubatan di Universiti Tanta, bukti menunujukkan bahawa seluruh pelajar Malaysia G2G pada sesi-sesi yang lepas yang sehingga kini sepenuhnya memasuki kelas MOU dan tidak pernah menghadiri kelas G2G masih dibenarkan untuk memasuki peperiksaan akhir tahun sehingga sekarang. Mereka adalah generasi mahasiswa Universiti Tanta yang bermula daripada sesi pengajian 2006/2007 sehingga kepada sesi 2010/2011. Di sini ingin saya mempersoalkan mengapa mereka boleh memasuki peperiksaan sedangkan tidak kepada saya kalau betul dikatakan masalah itu berpunca daripada pelajar G2G yang memasuki kelas MoU?

3) Jikalau masalah fail saya diselesaikan lebih awal oleh Encik Khairy Jalaluddin selaku pegawai atase akdemik EME, insyaAllah saya yakin masalah ini tidak berlaku, kerana aduan untuk menyelesaikan perkara ini telah lama dibuat. Universiti memaklumkan urusan hanya boleh dibuat oleh En Khairy dan bukan pelajar. Namun tindakan PERUBATAN Cawangan Tanta dan Presiden PERUBATAN yang berkali-kali berulang-alik berjumpa Ustaz Khairy untuk membuat aduan dan surat jemputan menjemput khusus Encik Khairy tidak disusuli dengan tindakan Encik Khairy sendiri untuk turun ke Tanta, seolah-olah usaha mereka ini selaku pimpinan adalah sia-sia. Mengapa? Sedangkan PERUBATAN cawangan Tanta sanggup hadir bertemu En Khairy mengadukan masalah, walaupun pada waktu tersebut adalah musim peperiksaan, mengapa pegawai tidak lebih awal turun ke Tanta menyelesaikan masalah ini?

4) Seharusnya pelajar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi ini mendapat taklimat jelas daripada pegawai akademik EME berkenaan situasi semasa kuliah di peringkat awal kehadiran saya ke bumi Mesir ini. Jikalau Encik Khairy memaklumkan situasi ini lebih awal dan saya selaku pelajar faham kondisi perbezaan pelajar MOU dan G2G, nescaya masalah ini tidak berlaku dan boleh dielakkan kerana saya berusaha untuk menghadiri kelas pada setiap hari.

5) Janji awal Universiti Tanta pada waktu sekitar sebelum peperiksaan akhir tahun bermula (iaitu pada 11 Jun 2011) adalah untuk membenarkan saya memasuki peperiksaan sekiranya masalah fail saya selesai sebelum tarikh bermula peperiksaan dan terus dibenarkan memasuki peperiksaan. Tetapi En Khairy tetap tidak hadir ke Tanta dan masalah fail saya tidak selesai sebelum peperiksaan pada bulan Jun baru-baru ini.Maka saya melihat ini bukanlah masalah ketidak hadiran ke kuliah yang menjadi masalah utama, tetapi ini adalah masalah ketidak hadiran pegawai untuk menyelesaikan masalah fail saya lebih awal yang menjadi masalah utama sekarang ini.

Untuk makluman, selagi fail pelajar tidak sampai di universiti, maka izin dafa' (kebenaran untuk membayar yuran) masih tidak dapat dibuat. Ini bermakna pelajar tidak dapat untuk hadir kelas langsung atau kalau hadir sekalipun ini bermakna kehadiran saya tidak diiktiraf universiti
.
Maka peluang yang ada untuk saya belajar dan menimba ilmu hanyalah ada dengan memasuki kelas MOU, maka saya melihat ini adalah menjadi kesalahan pegawai yang tidak mendesak KPT mesir untuk hantar fail pelajar lebih awal. maka setelah sampainya fail saya pada bulan 6 yang lalu, sememangnya untuk mencukupkan kehadiran sebanyak 75% adalah mustahil. Apa salah saya yang sebelum ini telah lama memohon pengajian lebih awal semenjak dari Malaysia, menguruskan fail dengan sempurna, tetapi gara-gara kelambatan fail, saya dipersalahkan dan tidak dapat memasuki peperikasaan atas alasan kehadiran tidak cukup 75%? Logikkah alasan ini untuk saya terima? Bahkan mengikut fakta  bahawa fail sahabat saya Iramaya binti Ab. Hamid sampai di Universiti pada bulan 7 dan lebih lewat daripada saya tetapi beliau boleh memasuki peperiksaan. Kenapa tidak kepada saya yang lebih layak memasuki peperiksaan kerana fail saya tiba lebih awal daripada saudari Iramaya?

6) Wakil pelajar di Tanta iaitu PERUBATAN Cawangan Tanta seharusnya perlu dijemput bersama En Khairy untuk menyelesaikan masalah pelajar apabila berurusan dengan Universiti, kerana mereka adalah senior yang faham situasi sebenar urusan hal ehwal pelajar di Universiti Tanta ini.Namun tiba-tiba En Khairy melaporkan pada 17 hb Ogos 2011 kepada saudari Zahratul Amani binti Mohd Naser selaku wakil PCT di sini bahawa Encik Khairy secara bersendirian sudah berjumpa dengan Universiti dan hanya memaklumkan secara ringkas bahawa tiada jalan penyelesaian untuk masalah kemasukan peperiksaan saya. Sedangkan PCT dan saya sendiri ada di Tanta untuk turun bersama menyelesaikan masalah, kenapa kami tidak diminta turun bersama menyelesaikan masalah?

Inilah serba sedikit luahan hati akan situasi yang menimpa diri. Bukan menagih simpati, tetapi situasi jelas melihat bahawa saya telah menjadi mangsa keadaan. Kadang-kadang apabila melihat rakan-rakan lain di Universiti Tanta dapat memasuki peperiksaan, bahkan sudah ada di kalangan mereka yang mendapat natijah peperiksaan, kadang-kadang saya ada merasa sedikit tercalar dan iri hati, dan sedih dengan nasib yang menimpa diri ini yang masih tidak dapat memasuki peperiksaan, dan sememangnya ini memberi tekanan kepada saya.

Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PERUBATAN khususnya PERUBATAN Cawangan Tanta yang berusaha gigih untuk menyelesaikan masalah ini, dan saya banyak berbincang dengan ibu bapa saya di Malaysia mengadukan masalah ini. Mereka merasa sayu dengan diri ini yang tidak mampu berbuat apa-apa. Yang saya fikir yang saya ada pada saat ini hanyalah Allah S.W.T, kepada-Nya nasib diri ini saya serahkan setelah penat lelah berusaha untuk menapak langkah memasuki dewan peperiksaan, sama ada berjaya atau tidak, saya berpasrah.

Mangsa keadaan,
MUHAMMAD ALIF BIN SOFIAN GAN
Mahasiswa Bakal Mengulang Tanpa Sebab Tahun 1 Universiti Tanta

sumber : tanta.perubatan.org

No comments:

Post a Comment

Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM