Tuesday, September 28, 2010

Pendaftaran : Majlis Ramah Mesra Rombongan Delegasi Perak Dan Anugerah Cemerlang 2010


Makluman :

KPIPM akan mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama
Delegasi Negeri Perak dan Anugerah Cemerlang dengan
kerjasama Pejabat Pengurusan HEP Perak pada 10.10.2010.

Kepada graduan/nita dan mahasisiwa/wi cemerlang yang
ingin menyertai majlis anugerah tersebut,sila buat
pendaftaran kepada Ahli Majlis Perwakilan (Mandub/ah)
masing-masing atau terus kepada Unit Pendaftaran :

1) Saudara Shahrul Rashid bin Ghazali 011-1523011

2) Saudari Hazila binti Abdul Hamid 014-8089636

Pastikan anda mendaftar sebelum tarikh tutup pendaftaran
pada 30/9/2010.

PENGANGKUTAN AKAN DISEDIAKAN OLEH PIHAK PEJABAT HEP PERAK.

Friday, September 24, 2010

Iftor Jama'ie dan Qiamullail mendapat sambutan

KAHERAH,23 September – Di dalam bulan Syawal,kita digalakkan untuk berpuasa enam. Oleh itu KPIPM telah menganjurkan Iftor Jama’ie untuk memberikan galakkan kepada ahli KPIPM untuk turut berpuasa Syawal. Ini bertepatan dengan apa yang telah disampaikan oleh Presiden PMRAM,saudara Shahrizan bin Mohd Hazime di dalam khutbah hari raya baru-baru ini.

Program bermula dengan upacara tahlil pada jam 6.30 petang disusuli dengan majlis berbuka puasa. Majlis ini melihatkan ramai di kalangan ahli KPIPM menyambut baik galakan untuk bersama-sama berpuasa enam.

Seperti kebiasaan malam Jumaat,majlis diteruskan dengan bacaan Yaasin dan sedikit tazkirah. Pentazkirah jemputan yang dijemput khas daripada Fellow Manhal PMRAM iaitu saudara Mohamad Hanif bin Haron. “Sekiranya kamu hendak melakukan maksiat,buatlah ia di tempat yang Allah tidak dapat melihat kamu”. Ujar beliau dalam menceritakan mengenai ucapan Imam Hasan Al-Basri kepada seorang pemuda.

Turut hadir bersama di dalam majlis tersebut adalah Presiden PMRAM bersama S/U Agung PMRAM selaku tetamu jemputan pada malam tersebut. Majlis yang diteruskan dengan solat Isya’ dan Hifzi tersebut berakhir pada jam 9.45 malam.

Pada sebelah paginya pula,pada jam 4.00 pagi,alunan zikir dialunkan sebelum solat-solat sunat didirikan bagi menjayakan Qiamullalil Perdana kali ini. Pada jam 4.30 pagi,solat sunat Tahajjud dan Taubat diimamkan oleh saudara Ibnu Abbas bin Azizuddin manakala solat sunat Hajat dan Witir oleh saudara Zulfadhli bin Hj. Zainal

Selesai solat-solat sunat,solat Subuh secara berjemaah didirikan. Disusuli dengan tazkirah subuh yang disampaikan oleh saudari Siti Musfirah binti Hj. Shahari. “Kita sebagai mahasiswa hendaklah bijak dalam membezakan kehendak dan keperluan”. Tegas beliau dalam memberikan peringatan.

“Masjid Al-Azhar yang terkenal di Mesir telah memulakan pengajian yang terhenti di bulan Ramadhan. Jadi,marilah sama-sama menuntut ilmu sebanyak yang mungkin di sini sebagai bekalan untuk berjuang kelak”. Pesan beliau sebelum mengakhiri tazkirahnya. Majlis disudahi dengan bacaan surah Ar-Rahman berjemaah.

Tuesday, September 21, 2010

Kelahiran anak Perak di bumi Mesir

Gambar hiasan

ZAQAZIQ, 20 September – Cahaya KPIPM hari ini bertambah bersinar dengan kelahiran cahaya mata kedua daripada pasangan Ustaz Muhamad Mumtaz bin Harun dan Ustazah Faezah binti Spian.

Anak lelaki yang masih belum diberikan nama tersebut,selamat dilahirkan di Hospital Taisir,Mauqif Mansurah,Zaqaziq pada jam 7.15 malam,kira-kira selepas azan Maghrib berkumandang.

Dan wartawan dimaklumkan bahawa proses bersalin tersebut terpaksa dilakukan pembedahan. Kos perbelanjaan pula mencecah LE 3,000 dan terpaksa ditanggung oleh keluarga tersebut. Bagi sesiapa yang berhajat untuk meringankan beban keluarga tersebut,adalah amat dialu-alukan.

Sebarang sumbangan yang ingin disalurkan, bolehlah menghubungi Ketua Biro Tabung Kebajikan ,Kesenian dan Riadhah,saudara Mohamad Amirul Fahmi bin Zulkefli.

Semoga keindahan seri KPIPM akan bertambah lagi dengan kelahiran cahaya mata dari pasangan-pasangan yang akan datang.

Wisma Darul Ridzuan A dikunjungi pelajar perubatan JPA


KAHERAH, 20 September – Yang DiPertua KPIPM,saudara Khairul Ashraf bin Mohd Khir menyifatkan bahawa slot bersama BKAN bagi mahasiswa/wi perubatan tajaan JPA pada tahun ini perlu diteruskan. “Program seperti ini dapat memastikan agar semua mahasiswa/wi perubatan yang baru tiba di bumi mesir ini mengenali fungsi BKAN itu sendiri”. Kata beliau kepada wartawan blog.

Seramai 6 orang mahasiswa/wi perubatan yang berstatus anak Perak di bawah tajaan JPA pada tahun ini tiba di bumi Mesir. Wartawan blog dimaklumkan bahawa mereka akan mengikuti PSMB ’10 yang bertempat di Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah,Arma dari 19 hb hingga 22 September ini.

Di dalam sesi penerangan mengenai KPIPM kepada mereka,turut hadir bersama beberapa AJK dan AJK HEWI yang lain. Majlis ini dipimpin oleh Setiausaha Agung,saudara Ibnu Abbas bin Azizuddin yang bermula pada jam 6.00 petang. YDP KPIPM,saudara Khairul Ashraf bin Mohd Khir pula mengambil alih majlis dalam menerangkan fungsi KPIPM di bumi anbiya’ ini.

“KPIPM adalah merupakan satu persatuan yang menaungi seluruh anak Perak di bumi Mesir bagi menjaga dan memastikan kebajikan anak-anak Perak di sini terjamin”. Ucap beliau dalam sesi penerangan tersebut.

Setelah selesai penerangan mengenai KPIPM diberikan,sesi pertanyaan dibuka untuk semua bagi memastikan segala kemusykilan terlerai. Samada mengenai Mesir secara amnya atau mengenai KPIPM itu sendiri. Pelbagai persoalan yang timbul dan dijawab oleh YDP KPIPM dan sekaligus merungkai permasalahan yang ada.

“KPIPM ini juga adalah merupakan ibu dan ayah kalian di sini. Yang mana segala masalah boleh dikongsi dan diselesaikan bersama”. Kata beliau bagi merasakan kebersamaan KPIPM di dalam apa jua keadaan sekalipun.

Suasana majlis tersebut diadakan dalam keadaan santai tanpa perasaan kekok dalam berinteraksi serta bertukar-tukar pendapat. Moga-moga majlis yang berakhir pada waktu Maghrib itu menjadi titik permulaan kepada anak Perak perubatan untuk bersama-sama dengan KPIPM untuk membina ikatan ukhuwah sesama kita.

BKAN Perak bersama pelajar perubatan MARA di Iskandariah


ISKANDARIAH, 20 September – Bumi Iskandariah pada hari ini digegarkan dengan kehadiran hampir semua wakil BKAN dari Kaherah bagi bersama-sama pelajar baru tajaan MARA dalam slot bersama BKAN. Slot ini merupakan salah satu program yang disediakan oleh PSMB ’10 bagi mahasiswa/wi perubatan MARA yang baru tiba di bumi Mesir.

Semua wakil BKAN yang tiba disambut mesra oleh AJK pelaksana program yang bertempat di bangunan MARA,Iskandariah. TYDP KPIPM,saudara Mohammad Omar bin Adam mewakili YDP KPIPM dan beserta beberapa AJKT dan AJK HEWI yang lain juga hadir bersama.

Wartawan difahamkan bahawa semua pelajar perubatan tajaan MARA ini selamat tiba di Mesir pada 15 September yang lalu. Sejurus tiba,terus menuju ke Iskandariah seperti yang dirancang oleh pihak pelaksana PSMB ’10.

Pihak pelaksana PSMB ’10 memberi ruang kepada setiap wakil BKAN untuk memperkenalkan mengenai BKAN masing-masing. KPIPM yang diwakili oleh saudara Mohammad Omar bin Adam dalam sesi penerangan,menjelaskan kepentingan KPIPM kepada anak-anak Perak tajaan MARA di dalam majlis tersebut. Yang mana kewujudan KPIPM adalah tidak lain dan tidak bukan bagi menjaga kebajikan anak Perak yang berada di bumi Mesir ini.

“Kami mengharapkan kehadiran anak-anak Perak ke bumi Mesir pada tahun ini membawa satu sinar baru yang lebih menyinari KPIPM dalam menjunjung Al-Quran dan As-Sunnah”. Ujar beliau kepada wartawan blog.

Persoalan demi persoalan diajukan oleh mereka bagi mendapatkan kepastian dan merungkai permasalahan yang terbuku. Ini juga membuktikan keprihatinan mereka di dalam ingin memahami kepentingan bersama di dalam KPIPM.

Majlis yang bermula pada jam 3.00 petang itu berakhir pada jam 4.30 petang bagi memberi ruang kepada pihak penganjur untuk meneruskan slot berikutnya. “Semoga ukhuwah yang sedang kita bina ini tidak terhenti pada hari ini,tetapi ia berkekalan sehingga akhir hayat”. Harapan pengerusi majlis kepada semua sebelum mengakhiri majlis tersebut.

Friday, September 17, 2010

Program CEMERLANG '10 berjaya



14 September 2010 – Hari ini merupakan hari raya AidilFitri yang kelima. Dan merupakan hari sambutan perayaan bagi PMRAM cawangan Perak. Program yang diberi nama CEMERLANG ’10 ini telah dirancang sejak sebulan yang lalu ini. Program CEMERLANG ’10 merupakan akronim daripada Cahaya AidilFitri danAnugerah Cemerlang. Program bermula seawal jam 7.00 pagi dengan gotong-royong memasak dan melihatkan ramai ahli turut bersama dalam gotong-royong ini.

Selesai memasak,acara perarakan pengantin pula menjadi tumpuan semua yang hadir di perkarangan Rumah Perak A. Pengantin dipersembahkan dengan pertunjukan pencak silat daripada ahli KPIPM. Para pengantin seterusnya menjamu selera di bilik VIP.

Majlis jamuan hari raya diteruskan dengan kehadiran semua tetamu jemputan dan para VIP. Presiden dan beberapa Badan Pengurus PMRAM juga turut meluangkan masa untuk hadir bersama. Tidak ketinggalan ahli KPIPM yang dari muhafazah juga turut hadir memeriahkan majlis. Jamuan berakhir pada jam 4.30 petang bagi memberi ruang kepada persiapan majlis bagi sesi acara malam pula.

Pada sebelah malamnya pula,lebih tertumpu kepada aturcara anugerah mahasiswa/wi dan graduan/ita yang cemerlang pada peperiksaan lalu. Majlis perasmian yang pada awalnya dirancang akan dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) iaitu Prof. Madya Dr. Jamil B. Hashim. Namun beliau tidak dapat hadir dan digantikan oleh En. Khairi B. Jalalluddin,Atase Pendidikan (Akademik).

Majlis perasmian berlangsung sejurus beberapa minit selepas solat Maghrib. Turut hadir di dalam majlis perasmian tersebut Presiden PMRAM 2010,Yang DiPertua KPIPM 2010/2011,Pegawai HEP Perak dan Pengarah Program CEMERLANG ‘10.

Sejurus tamat majlis perasmian,acara pelancaran kempen biro KPIPM sesi 2010/2011 yang telah disempurnakan oleh Yang DiPertua KPIPM sendiri. Semoga segala kempen yang dijalankan dapat direalisasikan kita bersama.

Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan anugerah kepada mahasiswa/i dan graduan/ita yang berjaya. Pada tahun ini dapat dilihat bahawa pencapaian kecemerlangan ahli KPIPM meningkat berbanding tahun sebelumnya. Ini terbukti dengan ramai ahli KPIPM menerima anugerah pada malam tersebut.

Setelah selesai menyaksikan penyerahan anugerah,para hadirin dihidangkan dengan beberapa persembahan. Antaranya dikir barat,tarian dabus,nasyid dan slide show dari Unit Hisbah. Dilihat semua hadirin terhibur dengan segala sajian yang diberikan. Majlis diakhiri dengan jamuan makan sebelum semua bersurai.

Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis pada malam tersebut,samada secara langsung atau tidak langsung. Terutamanya kepada AJK pelaksana yang bertungkus-lumus dalam memastikan semua berjalan dengan baik.

Monday, September 13, 2010

Jemputan rumah terbuka ke Baitul Hasanah



11 September 2010 – Hari ini sekali lagi YDP KPIPM menerima jemputan rumah terbuka. Kali ini rumah anak-anak yatim,Baitul Hasanah menjemput YDP KPIPM serta beberapa AJKT untuk ke rumah terbuka di sana. Baitul Hasanah yang terletak berhampiran dengan Wisma Darul Ridzuan A iaitu di Rumah Perak Sementara 2008/2009.

Kehadiran kami disambut dengan dendangan nasyid yang dinyanyikan sendiri oleh beberapa tenaga penggerak Baitul Hasanah. Pelbagai jamuan hari raya telah dihidangkan kepada kami.

Ketika sedang menjamu selera,sesi taaruf bersama beberapa penggerak Baitul Hasanah diteruskan. Dan beberapa maklumat baru dapat disampaikan disamping dapat bertukar-tukar pandangan. Semoga ukhuwah sesame kita akan terus berkekalan.

Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Baitul Hasanah yang sudi memberikan ruang kepada kami untuk bersama-sama dengan anak-anak yatim,Kaherah. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas jasa yang ditaburkan. Kami dari KPIPM memohon kemaafan sekiranya terdapat kekurangan pada diri kami.

YDP hadir ke rumah terbuka En. Shaiful Muhammad

11 September 2010 – Hari ini Yang Dipertua KPIPM,Ustaz Khairul Ashraf B. Mohd Khir mendapat jemputan ke rumah terbuka Encik Shaiful Anuar Muhammad,Kuasa Usaha Sementara Kaherah,di Umi Kalsum,Zamalek. Beliau yang ditemani oleh timbalannya tiba di sana kira-kira jam 1.15 petang.

Setibanya di sana,kami disambut mesra oleh Encik Shaiful sendiri. Di sana juga dapat dilihatkan kehadiran beberapa pegawai negeri untuk turut sama di dalam majlis rumah terbuka tersebut. Antaranya pegawai dari Wilayah Persekutuan,Johor,Perak,Selangor dan ramai lagi dif-dif kehormat yang lain. Semasa menjamu selera,kami juga sempat bermesra bersama Encik Saiful dan keluarga.

KPIPM mengucapkan jutaan terima kasih Encik Shaiful dan keluarga di atas kesudian menjemput kami untuk hadir ke rumah terbuka petang tadi. Kami juga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan seandainya terdapat kesalahan yang dilakukan dari pihak kami. Moga-moga dengan segala layanan yang kami terima dari pihak Encik Saiful menjadi saksi amalan baik di akhirat kelak.



Antara tetamu yang hadir



Yang Dipertua bermesra bersama tetamu VIP yang hadir


Presiden PMRAM dan PERUBATAN turut hadir





YDP Johor,Ustaz Basir Mohamed menulis di buku kehadiran tetamu



Friday, September 10, 2010

Malam Perutusan Hari Raya AidilFitri 1431 Hijrah



9 September 2010 – Tanpa kita sedari,kita telah pun berada di akhir bulan yang paling mulia iaitu Ramadhan. Dan kini kita akan bertemu pula dengan bulan yang di janjikan oleh Allah s.w.t bagi meraikan orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam bulan Ramadhan iaitu bulan Syawal.

Manusia diperintahkan agar berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Oleh yang demikian,KPIPM dan PMRAM pada tahun ini sekali lagi telah mengatur Majlis Malam Perutusan AidilFitri yang bertempat di Wisma Darul Ridzuan A.

Sementara menunggu untuk mendengar Perutusan Hari Raya AidilFitri,majlis terlebih dahulu dimeriahkan dengan laungan takbir raya yang dikelolakan oleh Skuad Takbir PMRAM.

Pada hari ini juga melihatkan ramai ahli KPIPM dan anak-anak yatim Baitul Hasanah hadir bagi mendengar ucapan dan amanat yang di sampaikan oleh Ustaz Ahmad Taufiq Bin Mohd Dahlan selaku BP angkat PMRAM cawangan Perak dan juga Ustaz Khairul Ashraf Bin Mohd Khir selaku YDP KPIPM.

Terdapat banyak intipati yang berguna di dalam kedua-dua amanat yang telah disampaikan. Antaranya mengenai halatuju sebenar sebagai seorang yang bergelar mahasiswa agar tidak tersasar dari tujuan sebenar di bumi anbiya’ ini. Dan mengingatkan kepada seluruh mahasiswa agar sentiasa menjaga ukhuwah sesama kita. Tambahan lagi kita akan berada di bulan Syawal yang disunatkan untuk kita bermaaf-maafan.

Majlis pada malam ini diserikan lagi dengan beberapa tayangan slide show dan persembahan pentomen yang telah mencuit hati para hadirin. Majlis diakhiri dengan jamuan nasi impit bersama-sama.


Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Ibnu Abbas B. Azizuddin


Skuad Takbir Raya PMRAM


Antara ahli Skuad Takbir PMRAM



Beberapa babak pentomen yang menghiburkan hati



Ucapan Perutusan Hari Raya AidilFitri YDP KPIPM 2010/2011


Assalamualaikum

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.


( ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون )


“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.”

(Surah Al Baqarah : 185)


Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Allah S.W.T yang amat menyantuni kehidupan kita dengan rahmat dan kasih sayangnya yang tiada bernoktah. Perginya Ramadhan bukanlah bermakna berakhir sudah bulan untuk kita terus mendampingi Allah. Malah kehadiran Syawal adalah tanda-tanda betapa hampirnya kita kepada jalan menemui Allah.


Rasulullah S.A.W ketika menyambut Syawal telah membacakan Surah Al-Qaf dalam raka’at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka’at kedua solat Aidilfitri baginda. Adalah satu kehairanan bagi para sahabat baginda dan kita hari ini, kerana kedua-dua surah ini menceritakan tentang peristiwa hari kiamat itu dibacakan pada hari paling gembira buat umat Islam.


Namun disana Rasulullah mahu supaya kita tidak lupa diri dan sentiasa mengingati bahawa Hari Raya adalah hari yang paling hampir untuk kita menemui Allah. Keriuhan hari raya seharusnya digamatkan dengan takbir dan laungan selawat serta mempereratkan ikatan ukhuwah antara semua insan khususnya ahli KPIPM. Janganlah hari raya digamatkan dengan perkara-perkara atau aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat untuk jiwa kita khususnya kalangan penuntut ilmu agama Allah dan pemegang amanah panji-panji Islam kelak.


Peristiwa kiamat dibacakan supaya kita tidak lupa, bahawa ada lagi peristiwa yang lebih besar untuk kita lalui selain hari raya dan Ramadhan. Dengan itu hati-hatilah kita tidak akan lalai untuk menghabiskan percutian raya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.


Barisan Pimpinan Keluarga Pelajar-Pelajar Perak Mesir KPIPM (PMRAM Cawangan Perak) berharap agar Aidilfitri tahun ini menjadi batu loncatan untuk umat Islam memahami tuntutan sebenar Islam yang bukan sahaja sebagai agama untuk beraya, tetapi ianya harus dilihat dari seluruh ruang lingkup kehidupan.


Jangan kuncikan Islam itu hanya di tempat-tempat ibadah sahaja contohnya Masjid,Musolla atau Surau, tapi bawalah Islam ke mana sahaja kita berada. Apa jua urusan harian kita sama ada urusan sosial, kemasyarakatan, ekonomi, pentabiran, organisasi dan peraturan serta perundangan hidup dalam waktu-waktu seharian haruslah ditegakkan atas nama Islam.


Tanpa mengira apa jua warna kulit, asal usul, peringkat umur dan bangsa, kita kembali bersama atas nama Islam untuk mengikat kekuatan ummah ini khususnya di dalam Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir. Islam yang ada dalam diri kita juga janganlah disimpan untuk kepentingan kita. Kongsikanlah dengan rakan-rakan, sahabat-sahabat yang jauh dari Islam yang kita kenali supaya mereka lebih memahami.


Ingatlah! Setiap umat Islam itu adalah duta penyelamat dan kasih sayang. Tidak akan dekat rahmat Allah itu dalam perjuangan kita melainkan jika adanya jambatan ukhuwah yang kuat di antara hamba-hambanya.


Barisan kepimpinan AJKT dan AJK HEWI KPIPM 2010/2011 mengucapkan Selamat Hari Raya buat seluruh ahli Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir dan seluruh anak-anak Perak yang berada di bumi mesir samada dalam jurusan Pengajian Islam, Perubatan, Ma’ahad dan penuntut mana-mana pengajian di Mesir. Semoga Hari Raya kali ini memberikan makna dan perubahan besar dalam hidup sahabat-sahabiah dengan Allah sentiasa di dalam hati.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.Walillahilhamd…

KHAIRUL ASHRAF BIN MOHD KHIR


Yang Dipertua,

Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir,

Sesi 2010/2011

Friday, September 3, 2010

NAMA PEMOHON ZAKAT YANG DILULUSKAN ( PERUBATAN - IKHWAH DAN AKHAWAT )

Sila klik gambar untuk lebih jelas



Sebarang masalah mengenai zakat,sila emelkan maklumat anda kepada tydp_kpipm64@yahoo.com sebelum 5 September 2010 atau terus menghubungi Setiausaha Agung Ustaz Ibnu Abbas B. Azizuddin 011 0313027.

NAMA PEMOHON ZAKAT YANG DILULUSKAN ( PENGAJIAN ISLAM - AKHAWAT )

Sila klik gambar untuk lebih jelas






Sebarang masalah mengenai zakat,sila emelkan maklumat anda kepada tydp_kpipm64@yahoo.com sebelum 5 September 2010 atau terus menghubungi Setiausaha Agung Ustaz Ibnu Abbas B. Azizuddin 011 0313027.

NAMA PEMOHON ZAKAT YANG DILULUSKAN ( PENGAJIAN ISLAM - IKHWAH )

Sila klik gambar untuk lebih jelas










Sebarang masalah mengenai zakat,sila emelkan maklumat anda kepada tydp_kpipm64@yahoo.com sebelum 5 September 2010 atau terus menghubungi Setiausaha Agung Ustaz Ibnu Abbas B. Azizuddin 011 0313027.

Wednesday, September 1, 2010

Bakal mahasiswa/wi Al-Azhar selamat menjejakkan kaki di Kaherah


28 Ogos 2010 - Alhamdulillah,sinar bumi anbiya’ hari ini tambah bercahaya lagi dengan kehadiran 72 orang mahasiswa-mahasiswi dari negeri perak. Pasti semuanya telah siap sedia untuk menjalani proses membina generasi ulama’ rabbani.

Bakal mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar ini telah selamat tiba di lapangan terbang kaherah pada jam 1.40 petang waktu tempatan beserta seorang pengiring daripada wakil MAIPk iaitu Encik Ahmad Fadzil B. Haji Mustaffa juga merupakan graduan Al-Azhar,Damanhur.

Dua bas yang membawa beberapa barisan AJK pelaksana serta peserta USMB ’10 tiba di Wisma Perak Darul Ridzuan (B) pada jam 3.20 petang. Sesampainya di sana,beberapa ucapan dan taklimat telah disampaikan bagi memastikan segala urusan USMB ’10 berjalan lancar.

Setelah azan Maghrib berkumandang,semua peserta USMB ’10 serta tetamu jemputan berbuka puasa di dewan solat Wisma B dan setelah selesai solat Maghrib berjemaah,semua menjamu selera dengan juadah yang disediakan oleh AJK pelaksana USMB ’10 dengan kerjasama Pejabat HEP Perak.

Peserta kemudiannya solat Isya’ dan Tarawih di tempat yang sama dengan berjemaah. Ustaz Ahmad Taufiq B. Mohd Dahlan telah memberikan tazkirah ringkas serta kata-kata semangat kepada para peserta.

Pihak AJK pelaksana USMB ’10 berasa sangat berbesar hati menerima kedatangan mahasiswa-mahasiswi baru dari negeri perak. Semoga kedatangan antum menjadi menyeri dan menjadi penyambung kepada rantai-rantai perjuangan di bumi mesir ini,khususnya di dalam KPIPM.


Semua peserta USMB '10 selamat tiba di lapangan terbang Kaherah





Sedikit taklimat diberikan kepada peserta USMB '10


Taklimat kepada ajk bagi penyusunan beg peserta USMB '10




Yang DiPertua juga bersama menguruskan USMB '10


Peserta USMB '10 selamat sampai di Wisma Perak (B)






Gambar Kenangan

Taqwim KPIPM

TV PMRAM